KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mac 26, 2008

Konflik MB Terengganu: MPPR Boleh BUBAR Dun, Adakan Semula Pilihan Raya Baru! - DR. AZIZ BARI

Peristiharan Dharurat agak sukar untuk dilakukan kerana Yang di Pertuan Agong ialah Sultan Terengganu dan baginda telah menunjukkan sikap yang bebas yang menyebabkan kesukaran di pihak Perdana Menteri untuk menasihatkan perisytiharan darurat itu!

Raja Tengku Baderulzaman menyerahkan watikah perlantikan Menteri Besar kepada Ahmad said di Istana Tetamu, Kuala Terengganu

By TARMIZI MOHD JAM

SETAKAT ini nampaknya kedua-dua pihak tidak mahu berganjak. Dan perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu tidak mungkin ditarik balik.

Perlantikan itu tidak boleh, atau sukar, untuk ditarik balik kerana, ia dibuat berdasarkan pertimbangan bahawa Ahmad mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan, demikian jelas Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau menyambung bahawa meskipun perlantikan dibuat melalui budibicara yang subjektif sifatnya ia adalah berdasarkan kepada penilaian sultan tentang siapakah yang mempunyai sokongan majoriti.

Kes Stephen Kalong Ningkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 1966 memutuskan bahawa Ketua Menteri tidak boleh dipecat oleh Gabenor. Inilah undang-undang yang ada dan dengan demikian MPPR tidak boleh memecat Ahmad dari jawatan Menteri Besar.

Keputusan melantik Ahmad memang mempunyai risiko besar dari awal lagi dan ia sekarang menghadapi undi tidak percaya.

Meskipun begitu sebagaimana yang dilaporkan, Ahmad tidak menampakkan kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS dan menubuhkan kerajaan. Dengan demikian sukar untuk beliau melawan usul undi tidak percaya yang akan dikemukakan terhadapnya itu.

Apakah jalan keluar sekarang?

Dr. Abdul Aziz berkata jalan keluar berada di tangan istana dan istana perlu menyudahkan kerja yang dimulakannya sendiri. Pihak-pihak lain, termasuk Kerajaan Pusat dan Umno, tidak boleh berbuat apa-apa.

Sekiranya Ahmad jatuh melalui undi tidak percaya, sebenarnya ada dua pilihan yang ada; yang pertama melantik Menteri Besar dari kalangan ahli dewan yang ada atau, pilihan kedua, membubarkan dewan supaya pilihan raya baru dapat dibuat dan rakyat boleh membuat keputusan sekali lagi.

Apa masalah dengan pilihan pertama?

“Yang jelas PAS tidak mempunyai majoriti dan tidak ada tanda-tanda ia boleh bergabung dengan ahli-ahli dewan dari Umno. Selain itu ahli-ahli yang lain sudah terpalit dalam krisis ini,” jelas Dr. Abdul Aziz.

Sebab itu, kata beliau, cara terbaik ialah dengan membubarkan dewan supaya rakyat dapat membuat keputusan.

Pensyarah Undang-Undang UIAM itu berkata, dalam membubarkan Dewan Undangan Ngeeri (Dun) ini MPPR boleh bertindak sendiri mengikut Perkara 44(2) Perlembagaan Negeri Terengganu.

“Pembubaran dewan ini adalah pembubaran luar biasa dan bukan pembubaran biasa yang memerlukan permintaan dari kerajaan,” ujar beliau.

Dr. Abdul Aziz menegaskan pembubaran ini perlu supaya sebuah kerajaan yang mendapat sokongan rakyat dapat diwujudkan. Ia juga dapat menyelamatkan istana dari dituduh bermain politik dan membelakangkan kehendak rakyat.

Keputusan membubarkan dewan ini adalah keputusan baginda sendiri dan baginda tidak memerlukan nasihat sesiapa. “Baginda bolehlah bermunajat dan menunaikan solat istikharah untuk memohon kekuatan dari Allah SWT,” tegas beliau.

Secara kebetulan, Dr. Abdul Aziz menambah, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 di Terengganu memang menimbulkan persoalan. Dari Tragedi Batu Burok, kekecohan di Marang dan dakwaan pengundi hantu kesemuanya menyebabkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dipersoalkan.

“Apabila dewan dibubarkan maka sebuah pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, tetapi ini hanya untuk Dun Terengganu sahaja. Ia tidak melibatkan pilihan raya parlimen. Lagipun parlimen terletak di luar bidang kuasa MPPR,” jelas Dr. Abdul Aziz.

Ditanya tentang kemungkinan Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat dan menggantung Perlembagaan Terengganu, pakar Perlembagaan UIAM itu berkata, ia tidak mudah untuk berlaku.

“Alasan yang pertama ialah Yang di Pertuan Agong – meskipun perlu mengikut nasihat – boleh menolak permintaan untuk mengisytiharkan darurat oleh Perdana Menteri kerana ia sesuatu yang sangat serius.

“Alasan yang kedua ialah dari segi politik, ia agak sukar untuk dilakukan kerana Yang di Pertuan Agong ialah Sultan Terengganu dan baginda telah menunjukkan sikap yang bebas yang menyebabkan kesukaran di pihak Perdana Menteri untuk menasihatkan perisytiharan darurat itu,” tegas Dr. Abdul Aziz.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum wrbt

Artikel yang bernas yang patut di war war kan ke rakyat awam terutama rakyat Terengganu agar bersatu dan berani dibelakang Tuanku. Sama2 kita berdoa agar Allah SWT memelihara Tuanku. Daulat Tuanku 3X