KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 01, 2013

Cubaan bunuh, heret Zahid Hamidi ke muka pengadilan - Hanipa Maidin


Peguam Negara digesa mengheret Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Zahid Hamidi ke muka pengadilan, berhubung dakwaan serangan dan cubaan bunuh yang dilakukannya ke atas seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah dalam satu kejadian pada tahun 2006 lalu. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar) berkata, Peguam Negara diharap tidak mengamalkan budaya pendakwaan terpilih, terutama apabila melibatkan menteri atau pemimpin Umno-BN, memandangkan kuasa pendakwaan terletak di bawah Peguam Negara.

Katanya, Zahid mesti berehat daripada tugas beliau sehingga siasatan ke atasnya selesai, bagi mengelakkan konflik kepentingan dalam kes yang membabitkan dirinya. Hanipa berkata, oleh kerana Zahid seorang menteri, apabila ada satu tuduhan atau kes saman yang mempunyai asas, paling kurang beliau diminta untuk bersara atau lebih baik beliau sendiri meletakkan jawatan.

"Tapi kalau beliau rasa beliau sendiri nak pertahankan jawatan, beliau kena berehat dahulu seperti mana yang dilakukan oleh menteri-menteri Umno yang lain," kata Ahli Parlimen Sepang itu kepada Harakah

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh turut menggesa Peguam Negara mendakwa Zahid di mahkamah berhubung kes yang membabitkan ahli perniagaan itu yang juga anak guamnya. Menurutnya, dalam hubungan ini, tiada tempoh masa ditetapkan untuk Peguam Negara menjalankan pendakwaan itu.

"Jika anda melihat keadaan kecederaan Amir Bazli Abdullah dan laporan polis yang dibuat ke atas Zahid, orang akan tertanya-tanya mengapa tiada pendakwaan dijalankan. Ini menunjukkan sifat semulajadi di negara ini (tidak mengambil tindakan)," katanya.

Manakala, peguam Gobind Singh Deo pula menuntut penggantungan jawatan Zahid sebagai menteri sebelum saman tersebut didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang dijadualkan diadakan pada 26 Ogos nanti. Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh ahli perniagaan itu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel lima orang hakim, mengenepikan permohonan Zahid sebelum mendengar hujah dari peguam Zahid, Shamsul Bahrin. Hakim berkenaan mendapati alasan perundangan yang perlu dikemukakan ke mahkamah tidak dijalankan dengan sebaiknya kerana dibuat melalui hujahan dan bukannya dengan notis usul.

Katanya, pemohon tersebut tidak kehilangan peluang untuk melalui proses rayuan memandangkan kes tersebut masih belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. "Biarlah perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi," kata Hakim Md Raus dan menambah, kes lain yang sepatutnya berjalan akan terhalang sekiranya mahkamah membenarkan permohonan tersebut.

Faezatul Hasliana perlukan bantuan kewangan lanjut belajar ke Al-Azhar

Seorang pelajar lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan kepujian Mumtaz pada tahun lalu, Faezatul Hasliana Hasim dari Rawang merayu orang ramai bantuan kewangan bagi membiayai pengajian di di Universiti Al-Azhar, Mesir, September ini. Menurut Faezatul, anggaran perbelanjaan kos sara hidup dan yuran berjumlah RM40,000 sepanjang empat tahun pengajian beliau bagi Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah.

"Pendapatan keluarga saya terlalu kecil. Mak hanya kerani di syarikat swasta. Ayah saya pula uzur, sakit jantung. Gaji mak hanya boleh tampung keperluan asas kami sekeluarga. Adik-adik masih dibangku sekolah lagi. Kalau ada sesiapa yang boleh bantu saya, hanya Allah yang dapat membalasnya," ujar beliau kepada Harakah.

Sehubungan itu, orang ramai dan pembaca Harakah boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (No Akaun: 10130-41-00004331-4) atas nama "Faezatul Hasliana Hasim". Pertanyaan lanjut hubungi Faezatul pada talian 013-6446323.

Dakwat kekal: SPR dan Kerajaan BN "sama-sama pembohong" - Mohd Sabu


SPR dan pihak kerajaan kini sama-sama berbohong mengenai dakwat kekal, sehingga menyebabkan mereka mulai mencipta pembohongan baharu bagi menutup pembohongan yang dilakukan pada PRU13 lalu. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, daripada pembohongan itu, SPR ternyata telah melakukan pembohongan lebih besar, apabila Pengerusinya sendiri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengatakan dakwat kekal yang digunakan itu mengandungi silver nitrate. 

Katanya, terbaru, pada 27 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa dakwat kekal yang digunakan hanya mengandungi pewarna makanan dan bukannya bahan kimia silver nitrate.

Sebelum ini, Aziz dan Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan mendakwa dakwat kekal yang digunakan itu sememangnya mengandungi silver nitrate, tetapi kandungannya telah dikurangkan demi kesihatan para pengundi dan ia mungkin menjadi punca dakwat itu tidak boleh bertahan lama.

"Jadi sekarang cakap siapa yang betul? Semuanya telah berbohong. Pembohongan lebih besar telah dilakukan oleh SPR. Mereka sengaja mencipta pembohongan baharu untuk menutup pembohongan sebelum ini," katanya ketika dihubungi 26 Jun lalu.    

Mohamad berkata, cara yang mereka lakukan dengan orang itu menyalahkan orang ini dan orang ini pula menyalahkan orang itu untuk menutup pembohongan terang-terangan. Dengan perkembangan ini, ujarnya, Pakatan tetap konsisten menuntut agar SPR dirombak segera. Dedahnya lagi, sebelum ini, Pengerusi SPR juga mendakwa badan itu telah mendapat surat daripada Kementerian Kesihatan yang memberi amaran mengenai penggunaan silver nitrate yang berlebihan di dalam dakwat kekal yang boleh menyebabkan penyakit ginjal dan kanser.

Selepas itu, tegas beliau, Menteri Kesihatan sendiri, Dato' Seri Dr S Subramaniam menafikan kementeriannya tidak pernah mengeluarkan laporan kesihatan berkenaan hal itu. Malah, menurut Menteri Kesihatan lagi, tiada perbincangan antara SPR dengan pihaknya untuk mendapatkan laporan mengenai penggunaan dakwat kekal dari sudut perubatan. Mohamad terkejut dengan pendedahan terbaharu daripada Shahidan pada 27 Jun lalu mengenai jumlah kos dakwat kekal mencecah RM7.1 juta.

"Mengapa kosnya begitu tinggi? Sedangkan dakwat di negeri China hanya ratusan ribu ringgit sahaja," katanya. Sehubungan itu, PAS mendesak SPR mendedahkan nama syarikat yang yang membekalkan dakwat kekal pada PRU13 lalu, memandangkan dakwat yang dibekalkan itu bukan sahaja amat tinggi kosnya, tetapi juga tidak memenuhi fungsinya kerana dakwat tersebut langsung tidak kekal. 

Tengku Adnan pemimpin kelas tiga kata Prof Dr Mohamad Agus UKM

Isu penggunaan dakwat kekal tetapi tidak kekal adalah isu besar yang mesti dijawab oleh menteri terbabit dan SPR, tegas penganalisis politik Dato' Dr Mohammad Agus Yusoff pada laman Facebooknya. Beliau membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai pemimpin kelas ketiga apabila menteri itu memberi reaksi "Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti 'negara dunia ketiga' lain". 

Katanya, kenapa dibandingkan Malaysia dengan negara dunia ketiga yang lain, sedangkan darpada segi sistem pengundian, Malaysia ternyata masih jauh lebih mundur. 

"India dan Indonesia menggunakan dakwat kekal, tetapi tidak ada kecelakaan yang menimpa pengundi mereka. Sebaliknya yang berlaku ialah sistem pilihan raya mereka dilihat demokratik, adil dan memenuhi aspirasi rakyat. Itu yang kita mahu, satu pilihan raya yang telus dan ada integriti supaya tidak timbul kontroversi seperti sekarang ini," tegasnya.

Jika dibanding dengan negara maju pula, Mohammad Agus berkata, aia seperti "jauh panggang dari api" kerana sistem pilihan rayanya adil dan bebas dan pengurusan pilihan rayanya baik. "Mereka tak lagi gunakan dakwat kekal, tetapi gunakan sistem biometrik. Apakah kita mampu jadi seperti mereka atau telahpun mencapai tahap seperti mereka?" soal penysrah Sains Politik UKM itu.

Mohammad Agus turut mengsyorkan pada PRU akan datang, pihak SPR menggunakan mesin mengesan cap jari, selain dapat mengesahkan identiti pengundi, mesin ini juga secara automatiknya dapat menolak mereka yang cuba untuk mengundi dua kali. "Mengapa timbul persepsi pengundian dua kali? Ini kerana keraguan kepada senarai pengundi SPR? Bila SPR dapat selesaikan persepsi rakyat yang negatif ini?" tanya beliau lagi pada laman Facebooknya.