Sebenar apa yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2010, tidak banyak yang boleh diperbaiki kerana semuanya sudah disediakan dengan alasan yang direka, sekadar mahu melepaskan tengkok masing-masing dari kecaman.
Janji Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa kelemahan tujuh kementerian akan dibaiki, adalah janji yang juga merupakan alasan biasa, selepas sesuatu kelemahan didedahkan, tetapi kemudiannya, kelemahan ini (baca: kesalahan) akan berulang dan mungkin berulang dengan lebih teruk lagi.
Mohd Sidek akan bersara. Janjinya tidak boleh terpakai kepada Ketua Setiausaha Negara yang bakal menggantikannya. Perbelanjaan di semua kementerian berjalan setiap hari dan tiada sesiapa yang memantaunya!
"Saya tidak risau sangat bila Ketua Audit (Negara) beri pandangan sedemikian, saya risau jika masalah itu ada, tetapi Ketua Audit (Negara) tidak mahu beri pandangan," kata Mohd Sidek kepada pemberita baru-baru ini.
Memang betul, kenapa Mohd Sidek hendak risau? Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya dan beliau tidak perlu menjawabnya dalam Parlimen. Yang pastinya, semua kesalahan ini bolehlah dibebankan kepada Umno dan BN kerana komponen ini sebenarnya degil dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.
Apakah ada mana-mana dari kalangan Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita yang berani untuk bangkit mempersoalkan kelemahan ini? Apakah ada di kalangan pemimpin tertinggi Umno mahu menyerang kementerian yang didakwa berlaku kelemahan tersebut?
Ada berani? Atau takut lebih banyak lagi pendedahan yang selama ini ditutup dengan tudung saji akan terbuka pula?
Siapakah yang mengetuai Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi? Bukankah mereka ini dari kalangan Menteri-Menteri dari BN? Bukankah yang melantik mereka ini ialah Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno?
Begitu juga dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan kelemahan yang didedahkan ini termasuklah Kastam DiRaja Malaysia yang terletak di bawah Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri juga terletak di bawah kementerian yang sama, yang menterinya adalah Perdana Menteri dan Perbadanan Stadium Nasional yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Bak kata orang-orang tua-tua, nasi sudah menjadi bubur. Tak ada apa yang boleh diperbaiki lagi, kecuali janji supaya kelemahan ini tidak berulang. Itu sahaja. Duit yang sudah dibelanjakan, tidak akan dapat dikembalikan dan mereka ini berbelanja macam duit mereka sendiri, tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan dan berjimat.
Sebenarnya, apa yang berlaku ini bukan kali pertama. Ia pernah berlaku dan kini berulang. Mereka ini ada jawapannya. Tahun lalu, ada pendedahan dalam laporan audit mengatakan ada kenderaan yang diisi minyak sekaligus dalam jumlah besar yang tidak masuk akal.
Namun, jawapan yang diberikan kemudian, sebenarnya satu kad pemandu mengisi minyak untuk lebih dari sebuah kenderaan kerana pemandu lain terlupa membawa kad pengisian minyak. Memang alasan itu logik tetapi, apakah ia boleh dipercayai?
Bila Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dato' Seri Azmi Khalid berkata akan memanggil tujuh kementerian dan agensi kerajaan yang didapati melakukan kelemahan seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, ramai yang bertanya; "Apa yang boleh Azmi lakukan?"
Ramai juga yang mempersoalkan bagaimanakah Kementerian Pelajaran boleh membekalkan komputer ke 27 makmal komputer yang gagal disiapkan hingga menyebabkan komputer tersebut terus berada di dalam kotak tanpa digunakan?
Bayangkan hanya dua daripada 300 makmal sekolah harian di Sabah yang disiapkan. Apakah ini sesuatu yang boleh diterima dan kemudian dimaafkan begitu sahaja? Sebenarnya isu makmal komputer ini adalah isu lama yang sepatutnya mendedahkan pekong Umno yang memberikan projek-projek pembinaan makmal kepada kroni masing-masing.
Ini belum lagi didedahkan bagaimana keadaan komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah itu sekarang dan syarikat mana yang dapat kontrak memperbaiki (maintanance). Khabarnya, semua komputer di sekolah-sekolah yang dibekalkan kerajaan sudah tidak boleh digunakan lagi.
Kalau sesiapa rajin membuka Laporan Audit Negara 2008, 2009 dan kini 2010, pastinya mereka akan bertemu dengan "ulangan-ulangan" ini yang akhirnya, kerajaan terpaksa membenarkan perbelajaan boros dan tidak berhemah ini.
Alangkah terkejutnya apabila Ketua Audit Negara mendedahkan hutang kerajaan sekarang ialah RM407 bilion dan kelewatan mengeluarkan Laporan Audit negara 2010 ini kerana mahu disertakan dengan jawapan dari pihak kementerian yang terlibat dengan 'kelemahan'.
Sama ada mereka sedar atau tidak, kelewatan memberikan laporan audit ini sudah tidak memathui Peraturan Mesyuarat 20 (1) di mana Dewan Rakyat, Speaker dan Ahli Parlimen mesti dibekalkan dengan laporan itu ketika Belanjawan berlangsung.
Tidak hairanlah kalau ada pihak yang mendakwa, kelewatan itu merupakan strategi Barisan Nasional untuk mengelak laporan tersebut dibahaskan dan berniat menyorokan maklumat kandungan laporan tersebut.
Jika rakyat mengikuti perkemabngan ini secara dekat, jangan terkejut jika mereka akan mengajar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kerana peluang sudah mereka berikan selama ini, namun kekuasan yang mereka ada terus menerus digunakan untuk mengayakan kroni dan melakukan penyelewengan.
Cerita pembelian 23 ekor kuda dengan kos RM5.66 juta juga tidak mudah untuk ditutup, walaupun pihak berkenaan mendakwa ia merupakan sesuatu yang baru dan tiada pakar kuda yang ada untuk menilainya.
Rupa-rupanya, bukan sahaja rakyat mahu diperbodohkan, menteri dan pegawai kementerian juga diperbodohkan oleh si penternak kuda hingga kuda yang dibeli tidak boleh digunakan. Mungkin kuda-kuda itu, jika masih muda boleh disembelih untuk diagih-agihkan dagingnya atau, dijual kepada pihak DBKL dan Tentera bagi tujuan rondaan dan hiasan.
Walaupun dari siasatan, ia tidak merupakan penyelewengan kerana harga 23 ekor kuda memang sepatutnya RM5.66 juta tetapi, dari segi moralnya, apakah pegawai yang terlibat dalam pembelian ini tidak boleh diturunkan pangkat menjadi penjaga kandang-kandang kuda?
Tahun ini, dan laporan yang bakal dikeluarkan tahun depan, apakah ketirisan baru ditemui? Atau, ada kelemahan lain di kementerian lain pula, selain agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam bakal mengisi laporan yang semakin tebal?
Khabarnya MARA, Jabatan Taman Laut Malaysia dan beberapa agensi lain turut memberi pendedahan tentang kelemahan termasuk membeli sepasang binokular marin dengan harga 29 kali ganda dari harga pasaran.
Ini mengingatkan orang ramai bagaimana MARA pernah membeli kerusi pejabat dengan harga yang mahal dalam laporan beberapa tahun dahulu dan Kementerian Belia dan Sukan membayar dengan harga yang tidak masuk akal terhadap pembelian sepana dan skru. - safar jumaat
1 ulasan:
Kena pandai bezakan kerajaan dan pegawai kerajaan yang rasuah dan meyeleweng. Yang rasuah tu pegawai kerajaan, bukannya kerajaan itu sendiri. Kalau Pas perintah pun, kakitangan kerajaan tu jugak. Jadi tindakan perlu diambil kpd. pegawai terlibat.
Catat Ulasan