KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 07, 2013

PELAKSANAAN GST SINGAPURA LEBIH EFISYEN, TETAPI DI MALAYSIA TENGKUK RAKYAT DISEMBELIH


Harus diingat bahawa Kerajaan Singapura mengenakan GST ke atas rakyatnya hanya setelah negara itu mencapai taraf negara maju dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000. Pada tahun 1989, pendapatan per kapita Singapura (atas asas PPP) ialah USD16,356, pada tahun 1994 (bila GST mula dilaksanakan), ianya USD24,853 dan pada tahun 2012, ianya USD60,799. 

Ini bermakna, rakyat Singapura memiliki disposable income (pendapatan boleh belanja) yang selesa untuk berdepan dengan regim GST yang sifatnya regresif itu. 

Sebelum melaksanakan GST dalam tahun 1994, kadar cukai korporat dan cukai pendapatan individu di Singapura adalah tinggi, iaitu, masing-masing 30 peratus dan 33 peratus (kadar marginal tertinggi).  Kadar  ini tidak kompetitif bagi pelaburan asing. 

Oleh kerana negara miskin-sumber asli seperti Singapura amat memerlukan aliran masuk pelaburan langsung  yang besar dan berterusan untuk menjana pertumbuhan ekonomi padar kadar yang relatif tinggi dan lestari dan untuk menyediakan pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyatnya, maka kerajaan Singapura melihat bahawa, sebagai satu langkah penting, ianya mesti menurunkan  kadar cukai korporat dan individu ke satu paras yang kompetitif berbanding dengan cukai yang sama di negara-negara  lain yang juga bersaing untuk menarik pelaburan langsung asing ke negara masing-masing.  

Langkah yang diambil Singapura ialah memperkenalkan GST bermula dengan kadar yang rendah yang akan dinaikkan secara beransur-ansur dan secara serentak menurunkan kadar cukai pendapatan juga secara beransur-ansur dan pada masa yang sama memperkenalkan offset package atau "pakej bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah" bagi menumpulkan ketajaman darjah regresiviti dari GST itu ke atas rakyat berpendapatan rendah dan miskin.

Ini bermakna, kerajaan Singapura pimpinan Lee Kwan Yew cukup perihatin terhadap ketidakadilan GST lalu terus melaksanakan langkah-langkah menumpulkan (to neutralize) darjah regresivitinya.  Penganalisis amat teruja dengan sikap pemimpin yang bukan Islam ini. Timbul soalan di dalam kepala: Apakah LKY dan pakar-pakar fiskal beliau membaca kitab-kitab mengenai pengurusan fiskal di dalam Islam khususnya sistem pengurusan fiskal di zaman Omar Abdul Aziz, Khalifah ke 5 Islam? 

Singapura Lebih Prihatin

Singapura mengenakan GST berkuatkuasa pada 1 April 1994 dengan kadar tunggal sebanyak 3 peratus, yang terendah di dalam dunia ketika itu. Pada ketika yang sama ia mengurangkan kadar cukai korporat dan kadar cukai pendapatan individu, juga sebanyak 3 peratus, masing-masing dari 30 peratus ke 27 peratus dan dari kadar marginal tertinggi 33 peratus ke 30 peratus. 

Dalam fasa ini tujuannya bukan untuk meningkatkan pungutan cukai tetapi lebih kepada utuk mendidik dan bagi membolehkan rakyatnya menyesuaikan diri dengan rejim cukai baru ini. Serentak (dalam tahun 1994), kerajaan juga menubuhkan Committee Against Profiteering (CAP) bagi menyiasat segala rungutan dan feedback mengenai perbuatan profiteering dan menaikkan harga sewenang-wenangnya oleh peniaga dengan mengunakan pengenaan GST oleh kerajaan sebagai alasan.

Fasa pertama ini berlangsung selama hampir  9 tahun.  Mulai 1 Januari 2003, kadar GST dinaikkan ke 4 peratus dan mulai 1Januari 2004, ke 5 peratus. Mulai 1 Julai 2007, ia dinaikkan ke 7 peratus dan kadar ini kekal hingga sekarang. 

Pada setiap kali kadar GST dinaikkan, maka kadar cukai langsung diturunkan dengan poin peratusan yang sama. Kerajaan terus menurunkan kadar cukai langsung selepas tahun 2007 tetapi mengekalkan kadar GST pada 7 peratus. Pada tahun 2010, kadar cukai korporat ialah 17 peratus sementara kadar marginal tertinggi cukai individu ialah 20 peratus.  

Penurunan kadar cukai korporat dan cukai pendapatan individu bertujuan meletakkan kedua-duanya pada kadar yang internationally competitive bagi menarik pelaburan langsung asing dan buruh berpendidikan dan berkemahiran tinggi (pakar pelbagai bidang) masuk ke Singapura. 

