KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 11, 2012

Jahatnya juak-juak Umno memutar belit fakta, Raja Berperlembagaan menolak tuduhan republik


Salah satu fitnah yang dilemparkan oleh Umno-BN kepada Pakatan Rakyat ialah bahawa jika Pakatan memerintah sistem beraja akan dihapuskan. Dengan kata lain negara ini akan jadi republik. Antara mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Dr Khir Toyo dan Dato' Dr Hasan Ali. Saya katakan fitnah kerana perkara itu tidak betul, tidak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah membuat kenyataan sedemikian.

Sebaliknya ada ramai pemimpin Umno yang pernah menyebut perkara tersebut; sama ada membayangkan bahawa sistem beraja boleh terhapus atau secara tegas mempersoalkan kegunaan dan relevan sistem berkenaan dalam sistem pentadbiran negara sekarang. 

Ini termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Khususnya ketika beliau menghujah mengapa kuasa-kuasa tertentu Raja-Raja perlu dihapuskan pada 1983 dan juga ketika imuniti Raja-Raja hendak dihapuskan pada 1993. Beliau menyebut hal-hal itu di dalam dan di luar parlimen. Di sisi undang-undang Malaysia hatta sekiranya perkara itu disebut dalam parlimen sekalipun ia tidak akan dilindungi oleh keistimewaan parlimen. Begitulah teruknya undang-undang hasutan kita. 

Bagaimanapun oleh kerana Mahathir adalah Perdana Menteri maka Peguam Negara tidak mengambil tindakan. Bukan itu sahaja Peguam Negara – ketika itu Tan Sri Abu Talib Othman - malah tolong mencari hujah mengapa hujah Mahathir perlu diterima.

Mahathir juga memperlihatkan sikiap sama ketika Istana Perak menghadapi kritikan kerana sikap dan pendekatan mereka yang dilihat menyebelahi Umno dalam krisis yang akhirnya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada awal 2009. 

Bagaimanapun Mahathir tidak terlalu ke depan dengan sikap tidak selesanya dengan kuasa istana kerana ketika itu Umno jelas mahu menggunakan istana untuk mempertahankan kedudukan parti itu yang semakin kehilangan sokongan rakyat. Apa pun Mahathir memang berdolak dalik khususnya apabila beliau tersepit. Sebab itu walaupun beliau mengutuk Raja-Raja pada 1983 Mahathir sanggup melutut memohon simpati Istana Johor apabila Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1987. 

Dan di situlah Umno Baru ditubuhkan. Hal yang sama berlaku pada 1999 sewaktu Mahathir bergelut dengan arus penentangan Reformasi yang meletus selepas Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan. Mahathir sanggup mencium tangan Sultan Ismail Petra dalam usaha mengemis sokongan. Padahal Sultan Kelantan itulah yang menjadi sasaran kecaman beliau sewaktu pindaan perlembagaan mengenai imunuti Raja-Raja pada 1993.

Itu semua membangkitkan persoalan mengenai sikap Mahathir khususnya dan Umno amnya terhadap institusi beraja. Dari apa yang kita lihat saya fikir mereka tidak ada konsep yang jelas. Apa yang jelas ialah mereka hanya berminat dengan istana – seperti juga konsep perkhidmatan awam yang telah kita singgung sebelum ini -  jika ia selaras dengan  kepentingan politik mereka, yang jelas dan konsisten bagi Umno ialah kepentingan politik semasa.

Salah satu komitmen Pakatan dalam Buku Jingga ialah mempertahankan konsep raja berperlembagaan. Bagaimanapun perlembagaan tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan konsep berkenaan. Yang disebut oleh perlembagaan cuma Raja wajib melaksanakan nasihat kerajaan yang memerintah. 

Suruhanjaya Reid juga tidak menjelaskan apa yang mereka maksudkan dengan prinsip raja berperlembagaan, ia cuma menyatakan bahawa raja berperlembagaan ialah raja yang lazim difahami dan dilaksanakan dalam konteks demokrasi berparlimen. Sultan Azlan Shah pernah menulis bahawa raja berperlembagaan ialah raja yang kuasa-kuasa disebut dalam perlembagaan. 

Bagaimanapun selepas krisis politik yang menyeret Istana Perak baginda bertitah bahawa kuasa raja tidak terhad kepada apa yang termaktub di dalam perlembagaan. Tidak berapa lama selepas itu Mahathir sendiri menyanggah pendapat berkenaan; satu lagi contoh menunjukkan betapa mantan Presiden Umno ini tidak konsisten dan berdolak dalik dalam memperkatakan konsep raja berperlembagaan.

Meskipun definisi tepat raja berperlembagaan itu tidak disebut di mana-mana saya fikir ia adalah konsep yang pelaksanaannya selaras atau seiring dengan ideal atau hakikat perlembagaan. Tidak perlulah kita bertengkar sama ada kuasa raja itu terbatas kepada apa yang ada dalam peruntukan perlembagaan atau sebaliknya. Apa yang penting ialah pelaksanaannya perlu selaras dengan maksud perlembagaan.

Sebagai contoh penolakan oleh Sultan Azlan Shah terhadap permohonan membubar dewan oleh Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin memang masih berada dalam kerangka peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Tetapi semua orang tahu bahawa keputusan itu tidak selaras dengan maksud dan hakikat perlembagaan kerana ia berakhir dengan istana mengambil haluan yang bertentangan dengan kehendak demokrasi yang menjadi nadi undang-undang tubuh itu sendiri. 

>> Artikel ini ditulis oleh Dr Abdul Aziz Bari ialah mantan Profesor Undang-undang di UIAM, Gombak 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Fantastic blog! Do you have any rеcommеndаtіοns foг asρiring ωriterѕ?
I'm planning to start my own site soon but I'm a little lost on everything.
Would уou recommend starting wіth a free platfoгm liκe Wordpress оr gо for a paid оption?
There аre sο mаny choіces οut there that I'm completely overwhelmed .. Any recommendations? Appreciate it!
Review my website : blu cigs review