Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan 'suara-suara' untuk memecah belah kesatuan Pakatan Rakyat termasuk mempersoal hubungan PAS-DAP merupakan satu usaha terancang dan berterusan Umno-BN kerana hambatan kepada usaha parti itu untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
Katanya kepada Harakah, isu 'Negara Islam' dan 'hukum hudud' terus dijadikan 'hantu' oleh Umno-BN untuk menakutkan DAP bekerjasama dengan PAS. Katanya, bagi merungkai kekuatan Pakatan Rakyat ini, BN menggunakan kaedah 'divide and role' serta menggunakan isu yang boleh menarik sokongan rakyat seperti isu 'Negara Islam' dan 'hudud'.
Isu tersebut katanya, dianggap BN sebagai dua ideologi yang bertentangan antara PAS dan DAP.
Beliau yakin perancangan BN ini akan terus gagal kerana DAP dan PAS semakin hari semakin matang dalam menangani isu ini dan semakin masak dengan mainan murahan BN.
Beliau juga menyeru umat Islam agar tidak ragu dengan kerjasama DAP-PAS kerana kerjasama tersebut adalah kerjasama politik dan bukan menggadai prinsip dan perjuangan.
"Prinsip perjuangan kita ialah memperjuangkan syariat Islam serta mendaulatkan kalimah Allah. PAS juga telah membuat perubahan daripada segi pendekatan.
"Mungkin pendekatan yang lepas bersifat secara langsung tetapi pendekatan kita sekarang mendahulukan perkara yang perlu kita raikan terlebih dahulu. Menyedari halangan-halangan yang wujud serta kekangan yang ada, kita hanya membuat 'adjustment' daripada segi pendekatan. Pegangan dan prinsip perjuangan kita tetap sama," tegas beliau.
Justeru katanya, masyarakat umum tidak perlu bimbang dan ragu untuk terus memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Ustaz Nasruddin juga menjelaskan walaupun terdapat sebilangan kecil pemimpin DAP tidak bersetuju dengan pembentukan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS, sekurang-kurangnya mereka boleh berkompromi dalam isu menentang kezaliman serta menolak perkauman.
Selain itu katanya, kerjasama PAS dan DAP katanya untuk bersama-sama menentang kezaliman dan kepincangan dalam kepimpinan negara sejak 53 tahun yang lalu.
Umno ujarnya, mempersoal hubungan PAS dan DAP sedangkan Umno juga menolak Islam serta syariat Islam sekalipun mereka mendakwa, mereka juga parti muslim.
"Kerjasama kita tidak mengikat atau menghadkan ideologi perjuangan parti masing-masing. Jika kita tidak bekerjasama dengan DAP, takkan kita hendak kompromi dengan BN? Dalam isu yang kita anggap untuk kebaikan bersama untuk kesejahteraan masyarakat pun Umno tidak mahu.
"Sebagai contoh, isu royalti yang menjadi hak rakyat. Kerajaan BN tidak boleh berkompromi dalam isu tersebut hanya kerana Kelantan ditadbir PAS. Sebaliknya dalam hal ini DAP boleh berkompromi menuntut hak rakyat serta menentang kezaliman yang dilakukan," katanya.
Tegasnya, pada zaman Rasulullah juga baginda pernah bekerjasama politik dengan pihak bukan Islam untuk menentang kezaliman. Bahkan katanya, Nabi Muhammad SAW pernah memuji sebuah perjanjian yang dibuat orang bukan Islam untuk menentang kezaliman.
1 ulasan:
Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....! juga jauh dihati saya.
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat
keberkatan daripada perjuangan PAS.
Kembalilah kepada perjuangan asal..!
Catat Ulasan