Penerusan dan pengekalan dasar ini bermakna Singapura menjadikan GST (cukai tidak langsung) sebagai sumber utama hasil kerajaan sekali gus – kerana GST adalah regresif – menyebabkan beban cukai jatuh lebih berat ke atas rakyat Singapura berpendapatan rendah dan miskin. 

Bagi meringankan (to cushion) beban ini, kerajaan Singapura mewujudkan offset package (pakej bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah). Offset package mengandungi penurunan kadar cukai dan perlepasan cukai  atas rakyat Singapura berpendapatan rendah, menurunkan cukai hartanah, memberi rebat ke atas bayaran sewa dan caj perkhidmatan dan caj konservansi atas perumahan awam dan menambahkan subsidi ke atas perkhidmatan komuniti, pendidikan dan kesihatan. 

Kesan Penurunan dan Perlepasan Cukai 

Kesan dari penurunan dan perlepasan cukai dan pemberian rebat misalnya, menyebabkan dalam tahun 1994, 70 peratus daripada individu yang sebelum perlaksanaan GST kena membayar cukai, tidak lagi membayar cukai selepas itu.

Apabila kesemua jenis cukai diambil kira (cukai korporat, cukai pendapatan individu, cukai hartanah, GST dan lain-lain cukai tidak langsung) maka di dapati:
(a) Golongan10 peratus paling atas dari bilangan isirumah Singapura  menyumbang 38 peratus dari keseluruhan cukai yang dipungut.
(b) Golongan 20 peratus paling atas dari bilangan isirumah Singapura menyumbang 52 peratus dari keseluruhan cukai yang dipungut.
(c) Golongan rakyat Singapura berpendapatan terendah menerima lebih besar bayaran pindahan (transfers) berbanding cukai yang dibayar.
(d) Golongan isirumah berpendapatan rendah hingga sederhana juga secara efektifnya menerima bayaran pindahan lebih besar dari cukai yang dibayar (negative tax).

Kajian menunjukkan bahawa di antara tahun 2006-2010 golongan 10 peratus paling bawah daripada isi rumah Singapura menerima pindahan bersih (pindahan yang diterima daripada kerajaan ditolak cukai yang dibayar kepada kerajaan) sebanyak 23 peratus daripada pendapatan mereka, golongan10 peratus kelima, sebanyak 0 peratus dan kadar cukai efektif bagi golongan 10 peratus paling atas dari isirumah Singapura hanya 11 peratus.

Apabila kadar cukai GST dinaikkan dari 5 peratus ke 7 peratus berkuatkuasa mulai 1 Julai 2007, didapati bahawa golongan 20 peratus paling bawah daripada isurumah Singapura membayar GST tambahan sebanyak SD370 setahun tetapi menerima offset package sebanyak SD910 setahun ditambah lagi dengan bayaran manfaat kekal sebanyak SD1,000 setahun. 

Dalam tahun 2010, Kerajaan Singapura mendedahkan bahawa sebanyak 84.2 peratus dari pungutan GST disumbang oleh warga asing yang bermastautin dan bekerja di Singapura dan golongan 40 peratus paling atas isi rumah Singapura. Golongan 20 peratus paling bawah dari isi rumah Singapura hanya menyumbang 4 peratus dari GST yang dipungut. 

Jelas bahawa mengiktiraf sifat regresif rejim GST, Kerajaan Singapura telah secara sedar dan sistematik melaksanakan offset package serentak dengan pelaksanaan GST sehingga dapat mengekalkan darjah progresiviti rejim cukai keseluruhan di Singapura. Fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa lebih besar beban cukai ditanggung bila semakin tinggi pendapatan seseorang - Analisis Dr Rosli Yaakop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia

DR SOHAIMI LAZIM TERSUNGKUR DITANGAN ANAK DIDIK TAN SRI AZIZAN RAZAK DI SUNGAI LIMAU


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, 4 November llau sebagai "kemenangan" hari pertama tahun hijrah 1435H. Dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

"Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (4 November). Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS. Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah," ujarnya.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada para pengundi di Dun Sungai Limau yang memberikan kepercayaan kepada calon PAS dalam PRK itu. PAS akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dun Sungai Limau ini dilaksanakan dengan sebaiknya. 

Calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat memenangi kerusi Dun Sungai Limau mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084 undi. Beliau mendapat 12,069 undi sementara calon BN pula 10,985 undi menjadikan majoriti 1,084 undi. Pada PRU13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak Abdul Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam. Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, 145 kertas undi diisytiharkan rosak dan dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.

Jumaat, November 01, 2013

PRESIDEN PAS, MAHFUZ, SALAHUDDIN, SYED AZMAN, AMIRUDDIN 'BERKUBANG' DALAM BENDANG TANGKAP IKAN?


Presiden PAS nampaknya tidak kekok masuk bendang. Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Dr Raja Iskandar Al-Hiss, Dato' Amiruddin Hamzah dapat menikmati selut bendang apabila mereka bersama-sama calon PAS PRK Sungai Limau, Ustaz Azam Abdul Samat menabur benih padi di tengah bendang. Sama ada mereka pernah ke bendang atau tidak, sekurang-kurangnya apa yang dirasai oleh orang bendang kini mereka harungi.

MB Besar Kedah yang baharu tiada acara ini disediakan oleh Markas Induk PRK mereka. Barangkali, beberapa hari lagi kempen masih berbaki, Mukhriz Tun Mahathir bersama calonya, Dr Sohaimi akan masuk bendang juga untuk membuktikan mereka tidak kekok dengan bendang seperti Tuan Guru Abdul Hadi dan Mahfuz Omar. 

Tidak terfikirpun oleh sesiapa, untuk menjadikan bendang medan kempen PRK Sungai Limau. Tetapi ia menjadi dan berjaya memikat pengundi apabila Markas Induk PAS PRK mencipta acara ini. Nama programnya ialah "Program Tok Guru Turun Bendang dan Doa Awal Musim Padi" dan telah diadakan di Kg Pulau Tembun dalam siri kempen PRK Dun Sungai Limau 30 Oktober lalu.

Ini kali pertama saya melihat Tuan Guru Abdul Hadi mengharuk bendang yang sarat dengan selut dan lendir. Foto-foto tokoh PAS ini memancing di laut memang sering dilihat dan direnung. Hobi Tuan Guru memang suka memancing dan memburu. Adegan ini juga kali pertama saya menatapi Adun Batu Buruk, Syed Azman Syed Nawawi, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Amiruddin Hamzah dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar masuk bendang. Bukan menangkap ikan atau menanam padi, tetapi menyiram benih padi secara tabur menggantikan kaedah menanam padi seperti dahulunya. Tahniah semua yang menjayakannya.

Khamis, Oktober 31, 2013

PAS JANGAN JADI MACAM UMNO, PASTIKAN KEPIMPINAN PARTI DITERIMA MASSA


Muktamar Agung PAS ke-59 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini adalah masa penting bagi PAS untuk menonjolkan imejnya yang baik kepada rakyat berbanding Umno. Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat, Hu Phang Chaw berkata, para pemimpin PAS jangan sekali-kali menghilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam kepada PAS untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan. 

Menurut beliau, Umno dan PAS adalah dua parti Melayu utama di negara ini dan kedua-dua parti ini pula berkebetulan akan berhadapan dengan dua perhimpunan besar pada November ini yang turut mengadakan pemilihan bagi jawatan tertingginya. Katanya, selepas PRU13 lalu, seluruh rakyat negara ini terutama masyarakat bukan Melayu sedang memerhatikan dengan penuh minat perkembangan yang berlaku dalam Umno dan PAS. 

"Jika PAS juga dilihat sama dengan Umno, ia pasti akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap PAS," tegas beliau ketika mengunjungi Harakah, 10 Okt lalu. Umno sekarang memang kucar lanar. Lebih 30,000 orang sedang merebut jawatan dalam parti itu di semua peringkat. Pemimpin Umno terpaksa mengingatkan kesemua pihak yang bertanding agar jangan cetuskan politik wang. Ini menunjukkan politik wang adalah perkara biasa dalam Umno," katanya.

Menurut Phang Chaw, untuk menghadapi pemilihan November ini, Umno juga turut menggunakan polis untuk menjaga peti undi dan ini jelas membuktikan parti itu telah menyalahgunakan aset awam bagi kepentingannya, memandangkan polis dan segala kemudahan awam itu adalah aset rakyat. Beliau berkata, mengikut dakwaan Umno mahu memartabatkan bangsa Melayu dan Islam, tapi sejak dulu sehingga sekarang, rakyat tidak nampak pun jasa yang dilakukan bagi memartabatkan bangsa Melayu dan mempertingkatkan syiar Islam.

"Hanya PAS yang dilihat oleh rakyat yang benar-benar mahu memartabatkan bangsa Melayu dan mempertingkatkan Islam. Dan PAS yang benar-benar mengutamakan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini dan dalam partinya. Jadi pada muktamar kali, inilah masa yang penting bagi PAS untuk menunjukkan imejnya yang baik itu supaya rakyat nampak perbezaan antara PAS dan Umno. Dengan itu baharulah PAS akan terus disokong oleh keseluruhan rakyat negara ini pada PRU14 akan datang," tegasnya. 

Sehubungan itu, Phang Chaw berharap agar para pemimpin PAS akan mengekalkan status quo yang ada dalam barisan kepimpinan sekarang terutama di peringkat pusat pada Muktamar ke-59 nanti.  "Janganlah ada perebutan dalam parti. Ini amat penting bagi membuktikan kepada rakyat bahawa para pemimpin PAS bukanlah golongan yang gilakan pangkat dan jawatan seperti dalam Umno.

"Sebaliknya, kitalah yang benar-benar berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu, untuk kepentingan Islam, untuk kepentingan rakyat. Ia bagi kepentingan negara, ke arah yang lebih baik dalam semua aspek termasuk politik, ekonomi, agama, pendidikan, adat resam, IT dan lain-lain lagi," katanya. Phang Chaw juga mengingatkan kepada mereka yang akan bertanding pada Muktamar ke-59 nanti agar sentiasa ingat bahawa PAS telah ditubuhkan sejak tahun 1961 dan telah menghadapi pelbagai rintangan.
  
"Kini telah tiba masanya untuk kita tentukan hala tuju kita menghadapi PRU14 akan datang. PAS bukan parti untuk satu kaum sahaja. Ini samalah juga dengan Islam yang bukan agama untuk satu kaum sahaja. Kita mestilah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan sokongan segenap lapisan masyarakat. Golongan muda dalam PAS juga mestilah berpandangan jauh. Saya tak tolak ulama, tetapi pemimpin-pemimpin dalam PAS mestilah pelbagai. Jika hanya satu kelompok sahaja, ia hanya akan jadi satu arah," tegas beliau.

Walaupun dalam PAS ulama adalah sebagai tonggak, tetapi golongan profesional juga amat penting digandingkan seperti yang dikehendaki oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hanya dengan perpaduan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS baharulah parti boleh maju, dan upaya membawa negara ini ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan semua pihak.

Phang Chaw menegaskan, sekiranya dalam PAS juga turut berlaku perebutan jawatan seperti dalam Umno, ia pasti akan menghilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam terhadap PAS termasuk ahli-ahli DHPP sendiri. 

"Jadi janganlah hilangkan kepercayaan masyarakat bukan Islam kepada PAS yang sangat kami sayangi. Sebelum ada DHPP, pernahkah PAS menang di kawasan bukan Islam dalam pilihanraya seperti yang berlaku dalam PRU-13 lalu?" tanya beliau - Lapor Aziz Muda Meja Harakah Kuala Lumpur

23 TAHUN KELANTAN REDAH RANJAU DURI BERSAMA KEMPIMPINAN ULAMA


Tanggal 21 Oktober 1990 Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan tanggal 21 Oktober lalu juga genap 23 tahun kerajaan di bawah kepemimpinan ulama. Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, bermula detik tersebut permulaan era baru berlaku di bumi Serambi Mekah.

"Kelantan menjadi perhatian banyak pihak, mereka mempersoal bolehkah Islam mentadbir? Sebaliknya selangkah demi selangkah kita menapak ke hadapan. Dalam tempoh 23 tahun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya mengharungi pelbagai halangan dan karenah serta berjaya meletakkan asas yang jelas. Beliau telah meninggalkan satu laluan. Rakyat ditanamkan keyakinan cara mentadbir dan memerintah berpandukan hukum syariat," katanya pada sambutan 23 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, 21 Oktober lalu.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Abdullah Ya'kub; Pegawai Kewangan, Dato' Faudzi Che Mamat; anggota-anggota Exco dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nik Kazin Nik Yusof serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Program sambutan bermula dengan munajat dan solat hajat jam 3.30 pagi.

Menteri Besar berkata, tugas beliau bersama pimpinan lain meneruskan perjalanan dengan membawa visi dan misi yang diasaskan bekas Menteri Besar. Visi kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang terlaksana nilai-nilai hidup Islam dan mendapat keredhaan Allah. Manakala misi melaksanakan agenda pembangunan negeri dan ummah berdasar ajaran Islam melalui pembangunan insan serta perancangan strategik.

"Kerajaan negeri telah menggubal wawasan bagi tempoh 2013-2018 untuk membolehkan rakyat menikmati keberkatan, kemakmuran dan kebajikan, penuh bermaklumat serta hidup sejahtera. Usaha itu digembling dengan mengoptimumkan hasil menerusi amalan urus tadbir cekap, telus dan berintegriti selari dengan visi, misi dan objektif dasar MBI," ujarnya. Wawasan itu meliputi usaha dilakukan bagi menguat dan mengembangkan agama, kedua, menggantikan ketakutan dengan keamanan.

Ketiga, keluasan kepada rakyat untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT. Kata Ustaz Ahmad, kerjasama yang utuh jentera pentadbiran negeri amat diperlukan bagi memastikan dasar MBI yang diperkenal 23 tahun lalu.

"Sejauh mana pun kita menanamkan cita-cita dan melakukan gerak kerja, Islam sebagai dasar dan asas tidak boleh dikesampingkan. Kita tidak gemar bercakap bahasa retorik. Kita lebih berminat kepada pelaksanaan janji dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.

Oleh itu beliau berharap agensi pelaksana di bawah setiap Exco digerakkan secara maksimum bagi memastikan lebih 50 program dan projek yang terkandung manifesto pilihan raya umum lalu dapat dijayakan. "Di samping itu kesemua komitmen Tuan Guru sebelum ini seperti projek lebuh raya, bekalan air, pembinaan stadium dan seumpamanya diambil tindakan serius ke arah mencapai realiti," katanya.

Menteri Besar juga berharap Pejabat Mufti, Majlis Agama Islam Kelantan, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam hendaklah berperanan lebih pro aktif ke arah pelaksanaan hukum Islam di Kelantan. Katanya, agensi terbabit hendaklah melangkah setapak ke hadapan membuat kajian dan mengutara apa jua bentuk program yang boleh dimanfaat kerajaan dan rakyat.

"Jika gerak kerja seperti itu wujud, misi untuk melihat Kelantan muncul sebagai sebuah tapak pengembangan agama serta menampilkan Islam yang lebih profesional lebih cepat dapat direalisasikan," tambahnya. Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelan pembangunan negeri berpandukan model Sistem Perancangan dan Pemantauan Projek Kelantan (S3PK).

Pelan tersebut katanya, merupakan pendekatan terkini Kelantan pasca 100 hari dan pelaksanaan tawaran pembangunan lima tahun (2013-2018). Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim pula berkata, Kelantan berjaya menjadi guru sehingga beberapa program yang dilaksanakan menjadi ikutan pihak lain. Katanya, kerja lima hari seminggu dan cuti bersalin tiga bulan telah diikuti kerajaan persekutuan dan negeri-negeri lain. Begitu juga skim pinjaman kenderaan, komputer dan perumahan tanpa faedah.

"Turut menjadi ikutan sistem pajak gadai Islam (Ar Rahnu), pengharaman premis judi, pengawalan penjualan minuman keras, pusat hiburan dan sebagai. Ini sebagai petunjuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh kerajaan negeri memelihara syariat Islam," katanya. Teks ucapannya dibaca Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Nik Kazin Nik Yusof.

Dr Zainuddin berkata, pelaksanaan dasar Islam bukannya membantut kecemerlangan dalam perkhidmatan awam. Menurutnya, sepanjang 23 tahun pendekatan Islamik yang dilaksana telah membuahkan kejayaan termasuk mencapai tahap empat bintang dalam pelaksanaan star rating pejabat-pejabat SUK seluruh negara pada 2011.

Sementara itu Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham turut merakam ucapan tahniah kepada kerajaan Kelantan. Sambutan ulang tahun tersebut berakhir jam 12 malam dengan ceramah menampilkan pemimpin utama Pakatan. Naib Presiden KeADILan, Nurul Izah Anwar mewakili parti tersebut dan Ngeh mewakili DAP. Turut hadir Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sebelum itu pada sebelah petang orang ramai beratur memberi pelbagai cenderahati kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz - Analisis Lanjusoh, Ketua Biro Harakah Kelantan. Foto Rizal Tahir & Zamani Mohd Zain

JAWATAN UTAMA JADI FOKUS MUKTAMAR PAS NOVEMBER INI SETELAH TG ABDUL HADI TIDAK DICABAR


Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding sebagai Presiden PAS, setelah seorang lagi calon didapati tidak layak bertanding untuk merebut jawatan itu kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, disebabkan penolakan satu lagi pencalonan itu, borang pencalonan yang sah dan diterima oleh pihaknya bagi jawatan Presiden hanya satu sahaja.       

Bagaimanapun, Ustaz Abdul Hadi hanya akan diisytiharkan menang tanpa bertanding jika menerima pencalonan itu dengan memberikan jawapannya sebelum 8 November depan. Katanya, sehingga pencalonan ditutup pada 20 Oktober lalu, pihaknya menerima enam pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala satu daripadanya ditolak.  

Lima yang dicalonkan ialah Mohamad Sabu (penyandang jawatan), Dato' Husam Musa, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah, Salahuddin Ayub dan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini 24 Oktober lalu. 

Bagi jawatan Naib Presiden, pihaknya menerima 12 borang pencalonan, tetapi dua daripadanya ditolak kerana tidak memenuhi syarat. Seramai 10 pencalonan itu ialah Salahuddin Ayub (penyandang), Dato' Husam Musa (penyandang), Dato' Mahfuz Omar (penyandang), Ustaz Idris Ahmad, Mohamad Sabu, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah, Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa, Ustaz Nasrudin Hassan, Dato' Ustaz  Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Abu Bakar Chik.

Bagi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2013-2015 ini, pihaknya menerima 134 borang pencalonan daripada kawasan seluruh negara, tetapi 31 borang ditolak, menjadikan jumlah borang pencalonan yang sah dan diterima hanya sebanyak 103 borang sahaja.  

Asmuni berkata, calon-calon tersenarai boleh mengambil sendiri borang penerimaan pencalonan bermula 28 Oktober ini sebelum jam 2 petang dan sekiranya mereka tidak berbuat demikian, pihaknya akan menghantar borang penerimaan tersebut secara pos ekspres kepada mereka.

Semua calon perlu memberikan jawapan kepada Jawatankuasa Pemilihan pada 8 Nov sebelum jam 5 petang, sama ada bersedia untuk bertanding atau menarik diri. Bagi pemilihan kali ini, setiap calon perlu memberikan jawapan pada tarikh yang ditetapkan itu. Peraturan ini berbeza berbanding sebelum ini. 

"Sebelum ini calon yang tidak memberikan jawapan sama ada menerima atau menarik diri, dianggap sebagai terima. Tetapi untuk kali ini, kami menetapkan setiap calon yang gagal berbuat demikian (memberi jawapan pengesahan untuk bertanding) sebagai tidak layak untuk bertanding," ujarnya. 

Menurut Asmuni lagi, Jawatankuasa Pemilihan juga akan mengadakan satu lagi prosedur saringan selepas menerima jawapan pengesahan bertanding daripada calon-calon, bagi memastikan calon yang bertanding tidak berstatus muflis. Turut serta pada sidang media itu Pengarah Muktamar PAS Pusat, Dato' Takiyuddin Hassan. Muktamar PAS ke-59 akan diadakan pada 22 hingga 24 Novomber ini di Shah Alam, Selangor. 

Dewan Pemuda PAS Pusat

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, pihaknya menerima tujuh borang pencalonan, tetapi satu daripadanya ditolak, menjadikan hanya enam pencalonan sahaja yang sah dan diterima. Mereka terdiri daripada Ustaz Nasrudin Hassan (penyandang), Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob,  Riduan Mohd Nor, Suhaizan Kaiat, Zulhazmi Sharif dan Kamarulzaman Mohamad.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula, 13 pencalonan diterima tetapi hanya enam layak untuk bertanding. Mereka ialah Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Aziz (penyandang), Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi,  Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob, Kamarulzaman Mohammad dan Suhaizan Kaiat.

Bagi jawatan Naib Ketua pula, 20 borang pencalonan yang diterima, tetapi hanya lima sahaja yang layak bertanding iaitu Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss Raja Yaakob (penyandang), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi, Mohd Khairul Nizam Khairuddin, Ustaz Nazri Chik.

Sebanyak 115 kawasan membuat pencalonan untuk jawatan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat, tetapi 32 borang ditolak menjadikan hanya 83 borang pencalonan sahaja yang sah dan diterima oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan. 

Dewan Muslimat PAS Pusat

Bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, sebanyak enam borang pencalonan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan, tetapi dua daripadanya ditolak. Mereka ialah Siti Zailah Mohd Yusof (penyandang), Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Halimah Ali dan  Ustazah Nuridah Salleh.

Bagi jawatan Timbalan Ketua, tujuh daripada lapan pencalonan yang diterima yang terdiri daripada Dr Siti Mariah Mahmud (penyandang), Mumtaz Mohd Nawi, Siti Zailah Mohd Yusof, Dato' Siti Aishah Ghazali, Dr Najihatussalehah Ahmad, Dr Halimah Ali dan Ustazah Nuridah Salleh.

Sebanyak 122 kawasan membuat pencalonan untuk jawatan dalam Dewan Muslimat PAS Pusat, namun 13 daripadanya ditolak, menjadikan hanya 109 borang pencalonan sahaja yang sah dan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan.

UNTUK TAWAN MALAYSIA, TUMBANGKAN BN, BERSIH 4.0 PERLU DIGERAKKAN DARIPADA SEKARANG!


Harapan rakyat negara ini untuk melihat PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu diadakan dengan bersih, adil dan telus, akhirnya berkecai. Meskipun menjelang pilihanraya, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan para pemimpin Umno-BN lain, sering melaungkan transformasi politik, transformasi yang dilaungkan hanyalah slogan kosong semata-mata.

Realiti yang berlaku dalam PRU13 lalu tetap sama dengan pilihanraya-pilihanraya umum sebelumnya. Perjalanan pilihanraya masih diselaputi pelbagai kepincangan, penipuan, manipulasi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa oleh Umno-BN dalam pelbagai aspek, sehingga menyebabkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) selaku badan bebas terus kekal menjadi alat pihak memerintah. 

Sebelum PRU13 berlangsung, rakyat telah mendesak kerajaan Umno-BN yang memerintah agar melaksanakan lapan perkara. Kelapan-lapan tuntutan itu dikemukakan menerusi siri himpunan aman yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), dengan dimulai Himpunan Bersih di Dataran Merdeka pada hari Sabtu, 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100,000 rakyat dari seluruh negara. 

Menerusi Himpunan Bersih ini, pihak penganjur menuntut pihak pemerintah agar melaksanakan empat tuntutan utama. Pertama, penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketempangan yang sedia ada dapat dihapuskan. Kedua, penggunaan dakwat kekal untuk menghalang pengundian berganda. 

Tuntutan ketiga, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara, manakala keempat, akses media yang adil kepada semua pihak dalam pilihanraya supaya semua parti politik boleh menjelaskan dasar dan manifesto mereka kepada rakyat Malaysia. Kesemua tuntutan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan oleh pihak penganjur kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Tuanku Syed Putra.

Setelah perhimpunan aman Bersih berlangsung, dengan pelbagai risiko yang terpaksa ditanggung oleh rakyat ekoran pelbagai provokasi pihak berkuasa, rakyat terus bersemangat untuk mengikuti himpunan aman Bersih 2.0 pada hari Sabtu, 9 Julai 2011, dengan matlamat untuk membersihkan perjalanan pilihan raya di Malaysia. Bersih 2.0 turut memperlihatkan penyertaan rakyat dengan lebih menyeluruh dengan disertai hampir 500,000 orang. Menerusi Himpunan Bersih 2.0, pihak penganjur memperkemaskan lagi desakannya dengan mengemukakan lapan tuntutan untuk dilaksanakan oleh pihak pemerintah. 

Tuntutan tersebut terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin oleh kepimpinan utama Bersih yang dipengerusikan bersama Dato' S. Ambiga dan Dato' A Samad Said. Lapan tuntutan tersebut terdiri daripada bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa kempen minimum 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selepas Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, Kerajaan BN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara bagi menambahbaik pilihan raya. Pada 3 April 2012, laporan jawatankuasa itu telah dikemukakan ke parlimen, namun cadangan jawatankuasa itu ke arah penambahbaikan perjalanan pilihanraya tetap juga tidak dipedulikan oleh kerajaan.

Sebaliknya, Kerajaan BN hanya seperti 'bermain wayang' dengan rakyat melalui penubuhan jawatankuasa itu. Cadangan PSC, antaranya agar daftar pemilih dibersihkan dan kerajaan melaksanakan akses media yang bebas dan adil tetap tidak dipedulikan. Malah, pelbagai alasan pula diberikan oleh pihak pemerintah untuk tidak melaksanakan perkara itu, tetapi dengan jawapan yang penuh putar belit.

Permainan politik kotor Umno-BN itu telah dapat dibaca pihak Bersih, para pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO-NGO yang prihatin. Akhirnya Bersih terpaksa mengadakan pula Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di pusat bandar Kuala Lumpur. Perhimpunan yang dikenali "Duduk Bantah" itu diadakan dengan dukungan kuat Pakatan Rakyat dan turut disertai 84 buah NGO dan ia diadakan serentak di seluruh negara dan di seluruh dunia. 

Menerusi perhimpunan itu, pihak penganjur konsisten dengan lapan tuntutannya seperti yang terdapat dalam memorandum Bersih 2.0. Selain itu, menerusi Bersih 3.0, pihak penganjur turut menuntut kerajaan membenarkan pemerhati antarabangsa memantau perjalanan pilihan raya di Malaysia. Alasan pihak Bersih, jika Kerajaan Myanmar dan Thailand pernah menjemput Malaysia memantau pilihanraya di negara mereka, mengapa tidak dengan Malaysia? Kebangkitan rakyat sememangnya disedari oleh Umno-BN. Untuk menunjukkan ketelusan, SPR telah bersetuju untuk melaksanakan salah satu daripada lapan tuntutan Bersih, iaitu penggunaan dakwat kekal. 

Namun setelah PRU13 berlangsung, rakyat ternyata telah ditipu apabila dakwat yang dikatakan kekal itu sebenarnya tidak kekal. Bukan boleh tahan lima hari, malah dakwat itu boleh ditanggalkan dengan mudah hanya beberapa minit setelah disapu pada jari. Dengan ratusan ribu kes dakwat tidak kekal bersama 1,500 laporan polis serta pelbagai dakwaan dan bukti penipuan lain, BN masih boleh mengisytiharkan kemenangannya pada PRU13 lalu. 

Dengan kemenangan penuh penipuan dengan sokongan minoriti kurang "47 peratus", BN terus memerintah negara ini dengan memijak-mijak rakyat untuk kemewahan tidak terperi kaum kerabat serta kroni mereka. Menjelang pilihanraya, pemimpin Umno-BN berjanji kepada rakyat untuk tidak menaikkan harga petroleum, barangan dan tambang pengangkutan awam, tetapi setelah lima bulan memerintah kembali, harga petroleum khususnya RON95 dan diesel telah dinaikkan sebanyak 20 sen menjadikan harganya meningkat kepada RM2.10 dan RM2.00 seliter.

Harga ayam turut naik. Untuk mengatasinya, menteri 'cap ayam' telah meminta rakyat beralih kepada ikan, pada hal harga ikan jauh lebih tinggi daripada harga ayam. Kini turut pula kedengaran subsidi gula akan dikurangkan. Ini akan menjadikan harga gula meningkat tidak lama lagi. Menteri 'cap ayam' pula mengatakan tindakan itu dilakukan untuk kesejahteraan rakyat. Amat banyak kepincangan yang berlaku sepanjang negara berada di bawah pemerintahan BN. 

Selain rasuah yang semakin membarah dalam seluruh sistem pentadbiran kerajaan, penyelewengan, pemborosan dan ketirisan yang bermaharajalela, hutang negara semakin meningkat sehingga kepada kadar 53.3 peratus sekarang, manakala hutang isi rumah pula meningkat kepada 83 peratus.  Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 yang dikeluarkan baru-baru ini turut mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pelbagai agensi kerajaan. 

Laporan Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini turut mendedahkan perkara yang sama berserta cadangan untuk mengatasinya, namun para pemimpin Umno-BN ternyata tidak pernah berusaha ke arah itu. Majoriti rakyat sudah semakin sedar dengan segala salah laku dan salah urus kerajaan Umno-BN selama ini, namun rakyat gagal menukar BN kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya. 

Setelah keputusan PRU13 diumumkan, Pakatan Rakyat telah melancarkan #Black505, namun menemui jalan buntu. Malah ia tidak terkesan secara menyeluruh kerana tiada hasil yang nyata. Akhirnya rakyat letih untuk meneruskan perlawanan di jalanraya kerana telah masak dengan 'endingnya', iaitu hanyalah dengan ceramah, sedangkan ceramah tidak pun berjaya membawa perubahan yang diharapkan.

Kini sudah tiba masanya untuk Bersih menggerakkan satu aksi yang mampu membawa perubahan baharu. Setelah berjaya mengadakan Himpunan Bersih, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 secara aman, para pemimpin Bersih kini perlu menggerakkan pula Himpunan Bersih 4.0 bagi membolehkan PRU14 nanti benar-benar diadakan dengan bersih, adil dan telus. 

Bagi mencapai maksud itu, pihak Bersih perlu menyusun langkah yang lebih kemas dan berkesan untuk menarik penyertaan yang lebih ramai. Jika pada Himpunan Bersih 3,0 lalu disertai sekitar 500,000 orang, Himpunan Bersih 4.0 perlu disasarkan dengan penyertaan yang benar-benar mencapai sejuta orang. Sesungguhnya, tiada cara lain lagi untuk mengajar Umno-BN supaya akur dengan desakan rakyat selain mempamerkan kebangkitan rakyat kepada mereka. 

Langkah ini patut dimulakan sekarang bagi membolehkan momentum kebangkitan rakyat berterusan sehingga Umno-BN benar-benar berjaya ditumbangkan menerusi pilihanraya yang bersih, adil dan telus pada PRU14 pada tahun 2018 nanti. PAS, KeADIlan dan DAP yang berada dalam gabungan Pakatan Rakyat tidak boleh 'berehat' panjang. Sokongan yang padu perlu diberikan kepada Bersih agar menggerakkan himpunan aman Bersih 4.0 daripada sekarang, bagi membolehkan tampuk pemerintahan negara beralih kepada Pakatan Rakyat pada PRU14, atas matlamat untuk menyelamatkan negara daripada terus dihancurkan oleh para pemimpin Umno-BN yang tidak bertanggungjawab - Analisis Aziz Muda, Harakah