KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 17, 2011

Harakah dibaca hampir dua juta pembaca setiap bulan - Tarmizi Mohd Jam



Pengaruh lidah rasmi Harakah begitu besar sehingga mencecah hampir dua juta pembaca pada setiap bulan dan ini menjadikan akhbar bercetak ini bertahan begitu lama berbanding dengan akhbar tabloid yang lain di negara ini, kata Pengarang Berita Harakah, Dato' Tarmizi Mohd Jam.

Katanya, Mac tahun depan, Harakah akan menyambut Jubli Perak 25 tahun dan dalam tempoh itu pelbagai pahit maung diharungi, namun, atas kegigihan pucuk pimpinan ia muncul sebagai akhbar alternatif yang sentiasa mengancam pengaruh Umno-BN.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Kursus Kewartawanan & Pemberitaan Berintegriti peringkat PAS Wilayah Persekutuan, Ahad 13 Nov lalu di Pejabat Agung PAS, dekat sini. Turut menyampaikan syarahan media, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Terdahulu, ketika merasmikan kursus berkenaan, Ketua Penerangan PAS Wilayah, Nasaei Ismail berkata, peranan media cukup penting dalam menyampaikan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat.

"Dengan adanya kursus bersama Harakah ini, diharapkan lebih ramai ahli PAS berperana sebagai pelapor bukan sahaja kepada Harakah tetapi kepada media baru teramsuk facebook, website dan blog masing-maisng," katanya.

Sementara itu, Ahmad Lutfi dalam syarahannya "Kepentingan Media Hadapi PRU-13" menyifatkan bukan soal keterbatasan penyampaian maklumat kepada sasaran tetapi bagaimana maklumat itu dibentuk dan dibina agar upaya mencetuskan persepsi dalam masyarakat terhadap sesuatu isu.

"Hari ini, sesiapa boleh dapatkan maklumat dalam internet. Tetapi peranan pemberita atau wartawan yang jadi penulis, lebih memainkan peranan dalam membina persepsi masyarakat berdasarkan maklumat itu," tegas beliau.

Kursus setengah hari itu antara langkah Harakah untuk merancakkan lagi penyebaran maklumat secara tepat dan berintegriti melalui pelbagai medium, bukan Harakah semata-mata.  

Pada majlis itu, Tarmizi mengumumkan satu muka surat Harakah diberi keutamaan untuk berita-berita PAS Wilayah sebagai menangani isu ketiadaan liputan terhadap kegiatan dan kenyataan pimpinan PAS Wilayah.

PAS Batu serah signbord pejuang dan perelok pusara Mat Indera di Taiping



PAS Kawasan Batu telah menyerahkan papan tanda bagi pusara Allahyarham Mat Indera dan akan memperelokkan pusara yang terbiar itu sebagai ingatan genarasi akan datang terhadap tokoh dan pejuang kemerdekaan yang dijatuhkan hukuman gantung oleh penjajah British pada tahun 1953.

Dalam ziarah "XPDC Terjah Juang PAS Batu" pada Sabtu, 12 Nov lalu, Yang Dipertuanya, Ishak Surin telah menyerahkan papan tanda berkenaan kepada penjaga Tanah Perkuburan Islam Kg. Jambu, Yaacob Din.

Kos memperelokkan pusara sebanyak RM1,000 ditanggung sepenuhnya oleh PAS Kawasan Batu sejajar dengan peristiharan keluarga Mat Indera menjadi keluarga angkat PAS Kawasan berkenaan.

Ekspedisi juga turut menziarahi pusara bekas Presiden PAS, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy Pahlawan Umat di Masjid Lama, Taiping.

Sebelum itu, kumpulan ekspedisi 15 orang telah menerjah rumah pejuang kemerdekaan Imam Abdul Majid Salleh, 88, di Taman Bersatu, Simpang Pulai, Ipoh. 

Sewaktu mudanya, Abdul Majid aktif bersama Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Muar dan berkesempatan menjadi rakan karib Allahyarham Mat Indera. Beliau pernah dipenjara selama tujuh tahun oleh penjajah British kerana kegiatannya menentang penjajahan.

Kini, beliau terlantar sakit tua di rumah sewa anaknya dan sesiapa yang ingin membantu boleh hubungi Setiausaha PAS Batu, Dato' Ismail Yahya (013-3847899) atau hulurkan sumbangan bank in kepada CIMB (1219-0001028-10-7) atas nama NGO Peduli Kasih.

Skandal lembu feedlot: NFC tidak pernah bayar satu sen kembali kepada kerajaan


Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang cuba memisahkan isu NFC daripada kebertanggungjawaban Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan kerajaan Barisan Nasional. 

Kenyataan-kenyataan mereka memberi gambaran bahawa NFC adalah sebuah syarikat swasta dan tidak ada unsur percanggahan kepentingan (conflict of interest) apabila sebuah syarikat milik keluarga menteri mendapat projek kurniaan kerajaan.
 
KEADILAN ingin menegaskan bahawa sejak menerima sepenuhnya pinjaman mudah dari kerajaan berjumlah RM250 juta, NFC tidak sekali pun membayar balik satu sen kembali kepada kerajaan – baik dari segi pembayaran pinjaman pokok atau pun faedah 2% yang dikenakan. 

Sekiranya ia benar-benar sebuah pinjaman seperti yang didakwa pimpinan Umno, maka sekurang-kurangnya NFC perlulah membayar RM5 juta setahun kepada kerajaan dalam bentuk faedah pinjaman.
 
Semakan KEADILAN menunjukkan bahawa NFC bukan sahaja tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada kerajaan, ia juga tidak merekodkan sebarang liabiliti bagi kadar faedah 2% seperti yang didakwa oleh kerajaan.
 
Hakikatnya, operasi NFC dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui suntikan dana RM250 juta dan geran RM6 juta yang diluluskan kerajaan. Keputusan untuk menganugerahkan projek kebangsaan yang dikategorikan sebagai Projek Berimpak Tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) ini dibuat oleh kabinet Barisan Nasional yang dianggotai Tun Abdullah Badawi, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
 
Justeru, prestasi NFC sudah tentu menjadi tanggungjawab menteri-menteri yang terbabit, apatah lagi apabila syarikat yang mendapat projek dimiliki sepenuhnya oleh keluarga menteri.
 
Keadaan ini diburukkan lagi apabila NFC tidak diuruskan dengan baik sehingga tidak mencapai sasaran yang dipersetujui. Malah, transaksi NFC juga menunjukkan dana rakyat yang disalurkan melalui suntikan RM250 juta disalahgunakan untuk kegunaan keluarga dan ahli-ahli politik Umno.
 
Saya senaraikan transaksi berikut yang tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan benar-benar memantau NFC:
 
Pada tahun 2008 (di awal penubuhan), NFC membayar perbelanjaan Dato’ Seri Shahrizat Jalil sebanyak RM26,400. Jika benar isu NFC tidak ada kena mengena dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sewajarnya beliau langsung tidak ada urusan dengan syarikat ini apatah lagi menggunakan wang NFC untuk membayar perbelanjaan beliau.
 
NFC membayar sejumlah RM398,640 kepada Dato’ Dr Mohamad Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dalam tahun 2009 sebagai bayaran sewa pejabat NFC di Mont Kiara. Tindakan menggunakan wang NFC dari dana RM250 juta untuk membayar sewa kepada pengarah-pengarah NFC perlu juga dijawab oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil.
 
NFC mendermakan lembu-lembu yang dibiayai dengan wang rakyat kepada YB Dato’ Shaziman Mansor pada 1 September 2009 bernilai RM5,281.87 dan YB Yunus pada 30 November 2009 bernilai RM2,640.93. 

