Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan ETP yang sedang dipergiatkan Perdana Menteri sebagai "economy pumping", dakwa Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan kepada Harakah.
Katanya, "melompat" seketika tahap perolehan kasar negara dengan projek Hub Hiburan ini dan kemudiannya ia akan terhentak ke bawah dengan mengeluarkan kos yang banyak untuk menangani kesan langsung dan tidak langsung dari industri nafsu, sedang ia boleh di elak sejak awal lagi.
Menurut Ustaz Nasruddin, ini langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat kerana ia mundur ke belakang serta dilihat sebagai usaha untuk men'jahiliyyah'kan negara. Dakwanya, pertambahan pusat hiburan dan konsert artis yang sedia ada jelas tidak terkawal dan ia antara penyumbang besar kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi kita.
"Di situlah berpusatnya segala aktiviti mungkar dan gaya hidup yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, seks bebas, pil ectasy, khayal, mabuk dan sebagainya.
"Implikasi dari fenomena ini lahirlah jenayah samun, ragut, rompak, rogol, buang bayi, bunuh dan sebagainya. Akhirnya kerajaan terpaksa pula membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mempromosi gaya hidup sihat, menangani penyakit aids dan hiv, kos merawat pesakit, belanja tahanan dan sebagainya," tegas beliau.
Jelas Ustaz Nasruddin, lebih malang langkah kerajaan ini dilihat sia-sia kerana membangunkan material kemudiannya meruntuhkan pembangunan modal insan.
Negara memerlukan modal insan yang berkualiti untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju pada masa hadapan dan kos membangunkan semula modal insan yang diruntuhkan ini tentu sahaja memerlukan kadar yang tinggi pula, katanya.
"Akhirnya kerajaan hanya buat kerja-kerja bodoh dan sia-sia iaitu korek lubang kemudian timbusnya kembali.
"Selayaknya kerajaan memiliki acuan sendiri dalam membangunkan negara dan menjana pertumbuhan ekonominya tanpa meniru dan terpengaruh dengan negara-negara barat," tegasnya. Justeru Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi maka wajarlah syariat Islam dijadikan asas dan acuan pembangunan dengan "membangun bersama Islam".
"Masih banyak sektor dan industri lain yang boleh memacu ekonomi negara, kenapa industri mungkar juga yang dipilih?" soal beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan