KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 11, 2012

Transformasi mega perbaiki amal sepanjang Ramadan kareem 2012 - Ustaz Nik Zawawi Salleh


---------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadan Kareem datang lagi. Apakah kehadirannya hanya sekadar bulan untuk menahan lapar dahaga? Sejauh mana persediaan yang sepatutnya bagi seorang mukmin dalam menghadapi bulan ini? Wartawan NYZA AYOB mendapatkan butiran Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh mengenai persediaan serta keistimewaan Ramadan ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan, harus disertai dengan persediaan dan persiapan agar apa yang kita lakukan itu sempurna. Begitu juga dengan kedatangan Ramadan.  Apakah persiapan utama kita sebagai mukmin dalam menghadapi bulan penuh berkat ini?

USTAZ NIK ZAWAWI SALLEH: Kita perlu memahami ibadat Ramadan ini adalah suatu ibadah yang kita mesti terima acuan ibadat itu sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Dalam erti kata lain kita tidak boleh menyambut Ramadan ini dengan budaya, adat dan tradisi. Ini kerana ibadat Ramadan datangnya daripada Allah dan telah ditunjukkan cara dan peraturannya oleh Nabi Muhammad. Umat Islam apabila datangnya Ramadan, mereka sambut dengan tafsiran sendiri. Ada yang terpesong daripada apa yang ditetapkan Rasulullah. Contoh yang paling mudah, mereka tidak apabila berpuasa tidak lebih daripada menahan diri daripada makan dan minum serta memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Sedangkan Ramadan yang diajar oleh Rasulullah ialah sebagaimana disebut "Barang siapa yang menyambut Ramadan dengan penuh  keimanan dan pengharapan (pengampunan Allah), Allah akan ampunkan dosanya yang lampau dan akan datang".

Boleh Ustaz jelaskan mengenai keimanan dan pengharapan kepada Allah di bulan Ramadan ini?

Iman maknanya kita memahami dan meyakini  bahawa Ramadan yang dianugerahkan kepada kita ini datangnya daripada Allah dan ia merupakan satu rahmat kepada umat Islam untuk membebaskan diri mereka daripada azab api neraka. Sebagaimana di dalam hadis, "sepuluh yang pertama adalah rahmat, sepuluh yang pertengahan adalah pengampunan dan sepuluh yang terakhir adalah pembebasan daripada api neraka". Jadi ini merupakan peluang yang sangat besar. Dan ia tidak munasabah jika hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Sebab itu Rasulullah apabila menyambut Ramadan, Baginda menyambutnya dalam erti kata yang sebenar dan ia menjadi ikutan para sahabat. Para sahabat memanggil Ramadan ini dengan pelbagai seperti 'bulan jihad' iaitu Ramadan ini adalah bulan untuk kerja kuat bagi perjuangan Islam. Dipanggil juga Ramadan ini 'bulan Al-Quran'. Iaitu Ramadan ini adalah bulan untuk kita membasahkan mulut dengan membaca Al-Quran. Dipanggil juga Ramadan sebagai 'bulan rahmat dan keampunan', iaitu dibuka peluang oleh Allah untuk kita bertaubat. Ini juga bermaksud ia satu bulan untuk kita mengangkat tangan serta memuhasabah diri kita, banyaknya dosa yang kita telah lakukan dan kemudian kita memohon keampunan dari-Nya.

Ini bermakna di bulan ini kita harus memperbanyak amalan dan memohon keampunan kepada-Nya?

Sebab itu dalam Al Quran, diajar kepada kita sebelum waktu subuh, apabila kita bangun, kita memohon istighfar daripada Allah. Waktu sahur sepatutnya kita jangan bangun semata-mata untuk kita makan. Kita bangun untuk memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat di kala manusia sedang nyenyak tidur. Dan kita harus ingat Ramadan bukanlah sekadar bulan untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi mendidik diri menjadi manusia yang baik. Dan Ramadan seharusnya menjadi bulan yang akan memberi suntikan semangat yang tinggi kepada kita untuk meningkatkan kerja-kerja Islam.

Pelbagai peristiwa berlaku di bulan Ramadan. Boleh Ustaz jelaskan perkaitan peristiwa yang berlaku dengan Ramadan?

Jika Rasulullah pada  bulan Ramadan, Baginda menceburi peperangan. Peperangan Badar berlaku pada Ramadan. Pembukaan kota suci Mekah juga berlaku pada bulan Ramadan. Separuh daripada peristiwa Ahzab berlaku pada bulan Ramadan. Pembukaan negara Yaman dan Andalus juga berlaku pada bulan mulia ini. Pembebasan kota suci Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi juga pada bulan ini. Ia memberi gambaran bahawa bulan Ramadan ini Rasulullah, para sahabat dan para tabi'in serta pejuang yang lain mereka mengisytiharkan bulan ini sebagai bulan peningkatan diri untuk bekerja untuk Islam.

Bagaimana pula  konteks perjuangan kita di Malaysia ini yang dapat kita laksanakan pada Ramadan?

Dalam konteks di Malaysia, kita tidak mengambil pendekatan peperangan. Tetapi kita mengambil jalan demokrasi. Kita bermesyuarat dan menganjurkan program. Jadi, sebelum kita menghadapi Ramadan, kita telah susun program apa yang kita akan lakukan sepanjang Ramadan. Itu persiapan yang kita lakukan daripada sudut perjuangan dalam menegakkan syariat Allah.

Daripada sudut kerohanian pula, bagaimana kita ingin menanam kecintaan terhadap Ramadan?

Di sudut kerohanian pula, perkara yang kita perlu ingat ialah kita kena tanam dalam diri kita sebelum kita menyambut Ramadan, kecintaan kepada Ramadan. Biarlah kita rasa semangat di bulan Ramadan. Tetapi kebanyakan masyarakat kita apabila munculnya Ramadan, semangat semakin luntur. Apabila ingin mengadakan sesuatu program, kebanyakannya menangguhkan atau mempercepatkan sebelum tibanya Ramadan. Sedangkan pada zaman Rasulullah, banyak perkara yang akan dilakukan sebelum Ramadan, Baginda menangguhkannya untuk dilaksanakan pada Ramadan. Ini bermakna kita menyambut Ramadan dalam keadaan kita benar-benar memahami konsep Ramadan yang dituntut Allah dan ditunjukkan Rasulullah. Apabila perkara ini kita tekadkan dalam minda kita, kita akan faham bulan Ramadan adalah bulan untuk kita berkorban dan bulan untuk kita menghayati bagaimana agar iman kita ini diangkat Allah. Yang keduanya kita menerima pakai apa jua perkara yang ditunjukkan Rasulullah dalam soal Ramadan. Baginda menunjukkan secara praktikal. Nabi bersabda: "Berapa ramai orang yang berpuasa ini dia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga". 

Apa maksud yang mudah kita faham...

Maknanya orang yang tidak makan dan minum, tidak diberi jaminan oleh Allah puasanya diterima. Ini bermakna, apabila puasa kita kena ambil Ramadan ini sebagaimana yang diajar Rasulullah dan jangan kita tafsirkan sendiri. Apabila seseorang itu memahami konsep Ramadan yang sebenar, sudah tentulah dia tidak akan jadi seperti sesetengah masyarakat yang hanya bersemangat pada awal Ramadan termasuk melaksanakan sembahyang sunat terawih, tetapi hanya bertahan hanya beberapa hari. Apabila semakin penghujung Ramadan, semangatnya sudah berkurangan. Sedangkan kita sepatutnya mengambil kesempatan Ramadan ini daripada awal sehingga akhir. Selain  tidak makan dan minum, kita harus menghias Ramadan dengan amalan lain. Seumpama sedekah dan infak kepada perjuangan Islam. Di samping  kita memperjuangkan Islam itu sendiri. Selain itu amalan-amalan kita juga perlu dipertingkatkan. Ini termasuk membaca Al-Quran. Jika Ramadan tahun lepas kita hanya khatam satu kali, tahun ini kita tingkatkan keazaman  untuk khatam dua kali.

Bagaimana kita hendak mendidik diri agar dapat menghayati dan melaksanakan tuntutan Ramadan dengan sempurna?

Begitu juga daripada segi taubat kepada Allah. Nabi Muhammad menyebut: "Apabila datangnya Ramadan, Allah buka semua pintu syurga dan Allah membelenggu semua syaitan dan akan menutup pintu neraka".  Konsep ini seharusnya kita fahami sebelum kita menyambut Ramadan. Adakah Allah buka pintu syurga seluas-luasnya hanya kerana kita tidak makan dan minum? Adakah hanya sekadar itu? Sudah tentulah jawapannya tidak. Jika sekadar tidak makan dan minum, lebih baik Allah buka pintu syurga kepada orang miskin. Ada antara mereka hampir setahun tidak makan dan minum kerana kemiskinan. Tidak makan dan minum hanya satu juzuk sahaja daripada Ramadan. Dan kita mesti menyempurnakan juzuk yang lain yang lebih besar. Dalam perkara kita dengan Allah, kita perlu ingat Allah maha berkuasa. Allah mempunyai sifat pemurah, penyanyang dan pengampun. Allah tidak menzalimi manusia dan tidak pernah memungkiri janji.  Apabila kita kenal siapa dia Allah, dalam waktu yang sama kita kena kenal diri kita. Walaupun kita ini berkedudukan, berpangkat dan berharta, kita perlu ingat Allah sayang kepada kita. Maka, apa yang Allah anugerahkan itu jangan kita khianati. Allah bagi kita harta, tiba-tiba kita mengkhianati diri kita sendiri. Begitu juga jika Allah bagi kita anak-anak dan kita khianati, itu juga tidak boleh. Sebab itu dalam konteks Ramadan Al Mubarak, apabila kita kenal Allah dan kita kenal diri kita, maka dalam waktu yang sama, kita akan hampir dengan Allah. Apabila kita kenal Allah dan dekat dengan Allah, disebut dalam hadis, "Sesiapa yang datang kepada Allah satu jengkal, Allah akan datang kepadanya satu hasta. Apabila dia menuju kepada Allah satu hasta, Allah akan datang kepadanya satu depa. Apabila dia berjalan kepada Allah, Allah akan berlari dengannya". Hadis ini memberi gambaran Allah terlalu kasih kepada kita. Apabila kita menyempurnakan ibadat Ramadan, apabila kita dapat menghadirkan dalam diri kita, Insya-Allah, Dia akan terima apa yang kita minta dan keampunan yang kita pohon kepadaNya. Sebab Allah itu maha kaya. Dia boleh bagi apa sahaja yang diinginiNya kepada manusia. Khazanah Allah itu tidak pernah berkurang. Jadi apabila kita benar-benar menghayati perkara ini, Insya-Allah,  Dia akan  sayang kepada kita dan akan tunaikan apa yang kita minta daripadaNya. 

Apakah taubat dan pengampunan setiap umatnya diterima pada Ramadan ini?

Ini  termasuklah kita pohon keampunan. Dan kita kena kenal diri kita. Kita ini banyak dosa dan banyak kesalahan kepadaNya. Syariat Allah kita tinggal. Dalam masyarakat kita ada yang kuat berjuang, kuat bertakbir tetapi sembahyang subuh lewat, Al-Quran tidak dibaca dan majlis  ilmu tidak hadir. Ada orang yang nampak baik daripada segi fizikal, berjubah dan berserban tetapi tolak perjuangan Islam. Sebagai manusia kita banyak kekurangan. Jadi, apabila kita ingat kekurangan ini, di bulan Ramadan kita berazam setinggi-tingginya untuk kita perbaiki diri kita dan seterusnya kita pohon keampunan daripada Allah. Kita tinggalkan semua sekali perkara-perkara negatif ini. Kemudian kita mulakan dengan azam yang baru. Apabila azam kita ini begitu tinggi, saya yakin tidak ada sebab Allah yang maha penyanyang dan pengampun, tidak menerima taubat kita. Itu satu perkara yang bercanggah dengan sifat Allah. Saya yakin Allah akan terima taubat dan amalan kita terutama dalam bulan Ramadan ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi there, this weekend is fastidious in favor of me,
as this occasion i am reading this enormous educational paragraph here
at my residence.

my blog - acoustic guitar a chord

Tanpa Nama berkata...

I think the admin of this site is genuinely working hard for his site, since here every data is quality
based data.

my page www.motorbikeexplorer.com

Tanpa Nama berkata...

I think this is one of the most significant info for me.
And i am glad reading your article. But wanna remark on few general things, The site style is wonderful, the articles is
really great : D. Good job, cheers

My website - life insurance