KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, November 08, 2010

Undi Melayu kembali ke UMNO: Dilema PAS mengejar undi Melayu dari tangan Umno?


Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), untuk satu jangka yang agak panjang selepas PRU ke-12.  Situasi ini dapat diperlihatkan apabila PR memenangi dua PRK selepas PRU ke-12, iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada 7 April 2009.  Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Najib Razak yang baru mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan, memandangkan dua PRK yang berlangsung serentak, iaitu Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) kekal dalam genggaman PR.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam PRK Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009.  Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui UMNO-BN apabila tewas sekali lagi di PRK Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Bagaimanapun, UMNO-BN hampir mengecapi kemenangan dalam PRK Manek Urai pada Julai 2009, apabila berjaya menghakis undi majoriti PAS dari 1,352 ke 65 undi, tetapi tetap gagal untuk menembusi kubu PAS.  BN hanya berjaya menikmati manisan kemenangan pertamanya di Semenanjung Malaysia, melalui Mohd Isa Samad apabila mempertahankan DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar pada Oktober 2009.

Sejak itu UMNO-BN kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah balik ke pangkuan UMNO.  Dakwaan ini diperkukuhkan apabila BN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor dari PKR-PR, pada April 2010.  Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama, apabila DAP-PR mencipta keajaiban dengan merobohkan kubu BN di Sibu, Sarawak sebulan kemudian.

Kini, BN berjaya merampas DUN Galas, sementara mempertahankan Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar.  Keputusan ini sekurang-kurangnya melegakan BN di Sabah, sementara merunsingkan PR di Semenanjung Malaysia.  Kemenangan BN pada malam ini lantas mengundang spekulasi bahawa pilihan raya umum kilat mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. - MERDEKA REVIEW

Tiada ulasan: