KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, November 03, 2010

PRK Dun Galas >> Dimensi politik Najibnomics

Jika diteliti belanjawan 2011, keunikan Najibnomics menonjol sekali dengan belanja besar, projek besar dan peruntukan besar JPM.  Sesungguhnya, dimensi politik ala Mahathir juga mencorakkan pemerintahan Najib.  Najibnomics terserlah dengan legasi politik Mahathirisme yang negatif.

Politik populis yang mendominasi pembentangan Belanjawan 2011 tidak lain tidak bukan tujuannya untuk meraih sokongan jutaan pengundi tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan sistem ekonomi kemudiannya.  Defisit yang terpaksa ditanggung hampir satu setengah dekad terus membengkak akibat projek mega yang tidak strategik mengikut keperluan politik "Kerajaan Besar Nafsu". 

Seterusnya, rakyat yang terus terpinggir dari arus dasar pembangunan mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap "Kerajaan Besar Nafsu". Institusi kerajaan yang terlibat dalam gejala kronisme yang berasaskan politik naungan (patronage politics) dan budaya rent-seeking di Malaysia berlaku sejak era pemerintahan Mahathir lagi. 

Rosaknya sistem kehakiman, perundangan dan eksekutif akibat daripada perlanggaran hukum pengasingan kuasa ternyata membawa padah politik dan ekonomi negara.  Rakyat pula terus dicengkam dengan pelbagai tekanan dan intimidasi daripada kerajaan. 

Keseluruhan jentera; polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya digunakan sepenuhnya untuk mencapai penguasaan secara total ke atas kehidupan rakyat jelata.

Daripada era Mahathirisme kepada Najibnomics, percubaan penguasaan hegemoni secara total dilakukan secara berterusan.  Jika hari ini disuapkan dengan janji manis pendapatan tinggi dan gaji minimum, keesokan hari disuapkan pula dengan penekanan kebebasan media. 

Jika hari ini disuapkan dengan projek mega yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan, keesokan hari disuapkan pula dengan berita Wartawan Malaysiakini dihalau keluar dari Persidangan Umno. Tatkala rakyat dibuai dengan kehidupan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kebebasan ala Mahathir dijadikan rujukan utama Najib untuk menekan pembangkang, media alternatif serta gerakan massa! 
Najib secara terang-terangan menawarkan sejumlah wang kepada rakyat Sibu sewaktu pilihan raya kecil Sibu pada bulan Mei lalu.  Kartunis Zunar menjadi mangsa ketidakadilan gara-gara menulis kisah satira politik Najib dan isteri.

Sejauh manakah kebebasan yang dikatakan oleh Mahathir dan Najib menjadi praktis di Malaysia?  Bukankah Perlembagaan Persekutuan dan kehakiman sepatutnya menentukan semak dan imbang (check and balance) kuasa eksekutif daripada melanggar prinsip negara hukum? 

Bagi Mahathir dan Najib, isu keadilan sosial dan demokrasi bukanlah keutamaan pemerintahannya.  Malahan, tiada pun "NKRA" untuk keadilan sosial dan tiada pun usaha untuk mengembalikan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam kenyataan (http://kpru2010.wordpress.com/ 2010/10/01/ laksanakan-bidang-politik-utama-negara-nkpa-serentak-dengan-bidang-ekonomi-utama-negara-nkea/) yang lepas, KPRU pernah mencadangkan lima Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. 

Apakah tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh "Kerajaan Besar Nafsu" bertunjangkan Najibnomics?  Apakah pembaharuan dimensi ekonomi ala Najib dapat dilakukan tanpa pembaharuan dimensi politik? - KPRU

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Thanks :)
--
http://www.miriadafilms.ru/ приобрести кино
для сайта sanggahtoksago.blogspot.com