Kalau isu yang serupa menyebabkan SPRM menyiasat YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini, SPRM juga perlu tangkas menyiasat NFC, YB Dato’ Shaziman Mansor dan YB Yunus kerana mendapat lembu yang dibiayai rakyat.
 
NFC juga menjual lembu secara hutang kepada pimpinan Umno seperti YB Dato’ Seri Zulhasnan Rafique bernilai RM70,000 dalam tahun 2008, yang hanya dibayar dalam tahun 2009.
 
KEADILAN boleh sahaja mendedahkan secara terperinci setiap perbelanjaan yang melibatkan ramai lagi pimpinan Umno dan dana rakyat berjumlah RM250 juta ini. Skandal NFC telah menunjukkan bagaimana bobroknya sikap pimpinan Umno yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya atas alasan ia perbelanjaan sebuah syarikat swasta.
 
Malangnya, syarikat swasta itu dimiliki oleh keluarga seorang menteri dan dianugerahkan sebuah projek besar negara dengan suntikan dana RM250 juta. Tindakan yang lebih mulia ialah bagi menteri-menteri yang berkenaan memikul tanggungjawab dan mengambil tindakan tegas berhubung skandal NFC ini. - yb saifuddin nasution ismail

Gagalnya HIMPUN: Signal rakyat tidak bersama Umno-BN untuk PRU-13



Sebenarnya sejak awal dirancang, tiada siapa yang mahu percaya HIMPUN akan berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam di Malaysia, walaupun kempen yang dijalankan cukup besar, termasuk penggunaan media arus perdana.

Lebih-lebih lagi dengan persetujuan Perkasa mahu menyertai HIMPUN, makin ramai yang menjauhkan diri dari HIMPUN, kerana terbukti selama ini, apa yang dibawa Perkasa dalam pesada politik Malaysia, menjadikan rakyat Malaysia yang sudah Merdeka 54 tahun, tidak selesa dibuatnya.

Dalam khutbah Jumaat yang lalu, ada juga diselitkan dengan pujukan supaya seluruh umat Islam mestilah menghadirkan diri di Perhimpunan HIMPUN kerana mahu menunjukkan kegusaran yang berlaku ekoran cerita murtad yang semakin menjadi-jadi.

Malangnya, pihak penganjur terlupa bahawa rakyat Malaysia sudah matang kini. Walaupun mereka tahu yang gejala murtad menjadi-jadi di Malaysia, tetapi mereka tidak bersedia menjadi mangsa eksploitasi pihak pemerintah yang mahu mengalihkan isu sebenar yang melanda negara.

Dan ini boleh dijadikan 'kayu pengukur' terhadap sokongan pemerintah terhadap program yang mereka anjurkan, walaupun 11 Resolusi HIMPUN khabarnya akan diberikan perhatian oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.

Walaupun tidak berniat mahu membandingkan Perhimpunan HIMPUN degan Perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu, rakyat kini lebih bersedia berhimpun dalam kesusahan dan semburan gas pemedih mata, jika ia menyentuh tentang penyelewengan yang lebih kepada penyatuan dalam kepelbagaian.

Kurangnya audien, dengan tidak ada penyertaan PAS dan Keadilan, sekaligus semangat mereka yang mahu berhimpun kini terserlah, bahawa mereka sedih bersusah payah dengan perbelanjaan sendiri dan kemungkinan mendapat kesusahan dan ada yang kehilangan nyawa, jika tidak melibatkan pemerintah.

Sedikit sebanyak Umno akan malu dengan perkembangan ini. Walaupun banyak NGO yang menyokong Umno mahu ahli-ahli mereka menyertai perhimpunan ini, tetapi, inilah jawapan mereka bahawa mereka tidak bersedia untuk dipergunakan.

Bagi yang hadir, mungkin juga kerana kesedaran tentang gejala murtad tetapi mereka tidak mendapat sokongan padu dari orang ramai yang juga mempunyai kesedaran dan kebimbangan mengenai gejala tersebut.

Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Perkasa dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya? Bayangkan kalau Perkasa yang menelurkan idea mengadakan HIMPUN ini, barangkali tidak sampai satu persepuluh jumlah kehadiran yang akan memenuhi perhimpunan tersebut.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tentunya terhambat dengan rasa kecewa yang amat sangat dengan perkembangan ini, kerana ketika mereka bersedia menggunakan isu murtad dan Akta Murtad sebagai modal Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang, HIMPUN yang mendapat restu Umno dan kerajaan, tidak menunjukkan situasi berpihak kepada BN.

Apa lagi usaha PM dan TPM, selain 'walk a about' dan Umno Juara Rakyat yang sudah semakin menyepi? Bajet 2012 yang dikatakan menjanjikan macam-macam ganjaran juga tidak membuatkan orang Melayu dan Islam berhimpunan di Perhimpunan HIMPUN?

Najib dan Muhyiddin mungkin sudah buntu memikirkannya. Slogan atau Gagasan 1Malaysia yang cuba dijual selama ini juga tidak membangkitkan semangat apa-apa kepada petugas Umno dan BN kecuali lambang 1Malaysia yang mereka tampal di dada baju yang mereka pakai setiap masa.

Umno tentu tidak sedap badan dibuatnya. Pemuda Umno di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) juga semakin binggung dengan sikap Najib yang tidak memperdulikan sayap itu, sehingga menyebabkan ada yang sudah berani mengatakan 'mereka putus harapan' dengan Najib yang berlaku tidak wajar terhadap KJ.

Barisan lama yang membarisi kabinet Najib juga merimaskan. Ketua Pergerakan Wanita Umno hanya seorang Senator dan Presiden Gerakan dan MIC yang menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga merupakan Senator.

Apakah Najib masih bercadang mahu mengekalkan mereka ini selepas PRU 13 akan datang, kerana tempoh Senator mereka mungkin sudah sampai ke penghujung dan mungkin juga mereka akan tewas sekali lagi dalam PRU 13 seperti mana mereka ini tewas dalam PRU 12, 2008 yang lalu.

Pastinya bekas Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak perlu dicalonkan lagi mewakili BN. Begitu juga bekas-bekas Menteri Besar yang sudah tidak diperlukan seperti Idris Jusoh dan Shahidan Kassim, sudah barang tentu disenaraikan untuk digugurkan.

Bagaimana dengan bekas Menteri seperti Syed Hamid Albar, Abdullah Mohd Zin dan Mohd Zin Mohamad?

Jika Najib merasakan tenaga muda diperlukan, siapakah mereka? Apakah Najib mahu dikenali sebagai PM 'kitar semula' dengan mengekalkan mereka yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya? Ini semua menyebabkan orang Melayu yang selama ini bersama Umno dan menyokong BN menjauhkan diri mereka dari pemerintah.

Mereka sedar, transformasi yang Najib laung-laungkan hanyalah pemanis bibir untuk menutup segala kelemahan dan kekurangan. Apakah Najib tahu bahawa semua ini sudah tidak laku lagi di zaman yang serba canggih ini?

HIMPUN sebenarnya satu medan ujian yang sangat berguna buat Umno dan BN. Malahan, jika Perkasa dapat menghimpunkan semua ahli-ahlinya yang didakwa sudah beratus ribu orang, juga boleh menjanjikan Presidennya mendapat tempat di Pasir Mas, malangnya, ia kini menjadi harapan hampa kepada mereka.

Cukuplah! Jangan semua perkara mahu dipolitikkan. Jangan semua hal mahu dieksploitasi. Ini bukan zaman 70 an dan 80 an lagi. Zaman sudah berubah. Lebih baik pemuda-pemuda Melayu menonton perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Terengganu atau antara T Team dengan Negeri Sembilan.

Di sini mereka dapat merasakan kebebasan sebenar sedangkan ketika di HIMPUN, jika mereka hadir, mereka merasakan diri mereka diperkudakan oleh mereka yang masih kepingin mengekalkan kuasa.
Dari jauh, Najib dan Muhyiddin tentunya kecewa kerana usaha memasang perangkap menarik sokongan bagi menyerang PAS tidak berjaya.

Percayalah, selepas ini tiada lagi perhimpunan sebegini, lebih-lebih lagi yang bernama Perhimpunan Sejuta Umat mahu dianjurkan kerana risiko untuk mereka dimalukan cukup tinggi.

Akhirnya, mereka tahu bahawa cerita mengangkut orang untuk menunjukkan mereka masih ramai penyokong sudah tidak boleh dilakukan lagi. - safar jumaat

Pemain media baru, konvensional jangan abai kredibiliti informasi




Minat ahli-ahli PAS untuk menulis dan melapor makin meluas. Sehari suntuk saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman mengemudi Kursus Kewartawanan & Pemberitaan peringkat negeri Perak, pada Ahad, 23 Oktober lalu.

Respons mereka menerujakan. Mereka terdiri daripada anak-anak muda yang ligat menjadi pemain media baru dalam padang facebook dan blog. Kursus sehari itu, diyakini telah membetulkan cara penulisan berita mereka, agar informasi lebih tepat, berkualiti dan berkredibili.

Ini penting kerana mereka memiliki media di hujung jari. Tidak seperti 10 tahun lalu. Pelbagai laman sosial, twit, blog dan portal berita upaya dibina dan diisi di mana sahaja. Di sinilah mereka memuntahkan informasi ikut acuan sendiri. 

Terima kasih saya kalungkan kepada Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Nuri Al-Amin Endut yang membuka langkah dan memberi peluang kepada mereka membina kualiti dan kredibiliti dalam berinformasi. 

Itu bukan untuk Harakah semata-mata, tetapi medium baru yang lain termasuk facebook, blog, portal berita dan buletin bercetak.

Dan inilah yang sangat dikehendaki Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Mereka mahu pemberita, blogger dan facebooker PAS menulis dengan berhemah dan ada kredibiliti agar kualiti informasi boleh dipercayai.

Pada hemat saya, kursus sebegini patut diadakan di setiap negeri. Ia sudah tentu menjadi anjakan penting kepada Persidangan ICT & Media Baru PAS Pusat, yang dilangsungkan pada Sabtu, 22 Oktober lalu di Kuizm, Kuala Lumpur. 

Penggunaan pelbagai aplikasi canggih dalam dunia teknologi maklumat tidak memberi impak jika informasi tidak tepat, sarat dengan unsur fitnah dan herotan keadilan, yang sudah tentu ia tiada kredibiliti.

Lajnah Penerangan PAS negeri-negeri wajar mengambil inisiatif ini. Belum terlambat lagi untuk membekalkan kemahiran menulis berita dan artikel mengikut standard sebenar. Tanpa pengetahuan ini, informasi yang ditulis akan dilihat "sampah" oleh pembaca kerana tidak berkualiti dan tiada kredibiliti.

Dan sudah tentulah, media baru yang bergerak berganda dan pantas sebagai medium informasi, tidak lagi efisyen, jika berita atau artikel yang dipaparkan tidak berkredibiliti. 

Soal kredibiliti dalam apa jua sektor cukup dijulang, dan ketegasan dalam memilih dan merekodkan hadis Rasulullah SAW juga membuktikan kredibiliti dalam informasi menjadi praktikal sejagat.

Persiapan utama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak memadai dengan pelbagai aplikasi canggih teknologi maklumat. Ia mesti diisi dengan informasi berkualiti dan berkredibiliti, walaupun pihak musuh mendominasikan internet dan media konvensional dengan laporan fitnah dan berat sebelah.

Pesanan Tok Guru Nik Aziz, agar setiap blogger serta pemain media baru perlu terus belajar dan belajar memberi signal kehendak jelas beliau, agar pelajaran yang ditimba akan mengukuhkan nilai informasi yang berkredibiliti.

"Kita melihat apa yang berlaku sekarang, kebanyakan blogger memaparkan berita yang tidak betul dan melemparkan fitnah. Seorang blogger, facebooker mesti ada sifat mulia. Jangan fitnah orang lain," pintanya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Dato' Fadzil Noor, Taman Melewar.

Beliau juga mahu pemain media baru mengungguli teknik dan strategi untuk mengilas isu fitnah yang ditembak dengan menjulang nilai-nilai Islam, kerana ia juga dapat memberi impak tajam kepada pemfitnah dan pembaca.

Seperti Tok Guru Nik Aziz, Dato' Seri Presiden PAS juga mengingatkan setiap pemain media baru agar berfungsi menebarkan informasi berkualiti, dengan pelbagai cara terutama di kampung-kampung yang terpencil. 

Beliau juga mahu cara mengedarkan informasi dikenalpasti agar pengundi kampung dapat mengisar isu semasa dengan tepat. Selain memaparkannya pada laman sosial, twit, blog dan portal berita, usaha mencetak semula atau merekabentuk informasi dalam gaya buletin dan risalah bercetak patut dilakukan tanpa banyak alasan.

Hanya dengan cara ini, informasi tepat dapat dikisar oleh akal mereka untuk menujah segala kebobrokan fitnah dan adu domba Umno-BN baik dalam padang internet mahupun yang dijelirkan oleh media cetak dan elektronik.- tarmizi mohd jam

Pemimpin Umno-BN tak reti bahasa Laporan Audit setiap tahun


Sebenar apa yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara 2010, tidak banyak yang boleh diperbaiki kerana semuanya sudah disediakan dengan alasan yang direka, sekadar mahu melepaskan tengkok masing-masing dari kecaman.

Janji Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan bahawa kelemahan tujuh kementerian akan dibaiki, adalah janji yang juga merupakan alasan biasa, selepas sesuatu kelemahan didedahkan, tetapi kemudiannya, kelemahan ini (baca: kesalahan) akan berulang dan mungkin berulang dengan lebih teruk lagi.

Mohd Sidek akan bersara. Janjinya tidak boleh terpakai kepada Ketua Setiausaha Negara yang bakal menggantikannya. Perbelanjaan di semua kementerian berjalan setiap hari dan tiada sesiapa yang memantaunya!

"Saya tidak risau sangat bila Ketua Audit (Negara) beri pandangan sedemikian, saya risau jika masalah itu ada, tetapi Ketua Audit (Negara) tidak mahu beri pandangan," kata Mohd Sidek kepada pemberita baru-baru ini.

Memang betul, kenapa Mohd Sidek hendak risau? Beliau tidak bertanding dalam pilihan raya dan beliau tidak perlu menjawabnya dalam Parlimen. Yang pastinya, semua kesalahan ini bolehlah dibebankan kepada Umno dan BN kerana komponen ini sebenarnya degil dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.

Apakah ada mana-mana dari kalangan Ketua Umno Bahagian, Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita yang berani untuk bangkit mempersoalkan kelemahan ini? Apakah ada di kalangan pemimpin tertinggi Umno mahu menyerang kementerian yang didakwa berlaku kelemahan tersebut?

Ada berani? Atau takut lebih banyak lagi pendedahan yang selama ini ditutup dengan tudung saji akan terbuka pula?

Siapakah yang mengetuai Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga, Tekonologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi? Bukankah mereka ini dari kalangan Menteri-Menteri dari BN? Bukankah yang melantik mereka ini ialah Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden Umno?

Begitu juga dengan agensi kerajaan yang terlibat dengan kelemahan yang didedahkan ini termasuklah Kastam DiRaja Malaysia yang terletak di bawah Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri juga terletak di bawah kementerian yang sama, yang menterinya adalah Perdana Menteri dan Perbadanan Stadium Nasional yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Bak kata orang-orang tua-tua, nasi sudah menjadi bubur. Tak ada apa yang boleh diperbaiki lagi, kecuali janji supaya kelemahan ini tidak berulang. Itu sahaja. Duit yang sudah dibelanjakan, tidak akan dapat dikembalikan dan mereka ini berbelanja macam duit mereka sendiri, tanpa ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan dan berjimat.

Sebenarnya, apa yang berlaku ini bukan kali pertama. Ia pernah berlaku dan kini berulang. Mereka ini ada jawapannya. Tahun lalu, ada pendedahan dalam laporan audit mengatakan ada kenderaan yang diisi minyak sekaligus dalam jumlah besar yang tidak masuk akal.

Namun, jawapan yang diberikan kemudian, sebenarnya satu kad pemandu mengisi minyak untuk lebih dari sebuah kenderaan kerana pemandu lain terlupa membawa kad pengisian minyak. Memang alasan itu logik tetapi, apakah ia boleh dipercayai?

Bila Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dato' Seri Azmi Khalid berkata akan memanggil tujuh kementerian dan agensi kerajaan yang didapati melakukan kelemahan seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, ramai yang bertanya; "Apa yang boleh Azmi lakukan?"

Ramai juga yang mempersoalkan bagaimanakah Kementerian Pelajaran boleh membekalkan komputer ke 27 makmal komputer yang gagal disiapkan hingga menyebabkan komputer tersebut terus berada di dalam kotak tanpa digunakan?

Bayangkan hanya dua daripada 300 makmal sekolah harian di Sabah yang disiapkan. Apakah ini sesuatu yang boleh diterima dan kemudian dimaafkan begitu sahaja? Sebenarnya isu makmal komputer ini adalah isu lama yang sepatutnya mendedahkan pekong Umno yang memberikan projek-projek pembinaan makmal kepada kroni masing-masing.
Ini belum lagi didedahkan bagaimana keadaan komputer yang dibekalkan ke sekolah-sekolah itu sekarang dan syarikat mana yang dapat kontrak memperbaiki (maintanance). Khabarnya, semua komputer di sekolah-sekolah yang dibekalkan kerajaan sudah tidak boleh digunakan lagi.

Kalau sesiapa rajin membuka Laporan Audit Negara 2008, 2009 dan kini 2010, pastinya mereka akan bertemu dengan "ulangan-ulangan" ini yang akhirnya, kerajaan terpaksa membenarkan perbelajaan boros dan tidak berhemah ini.

Alangkah terkejutnya apabila Ketua Audit Negara mendedahkan hutang kerajaan sekarang ialah RM407 bilion dan kelewatan mengeluarkan Laporan Audit negara 2010 ini kerana mahu disertakan dengan jawapan dari pihak kementerian yang terlibat dengan 'kelemahan'.

Sama ada mereka sedar atau tidak, kelewatan memberikan laporan audit ini sudah tidak memathui Peraturan Mesyuarat 20 (1) di mana Dewan Rakyat, Speaker dan Ahli Parlimen mesti dibekalkan dengan laporan itu ketika Belanjawan berlangsung.

Tidak hairanlah kalau ada pihak yang mendakwa, kelewatan itu merupakan strategi Barisan Nasional untuk mengelak laporan tersebut dibahaskan dan berniat menyorokan maklumat kandungan laporan tersebut.

Jika rakyat mengikuti perkemabngan ini secara dekat, jangan terkejut jika mereka akan mengajar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang, kerana peluang sudah mereka berikan selama ini, namun kekuasan yang mereka ada terus menerus digunakan untuk mengayakan kroni dan melakukan penyelewengan.

Cerita pembelian 23 ekor kuda dengan kos RM5.66 juta juga tidak mudah untuk ditutup, walaupun pihak berkenaan mendakwa ia merupakan sesuatu yang baru dan tiada pakar kuda yang ada untuk menilainya.

Rupa-rupanya, bukan sahaja rakyat mahu diperbodohkan, menteri dan pegawai kementerian juga diperbodohkan oleh si penternak kuda hingga kuda yang dibeli tidak boleh digunakan. Mungkin kuda-kuda itu, jika masih muda boleh disembelih untuk diagih-agihkan dagingnya atau, dijual kepada pihak DBKL dan Tentera bagi tujuan rondaan dan hiasan.

Walaupun dari siasatan, ia tidak merupakan penyelewengan kerana harga 23 ekor kuda memang sepatutnya RM5.66 juta tetapi, dari segi moralnya, apakah pegawai yang terlibat dalam pembelian ini tidak boleh diturunkan pangkat menjadi penjaga kandang-kandang kuda?

Tahun ini, dan laporan yang bakal dikeluarkan tahun depan, apakah ketirisan baru ditemui? Atau, ada kelemahan lain di kementerian lain pula, selain agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam bakal mengisi laporan yang semakin tebal?

Khabarnya MARA, Jabatan Taman Laut Malaysia dan beberapa agensi lain turut memberi pendedahan tentang kelemahan termasuk membeli sepasang binokular marin dengan harga 29 kali ganda dari harga pasaran.

Ini mengingatkan orang ramai bagaimana MARA pernah membeli kerusi pejabat dengan harga yang mahal dalam laporan beberapa tahun dahulu dan Kementerian Belia dan Sukan membayar dengan harga yang tidak masuk akal terhadap pembelian sepana dan skru. - safar jumaat

Rabu, September 21, 2011

Mohon Sabu dihadap ke mahkamah, Prof Aziz Bari, Prof Abu Hassan & Ishak Surin mengupas kontroversi 'Merdeka" malam ini 21 Sept 2011


Bagi menjawab dan mengupas isu yang telah menarik perhatian anak-anak muda mentelaah semula sejarah kemerdekaan negara, PAS Kawasan Batu menganjurkan forum bertajuk "Apa Kebenaranya: Mat Indera, Tak Dijajah & Propaganda Umno" di Markas PAS Pusat Taman Melewar jam 9.30 ini, Rabu 21 Sept 2011.

Menurut Setiausaha PAS, Dato Ismail Yahya, tiga ahli panel bersetuju untuk berkongsi pendapat dalam isu ini iaitu pakar perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dari UIAM, pensyarah Jabatan Pengajian Media UM, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah dan bekas aktivis Angkatan Pemuda Insaf (API) yang juga bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaya (PRM) sewaktu Ahmad Boestamam mengepalainya, Cikgu Ishak Surin.

Forum ini dianjurkan ekoran isu kontroversi yang dicetuskan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai Mat Indera dan kelangsungannya telah menimbulkan polemik panas.

Katanya, ekoran mainan pihak media yang berat sebalah, telah menyebabkan banyak pihak "melatah" dan "melenting" termasuklah pemimpin Umno dan beberapa profesor daripada Majlis Profesor Negara (MPN) sehingga memuntahkan pandangan songsang bahawa Malaya tidak pernah dijajah.

Setiausaha Eksekutif Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Dato' Tarmizi Mohd Jam, bertindak sebagai moderator, ujarnya yang turut menjemput pihak media termasuk bloggers dan facebooker untuk membuat liputan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maidin, mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.

Selain Hanipa, Mohamad turut diwakili peguam Amiruddin Zulkifli manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Mohd Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusof dan Suhaimi Ibrahim.

Malam tadi, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.

Mohamad tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.

Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.

Isnin, September 19, 2011

FORUM PANAS "APA SEBENARNYA: MAT INDERA, TAK DIJAJAH & PROPAGANDA UMNO" - PROF DR AZIZ BARI & PROF DR ABU HASSAN HASBULLAH DI TAMAN MELEWAR RABU 21 SEPT INI

Prof Dr Abu Hassan Hasbullah (UM)

Prof Dr Abdul Aziz Bari (UIAM)

PAS Kawasan Batu akan menampilkan pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari (UIAM); Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya yang juga Pengerusi Pusat Kajian Zentrum, Prof Dr. Abu Hassan Hasbullah dan bekas aktivis kemerdekaan Ishak Surin dalam forum panas merdeka berjudul "Apa sebenarnya?: Mat Indera, Tak Dijajah & Propaganda Umno".

Forum yang akan dimoderatorkan Editor Harakah, Dato Tarmizi Mohd Jam (foto kanan) akan diadakan di Markas Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar jam 9.30 malam pada Rabu, 21 September 2011 ini.

Orang ramai dijemput hadir dan sebarkan maklumat ini dalam facebook, twitter dan laman-laman blog sebagai hebahan kepada rakan-rakan dan pencinta tanahair sejati - Daripada Setiausaha PAS Batu Dato' Haji Ismail Yahya.

Khamis, September 08, 2011

Najib Tun Razak patut berterima kasih dengan Manap Jepun kerana ibunya telah selamatkan datuknya Husein Mohd Taib

Manap Jepun

Catatan saya adalah berkaitan datuk kepada Dato Seri Najib Razak yakni kisah tentang bapa kepada Tun Abdul Razak Hussien.Sebagaimana yang kita maklumi Najib Razak dilahirkan dari keluarga bangsawan feudal Melayu. Datuknya adalah Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang Hussien bin Mohd Taib (foto kiri).

Tulisan yang dipetik daripada http: //lanailestari. blogspot. com menceritakan sewaktu penjajahan Jepun, Dato Hussien menjadi Penolong Pegawai Daerah (ADO) di Temerloh yang telah dijawatnya semenjak tahun 1924.Sewaktu Jepun menduduki Temerloh,maka bermulalah kisah ini yang tidak pernah dicatat di dalam mana-mana buku sejarah.

Dato Hussien telah ditangkap oleh Kempetai Jepun atas tuduhan menjadi tali barut Inggeris.Jepun yang terkenal dengan keganasan mereka diluar perikemanusiaan akan menyiksa siapa sahaja yang ditangkap tidak kira yang ditangkap itu bersalah atau sebaliknya malah bukti juga tidak perlu cukup sekadar syakwasangka sahaja.Itulah nasib yang menimpa Dato Hussien apabila beliau ditangkap dan dibawa ke Rumah Pasung Temerloh.

Didalam keadaan Dato Hussien mengalami siksaan dan penderitaan sebegitu rupa,rupa-rupanya ada seorang perempuan yang berhati mulia punya keberanian untuk membantu beliau dan berhadapan dengan Jepun yang zalim itu.

Wanita tersebut dikalangan orang Temerloh di panggil Wan Esah.Suaminya Aki Sewang,bekas kelasi kapal.Wan Esah ini berasal dari Jepun berkahwin dengan Aki Sewang dan dibawa menetap di Temerloh.Wan Esah dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup masyarakat Melayu Temerloh malah khabarnya cukup fasih bercakap loghat Temerloh dengan lidah Jepun.

Perkahwinan Wan Esah dengan Aki Sewang melahirkan sepasang anak;putera pasangan ini menjadi tokoh terkenal sewaktu zaman darurat iaitu Manap Jepun, manakala puteri mereka hanya dikenali dengan nama Bi.Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris dengan menyertai Rejimen Ke-10 PKM. Noel Barber,pengarang Inggeris yang terkenal itu,didalam bukunya War Of The Running Dog ada menyentuh tentang kisah Manap The Jap ini.

Suatu kisah yang ironi dan tragiks ialah berkenaan adik ipar Manap Jepun,suami kepada adik perempuannya,Bi,meninggaldunia di tembak gerila PKM di jalan Triang apabila bas yang ditumpanginya kena ambush. Menurut narasumber kejadian malang ini berlaku kerana mereka tidak ada maklumat tentang adik ipar Manap Jepun,jika mereka tahu,kejadian malang ini tidak akan berlaku.Narasumber saya tidak dapat mengingati nama adik ipar Manap Jepun ini.

Manakala kejadian lain yang berlaku kepada abang ipar Manap Jepun (abang kepada isterinya), juga orang Temerloh yang dikenali dengan nama Mat Zali.Mat Zali juga memilih perjuangan bersenjata menentang Inggeris. Di Pulau Tawar,berikutan tawaran menyerah diri oleh pihak Kerajaan dan kerana mempercayai janji Dato Yeop Mahidin, Mat Zali mengambil keputusan untuk keluar dan menyerah diri kepada orang kampung tersebut. Beliau keluar ke Kampung Pulau Tawar dengan membawa senjata sepucuk senapang carbine yang tidak berisi peluru dengan niat menyerah diri.

Apa yang berlaku,orang kampung kemudiannya membuat laporan kononya Mat Zali ditangkap,bukannya menyerah diri, semata-mata kerana hendak menuntut wang reward (reward money) dari Kerajaan.Mat Zali akhirnya dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Inggeris diatas fitnah tersebut padahal beliau sebenarnya menyerahdiri dan bukannya ditangkap homeguard.

Berbalik kepada kisah penyiksaan terhadap Dato Hussien, Wan Esah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Tuan Nagai.Maka pergilah wanita mulia ini ke Rumah Pasong Temerloh mengadap Tuan Nagai yang bengis itu.Wan Esah akhirnya berjaya memujuk Tuan Nagai untuk membebaskan Dato Hussien dari tahanan dan penyiksaan Jepun.

Dato Hussien setelah dibebaskan dari penyiksaan Jepun,kembali ke Bentong. Beliau dan seluruh keluarganya, saya kira, berhutang nyawa dengan Wan Esah, ibu kepada pejuang Manap Jepun. >>> READ MORE

Rakyat marah, Umno tafsir sejarah ikut kepentingan penjajah tuduh mereka tak sehaluan komunis


Serangan Umno terhadap tokoh yang melawan British termasuk bekas pemimpim PKM diragui ketelusannya. Umno dilihat menyerang mereka bukan kerana ideologi komunis tetapi lebih kepada mewarisi sentimen warisan penjajah, ini jelas kerana Umno parti pemerintah sendiri menjalinkan hubungan rasmi melalui perjanjian MoU dengan Parti komunis China, KDN membenarkan suara rasmi akhbar Parti Komunis China terbit di Malaysia malah bakal menantu Rosmah Mansor juga seorang dari keluarga pemimpin parti komunis di Asia Tengah.

Istana Perak pernah menerima mengadap bekas tokoh PKM dan memberi tajaan kepada tokoh tersebut pergi ke tanah suci. Seorang MB Perlis (ketika masih menjadi Menteri Besar pernah ke selatan Thai (perkampungan yang didiami oleh bekas-bekas pimpinan dan perajurit PKM) untuk ziarah dan sampaikan bantuan.

Begitulah seharusnya selepas perjanjian damai 1989, semua harus berdamai. Sejarah harus diangkat secara jujur semua pejuang harus dapat pengiktirafan wajar. Selepas rundingan damai 1989 yang ditandatangani oleh Kerajaan Malaysia dan Komunis, pengiktirafan harus diberi dan segala persengketaan wajar diketepi. >>> READ MORE

Umno sangat intim kerjasama dengan Parti Komunis China di Asia Tenggara, tapi momokan Mohd Sabu sebagai pro komunis!


Sebenarnya kalau mengikuti sejarah UMNO, memang UMNO paling gemar memomokkan pihak-pihak yang tidak bersamanya sebagai penyokong komunis atau mendokong fahaman komunisme, tulis USTAZ AHMAD AWANG dalam blognya www.usahmadawang.blogspot.com.

Mula-mula dari Presiden UMNO yang pertama Dato’ Onn Jaafar, UMNO menuduh pejuang kemerdekaan yang tidak bekerjasama dengan penjajah Inggeris sebagai komunis seperti Hizbul Muslimin yang dipimpin oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. 

Begitu juga Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy, Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh, dan Partai Rakyat Kalimantan Malaya (PRKM) yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Wahab Nor. Kesemuanya dianggap sebagai penyokong komunis.

Suatu ungkapan Dato’ Onn Jaafar yang dicatatkan dalam sejarah politik negara ialah, “hubaya... hubaya... bahaya dari gunung” yang merujuk kepada kongres di Gunung Semanggol pada Mac 1948 yang dihadhiri oleh kira-kira 5,000 orang dari parti-parti politik yang tersebut di atas dan juga parti-parti bukan Melayu yang tergabung dalam All Malaya Joint Council for Action (AMCJA).

Saya masih teringat lagi setelah penjajah Inggeris mengisytiharkan Darurat pada Jun 1948, kira-kira sebulan selepas itu sebuah pesawat kecil terbang rendah menggugurkan puluhan ribu risalah di kawasan Semanggol Selinsing dengan gambar portret Dr Burhanuddin yang dicop sebagai pendokong komunis. 

Ketika itu Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa pemimpin Hizbul Muslimin, API, dan PRKM telah ditangkap oleh penjajah Inggeris, yang kemudiannya ditahan tanpa bicara selama hampir 5 tahun. 

Penjajah bertindak demikian atas desakan UMNO ketika itu. Seorang penghulu muda khas dihantar oleh kerajaan ke Semanggol untuk mengintip pergerakan pejuang-pejuang kemerdekaan di Semanggol khasnya pemimpin dan pendokong Hizbul Muslimin. 

Penghulu muda tersebut adalah anak buah kepada seorang yang ada hubungan rapat dengan Dato’ Onn Jaafar dan seorang pemimpin UMNO pada ketika itu. Sejarah seperti inilah yang perlu dibaca oleh orang-orang yang otaknya terkongkong dengan propaganda dan khurafat UMNO mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan negara kita. >>> READ MORE

Rabu, September 07, 2011

Manipulasi undi pos: Panglima Angkatan Tentera tidak profesional, bias dan main politik


Penafian Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memanipulasi undi pos sebenarnya menjadi lelucon abad ini, kerana cerita orang lain mengundi bagi pihak anggota ATM bukan cerita baru.

Walaupun Jen Zulkifeli baru sahaja menjadi PAT, cerita ini sepatutnya tidak perlu dinafikan, sebalik berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada, bagi mengembalikan hak setiap rakyat negara ini, menjalankan tanggungjawab masing-masing – membuang undi di dalam setiap kali pilihan raya.

Kenapa cerita manipulasi undi pos tidak berlaku dalam pasukan polis? Kenapa tiada bekas polis yang tampil mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sebenarnya pernah diarahkan memangkah undi anggota lain seperti mana yang dilakukan bekas anggota tentera?

Kalau cerita ini seorang dua sahaja yang bercakap, ia mungkin tidak boleh masuk akal. Tetapi, boleh dikatakan semua bekas anggota tentera dan semua yang masih bekerja, kecuali Jen. Zulkifeli  dan tiga panglima cabang Tentera, termasuk Jen Dato' Zulkifli Zainal Abidin (PTD), Jen. Tan Sri Rodzali Daud (TUDM) dan Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar (TLDM) sahaja yang kelihatan bersungguh mahu menafikannya.

Perkara ini sepatutnya tidak perlu dinafikan. Ia sepatutnya perlu diperbaiki dan dijadkan proses mengundi ini lebih telus. Kenapa perlu dinafikan ketika  rakyat sedang memerhati segala tindak-tanduk ATM kebelakangan ini, termasuk kes terbaru anggota tentera ditembak dan sebahagiannya ditangkap kerana menyamun!

Sebenarnya memang terlalu sukar untuk mengetahui apa-apa kegiatan yang berlaku di dalam ATM. Agensi ini adalah agensi tertutup atas faktor keselamatan negara. Namun, pendedahan yang dilakukan ini, bukan kerana keselamatan tetapi kerana hak seseorang anggota dan hak sebagai seorang warga negara Malaysia.

Jen Zulkifeli yang menyifatkan pendedahan bekas tentera bahawa mereka diarahkan mengundi bagi pihak anggota lain sebagai suatu pengkhianatan dan usaha untuk menjejaskan moral warga ATM bolehlah dianggap suatu penafian ala politik tetapi dalam masa yang sama tidak pula mahu mengakui sedikit kebenaran yang sudah menjadi rahsia umum.

Walaupun beliau sebenarnya bertanggungjawab atas isu ini, tetapi perkara ini bukan perkara baru. Menjadi tanggungjawabnya, sebaik sahaja dilantik menjadi PAT, memperbaiki apa-apa sahaja kelemahan kerana tidak mungkin beliau tahu semua dan tidak mungkin beliau bercakap atas keikhlasan tanpa bertujuan melindungi pihak berkuasa.

Lebih menarik, ada juga bekas PAT terdahulu yang turut tampil membuat penafian sedangkan mereka yang terlibat, menjalankan tugas mengundi bagi pihak orang lain, tidak mungkin sanggup berbohong hanya kerana berniat untuk menjadi pengkhianat dan bertujuan menjejaskan moral warga ATM.

Jika Zulkifeli ikhlas, mengapa tidak diadakan satu jawatankuasa siasatan untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan jika perlu ambil tindakan undang-undang kepada pihak yang beliau anggap memfitnah.

Seramai mana anggota tentera yang sedang bertugas, ramai juga yang sudah bersara. Apakah mulut mereka ini boleh ditutup dari bercakap perkara-perkara yang mereka anggap benar dan mereka sendiri tahu bahawa soal mengundi bagi pihak orang lain ini, adalah sesuatu yang sudah diketahui umum.

Lebih menarik, Jen Zulkifeli mengaitkan cerita undi pos anggota tentera ini dengan kes Mismah Naim yang dikatakan mendapat taraf kewargenagaraan dalam tempoh singkat dan didaftarkan sebagai pengundi ketika dia masih bertaraf penduduk tetap.

Isu ini timbul sebenarnya atas kaji selidik yang dijalankan secara rambang dan kesilapan teknikal komputer SPR dengan JPN telah menyebabkan isu ini menjadi panas. Ia bukan fitnah jika JPN dan SPR ada jalinan kerjasama yang erat antara satu sama lain.

Sepatutnya Jen Zulkifeli tidak mengaitkan isu ini dengan mana-mana isu lain, kerana ATM adalah "sebuah pulau" yang tertutup dari dunia luar. Mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku dan cerita yang dikutip ini datangnya dari mereka yang pernah menjalankan tuas mengundi bagi pihak orang lain ketika mereka masih bekerja.

Selama ini, disebabkan ATM merupakan sebuah pulau, maka mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku di pulau mereka itu. Tetapi, di zaman dunia tanpa sempadan, Jen Zulkifeli tidak sepatutya masih berfikiran seperti "orang pulau" yang kononnya mereka sahaja yang tahu dan mengamalkan sindrom penafian.

Itulah sebanya cerita manipulasi undi pos ini hanya ditumpukan kepada ATM dan tidak polis, penjara, jururawat, bomba dan pasukan beruniform lain kerana semua pasukan beruniform lain tidak mempunyai "pulau sendiri" seperti ATM, seolah-olah mereka yang lain ini tidak terkait dengan isu keselamatan.

Eloklah jika ATM meneruskan perbincangan dengan SPR bagi menambah baik sistem undi pos kerana rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya. Aapabila sampai usia bersara bagi anggota tentera yang terlibat dengan undi ini, mereka tidak akan dapat menelan kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum itu.

Amatlah malang jika PAT dilihat sebagai orang politik dan bukan profesional. Walaupun Jen Zulkifeli mengatakan ATM adalah profesional dan tidak berpolitik, tetapi mereka sebenarnya bekerja di bawah sebuah kerajaan yang ditubuhkan hasil pertandingan dan pilihan raya parti-parti politik.

Sudah ramai bekas tentera yang menyertai politik, sama ada di kalangan BN mahupun pembangkang. Jadi, janganah kita asyik menafikan dakwaan mereka tetapi dalam masa yang sama, kita tidak berusaha membuktikan bahawa ATM kini menjadi semakin telus.

Janganlah kerana "berada di pulau sendiri" segala-galanya mahu dinafikan. Itulah sebabnya ada cerita enjin kapal terbang hilang. Itulah sebabnya ada cerita harga Mee Maggi RM4.50 sebungkus sedangkan di pasaran terbuka harganya cuma RM0.45 sebungkus.

Janganlah kerana alasan keselamatan, segala-galanya mahu ditutup begitu rupa. Ingat pepatah Melayu mengatakan "bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan tudung saji". Isu manipulasi undi pos ini sebenarnya isu besar dan sudah lama diperkatakan.

Meminta pihak yang membuat dakwaan membuktikan dakwaan mereka bukanlah sesuatu yang bijak kerana ATM yang menjadi sasaran sepatutnya membuktikan bahawa mereka bersih dan telus dan tidak pernah berlaku penyelewengan undi pos.

Sindrom penafian ini biarlah ia menjadi alat orang politik apabila diserang tetapi ATM tidak boleh menggunakan strategi yang sama bila berdepan dengan serangan seperti ini.- SAFAR JUMAAT

Mengapa perkhidmatan awam menjadi "perkakas" parti pemerintah Umno-BN?


Kontroversi yang timbul ekoran kenyataan Panglima Angkatan Tentera (ATM),  Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yang membidas Dewan Pemuda PAS kerana mendedahkan penipuan undi pos di kalangan tentera membangkitkan banyak persoalan. Ini termasuk kedudukan dan kesetiaan anggota tentera khususnya dan perkhidmatan awam umumnya. Editor DATO' TARMIZI MOHD JAM menemui pakar perlembagaan Profesor Dr. Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan mengenai isu-isu rumit itu.

ATM adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan; apakah ia mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan cabang perkhidmatan awam yang lain seperti pasukan polis, bomba, guru-guru, para doktor dan jururawat, pegawai PTD dan sebagainya...

PROF DR. ABDUL AZIZ BARI: Tidak ada perbezaan, tetapi oleh kerana angkatan tentera mempunyai fungsi dan tugas tertentu ia mempunyai undang-undang dan peraturan yang tersendiri. Ini termasuk umur persaraan dan seumpamanya. Begitu juga dengan undi melalui pos yang menjadi isu itu. Tetapi ini semua diizinkan kerana tugas dan persekitaran mereka; bukan sengaja dibuat untuk memberi kelainan tanpa sebab.

Apa kaitan dan hubungan perkhidmatan dengan kerajaan yang memerintah, baik di peringkat Persekutuan atau negeri?

Hubungannya ialah perkhidmatan awam itu adalah sebahagian kerajaan atau eksekutif. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kakitangan awam boleh digunakan sesuka hati oleh kerajaan yang memerintah untuk kepentingan mereka. Kakitangan awam adalah milik rakyat dan pembayar cukai. Dan sebenarnya perkhidmatan awam itu diwujudkan untuk melindungi rakyat; supaya perkhidmatan dapat diberikan secara profesional dan tidak mengikut kepentingan politik. Cuba kita bayangkan kalau polis hanya memberi khidmat kepada ahli-ahli Umno sahaja sedangkan gaji anggota polis dibayar oleh semua rakyat tanpa mengira anutan politik mereka. Begitu juga dengan perkhidmatan kesihatan atau bomba. Sebab itu pada hakikatnya perkhidmatan awam ini adalah sejenis perlindungan untuk semua rakyat; yakni supaya apa pun parti politik yang menjadi kerajaan perkhidmatan awam tetap tidak memihak dan memberi khidmat secara profesional mengikut merit.

Antara isu penting yang berbangkit ialah soal kesetiaan dan dalam soal ini perkhidmatan awam hanya perlu setia kepada Yang DiPertuan Agong dan Raja masing-masing. Apa perbezaan antara setia dan menjalankan perintah ini?

Kesetiaan dan menurut perintah ini boleh jadi dua perkara yang berbeza. Kesetiaan adalah sesuatu yang abstrak dan kesetiaan ini hanya untuk negara. Lambang bagi negara ialah Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja atau Yang DiPertua Negeri kalau di peringkat negeri. Tetapi mereka secara umumnya tidak mengeluarkan perintah kerana mereka tidak memerintah. Yang memerintah atau lebih tegas mentadbir ialah kerajaan. Sebab itu manakala kesetiaan diberikan kepada negara kepatuhan perintah boleh diberi kepada kerajaan. Tetapi kita kena ingat hanya perintah yang sah di sisi undang-undang sahaja yang boleh diikut. 

Bagaimana dengan memangkah kertas undi orang lain?

Memangkah kertas undi orang lain adalah salah; ia adalah jenayah dan tidak boleh dipatuhi. Bahkan sepatutnya perbuatan itu dilaporkan kepada pihak yang berkenaan. Kerajaan tidak boleh memaksa kakitangan awam membuat apa yang diperintahkannya atas nama kesetiaan. Kerajaan tidak berhak menuntut kesetiaan. Negara dan kerajaan adalah dua entiti yang berbeza. Sebab itu kita boleh benci kerajaan dan dalam masa yang sama sayang dan cinta kepada negara.

Mengapa ramai yang keliru dengan kedua-dua perkara itu?

Kekeliruan itu timbul kerana Umno-BN terlalu lama memerintah; jadi rakyat tak dapat bezakan antara negara dan kerajaan. Dalam pada itu oleh kerana terlalu lama memerintah mereka jadi angkuh dan bongkak dan berupaya menakut-nakutkan institusi-institusi yang sepatutnya bebas dan berintegriti. Apabila istana, kehakiman, perkhidmatan awam, dan badan-badan tertentu seperti SPR sudah jadi alat maka rakyat semakin kabur dan apa yang kita katakan ini tidak dapat mereka lihat.

Ada yang mendakwa bahawa setia kepada Raja itu ertinya setia kepada kerajaan kerana Raja mengikut nasihat kerajaan...

Dakwaan itu kurang tepat. Ini kerana bukan semua tindakan kerajaan itu betul. Memang tindakan kerajaan ada yang dibuat atas nama Yang DiPertuan Agong tetapi jika ini melanggar undang-undang tindakan itu boleh dipersoalkan atau dibawa ke mahkamah. Dalam pada itu Yang DiPertuan Agong atau Raja boleh engkar nasihat kerajaan jika nasihat itu bertentangan dengan undang-undang. Kita kena jelas bahawa meskipun tindakan kerajaan dibuat atas nama raja ini tidak bermakna raja semestinya kerajaan dan kerajaan itu raja. Ada masa-masa Raja dan kerajaan itu adalah dua entiti yang berbeza. Berbalik kepada undi pos itu apa yang menjadi isu sekarang ialah dakwaan wujudnya penipuan dan penyelewengan dalam pengendalian undi pos. Saya tidak fikir wajar Yang DiPertuan Agong diseret untuk mempertahankan jenayah yang berlaku itu.

Jadi tanggapan yang mengatakan kakitangan awam mesti setia dengan kerajaan yang memerintah itu tidak betul?

Tidak betul, kakitangan awam tak perlu setia dengan kerajaan itu walaupun mereka perlu buat kerja yang diperintahkan. Sebab itu kakitangan awam boleh sokong dan undi pembangkang. Sebab itu saya selalu katakan kewajipan aku janji yang Mahathir buat pada tahun 2000 itu salah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Apa yang betul ialah sikap yang ditunjukkan, contohnya oleh Kerajaan Negeri Kedah; mereka mahu kakitangan awam bekerja tetapi tegas mengatakan bahawa kakitangan awam di negeri itu tidak perlu menyokong PAS. Pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Razak ini betul dan tepat di sisi Perlembagaan.

Apa masalah kita sebenarnya?

Saya fikir masalah yang kita hadapi ialah apabila ada pihak yang tidak konsisten dan hanya merujuk kepada undang-undang apabila ia menguntungkan mereka. Malang sekali Umno-BN dalam keadaan terdesak menyeret raja dan macam-macam lagi. Saya ingin ulangi bahawa Panglima ATM silap dalam menangani dakwaan penipuan undi pos ini. Sebagai ketua sebuah jabatan kerajaan beliau sepatutnya berhemah; yakni membuat siasatan. Bukan menghentam pihak yang cuba membanteras penipuan itu. Adalah tidak wajar bagi Panglima ATM melabel bekas tentera dan pihak tadi pengkhianat negara. Saya fikir pengkhianat sebenar ialah mereka yang tidak mahu mengambil tindakan membanteras perkara terkutuk itu.

Berbalik kepada hubungan antara kakitangan awam dengan kerajaan ada yang mendakwa bahawa mereka perlu bekerja dan membantu kerajaan yang dipilih...

Ya, itu betul. Tetapi soalnya mengapa kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Umno-BN membuat sabotaj di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang? Mengapa mereka tidak konsisten? Kalau mereka benar-benar komited dengan kedudukan perkhidmatan awam itu mereka tidak harus melakukan sabotaj melalui pegawai-pegawai kerajaan sebagaimana yang telah kita saksikan banyak kali di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. 
Di Perak, ia malah sampai ke tahap menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Kita juga kena sedar bahawa ada kalangan kakitangan awam yang hipokrit. Mereka kata mereka sekadar bekerja membantu kerajaan yang sah. Yang jadi masalah ialah mengapa mereka mesti bersekongkol melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang yang diperintahkan oleh Kerajaan Persekutuan? 

Mengapa ini boleh terjadi?

Pegawai-pegawai itu sebenarnya hendak membodek Umno-BN dan berdaleh kononnya hendak membantu kerajaan yang sah dipilih rakyat. Mereka tidak konsisten. Pasukan polis sebagai contoh; mengikut undang-undang kerja polis ialah mempastikan wujudnya keamanan dan ketenteraman supaya demokrasi dapat berjalan. Tetapi apa yang berlaku? Mereka kacau program pembangkang. Mereka kasari Himpunan Aman Bersih 2.0 yang aman, yang mahu menuntut pilihan raya yang bersih. Dalam masa yang sama polis tidak buat apa-apa terhadap para penyokong Umno-BN yang bertindak ganas dan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang rasis dan menghasut. Ini contoh klasik di mana perkhidmatan awam menjadi agen parti pemerintah; sesuatu yang jelas melanggar perlembagaan. Tetapi apa yang kita boleh buat? Hendak ke mahkamah? Saya fikir kita semua tahu apa hasilnya.

Perangai berpihak SPR betul-betul ancam demokrasi tegas Prof Dr Abu Hassan Hasbullah


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mempunyai keinginan berpihak apatah lagi benar-benar berpihak, tegas Pengerusi Zentrum Future Studies, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah (foto kiri).

Malah katanya, niat berpihak pun sudah menjadi ancaman kepada demokrasi kerana SPR adalah sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab terhadap operasi melaksanakan demokrasi. Katanya, sudah pasti dalam kurun ke 21 ini, manusia telah berusaha berdoa, bergerak untuk mempunyai kehidupan demokrasi yang sangat sempurna.

Dr Abu Hassan berkata, negara yang menentang demokrasi selalunya akan bedepan masalah dengan rakyatnya dan ini dibuktikan kejatuhan Tunisia, Mesir dan terbaru Libya pada suatu ketika dulu mereka juga pemimpin yang melaungkan demokrasi.

"Tetapi kerana mereka terpedaya dengan kuasa yang ada sehingga sanggup menindas rakyat, akhirnya mereka melakukan onar demokrasi sehingga menyebabkan mereka tumbang," katanya.

Malaysia sentiasa melaungkan mahu menjadi model negara demokrasi yang tulin tetapi SPR sebagai agensi yang diberi amanah, tanggungjawab serta menjalankan tugas demokrasi dipersoalkan dalam menjalankan tugas dengan budiman, tulus dan sempurna. Jika agensi itu katanya, tiba-tiba melakukan perkara yang bertentangan dengan semangat dan prinsip demokrasi pasti akan mengecewakan rakyat.

Negara juga tidak akan pergi kemana dan ia akan berada dalam keadaan yang tidak sempurna. Ia katanya, akan membuatkan negara dilihat sebagai gagal merai atau melayari keinginan masyarakat untuk hidup di dalam sebuah peradaban demokrasi yang sempurna.

"Kakitangan atau sesiapa sahaja termasuk pengerusi dan pegawai tinggi SPR dan institusinya tidak boleh sama sekali mempunyai untuk menyebelahi mana-mana pihak atau bersikap tidak adil.

"SPR haruslah menjadi penanda kepada kewujudan masyarakat dinamik serta progresif mengamalkan demokrasi yang agung dan tulin," tegasnya. Dr. Abu Hassan berkata, jika SPR tidak boleh dipercayai sudah pasti negara tidak mempunyai harapan sebagai sebuah demokrasi yang baik.

Secara akedamiknya, tegasnya, rakyat mahu SPR mempunyai prinsip dan kepercayaan yang jelas, mereka mesti bertanggungjawab terhadap semua pihak baik kepada kerajaan yang memerintah mahupun parti yang bertanding.

"Kita juga tidak mahu SPR menjadi tunggang langgang akibat ditunggangi oleh mana-mana pihak. Mereka tidak seharusnya lemah atau tidak berdaya sebaliknya perlu mempunyai prinsip yang membawa kepada pemurnian demokrasi itu sendiri," tegasnya.