KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 26, 2013

Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa digugur anggotai Majlis Syura Ulama PAS

Majlis Syura Ulama PAS dalam mensyua- ratnya pada 13 Januari lalu telah memutuskan untuk menggugurkan Ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai anggotanya. Keputusan itu dibuat kerana beliau didapati telah melanggar peraturan-peraturan berjamaah seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama PAS, lapor Harakah Bil 1813 Edisi Isnin, 29 Januari 2013 pada muka belakangnya.

Setiausaha Majlis Syura, Dato' Nik Muhamad Zawawi Salleh menjelaskan, selain itu, Majlis Syura Ulama PAS juga mendapati tindak tanduk Nasharudin kebelakangan ini merugikan parti. Menurut beliau, selain itu, gelagat bekas Timbalan Presiden PAS itu juga didapati telah menimbulkan suasana yang keroh di kalangan ahli-ahli parti.

Majlis Syura Ulama PAS juga mendapati tindak tanduk Nasharudin kebelakangan ini telah menimbulkan fitnah bagi jamaah, di samping bercanggah dengan kaedah-kaedah dan pendirian yang dibuat oleh parti, tegasnya kepada Harakah 25 Januari lalu.

Bagaimanapun, tegas Ustaz Nik Zawawi, keahlian Nasharudin dalam PAS masih dikekalkan, tetapi kedudukannya sebagai ahli biasa sahaja.

Ustaz Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS hanya menggugurkan beliau sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS, bukannya menggugurkan beliau daripada parti.

Polis, Najib, Umno-BN, semua terkejut besar! Terpaksa fitnah HKR112 jadi "Himpunan Samsidar"


Satu pertanyaan yang hendak ditimbulkan kepada mereka yang berkuasa di media massa mesra Umno, kenapa mereka tiba-tiba risau dengan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112), Sabtu, 12 Januari 2013 lalu? Apakah mereka panik seperti mana paniknya Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Najib Tun Razak, ketika melihat kehadiran begitu ramai manusia yang sehati dan sejiwa, membantah kerajaan di bawah pimpinan BN?

Lebih mengejutkan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin terus "menghilangkan diri" daripada memberi komen isu ini, kecuali menyebutnya sekali sebagai "Himpunan Shamsidar!"

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor, Dato' Seri Ir Mohd Zin Mohamad pula mengeluarkan kenyataan, BN tidak gentar dengan kehadiran begitu ramai dalam HKR112 itu. Apa pun ulasannya, apa pun yang mereka kata, sebenarnya semua pihak terkejut. Pihak polis sendiri terkejut kerana mereka tidak menyangka, jika tiada provokasi, memang tiada keganasan dan rusuhan.

Bagi mereka, khususnya orang-orang Umno, biarlah ada rusuhan supaya mudah mereka menjadikan isu keganasan ini adalah budaya parti-parti pembangkang, PAS, KeADILan dan DAP. Malangnya, apa yang mereka harapkan tidak menjadi. Lidah masing-masing terkelu dan mulut masing-masing terkunci. 

Maka, tiadalah komen-komen yang bernas keluar dari mulut mereka, kecuali Najib mengatakan, ia suatu gambaran kejayaan "transformasi" yang dilakukannya! Sambil mengatakan beliau tidak bersetuju dengan perhimpunan itu, tetapi Najib terlupa bahawa, HKR112 adalah atas cabaran yang pernah dibuatnya suatu ketika dahulu. 

Katanya, kalau nak berhimpun, berhimpunlah di stadium. Kita boleh sediakan stadium! Kenapa sekarang, bila melihat begitu ramai orang datang dari pelbagai tempat, Najib tiba-tiba mengatakan beliau tidak bersetuju? 

Sudah "tukarkah", kata seorang pelawak dalam program televisyen! Najib usah kira apa yang beliau bersetuju sahaja akan berlaku di negara ini. Beliau juga harus belajar untuk bersetuju dengan apa yang rakyat bersetuju. 

Selama ini, beliau mahukan rakyat bersetuju dengan apa yang beliau bersetuju, sesekali dan kebetulan dalam tahun 2013 ini, baru sekali, HKR112 diadakan! Jadi, kenalah bersetuju dengan apa yang rakyat setuju dan menerima apa yang rakyat mahukan!

Satu perkara lagi, pihak polis juga dikatakan terkejut apabila tidak berlaku kesesakan jalan raya. Jalan-jalan utama, termasuk Chow Kit tidak sesak dan lalu lintas berjalan seperti biasa. Kerana apa? Tentulah jawapannya kerana tiada "road-block"

Maka, sekarang polis kena tahu bahawa punca kesesakan jalan raya bukan kerana peserta perhimpunan tetapi kerana sekatan jalan raya yang pihak polis lakukan! Banyak perkara yang kerajaan kena perhatikan selepas HKR112 ini. Jika benar Najib mahu mengadakan transformasi, beberapa kejadian dan insiden yang berlaku ini adalah testimoni yang tepat.

Kenapa harus cemburu dengan kehadiran begitu ramai peserta himpunan? Adakah kerana BN selama ini gagal untuk menghimpunkan seramai ini secara sukarela? Atau, mereka gerun kerana ia memberi isyarat selepas PRU-13, BN tidak lagi berada di Putrajaya?

Ramai yang simpati dengan Senator Nallakaruppan. Dia betul-betul mencari nyawa dalam politik. Dia timbulkan cerita HKR112 ini sebagai "Himpunan Shamsidar". Ramai yang tidak percaya, kecuali beberapa orang budak-budak suruhan yang bertopengkan NGO mengeluarkan kenyataan dalam akhbar mesra Umno, yang sudah semakin tidak laku di pasaran.

Yang peliknya, TPM Muhyiddin Yassin juga tergamak menyebut HKR112 ini adalah "Himpunan Shamsidar". Begitu rendah akhlaknya. Berbohong kepada rakyat Malaysia, padahal PM Najib tidak sedemikian. Media massa mesra Umno tidak boleh selama-lamanya berbohong. Rakyat kini semakin celik.

Mereka boleh akses pelbagai maklumat dari internet. Mereka juga boleh melihat gambar-gambar HKR112 dalam pelbagai akhbar berbahasa Cina. Tidak malukah akhbar-akhbar mesra Umno dengan semua ini? Adakah mereka sudah mencincang lumat etika kewartawanan? Apakah maruah kewartawanan sekarang sudah menjadi begitu jijik?

Kita semua, boleh berbohong sekali. Itu mungkin jika terpaksa demi menjaga periuk nasi. Tetapi mana mungkin kita berbohong setiap hari? OCPD Dang Wangi mengatakan sekitar 40,000 hingga 45,000 yang hadir. Ada yang mengatakan sekitar 70,000-80,000. Ada pula yang mengatakan 200,00 hingga 300,000. Ada yang mengatakan 500,000. 

Lebih menarik, ada yang mengatakan 700,000 yang hadir. Bila soalan ini ditanyakan kepada seorang penganalisis politik veteran, dia menjawab, semua angka itu benar kerana masing-masing melihat dengan kemampuan masing-masing.

Ada yang duduk dalam stadium, tidak tahu apa yang berlaku dalam stadium. Yang duduk di luar stadium, tidak nampak ramai mana yang berada di dalam stadium. Yang tidak sempat rapat ke kawasan stadium, tidak tahu ramai mana di dalam dan di luar stadium. Maka, Najib dan Muhyiddin bukan sahaja perlu panik, malahan mereka "perlu berubah sebelum rebah".

Malangnya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga panik. Sepatutnya dia tidak perlu panik kerana ini sudah pernah berlaku di zaman pemerintahannya, apabila dia mengambil keputusan memecat Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Terpancul dari mulutnya, kononnya HKR112 itu adalah satu perhimpunan ala perhimpunan di negara Arab, bertujuan menumbangkan Kerajaan Umno-BN!

Baguslah kalau Dr Mahathir sedar perkara ini kerana dalam PRU-13, mereka yang datang berhimpun di Stadium Merdeka tempohari akan memenuhi hasrat Dr Mahathir itu. Maka, Dr Mahathir akan berbangga kerana niatnya untuk melihat Umno hancur akan tercapai tidak lama lagi. Dr Mahathir mahu menghancurkan Umno ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sibuk dia berkempen ke sana ke mari. Malangnya, kempen-kempennya tidak mendapat sambutan yang baik. Jauh sekali dia mampu untuk mengadakan perhimpunan besar seperti HKR112. Akhirnya dia berhenti berkempen dan bertindak keluar Umno. Ini semua usah dilupakannya. 

Jadi, bila dia mendapat perhatian dari Najib, dia seolah-olah merasakan dirinya amat mustahak berada dalam situasi politik terkini. Satu perkara Dr Mahathir kena tahu, era pencennya ini lebih sesuai untuknya berada di masjid dan surau setiap kali masuk waktu solat. Perkara ini tentunya sudah lama terabai kerana kesibukannya sebagai Perdana Menteri. - Safar Jumaat

Dulu garam, sekarang gula-gula! Gitulah kalau polis tidak memihak dan bersikap profesional


Pagi 12 Januari 2013, langit cerah. Saya menaiki LRT dari Stesen Titiwangsa dan turun di Stesen Masjid Jamek bagi membuat liputan "1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat" (HKR112). Saya ditugaskan membuat liputan bermula di Pasar Seni, antara tempat berkumpul sebelum berjalan ke Stadium Merdeka.

Di Pasar Seni juga, saya lihat ramai muka-muka baru "petugas media" memakai pas media yang dikeluarkan pihak PDRM. Patutlah beriya-riya PDRM mengeluarkan pas media kali ini. Rupa-rupanya untuk kegunaan polis cawangan khas (SB). 

Saya tiada selera memakai pas media PDRM, hanya mempamerkan pas media Jabatan Penerangan Malaysia yang merupakan pas rasmi sejak sekian lama. Tepat jam 12.30 tengah hari, Kumpulan Wanita Ungu mula bergerak ke Stadium Merdeka dengan diiringi anggota Unit Amal. Tersusun dan berdisiplin sambil mengangkat sepanduk enam tuntutan mereka. 

Di sepanjang kaki lima di luar stadium, peniaga sibuk berjualan. Penjual air kelihatan tersenyum lebar kerana jualan mereka sangat laris. Jam 1.00 petang, saya sudah masuk ke dalam stadium. Teruja kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam stadium yang menjadi saksi laungan kemerdekaan negara.

Usai azan Zuhur berkumandang, masing-masing sibuk membuat persiapan untuk solat. Sekumpulan anak muda lelaki saling membantu mengambil wuduk kemudian membentangkan kain untuk solat di atas padang. Orang bukan Islam pula diam memerhati dari tempat duduk.

Jam 2.30 petang, Stadium Merdeka betul-betul padat. Macam ikan sardin. Dari tempat duduk atas, saya nampak warna kuning mendominasi stadium berbanding merah, oren, hijau dan ungu. Jelas menunjukkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil merupakan ibu kepada segala tuntutan.

Di sebelah kanan saya, seorang wanita 30-an berbangsa Cina. Di sebelah kiri pula, dua orang muda juga berbangsa Cina, sibuk mengibarkan bendera mini PAS. Kami berbalas senyum. Tanpa bicara, senyuman kami sudah cukup berbicara bahawa kami di situ atas tuntutan yang sama.

Di hadapan saya, satu keluarga Melayu. Ayah, ibu dan anak-anak remaja perempuan riang bergambar kenangan. Ya, keadaan aman dan harmoni walaupun bingit dengan bunyi tiupan trompet. Sekurang-kurangnya bukan bunyi tembakan gas pemedih mata yang menyebabkan orang lari bertempiaran!

Tempat duduk makin padat dan dua orang lelaki Cina di sebelah saya memberikan ruang kepada beberapa wanita berpurdah untuk duduk. Saya kagum dengan sikap hormat yang ditunjukkannya kepada wanita. Saya mengeluarkan gula-gula daripada beg, dan mempelawa wanita Cina di sebelah kanan saya. Dia tersenyum, mengambilnya daripada tangan saya dan mengucapkan terima kasih.

Saya teringat pada Bersih 3.0, sekumpulan anak muda Cina menghulurkan garam kepada saya ketika kami sama-sama lari apabila polis melepaskan gas pemedih mata. 

Kali ini, tiada garam tetapi hanya gula-gula.

Wakil-wakil NGO silih berganti menyampaikan tuntutan masing-masing diselangi tepukan dan sorakan peserta. Dan lelaki Cina di sebelah saya, masih sibuk mengibarkan bendera mini PAS. - Catatan Wartawan Harakahdaily, Hazayani Zakaria

Kuala Lumpur Kita Punya! Kuala Lumpur Kita Punya! jerit Wartawan Harakah, Arif Atan


Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu amat 'gembira'. Sudah lama bangunan warisan berusia lebih setengah abad itu berduka ditinggal sepi anak pertiwi. Namun, bermula malam menjelang "1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat" (HKR112), lebih 700,000 rakyat mahu menghimpit dan menyantuninya semula.

Lucu, mengapa kanak-kanak dilarang hadir HKR112 tetapi himpunan bersama PM, Dato' Seri Najib Tun Razak di Klang esoknya pula bayi pun bukan sahaja hadir malah kalau boleh bayi itu dipaksa tunjuk jari telunjuk simbol "1Malaysia"!

HKR112 ada jasa mengembalikan warga kita mengenal sejarah. Seorang rakan saya baru tahu Stadium Merdeka dan Stadium Negara (dibuka 1962) adalah dua binaan yang berbeza! Itu keadaan kontang maklumat sejarah mereka daripada angkatan bayi tahun 1980-an, belum lagi generasi yang lahir era K-Pop hari ini. 

Di Masjid Negara, Solat Subuh pada hari itu menjadi begitu hidup dengan para makmum segenap usia kerana hari-hari biasa hanya ada beberapa saf sahaja. Kalau tiada himpunan seperti itu, mustahil kita dapat merasai nikmatnya menghadap Ilahi dalam dingin dan hening waktu di masjid yang siap dibina pada 27 Ogos 1965 itu. 

Semakin meninggi mentari kian berpusu-pusu anak watan menapak menghampiri Kuala Lumpur. Meminjam tajuk novel Sasterawan Negara, Dato' Abdullah Hussain, pendek kata Sabtu itu "Kuala Lumpur Kita Punya" (1967).

Jika hari-hari minggu lain, tanpa HKR112 dan siri-siri himpunan rakyat sebelum ini, ibu negara sudah jadi "Jakarta Kita Punya" atau "Kathmandu Kita Punya". Mulai jam 11 pagi, saya dan sahabat, Shah bergerak bersama-sama lebih 2,000 peserta majoritinya mahasiswa dan anak muda dari Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya.  

Saya yakin kalau tanpa HKR112 tiada seorang pun dalam ribuan siswa era Facebook hari ini sudi membuang tenaga berjalan kaki sejauh hampir 10 kilometer menuju ke Stadium Merdeka! Demikianlah juga, rakyat yang sanggup berjalan meninggalkan buat seketika kenderaan masing-masing atau sebelum ini tidak pernah dibuat menggunakan LRT atau Komuter. 

Sekali lagi, HKR112 menjadikan rakyat rajin mengeluarkan peluh dan memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam hasil 'transformasi' (baca: juga projek kroni) Umno-BN! Tanggal 29 Safar 1434H itu juga, laungan azan Zohor bergema menembusi setiap inci ruang dalam dan sekitar Stadium Merdeka ibarat menghalau segala 'syaitan dikenali' yang mungkin sudah lama berserayut termasuk pemaju yang berangan-angan mahu membina Menara 118 Tingkat  di sini.

Selepas mengambil wuduk dengan sebotol air mineral, ada yang membentang sejadah, kain pelekat malah hanya rumput hijau di padang itu sendiri dijadikan "sejadah" tempat sujud. Lihat, itu sudah jadi pendekatan dakwah berhemah kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam daripada menjerit isu kalimah Allah hingga tidak mustahil mengundang benci di hati penganut agama lain.

Laungan "Merdeka Rakyat" di akhir himpunan juga tidak pernah dibuat sebelum ini. Ini kali kedua dalam sejarah di stadium klasik itu.

Paling penting, solidariti rakyat daripada warna kulit berbeza, tua muda, sihat mahupun uzur pada hari bersejarah itu tanda untuk kita melakar apa yang selama ini tidak pernah dibuat lagi di peti undi selepas laungan "Merdeka" Tunku Abdul Rahman dahulu - Tukar kepada Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang baru untuk Malaysia yang tidak lagi haru-biru! - Catatan Arif Atan, Wartawan Harakah

Amaran terakhir #112 Stadium Merdeka "Tsunami" rakyat kuburkan BN PRU13


Dakwaan beberapa pihak dalam Umno lebih 200,000 peserta "1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat" (HKR112) di Stadium Merdeka 12 Januari 2013 yang lalu diupah RM150 untuk hadir, melambangkan pemikiran mereka yang undur kebelakang dan masih mengamalkan sifat mereka tahu semuanya!

Kepimpinan Umno, khususnya Dato' Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno, sepatutnya sudah berfikir dan bertindak dalam era moden bertamadun. Malangnya, mereka masih bermain politik stail lama, zaman orang menimbang menggunakan kati dan bukan kilogram.

Sama dengan logo BN yang ketinggalan zaman, dacing lama itu sudah ketinggalan. Pertimbangan yang mereka buat, tidak dipakai oleh orang zaman ini. Malahan, ia betul-betul mengundur dan tidak melihat masa depan. Apabila rakyat marah, mereka tidak dapat menerima. Akhbar yang mereka dokong, menjadi penyokong yang membuta tuli. Mereka melaporkan seolah-olah HKR112 gagal. 

Mereka ingin melihat peserta himpunan mengamuk, bergaduh dengan polis dan merosakkan harta benda. Semua itu tidak berlaku. Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana memberi kerjasama, sekaligus mengesahkan, jika tanpa FRU, tanpa semburan gas pemedih mata, tanpa semburan water canon, tanpa pongkis dan cota, semua yang kita lihat sebelum ini, tidak berlaku.

Kali ini, polis tidak perlu menafikan apa-apa, kononnya polislah yang menjadi punca kepada pergaduhan, rusuhan dan sebagainya, kerana para peserta HKR112 sudah membuktikan, mereka matang! Namun, para pemimpin Umno buat-buat sibuk. Mereka sibuk mengatakan bahawa 92 peratus peserta HKR112 adalah orang Melayu. Ia bertujuan memberi gambaran yang orang Cina tidak menyokong HKR112 ini.

Umno-BN memang mengharapkan sangat undi kaum Cina dalam PRU-13 akan datang. Maka, kenyataannya itu bagi menyedapkan hati mereka, kononnya orang Cina sudah kembali menyokong BN dan tidak akan bersama-sama Pakatan Rakyat.

Lebih menarik HKR112 kali ini, berbeza dengan Himpunan Bersih dahulu, seluruh Kuala Lumpur sesak teruk. Sekatan jalan oleh polis menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kali ini, apabila tiada sekatan jalan oleh polis, keadaan berjalan seperti biasa. Sekitar Chow Kit, jalan lenggang! Tikus dan lipas boleh melintas sesuka hati pada waktu HKR112 berlangsung.

Ternyata, tauke kedai makan tersenyum girang. Perniagaan mereka laris. Betul kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, peniaga-peniaga akan terkejut dengan jualan mereka yang laris disebabkan HKR112 ini. Sebenarnya HKR112 adalah sebenarnya perhimpunan aman. Tiada sebarang provokasi. Boleh juga dikatakan ia satu perhimpunan santai. Itu sebab, apabila jumlah yang hadir terlalu besar, media massa yang pro Umno mula runsing.

Mereka sedaya upaya mengambarkan bahawa perhimpunan ini gagal. Gagal kerana tiada pergaduhan. 
Tiada yang cedera dan tiada yang dimasukkan ke hospital kerana pergelutan dan rempuhan. Terdapat 10 Resolusi yang diketengahkan, berjaya diangkat sebagai 10 Deklarasi HKR112 peringkat nasional 12 Januari 2013.

Beberapa juak Umno memberitahu, peserta HKR112 diupah. Angka yang mereka sebut RM150 seorang. Cakap-cakap ini sampai ke telinga pemimpin Umno. Maka, pemimpin Umno dengan pantas membuat kenyatan media. Maka, tersebarlah berita kononnya para peserta diupah RM150 untuk menghadirkan diri.

Mereka yang mendakwa sedemikian, bukan berbohong kepada rakyat Malaysia yang sudah matang, sebaliknya mereka ini berbohong kepada diri mereka sendiri. Mereka dibohongi oleh orang-orang mereka dan mereka jadikan cakap-cakap bohong itu sebagai kenyataan yang kononnya mahu menjatuhkan maruah peserta HKR112.

Mereka yang datang dari merata tempat, termasuk Sabah dan Sarawak bukan ahli Umno. Jika mereka ahli Umno, mereka memang sudah dibiasakan dengan "upah" serta nasi bungkus selain air mineral berlambang dacing. Para penyokong HKR112 bukan dari kalangan mereka yang menyokong Umno. Mereka tidak biasa disogokkan untuk menyertai mana-mana perhimpunan.

Mereka datang kerana mereka mahu membantah. Berbanding dengan orang Umno, mereka datang kerana mereka dipaksa menyokong perkara-perkara yang mereka sendiri tidak setujui. Sebab itu, mereka perlu diupah. Untuk membantah, ia tidak perlu diupah. Maka pera pemimpin Umno kerana merobah cara mereka berfikir.

Biarlah lambang  dacing menjadi lambang yang sudah "out dated", tetapi sepatutnya pemimpin Umno yang sering ke luar negara, tidak boleh lagi berfikiran macam pemimpin Umno tahun 70 dan 80 an. Umno pernah menganjurkan "Himpunan 1 Juta Belia". Tempatnya di Putrajaya. Berjuta-juta wang dibelanjakan. Ada kumpulan rock dari luar negara diundang sama. Namun, berhari-hari mereka memunggah para belia dari seluruh negara, hasrat itu tidak tercapai.

Maka, silaplah mereka jika mereka mahu membandingkan HKR112 ini dengan "Himpunan 1 Juta Belia" yang mereka bawa Perdana Menteri menonton bola sepak bersama-sama di Dataran Putrajaya, membawa Timbalan Perdana Menteri bersama-sama dengan "mat rempit"… berbanding dengan HKR112, membantah beberapa perkara yang jelas boleh menghancurkan negara, jika tidak diubah segera.

Satu perkara yang Umno-BN perlu tahu, kehadiran begitu ramai peserta di HKR112 adalah satu amaran kepada Kerajaan Umno-BN, era mereka sudah sampai ke penghujung. Mereka perlu bersedia untuk menjadi pembangkang. Mereka perlu bersedia mengemaskan barang-barang peribadi di pejabat masing-masing untuk memudahkan pemimpin Pakatan Rakyat menggantikan mereka.

Jika mereka masih tidak sedar, masih angkuh dan cuba merasuah rakyat, akibatnya tentulah lebih buruk. Rakyat sudah muak dan rakyat sudah berkali-kali memberi amaran. Amaran 12 Januari 2013 yang lalu, adalah amaran terakhir sebelum PRU-13.

Mereka yang berjawatan di media massa mesra Umno, bersiap sedialah mencari pekerjaan lain apabila parti yang mereka sanjung ditolak rakyat kelak. Satu perkara yang perlu mereka sedar ialah, salah satu sebab yang menyebabkan BN tumbang kerana sikap mereka menjadi "penyokong membawa rebah". - Safar Jumaat

PRU-13: Najib cemas ledakan Stadium Negara akan langgar empangan konkrit BN


Perdana Menteri sebenarnya cemas dan cuba memujuk hati untuk tidak mengakui kebangkitan luar biasa rakyat terhadap Kerajaan Umno-BN melalui "1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat" (HKR112) Sabtu, 12 Jan lalu. Ini dibuktikan dengan semua media mesra Umno-BN menggelapkan peristiwa bersejarah itu, memutar-belitkan angka rakyat yang hadir, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bekerja keras untuk mempengaruhi rakyat kononnya HKR112 itu adalah "Himpunan Samsidar".

Himpunan aman yang buat julung kalinya mendapat kerjasama polis, dan diadakan di Stadium Merdeka itu dianggarkan oleh pakar matematik, Prof. Dr Shaharil Mohd Zin, rakyat yang hadir sekitar 700,000 orang.  Mengulas perkara ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyangkal "tranformasi" BN dalam Akta Perhimpunan Aman menjadi punca HKR112 tiada huru-hara dan berjalan lancar.

Katanya, sama ada "tranformasi" Umno-BN itu ada ataupun tidak, rakyat tetap akan berhimpun menyatakan solidariti mereka terhadap pelbagai tuntutan bagi memulihkan demokrasi dan pilihan raya yang adil dan bersih. Najib tegasnya, hanya memanipulasikan keadaan dan iklim politik negara yang kian dikuasai rakyat yang dahagakan perubahan.

Akibat tekanan rakyat yang kuat, terbukti Najib terpaksa memperkenalkan pelbagai skim mengumpan rakyat, turun padang dan menjenamakan semula pakej politiknya semata-mata untuk menagih simpati rakyat yang telah muak dengan Umno-BN.   

Mohamad Sabu berkata, apabila HKR112 tiada rusuhan, kekacauan, huru hara dan pertumpahan darah, menyebabkan Najib panik dan beliau cuba menagih simpati dengan mendakwa kejayaan HKR112 adalah bukti kecemerlangan politik BN dan reformasi kerajaan.

"Macam dia meminta maaf beberapa kali kepada rakyat, atas kesilapannya, begitulah juga Najib menghulurkan penghargaan kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya anjurkan HKR112 dengan aman," ujar beliau.

Berucap semasa pembukaan satu persidangan undang-undang di Kuala Lumpur 14 Januari lalu, Najib menambah, itu menunjukkan Islam atau reformasi yang dijalankan BN adalah tepat. Najib turut memuji pihak berkuasa atas tindakan profesional mereka semasa HKR112 yang disertai hampir 700,000 para penyokong Pakatan Rakyat daripada seluruh negara yang membanjiri Stadium Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, Najib terpaksa melakukan 'reverse psikologi' kerana pelbagai tekanan sedang dihadapinya termasuk daripada Deepak Jaikishah yang akan "meletupkan" rangkaian orang yang terbabit dalam kes pembunuhan Altantunya. 

HKR 12 Januari lalu di Stadium Merdeka diketuai oleh beliau, manakala kutipan derma daripada orang ramai khususnya daripada peserta yang diperolehi oleh pihaknya berjumlah RM268,802.10. 

Beliau turut bersetuju dengan pandangan pakar matematik bahawa kedatangan para penyokong Pakatan Rakyat ke perhimpunan itu sekitar 700,000 orang, jauh melangkaui pandangan sesetengah pihak yang mengatakan hanya sekitar 200,000 orang sahaja. 

Kalimah Allah: Mengapa lidah putar-belit Umno kata kenyataan pemimpin PAS bercanggah?

Kenyataan para pemimpin PAS mengenai kalimah "Allah" tidak bercanggah antara satu sama lain, malah ia selari dengan pendirian dan ketetapan Majlis Syura PAS yang diputuskan dalam mesyuaratnya pada 13 Januari lalu.    

Dalam ketetapan menerusi mesyuarat itu, Majlis Syura memutuskan, sesiapapun boleh menggunakan kalimah "Allah", namun ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia dan demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah. 

Setiausaha Majlis Syura PAS, Dato' Nik Muhamad Zawawi Salleh menegaskan, menterjemah kalimah "God" atau "Lord" dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan "Allah" tidak dibolehkan kerana ia salah daripada segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

Menurut beliau, ia hendaklah dicegah dan perkara itulah selama ini yang ditegaskan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

"Ketetapan Majlis Syura dan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sememangnya selari. 

"Tiada sebarang percanggahan pun. Jadi tiada sebab untuk pihak tertentu menuduh di sebaliknya pula," katanya ketika dihubungi Harakah 15 Januari lalu. 

Ustaz Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan, ketetapan begitu diambil kerana kebenaran mengenai Allah mesti ditegakkan.

"Majlis Syura berharap isu kalimah Allah ini ditangani dengan baik oleh kerajaan kerana urusan penterjemahan buku-buku dan kitab Injil ini adalah urusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Seharusnya KDN mengambil penegasan dalam perkara ini dan jangan sesekali menuding jari kepada orang lain kerana ia berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan," katanya. 

Beliau berkata, ketetapan itu telah dijelaskan sendiri oleh Tuan Guru Abdul Hadi kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam mesyuarat Pakatan Rakyat minggu lalu dan Guan Eng ternyata menerimanya dengan baik.

"Penjelasan itu telah diberikan kepada Lim Guan Eng dan dia mendengar dengan baik. Dia hanya mendiamkan diri ketika mendengar penjelasan tentang pendirian PAS itu kerana sebelum ini dialah yang minta penggunaan kalimah "Allah" untuk Bible versi bahasa Melayu," jelasnya.

Selepas penjelasan itu dibuat kepada Guan Eng, jelas Ustaz Nik Zawawi, Tuan Guru Abdul Hadi telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai kalimah Allah dan kenyataan beliau itu sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura.

"Cuma orang silap faham. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Bila kita dah buat ketetapan ini, kita minta kepada semua umat Islam untuk terima ketetapan ini.

"Ketetapan ini adalah terbaik untuk agama Islam dan semua agama lain yang ada di Malaysia. Kita juga meraikan hak-hak mereka (orang bukan Islam) tidak ada masalah, cuma mereka tidak boleh cemarkan kalimah Allah kerana kalimah ini adalah dikhususkan oleh orang Islam sahaja," jelasnya lagi.

Majlis Syura, jelas Ustaz Nik Zawawi lagi, tidak mengizinkan orang bukan Islam menterjemah kalimah "Allah" kepada kitab orang Kristian iaitu Bible. 

Katanya, Allah mengikut kebenarannya menunjukkan Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan Yang Maha Satu yang tidak beranak dan tidak diperanakkan ataupun tidak mempunyai isteri.

"Apabila perkataan Allah hendak digunakan oleh masyarakat Kristian, maknanya lari, kerana orang Kristian mengatakan Allah ini ada tiga, ada anak, ada isteri. Ini tidak sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. Kita tegaskan di sini, itu bukan Allah SWT. 

"Jadi bagi masyarakat Kristian, mereka hanya dibenarkan menggunakan perkataan 'God' atau 'Lord'. Itu ikut pandai dialah. Kita tidak terima perkara ini," tegas beliau. 

Penggunaan nama Allah tidak wajar disalah guna - Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang


PAS mempunyai pendirian konsisten dalam isu ini, seperti dalam kenyataan media saya pada 4 Januari 2010 dan saya juga telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada tahun 2010 yang telah diterbitkan sebagai buku kecil yang bertajuk: Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah pada bulan Januari 2010 yang lalu.

2. Kalimah "Allah" adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa al-Quran (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

3. Kalimah "Allah" tidak wajar disalah gunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan. Oleh itu penganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat.

4. Walau bagaimanapun Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah "Allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

5. Al-Quran menyebut penggunaan kalimah "Allah" oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya: "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam." - (Ali-Imran: 64)

6. PAS berasa sangat kesal terhadap Umno yang mewakili pihak Melayu Islam dan BN yang memerintah negara kerana menjadikan kalimah Allah sebagai satu isu yang dipolemikkan sebebasnya oleh pihak media arus perdana dalam kempen politik pilihan raya, tanpa peduli terhadap salah faham dan ketegangan penduduk berbagai-bagai agama dalam masyarakat majmuk.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS,
8 Januari 2012

Jangan kecoh-kecoh: Majlis Syura Ulama PAS perjelas isu kalimah Allah

Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13 Januari 2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1. Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2. Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3. Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al-Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS

Tuan Guru Dato' Dr Haron Din,
Timbalan Al-Mursyidul Am PAS