Penafian Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memanipulasi undi pos sebenarnya menjadi lelucon abad ini, kerana cerita orang lain mengundi bagi pihak anggota ATM bukan cerita baru.
Walaupun Jen Zulkifeli baru sahaja menjadi PAT, cerita ini sepatutnya tidak perlu dinafikan, sebalik berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada, bagi mengembalikan hak setiap rakyat negara ini, menjalankan tanggungjawab masing-masing – membuang undi di dalam setiap kali pilihan raya.
Kenapa cerita manipulasi undi pos tidak berlaku dalam pasukan polis? Kenapa tiada bekas polis yang tampil mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sebenarnya pernah diarahkan memangkah undi anggota lain seperti mana yang dilakukan bekas anggota tentera?
Kalau cerita ini seorang dua sahaja yang bercakap, ia mungkin tidak boleh masuk akal. Tetapi, boleh dikatakan semua bekas anggota tentera dan semua yang masih bekerja, kecuali Jen. Zulkifeli dan tiga panglima cabang Tentera, termasuk Jen Dato' Zulkifli Zainal Abidin (PTD), Jen. Tan Sri Rodzali Daud (TUDM) dan Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (TLDM) sahaja yang kelihatan bersungguh mahu menafikannya.
Perkara ini sepatutnya tidak perlu dinafikan. Ia sepatutnya perlu diperbaiki dan dijadkan proses mengundi ini lebih telus. Kenapa perlu dinafikan ketika rakyat sedang memerhati segala tindak-tanduk ATM kebelakangan ini, termasuk kes terbaru anggota tentera ditembak dan sebahagiannya ditangkap kerana menyamun!
Sebenarnya memang terlalu sukar untuk mengetahui apa-apa kegiatan yang berlaku di dalam ATM. Agensi ini adalah agensi tertutup atas faktor keselamatan negara. Namun, pendedahan yang dilakukan ini, bukan kerana keselamatan tetapi kerana hak seseorang anggota dan hak sebagai seorang warga negara Malaysia.
Jen Zulkifeli yang menyifatkan pendedahan bekas tentera bahawa mereka diarahkan mengundi bagi pihak anggota lain sebagai suatu pengkhianatan dan usaha untuk menjejaskan moral warga ATM bolehlah dianggap suatu penafian ala politik tetapi dalam masa yang sama tidak pula mahu mengakui sedikit kebenaran yang sudah menjadi rahsia umum.
Walaupun beliau sebenarnya bertanggungjawab atas isu ini, tetapi perkara ini bukan perkara baru. Menjadi tanggungjawabnya, sebaik sahaja dilantik menjadi PAT, memperbaiki apa-apa sahaja kelemahan kerana tidak mungkin beliau tahu semua dan tidak mungkin beliau bercakap atas keikhlasan tanpa bertujuan melindungi pihak berkuasa.
Lebih menarik, ada juga bekas PAT terdahulu yang turut tampil membuat penafian sedangkan mereka yang terlibat, menjalankan tugas mengundi bagi pihak orang lain, tidak mungkin sanggup berbohong hanya kerana berniat untuk menjadi pengkhianat dan bertujuan menjejaskan moral warga ATM.
Jika Zulkifeli ikhlas, mengapa tidak diadakan satu jawatankuasa siasatan untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan jika perlu ambil tindakan undang-undang kepada pihak yang beliau anggap memfitnah.
Seramai mana anggota tentera yang sedang bertugas, ramai juga yang sudah bersara. Apakah mulut mereka ini boleh ditutup dari bercakap perkara-perkara yang mereka anggap benar dan mereka sendiri tahu bahawa soal mengundi bagi pihak orang lain ini, adalah sesuatu yang sudah diketahui umum.
Lebih menarik, Jen Zulkifeli mengaitkan cerita undi pos anggota tentera ini dengan kes Mismah Naim yang dikatakan mendapat taraf kewargenagaraan dalam tempoh singkat dan didaftarkan sebagai pengundi ketika dia masih bertaraf penduduk tetap.
Isu ini timbul sebenarnya atas kaji selidik yang dijalankan secara rambang dan kesilapan teknikal komputer SPR dengan JPN telah menyebabkan isu ini menjadi panas. Ia bukan fitnah jika JPN dan SPR ada jalinan kerjasama yang erat antara satu sama lain.
Sepatutnya Jen Zulkifeli tidak mengaitkan isu ini dengan mana-mana isu lain, kerana ATM adalah "sebuah pulau" yang tertutup dari dunia luar. Mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku dan cerita yang dikutip ini datangnya dari mereka yang pernah menjalankan tuas mengundi bagi pihak orang lain ketika mereka masih bekerja.
Selama ini, disebabkan ATM merupakan sebuah pulau, maka mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku di pulau mereka itu. Tetapi, di zaman dunia tanpa sempadan, Jen Zulkifeli tidak sepatutya masih berfikiran seperti "orang pulau" yang kononnya mereka sahaja yang tahu dan mengamalkan sindrom penafian.
Itulah sebanya cerita manipulasi undi pos ini hanya ditumpukan kepada ATM dan tidak polis, penjara, jururawat, bomba dan pasukan beruniform lain kerana semua pasukan beruniform lain tidak mempunyai "pulau sendiri" seperti ATM, seolah-olah mereka yang lain ini tidak terkait dengan isu keselamatan.
Eloklah jika ATM meneruskan perbincangan dengan SPR bagi menambah baik sistem undi pos kerana rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya. Aapabila sampai usia bersara bagi anggota tentera yang terlibat dengan undi ini, mereka tidak akan dapat menelan kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum itu.
Amatlah malang jika PAT dilihat sebagai orang politik dan bukan profesional. Walaupun Jen Zulkifeli mengatakan ATM adalah profesional dan tidak berpolitik, tetapi mereka sebenarnya bekerja di bawah sebuah kerajaan yang ditubuhkan hasil pertandingan dan pilihan raya parti-parti politik.
Sudah ramai bekas tentera yang menyertai politik, sama ada di kalangan BN mahupun pembangkang. Jadi, janganah kita asyik menafikan dakwaan mereka tetapi dalam masa yang sama, kita tidak berusaha membuktikan bahawa ATM kini menjadi semakin telus.
Janganlah kerana "berada di pulau sendiri" segala-galanya mahu dinafikan. Itulah sebabnya ada cerita enjin kapal terbang hilang. Itulah sebabnya ada cerita harga Mee Maggi RM4.50 sebungkus sedangkan di pasaran terbuka harganya cuma RM0.45 sebungkus.
Janganlah kerana alasan keselamatan, segala-galanya mahu ditutup begitu rupa. Ingat pepatah Melayu mengatakan "bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan tudung saji". Isu manipulasi undi pos ini sebenarnya isu besar dan sudah lama diperkatakan.
Meminta pihak yang membuat dakwaan membuktikan dakwaan mereka bukanlah sesuatu yang bijak kerana ATM yang menjadi sasaran sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersih dan telus dan tidak pernah berlaku penyelewengan undi pos.
Sindrom penafian ini biarlah ia menjadi alat orang politik apabila diserang tetapi ATM tidak boleh menggunakan strategi yang sama bila berdepan dengan serangan seperti ini.- SAFAR JUMAAT