KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 17, 2011

Pemain media baru, konvensional jangan abai kredibiliti informasi




Minat ahli-ahli PAS untuk menulis dan melapor makin meluas. Sehari suntuk saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman mengemudi Kursus Kewartawanan & Pemberitaan peringkat negeri Perak, pada Ahad, 23 Oktober lalu.

Respons mereka menerujakan. Mereka terdiri daripada anak-anak muda yang ligat menjadi pemain media baru dalam padang facebook dan blog. Kursus sehari itu, diyakini telah membetulkan cara penulisan berita mereka, agar informasi lebih tepat, berkualiti dan berkredibili.

Ini penting kerana mereka memiliki media di hujung jari. Tidak seperti 10 tahun lalu. Pelbagai laman sosial, twit, blog dan portal berita upaya dibina dan diisi di mana sahaja. Di sinilah mereka memuntahkan informasi ikut acuan sendiri. 

Terima kasih saya kalungkan kepada Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Al-Amin Endut yang membuka langkah dan memberi peluang kepada mereka membina kualiti dan kredibiliti dalam berinformasi. 

Itu bukan untuk Harakah semata-mata, tetapi medium baru yang lain termasuk facebook, blog, portal berita dan buletin bercetak.

Dan inilah yang sangat dikehendaki Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Mereka mahu pemberita, blogger dan facebooker PAS menulis dengan berhemah dan ada kredibiliti agar kualiti informasi boleh dipercayai.

Pada hemat saya, kursus sebegini patut diadakan di setiap negeri. Ia sudah tentu menjadi anjakan penting kepada Persidangan ICT & Media Baru PAS Pusat, yang dilangsungkan pada Sabtu, 22 Oktober lalu di Kuizm, Kuala Lumpur. 

Penggunaan pelbagai aplikasi canggih dalam dunia teknologi maklumat tidak memberi impak jika informasi tidak tepat, sarat dengan unsur fitnah dan herotan keadilan, yang sudah tentu ia tiada kredibiliti.

Lajnah Penerangan PAS negeri-negeri wajar mengambil inisiatif ini. Belum terlambat lagi untuk membekalkan kemahiran menulis berita dan artikel mengikut standard sebenar. Tanpa pengetahuan ini, informasi yang ditulis akan dilihat "sampah" oleh pembaca kerana tidak berkualiti dan tiada kredibiliti.

Dan sudah tentulah, media baru yang bergerak berganda dan pantas sebagai medium informasi, tidak lagi efisyen, jika berita atau artikel yang dipaparkan tidak berkredibiliti. 

Soal kredibiliti dalam apa jua sektor cukup dijulang, dan ketegasan dalam memilih dan merekodkan hadis Rasulullah SAW juga membuktikan kredibiliti dalam informasi menjadi praktikal sejagat.

Persiapan utama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak memadai dengan pelbagai aplikasi canggih teknologi maklumat. Ia mesti diisi dengan informasi berkualiti dan berkredibiliti, walaupun pihak musuh mendominasikan internet dan media konvensional dengan laporan fitnah dan berat sebelah.

Pesanan Tok Guru Nik Aziz, agar setiap blogger serta pemain media baru perlu terus belajar dan belajar memberi signal kehendak jelas beliau, agar pelajaran yang ditimba akan mengukuhkan nilai informasi yang berkredibiliti.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang, kebanyakan blogger memaparkan berita yang tidak betul dan melemparkan fitnah. Seorang blogger, facebooker mesti ada sifat mulia. Jangan fitnah orang lain," pintanya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar.

Beliau juga mahu pemain media baru mengungguli teknik dan strategi untuk mengilas isu fitnah yang ditembak dengan menjulang nilai-nilai Islam, kerana ia juga dapat memberi impak tajam kepada pemfitnah dan pembaca.

Seperti Tok Guru Nik Aziz, Dato' Seri Presiden PAS juga mengingatkan setiap pemain media baru agar berfungsi menebarkan informasi berkualiti, dengan pelbagai cara terutama di kampung-kampung yang terpencil. 

Beliau juga mahu cara mengedarkan informasi dikenalpasti agar pengundi kampung dapat mengisar isu semasa dengan tepat. Selain memaparkannya pada laman sosial, twit, blog dan portal berita, usaha mencetak semula atau merekabentuk informasi dalam gaya buletin dan risalah bercetak patut dilakukan tanpa banyak alasan.

Hanya dengan cara ini, informasi tepat dapat dikisar oleh akal mereka untuk menujah segala kebobrokan fitnah dan adu domba Umno-BN baik dalam padang internet mahupun yang dijelirkan oleh media cetak dan elektronik.- tarmizi mohd jam

Tiada ulasan: