KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Ogos 03, 2008

Setakat ini 66 usul tolak Pak Lah sebagai Presiden Umno


JUMLAH cawangan Umno yang membawa usul ke bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Presiden Umno, kini meningkat kepada 66.

Perkara ini didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato' Ruhanie Ahmad dalam satu tulisannya pada blog kudakepang.blogspot.com. Tentulah perkembangan ini, suatu yang serius dan akan menelan Pak Lah selepas ini.

Kata Ruhanie, terdapat satu cawangan dalam Umno Bahagian Kota Belud, Sabah iaitu Cawangan Kulambai Dundau, telah mengusulkan supaya bahagiannya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebuah lagi Cawangan Umno Kampung Masjid, Jeneri, dalam Bahagian Sik, Kedah, turut mengusulkan supaya Umno bahagian itu juga mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden parti.

Sebelum ini, Umno dikejutkan dengan usul Cawangan Kg. Tua dalam Bahagian Langkawi, yang bersidang pada 26 Julai lalu, agar Datuk Seri Najib Tun Razak dicalonkan sebagai Presiden Umno dan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Timbalan Presiden.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruhanie mendedahkan lagi pada blognya tentang satu usul yang yang diluluskan pada Mesyuarat Pemuda Umno Cawangan Kg. Mengkuang dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, menuntut agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan dari Jun 2010 kepada 1 Disember 2008.

Saya yakin dan percaya, akar umbi Umno sebenarnya sudah menolak Pak Lah sebagai Presiden Umno. Mereka mahukan perubahan dan perubahan itu tidak semestinya beralih kepada Najib Tun Razak.

Seperti kata Tun Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid, Umno kini memerlukan seorang pemimpin yang berani. Bukan lembik, bukan pengecut. Mereka berdua menamakan Muhyiddin Yassin sebagai orang yang berani dan layak untuk menggantikan tempat Najib atau tempat Pak Lah.

Tiada ulasan: