KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, November 09, 2010

Tak percaya? Umnolah punca bangsa Melayu dihina sekarang!

Umnolah yang menjadi penyebab mengapa bangsa Melayu hari ini dihina di tanahair sendiri, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Naib Presiden Umno, Dato' Zahid Hamidi kepada media.

PAS cuba memberi jawapan kepada Zahid yang tercari-cari punca mengapa hak orang Melayu sering dipertikaikan di buminya  sendiri. Zahid cuba membentuk persepsi orang Melayu kononnya mereka dalam keadaan terancam, dengan harapan mereka akan menyalahkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu ini.

Kata Ustaz Idris, ini taktik lama Umno untuk memulihkan tenaga yang semakin lemah dan tidak berpengaruh lagi. Strategi ini adalah seperti kata pepatah Arab "Dia pukul orang, dia mengadu bahawa orang lain pukul dia; dia memaki orang, dia mengadu orang lain memaki dia", ujarnya lagi

Hakikatnya, tegas beliau, Umnolah yang menyebabkan bangsa Melayu hilang jati diri dan lemah kuasa politik, sehingga mengakibatkan politik dendam yang berlubuk di dalam hati pemimpin parti Melayu itu lebih mengutamakan Umno-Putera, sekaligus Melayu jadi bangsa yang merempat di bumi sendiri.

Jelasnya, Umno cuba memutar-belitkan sejarah di Pulau Pinang kononnya Melayu terpinggir sejak pemerintahan Pakatan Rakyat, walhal Umno-Gerakan lah yang memerintah negeri itu hampir 51 tahun lamanya, sehingga menyebabkan Melayu merempat. 

"Zahid cuba nak salahkan Melayu yang sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur. Hakikat yang berlaku, orang Melayu tidak bertolak ansur, sebaliknya pemimpin Umno yang terlalu bertolak ansur, menyebabkan Melayu terpinggir di negeri sendiri.

"Selama 53 tahun Umno memerintah, mereka gagal untuk mengangkat martabat orang Melayu di negara ini. Banyak dasar-dasar yang dibuat cantik, tetapi oleh kerana pelaksanaannya yang diberikan kepada pemimpin ynag mengkhianat amanah ini maka akhirnya semuanya gagal," tegas beliau.

Ustaz Idris mendakwa, pemimpin Umno sepatutnya malu kepada pemimpin parti lain di negara ini yang gagal mengangkat mertabat bangsa sendiri. 

"Ke mana pergi nilai saham khas Bumiputera RM54 bilion? RM52 bilion sudah lesap, hanya tinggal RM2 billion. Ke manakah pergi tanah rezab Melayu 3 juta hektar yang ditinggal oleh penjajah pada tahun 1957? Pada tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya 1.7 juta hektar," soal beliau.

Katanya, Umno sebenarnya tidak layak untuk menjaga hak orang Melayu, ia ibarat seperti menyuruh serigala menjaga kambing. 

"Sudah sampai masanya Umno berundur dan orang Melayu pula meninggalkan parti itu dengan menyertai PAS sebagai ganti kepada Umno yang nazak," pintanya.

Mengapa Kerajaan Umno-BN syok luaskan industri mungkar?


Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan ETP yang sedang dipergiatkan Perdana Menteri sebagai "economy pumping", dakwa Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan kepada Harakah.

Katanya, "melompat" seketika tahap perolehan kasar negara dengan projek Hub Hiburan ini dan kemudiannya ia akan terhentak ke bawah dengan mengeluarkan kos yang banyak untuk menangani kesan langsung dan tidak  langsung dari industri nafsu, sedang ia boleh di elak sejak awal lagi.

Menurut Ustaz Nasruddin, ini langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat kerana ia mundur ke belakang serta dilihat sebagai usaha untuk men'jahiliyyah'kan negara. Dakwanya, pertambahan pusat hiburan dan konsert artis yang sedia ada jelas tidak terkawal dan ia antara penyumbang besar kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi kita. 

"Di situlah berpusatnya segala aktiviti mungkar dan gaya hidup yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, seks bebas, pil ectasy, khayal, mabuk dan sebagainya. 

"Implikasi dari fenomena ini lahirlah jenayah samun, ragut, rompak, rogol, buang bayi, bunuh dan sebagainya. Akhirnya kerajaan terpaksa pula membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mempromosi gaya hidup sihat, menangani penyakit aids dan hiv, kos merawat pesakit, belanja tahanan dan sebagainya," tegas beliau. 

Jelas Ustaz Nasruddin, lebih malang langkah kerajaan ini dilihat sia-sia kerana membangunkan material kemudiannya meruntuhkan pembangunan modal insan. 

Negara memerlukan modal insan yang berkualiti untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju pada masa hadapan dan kos membangunkan semula modal insan yang diruntuhkan ini tentu sahaja memerlukan kadar yang tinggi pula, katanya. 

"Akhirnya kerajaan hanya buat kerja-kerja bodoh dan sia-sia iaitu korek lubang kemudian timbusnya kembali.

"Selayaknya kerajaan memiliki acuan sendiri dalam membangunkan negara dan menjana pertumbuhan ekonominya tanpa meniru dan terpengaruh dengan negara-negara barat," tegasnya.  Justeru Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi maka wajarlah syariat Islam dijadikan asas dan acuan pembangunan dengan "membangun bersama Islam".

"Masih banyak sektor dan industri lain yang boleh memacu ekonomi negara, kenapa industri mungkar juga yang dipilih?" soal beliau.

Kecamukan dalam Felda sedang mengancam pengaruh Umno


KETIKA pembahas berucap dalam Perhimpunan Agung Umno ke 61 (usia Umno 64), antara nama yang sering menerima kritikan dan kecaman, ialah Ketua Penerangan, Dato' Ahmad Maslan. Namun, yang menghairankan tidak pula Ahmad diberi peluang oleh Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjawab ketika penggulungan.

Berbeza dengan era kepimpinan Umno terdahulu, biasanya, mereka yang namanya disentuh dalam perbahasan, akan bangkit memberi jawapan tetapi, dalam era Najib, ia diubah. Mungkin Najib tidak membenarkan Ahmad membuat jawapan, kerana khuatir akan diboo perwakilan.

Sejak Ahmad dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di situlah bermulanya serangan peneroka Felda terhadap Felda. Ada juga yang mengatakan, sejak kebelakangan ini Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Nor sudah semakin kerap menganjurkan pelbagai program dengan harapan jawatannya disambung dua tahun lagi.

Desas-desus bertiup kencang, Dr. Yusof akan ditamatkan jawatannya dan tempatnya digantikan dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetapi, desas-desus ini senyap begitu sahaja apabila, beberapa kes saman peneroka terhadap Felda berjaya.

Ahmad sebenarnya patut bangun memberi penjelasan di hari terakhir perhimpunan. Sindiran perwakilan Wanita yang menyentuh Felda dan beberapa agensi dan GLC nampaknya tidak mendapat respon yang baik dari pihak tertentu. Ahmad, selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda sebenarnya sedang digigit dan digugat sekarang ini. Dia tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. 

Walaupun, kali pertama Felda kalah bicara, mereka mengatakan peguam yang mewakili Felda tidak hadir bicara, bagaimana pula dengan beberapa kes lain, yang peneroka menang bicara? Dr. Yusof Nor yang jarang muncul di TV, kini sudah pandai mencari publisiti. Mahu buat kolej melatih bakal pembantu rumah dijadikan fokus utama Felda sekarang.  

Dalam masa yang sama, Felda terpaksa membayar 'air time' kepada radio Kelasik Nasional untuk menyampaikan berita-berita Felda. Acap kali, akan ada peneroka-peneroka yang dijemput untuk memberi puji-pujian kepada Felda. 

Entah berapa jumlah Felda terpaksa bayar kepada RTM untuk slot ini, tidak pula diketahui tetapi pelbagai usaha mahu dibuat bagi memberi keyakinan kepada rakyat kononnya Felda teraniaya dek perbuatan segelintir peneroka.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda ialah Perdana Menteri sendiri. Tetapi, dalam tugas sehari-harian, Ahmadlah yang dipertanggungjawabkan. Malangnya, Ahmad tidak dapat membendung kehendak peneroka-peneroka yang merasakan mereka tidak mendapat hak mereka selama ini sebagai peneroka.

Selama ini, BN menyifatkan Felda adalah kawasan simpanan tetap mereka. Mereka percaya bahawa peneroka dan anak-anak peneroka tetap akan menyokong BN dalam pilihan raya kerana keyakinan kononnya Felda adalah hak kerajaan.

Namun, apabila ada pihak yang merasakan Felda sebenarnya 'neo kolonial' kepada sesetengah peneroka hingga mereka tampil untuk menyaman Felda, Najib dan Ahmad gelabah. Tentunya Dr. Yusof Nor juga gelabah disebabkan situasi yang tidak berpihak kepada mereka.

Bukan itu sahaja, jika Felda berjaya disaman, agensi yang seakan-akan Felda, Felcra juga menanti masa sahaja untuk diheret ke muka pengadilan. Peneroka dan peserta Felcra sudah nampak tindakan rakan-rakan mereka di Gugusan Raja Alias di Jempol dan Tanah Merah, beroleh kejayaan.

Perkembangan ini cukup merisaukan. Felda yang selama ini, sukar ditegur, kini sudah diserang kiri dan kanan. Malahan, isu penubuhan team bola Felda United dan pembinaan bangunan Felda oleh Kumpulan Naza juga menjadi isu yang cukup sukar dijawab.

Sepatutnya dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, Ahmad atau Najib sendiri boleh menggunakan platform tersebut untuk membuat penjelasan isu Felda.  Atau, jika mereka mempunyai hujah, boleh sahaja isu ini ditanam untuk menjadi bahan ucapan perwakilan.

Sekurang-kurangnya, mereka berdua boleh menjawab untuk membersihkan nama baik Felda. Malangnya, mereka sendiri, barangkali sudah tidak ada hujah yang mampu mereka luahkan bagi memberi jawapan terhadap apa yang dipertikaikan. Banyak agensi kerajaan kini, menjadi tempat bekas menteri mencari makan. Jawatan pengerusi seperti diwujudkan hanya untuk menteri mendapat ofis selepas tidak lagi dilantik. 

Antaranya, Shahrir Samad dilantik menjadi pengerusi satu agensi berkaitan kelapa sawit, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (Risda), Dato' Seri Ir Mohamad Zin Mohamad (KTMB), Tan Sri Syed Hamid Albar (SPAD), Tajol Rosli Ghazali (Air) dan ramai lagi.

Bagaimana akhirnya Felda di tangan PM dan Ahmad, hanya masa yang akan menentukan. Sekiranya, ada lagi peneroka bertindak mahu menyaman Felda, tiada siapa yang dapat menahannya. Yang lebih penting, BN sudah mula resah untuk menghadapi pilihan raya akan datang, kerana tahu, Felda yang selama ini dianggap sebagai 'simpanan tetap' sudah berubah.

Perubahan ini berlaku kerana semakin ramai peneroka yang sedar bahawa mereka seperti dijajah dalam bentuk penjajahan moden atau neo colonial. Itu mungkin anggapan mereka dan hanya mahkamah yang akan menentukan sama ada kes atau tidak setiap kali saman difailkan. - SAFAR JUMAAT

Isnin, November 08, 2010

10 ekor sudah dicapai: PAS Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah anjur korban

KUALA LUMPUR: Hanya empat atau lima hari sahaja lagi, PAS Kawasan Batu akan menutup penyertaan ibadah korban anjurannya kepada ummat Islam. Bagaimanapun, sebarang penyertaan masih dibuka sehingga 12 Nov ini bagi membolehkan mereka menyertai ibadah ini.

PAS Kawasan Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah mempelawa umat Islam di negara ini untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan harga hanya RM320 untuk satu bahagian.

Demikian dimaklumkan Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin yang mengalu-ngalukan sesiapa yang berminat untuk menyertainya bolehlah menghubungi atau SMS beliau pada talian 019-2310109 (Bendahari-Hj Rosden Yassin) bagi tujuan pendaftaran atau mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, harga tersebut adalah yang termurah berbanding kadar biasa RM350 malah ada yang mencecah RM400 untuk satu bahagian. Bayaran hendaklah dimasukkan ke akaun PAS Kawasan Batu (12113010000551).

Tarikh tutup penyertaan selewat-lewatnya 12 November ini bagi memudahkan urusan. Nyatakan jumlah wang yang dimasukkan beserta maklumat lanjut peserta yang terlibat - nama, nombor kad pengenalan, emel atau no telefon untuk tujuan audit.

Sebelum ini PAS Kawasan Batu mensasarkan 50 ekor lembu untuk sambutan Korban Perdana Aidiladha 2010 dengan memperkenalkan Skim Ansuran Mudah Korban 2010 atau 'SAMIK2010' kepada ahli-ahli dan orang ramai yang ingin melakukan ibadat tersebut.

Bagaimanapun percubaan kali pertama ini agak lembab sambutannya. Sasaran hanya 10 ekor baru dicapai. Anda yang berminat boleh hantarkan penyertaan segera melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada talian 019-2310109 untuk direkodkan.

Keterangan lanjut hubungi Yang Dipertua, Haji Ishak Surin (013-3291966) Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abd Rahman (019-3648805) Naib Yang Dipertua, Tarmizi Mohd Jam (019-2051419) Setiausaha, Haji Ismail Yahya (013-3847899) dan Bendahari, Haji Rosden Yassin (019-2310109).

Penarikbeca menajam pena, hentak PAS: PAS, please dont tag along idiotically


Penarik Beca menulis agak menusuk juga dalam postingnya. Mengulas tentang kekalahan PAS di galas >> Dalam postingnya bertajuk "Setelah Galas, jangan malas," Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyatakan: Maka persoalan yang harus di pertimbangkan oleh Mustapha ialah adakah puak Umno sanggup mengulangi cara kempen di Galas? Apakah cara kempennya? Cara yang lebih subdued dan muted.

Bernama pula melaporkan, strategi kempen oleh Tengku Razaleigh berjaya mengelak bandar Gua Musang dilanda kesesakan lalu lintas atau "jerit pekik" penceramah pada waktu malam (lihat mStar 29/10/11 "Penduduk suka kempen bersemuka di Galas").

Sambil menghormati dan mengakui kejayaan strategi Ku Li itu, saya bimbang selepas ini pakar-pakar strategi yang tidak strategik serta pakar-pakar taktik yang tidak taktikal di dalam PAS akan menjadi ghairah terlampau untuk mempamerkan kehebatan taktik dan strategi mereka lalu mencadangkan supaya parti itu meniru secara bongok apa yang dilakukan oleh Ku Li.

"Ana nampak tak kena dah cara kita sekarang. Ceramah-ceramah ni tak ada kesan. Betul dia orang kata, bising tengah-tengah malam, jalan sesak... Ana nampak apa yang Ku Li buat di Galas lebih berkesan".

Adoi la! Bimbang sungguh aku kalau ada Mamat tongong yang cakap macam tu dan ketongongan itu pula dianggukkan dengan penuh bangang oleh kawan-kawannya.

Assalamu'alaikum ya akhi mukhtaram! Umno dan Barisan Nasional (BN) memang tak payah buat ceramah sebab depa hari-hari ceramah dalam rumah hampir semua pengundi. TV hari-hari ceramah (kesian orang yang bayar kat Awani untuk dipropaganda dan dibiulkan supaya menyokong BN), radio hari-hari ceramah, Utusan Malaysia, Berita Harian, apa menatang surat khabar harian pun hari-hari berkempen untuk BN.

Jangankan semua itu. Dalam blog cikai aku ni pun puak-puak Umno dok berkempen sakan dalam ruangan komen. Dulu aku pernah tekan reject sebab aku fikir hampa dah ada segala macam media dah, takkan dalam blog cikai ni pun hampa nak menyalak jugak. Tapi fikir-fikir, lantak pi lah. Yang saya click spam la ni hanyalah komen-komen yang membusukkan nama Islam yang ditulis oleh orang Islam sendiri.

Yang saya nak habaqnya, Umno BN terlalu mewah dengan pelbagai media. Buat ceramah pun buat rugi bateri ja, orang bukan datang sangat pun. Bila ceramah Umno orang tak ramai, puak-puak pembangkang pun mengejek-ejek. Tengok-tengok bila keluar keputusan, BN menang. Ambik habuan!

Ketika ceramah tetap menjadi medium pembangkang untuk membina mood rakyat, ketika pembangkang tidak mewah dengan pelbagai media, bayangkan jika tiba-tiba pakar strategi PAS mahu menjadi kucing peniru kepada apa yang dilakukan oleh Ku Li itu. Saya teringat ayat yang ditulis oleh A Voice - Dumb PAS are just tagging along idiotically.

Saya dah tak larat nak tengok para pemimpin PAS tak serik-serik menjadi tukang mengekor. Di Kuala Lumpur, Presiden PAS dan beberapa tukang kipasnya mengekori ajaran sesat bekas Ketua Staf Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar. Khabarnya sampai sekarang (itu fitnah ~penarik beca!) Di Ipoh dahulu, Haji Mohammad Nizar Jamaluddin tak puas-puas menjadi pak yet Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming sehingga memaksa saya menulis apa yang saya tulis sebagai "Perjanjian Pangkor II".

Sudah-sudahlah menjadi pak yet orang! Sudah sampai masanya para pemimpin PAS memikirkan apakah X Factor yang boleh membina mood dan sentimen umum untuk menolak Umno BN. X Factor yang baru amat diperlukan. Mengulang-ulang X Factor yang lama seperti percubaan untuk mewujudkan Bersih II tidak akan menarik perhatian rakyat.

Sambil mengakui kehebatan jentera amat diperlukan (saya difahamkan jentera pilihan raya PAS yang paling strategik dan efficient selepas pilihan raya umum 2008 ialah jentera dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu - ia patut diulangi), pembinaan mood dan sentimen rakyat amat penting. Tanpa mood dan sentimen yang digelombangkan seperti tahun 1990, 1999 dan 2008, PAS akan tertungging hangit seperti kecundangnya Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Cik Gu Mohd Zain Abdullah di Bachok pada pilihan raya umum 1986 . - Penarikbeca

Galas saksikan kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN


Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. 

Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil - Wan Nik Wan Yussof

Bukan dalih baru: PAS terpaksa berdepan agensi Kerajaan Pusat sebagai jentera Umno-BN


Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. 

Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. 

Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas. - Wan Nik Wan Yussof

Benarkah pengaruh Arwah Che Hashim atasi Dr. Zulkefli Muhamed di Galas?


Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS.

Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. 

Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. 

Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. 

Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010) - Wan Nik Wan Yussof

Kalah p'raya tak bermakna perjuangan tak benar - Presiden PAS


SAYA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jentera PAS di semua peringkat, ahli-ahli yang membantu daripada segi tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi pilihan raya kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Begitu juga dengan jentera Pakatan Rakyat, DAP dan PKR yang tidak penat membantu dalam keadaan kita berhadapan serangan dahsyat jentera lawan. Walaupun kita menghadapi kekalahan di kedua kerusi ini, namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang menentang kebatilan BN di masa hadapan.

Apapun pilihan raya ini telah membuktikan kepada rakyat keteguhan Pakatan Rakyat dalam berhadapan dengan usaha musuh hendak memecahbelahkan Pakatan. Kekalahan bukan bermakna perjuangan kita suatu yang tidak benar, sebaliknya lawan kita menguasai segala jentera kerajaan dan berjaya memanipulasi keadaan sehingga mereka beroleh kemenangan.

Namun kita tidak menolak untuk mengkaji segala kelemahan di pihak kita yang perlu diberi perhatian. Semoga ia akan menjadi lonjakan kepada kita bagi berhadapan dengan pilihan raya lebih besar tidak lama lagi.

Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PAS dan Pakatan Rakyat, para penyumbang wang ringgit dan tenaga, pengundi-pengundi yang setia mengundi Pakatan, semoga usaha tuan-tuan akan diberkati Allah SWT.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 
Presiden PAS

Undi Melayu kembali ke UMNO: Dilema PAS mengejar undi Melayu dari tangan Umno?


Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), untuk satu jangka yang agak panjang selepas PRU ke-12.  Situasi ini dapat diperlihatkan apabila PR memenangi dua PRK selepas PRU ke-12, iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada 7 April 2009.  Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Najib Razak yang baru mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan, memandangkan dua PRK yang berlangsung serentak, iaitu Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) kekal dalam genggaman PR.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam PRK Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009.  Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui UMNO-BN apabila tewas sekali lagi di PRK Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Bagaimanapun, UMNO-BN hampir mengecapi kemenangan dalam PRK Manek Urai pada Julai 2009, apabila berjaya menghakis undi majoriti PAS dari 1,352 ke 65 undi, tetapi tetap gagal untuk menembusi kubu PAS.  BN hanya berjaya menikmati manisan kemenangan pertamanya di Semenanjung Malaysia, melalui Mohd Isa Samad apabila mempertahankan DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar pada Oktober 2009.

Sejak itu UMNO-BN kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah balik ke pangkuan UMNO.  Dakwaan ini diperkukuhkan apabila BN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor dari PKR-PR, pada April 2010.  Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama, apabila DAP-PR mencipta keajaiban dengan merobohkan kubu BN di Sibu, Sarawak sebulan kemudian.

Kini, BN berjaya merampas DUN Galas, sementara mempertahankan Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar.  Keputusan ini sekurang-kurangnya melegakan BN di Sabah, sementara merunsingkan PR di Semenanjung Malaysia.  Kemenangan BN pada malam ini lantas mengundang spekulasi bahawa pilihan raya umum kilat mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. - MERDEKA REVIEW

BN kini merapatkan jurang dengan 5-8: Apakah petanda BN sudah bangkit semula?


Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar, sementara merampas kerusi DUN Galas dari PAS-Pakatan Rakyat, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada hari ini.  Kemenangan 2-0 ini semestinya memberangsangkan pemimpin dan penyokong BN, setelah sekian lama diselubungi kesuraman sejak dilanda "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Malah, kemenangan BN ini berjaya memperbaharui rekod pertarungan antara BN dengan PR kepada 5-8, dalam 13 PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12.

Di Batu Sapi, calon PBS-BN, Linda Tsen Thau Lin meraih 9,773 undi, menang dengan majoriti 6,359 undi.  Ansari Abdullah dari PKR memperolehi 3,414 undi, mengatasi calon SAPP Yong Teck Lee yang hanya mendapat 2,031 undi.  Bagaimanapun, jumlah undi Ansari Abdullah dengan Yong Teck Lee hanya 5,445 undi, iaitu 914 undi lebih kurang daripada undi majoriti.  Di samping itu, terdapat 372 undi rosak mengikut perkiraan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Jumlah pengundi berdaftar Batu Sapi adalah 25,582 orang, terdiri daripada 15,099 orang bumiputera Islam (59.02%), 689 orang bumiputera (2.69%), 9,737 orang Cina (38.06%) dan kaum lain 57 orang atau 0.22%.  Peratus mengundi pada hari ini mencatat 61.47%, atau 15, 774 orang, agak dekat dengan 61.45% pada PRU ke-12.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, 61.45% pengundi tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.  Edmund Chong Ket Wah dari BN meraih 9,479 undi, mengalahkan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.  Mendiang Edmund Chong meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 9 Oktober 2010.

Sementara di Galas, calon UMNO-BN Abdul Aziz Yusoff memperolehi 5,324 undi, menewaskan calon PAS-PR Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi.  Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, Allahyarham Chek Hashim Sulaima (PAS) berjaya meraih 4,399 undi, menewaskan Saufi Deraman (UMNO-BN) dengan majoriti 646 undi.  Allahyarham Chek Hashim Sulaima meninggal dunia pada 27 September 2010, memberi laluan kepada PRK ke-12 selepas PRU ke-12.

Di Galas, jumlah pengundi berdaftar seramai 11,553 orang, terdiri daripada 7,125 orang Melayu (61.67%), 2,317 orang Cina (20.06%), 1,839 orang asli (16.35%), 185 orang India (1.6%), 10 orang bumiputera Sarawak (0.09%) dan kaum lain-lain 27 orang atau 0.23%).  Peratus mengundi adalah setinggi 83%, iaitu 2% lebih tinggi daripada PRU ke-12.

Menurut perkiraan DAP, undi Cina yang diperolehi PAS menurun kira-kira 2% hingga 3.5%.  Malah, undi yang diperolehi PAS jelas berkurang berbanding PRU ke-12, seandainya dibaca dari perbezaan antara menang dengan majoriti 646 undi, dengan kalah 1,190 undi - membawa kepada kehilangan 1,836 undi, mengikut perkiraan kasar. - MERDEKA REVIEW

Rabu, November 03, 2010

PRK Dun Galas >> Dimensi politik Najibnomics

Jika diteliti belanjawan 2011, keunikan Najibnomics menonjol sekali dengan belanja besar, projek besar dan peruntukan besar JPM.  Sesungguhnya, dimensi politik ala Mahathir juga mencorakkan pemerintahan Najib.  Najibnomics terserlah dengan legasi politik Mahathirisme yang negatif.

Politik populis yang mendominasi pembentangan Belanjawan 2011 tidak lain tidak bukan tujuannya untuk meraih sokongan jutaan pengundi tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan sistem ekonomi kemudiannya.  Defisit yang terpaksa ditanggung hampir satu setengah dekad terus membengkak akibat projek mega yang tidak strategik mengikut keperluan politik "Kerajaan Besar Nafsu". 

Seterusnya, rakyat yang terus terpinggir dari arus dasar pembangunan mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap "Kerajaan Besar Nafsu". Institusi kerajaan yang terlibat dalam gejala kronisme yang berasaskan politik naungan (patronage politics) dan budaya rent-seeking di Malaysia berlaku sejak era pemerintahan Mahathir lagi. 

Rosaknya sistem kehakiman, perundangan dan eksekutif akibat daripada perlanggaran hukum pengasingan kuasa ternyata membawa padah politik dan ekonomi negara.  Rakyat pula terus dicengkam dengan pelbagai tekanan dan intimidasi daripada kerajaan. 

Keseluruhan jentera; polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya digunakan sepenuhnya untuk mencapai penguasaan secara total ke atas kehidupan rakyat jelata.

Daripada era Mahathirisme kepada Najibnomics, percubaan penguasaan hegemoni secara total dilakukan secara berterusan.  Jika hari ini disuapkan dengan janji manis pendapatan tinggi dan gaji minimum, keesokan hari disuapkan pula dengan penekanan kebebasan media. 

Jika hari ini disuapkan dengan projek mega yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan, keesokan hari disuapkan pula dengan berita Wartawan Malaysiakini dihalau keluar dari Persidangan Umno. Tatkala rakyat dibuai dengan kehidupan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kebebasan ala Mahathir dijadikan rujukan utama Najib untuk menekan pembangkang, media alternatif serta gerakan massa! 
Najib secara terang-terangan menawarkan sejumlah wang kepada rakyat Sibu sewaktu pilihan raya kecil Sibu pada bulan Mei lalu.  Kartunis Zunar menjadi mangsa ketidakadilan gara-gara menulis kisah satira politik Najib dan isteri.

Sejauh manakah kebebasan yang dikatakan oleh Mahathir dan Najib menjadi praktis di Malaysia?  Bukankah Perlembagaan Persekutuan dan kehakiman sepatutnya menentukan semak dan imbang (check and balance) kuasa eksekutif daripada melanggar prinsip negara hukum? 

Bagi Mahathir dan Najib, isu keadilan sosial dan demokrasi bukanlah keutamaan pemerintahannya.  Malahan, tiada pun "NKRA" untuk keadilan sosial dan tiada pun usaha untuk mengembalikan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam kenyataan (http://kpru2010.wordpress.com/ 2010/10/01/ laksanakan-bidang-politik-utama-negara-nkpa-serentak-dengan-bidang-ekonomi-utama-negara-nkea/) yang lepas, KPRU pernah mencadangkan lima Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. 

Apakah tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh "Kerajaan Besar Nafsu" bertunjangkan Najibnomics?  Apakah pembaharuan dimensi ekonomi ala Najib dapat dilakukan tanpa pembaharuan dimensi politik? - KPRU

PRK Dun Galas >> Menatap kroni besar acuan Najibnomics

Amalan kronisme dengan kroni-kroni besar memang jelas dalam kedua-dua pentadbiran baik Mahathir ataupun Najib.  Sistem ekonomi yang dikawal secara langsung dengan tahap penglibatan kerajaan yang keterlaluan merupakan faktor mengapa kronisme dan rasuah berleluasa di Malaysia.
Rakyat telah menyaksikan bagaimana banyak syarikat besar negara telah diselamatkan oleh kerajaan atas alasan menyelamatkan pekerjaan.  Atas mitos "JPM Besar" dan tahu segalanya, keuntungan diswastakan manakala kerugian dinasionalisasikan.

Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Simon Johnson dan Todd Minton menyimpulkan bahawa kronisme meningkat selaras dengan kawalan modal dan membuktikan bahawa hanya firma atau syarikat yang berkaitan dengan Mahathir mengalami kenaikan harga saham sejurus krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 (Simon Johnson and Todd Mitton, "Cronyism and Capital Controls: Evidence from Malaysia", Journal of Financial Economics, Vol. 67, No. 2 (February 2003), pp. 351–382).

Jika diimbas kembali era Mahathirisme berpandukan buku Barry Wain (gambar kiri), senarai yang disyaki mengandungi elemen skandal atau elemen kontroversi lain cukup besar saiznya secara total dan secara anggaran. 

Contohnya, Mahathir pernah menyelamatkan syarikat Perwaja Steel daripada kerugian RM10 bilion.  Masih ingat isu penyelamatan UEM?  Masih ingat isu penyelamatan Renong menggunakan dana EPF?

Sementara "Kerajaan Besar Nafsu" berhujah kuat mengenai pendapatan tinggi, amalan kroni besar membawa implikasi sebaliknya di mana yang berusaha dan bekerja dengan gigih terhukum kerana tidak mempunyai pertalian politik kepada kerajaan dan parti politik. 

Justeru, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana. Sistem kapitalis dipersalahkan manakala demokrasi terpimpin ala Mahathir disanjung tinggi oleh Najib berikutan penjelmaan legasi negatif Mahathirisme dalam acuan terkini yang bernama Najibnomics. - KPRU

PRK Dun Galas >> Era JPM bersaiz besar bermula

Ungkapan era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir menimbulkan tanda tanya dalam benak fikiran rakyat.  Sekiranya benar dakwaan Najib bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir, nampaknya era "JPM Besar" dan tahu segalanya sedang bermula dengan hebatnya!

Mengapakah dikatakan demikian?  Hal ini kerana apabila perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berkembang sebanyak 33% sejak tahun 2007, perbelanjaan JPM melonjak sebanyak 130% dalam tempoh yang sama. 
Akibat pemusatan kuasa JPM, sekarang lebih 50 buah agensi terletak di bawah kendaliannya dan masih ditokok tambah tanpa segan dan sekatan.  UNIK bukanlah agensi terakhir.  UNIK bukanlah sesuatu yang unik.

Agensi-agensi penting yang sewajarnya bertanggungjawab kepada Parlimen seperti Petronas dianaktirikan kepada JPM atau lebih tepat Perdana Menteri. 

Lebih menghairankan, apakah rasionalnya meletakkan Biro Tatanegara (BTN) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah JPM? 

Malahan, Perdana Menteri sendiri turut menyelia 1MDB dan Ekuinas seolah-olah beliau sahajalah yang mengetahui segala-galanya.

Langkah tersebut mirip penekanan seorang filasuf Perancis, Alexis de Tocqueville yang pernah menulis "A central power, however enlightened and wise imagines it to be, can never be alone foresee all the details of the life of a great nation. Such a task exceeds human strength" (Democracy in America, Volume 1 http://www.fullbooks. com/Democracy-In-America- Volume-13.html) - KPRU

PRK Dun Galas >> Kerajaan bernafsu besar sifat Najibnomics

Belanjawan 2011 bukan sahaja memberi keutamaan kepada projek mega, malahan pemimpin "Kerajaan Besar Nafsu" mempunyai kecenderungan untuk mengagumi projek pembinaan infrastruktur besar-besaran sebagai warisan kepimpinannya. 

Menara Berkembar Petronas umpamanya disifatkan sebagai simbol kemegahan negara dan monumen kepada semangat "Malaysia Boleh". 

Tidak sampai dua tahun berkuasa, Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion diperkenalkan oleh Najib kepada rakyat jelata sebagai satu lagi kononnya mercu kebanggaan negara dan mendatangkan kesan limpahan ekonomi yang besar.

Daripada Mahathirisme kepada Najibnomics, saiz menjadi ukiran pencapaian agenda transformasi ekonomi negara.  Alasan Najib untuk mempertahankan pembinaan Warisan Merdeka juga tiada bezanya dengan alasan penyokong Mahathirisme iaitu semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah keuntungan yang diperolehi. 

Realitinya, semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah tanggungan kerugian yang bakal dipikul oleh kerajaan.  Apa yang dikesali, Najib didapati obses kepada teori ekonomi firaun Mahathir. - KPRU

PRK Dun Galas >> Belanjawan 2011 acuan Najibnomics dan Mahathirisme

APA yang unik (bukan UNIK) sangat dengan Belanjawan 2011?  Kita tak perlukan kaca mata 3-D, kaca mata 2-D sudah memadai untuk mengupas kulit Belanjawan sehinggalah saraf-sarafnya - sebelah kiri warna Mahathirisme, sebelah kanan warna Najibnomics. 

Legasi Mahathirisme tergolong kepada yang positif dan yang negatif. Tetapi yang diwarisi Najibnomics setakat ini hanyalah legasi negatif malahan dibesar-besarkan skalanya sehingga menjangkaui pencapaian legasi negatif Mahathirisme.

Meskipun begitu, pemimpin "Kerajaan Besar Nafsu" masih tersenyum dengan pencapaian sebegitu negatif sedemikian besar dan penuh dengan khayalan sehingga hendaklah dibina Menara Warisan Merdeka yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan.

Dasar Mahathirisme masih bersarang kuat dalam kotak pemikiran Najib Razak.  Segala-galanya besar; perbelanjaan besar, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terlalu berkuasa dan pelancaran projek-projek mewahnya jelas berniat untuk menanamkan legasi pemerintahannya seperti Mahathir. 

Berbilion-bilion ringgit wang rakyat dipergunakan sewenang-wenangnya demi memuaskan nafsu tamak, haloba, serta cita-cita peribadinya.

Sebilangan kecil elit dalam rangkaian politik perniagaan disandarkan harapan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang terbukti telah merosakkan struktur ekonomi sejak era pemerintahan Mahathir. 

Hasrat Najib dalam mentransformasikan ekonomi politik negara sehingga digelar sekumpulan pengkaji Universiti Harvard sebagai Najibnomics (The Star, Harvard Business School to study Najibnomics, September 25, 2009 http://biz.thestar.com.my/news/story.asp? file=/2009/9/25/ business/20090925134657 &sec=business) rupa-rupanya lanjutan kepada episod besarnya Mahathirisme. - KPRU