KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Mengapa ahli parlimen pembangkang didiskriminasikan oleh pemimpin yang kononnya memperjuangkan demokrasi

MUQADIMAH: Ahli parlimen pembangkang terus didiskriminasikan dalam membelanjakan peruntukan Kerajaan Pusat. Akibatnya, mereka terpaksa mengutip derma, cari syarikat-syarikat swasta yang mahu menaja untuk program tertentu di kawasan parlimen mereka. Apakah ini martabat seorang ahli parlimen yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya?
Peruntukan yang disalurkan melalui Ketua Bahagian Umno sekali gus menghalang tanggungjawab sebagai ahli parlimen untuk rakyat mereka. Ahli Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohammad Husain mengakui mereka didiskriminasi. Ikuti wawancara wartawan, SALMIYAH HARUN bersama beliau di lobi Parlimen.


Peruntukan dari Kerajaan Pusat tidak disalurkan ke tempat yang betul. Keadaan ini sekali gus menyekat usaha dan tanggungjawab Ustaz terhadap rakyat. Jadi, bagaimana Ustaz menangani masalah ini?

Ini menjadi masalah utama kepada mana-mana wakil rakyat pembangkang pada masa ini. Peruntukan kami tak dapat. Agak sukarlah kita hendak jalankan tugas sebab di parlimen kita memerlukan peruntukan yang besar.
Kalau Adun dapat RM500,000. Kita di parlimen sudah tentu lebih besar sikit. Apa yang menjadi masalah peruntukan itu diberi kepada Ketua Umno Bahagian. Jadi kita sebagai wakil rakyat terpaksa mencari sumber kewangan sendiri, sama ada melalui syarikat swasta yang menderma, mencari sponsor atau menjalankan kutipan derma untuk melaksanakan kerja-kerja sebagai wakil rakyat.
Kita terpaksa usaha sendiri untuk dapatkan sumber kewangan. Apa yang jelas, kerajaan BN pada hari ini seolah-olah tidak boleh menerima realiti bahawa kita sudah ramai di parlimen yang sama-sama membangkitkan masalah ini.

Sebagai wakil rakyat, sudah tentu Ustaz mendapat mandat daripada rakyat di Parlimen Pasir Puteh. Apakah tindakan Kerajaan Pusat ini sudah bertentangan dengan slogan mereka 'rakyat didahulukan.."?

Sebagai wakil rakyat kita mempunyai tanggungjawab yang besar. Rakyat yakin dengan kita sebab itulah mereka memberi mandat kepada kita. Apa yang cuba dilakukan kerajaan ini kesannya bukan kepada kita, tetapi rakyat.
Macam rakyat di kawasan saya, yang tidak mendapat peruntukan sudah tentu tidak sama dengan wakil rakyat BN. Apa yang menjadi persoalan mengapa kita perlu mendapat pengesahan daripada Umno?
Inilah masalahnya, apabila saluran yang digunakan tidak betul. Yang menjadi mangsa adalah rakyat. Akhirnya menafikan hak rakyat yang memilih kita dalam pilihan raya. Tindakan Kerajaan Pusat ini telah mencemarkan sistem demokrasi yang mereka laungkan selama ini. Di mana slogan "rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan"?
Kita jangan mendiskriminasikan hak rakyat. Kita sebuah negara demokrasi dan 50 tahun sudah merdeka. Misalnya di Australia kedudukan ketua pembangkang mereka diberi sama taraf dengan ketua kerajaan yang mana mereka diberi peruntukan yang sama dengan pemimpin kerajaan. Ternyata peruntukan untuk setiap pimpinan pembangkang sentiasa ada. Macam mana kita sebuah negara yang dilaungkan sebuah negara demokrasi tetapi tidak wujud pun perkara ini sebagaimana negara-negara lain.

Apakah ini satu tindakan yang cuba di lakukan kerajaan untuk menyekat pembangunan di kawasan parlimen pembangkang?

Saya tidak nafikan. Kalau inilah tindakan mereka memang tidak betullah. Sebagai Kerajaan Pusat sepatutnya perkara ini tidak timbul. Sesiapa yang dipilih menjadi wakil rakyat sama ada pembangkang atau kerajaan, peruntukan rakyat itu mesti disalurkan. Kami bukannya hendak bolot peruntukan itu. Jangan salurkan kepada kami, salurkan melalui saluran yang betul seperti mana sebelum ini.

Dewan rakyat menolak usul Ahli Parlimen Bandar Kucing, Chong Chieng Jen yang mahukan sebanyak RM10 dipotong dari gaji Timbalan Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamad Ya'cob, sebagai pengajaran kerana tidak memberi peruntukan kepada parlimen pembangkang. Apa komen YB?

Setakat sepuluh ringgit tu, sikit je... bukannya banyak. Macam kami Ahli Parlimen PAS, potong 25 peratus daripada elaun ahli parlimen. Kami boleh lakukan. Takkan menteri tak boleh yang dapat gaji beribu-ribu nak potong sepuluh ringgit.
Apabila kita desak mahu potong gaji mereka, mereka tidak mahu tetapi, dalam masa yang sama mereka sedar atau tidak mereka boleh menyekat duit rakyat berjuta-juta ringgit. Saya menyokong sepenuhnya usul Bandar Kucing yang mengusulkan 'potong RM10 gaji Timbalan Menteri Kewangan' sebagai satu pengajaran kepada menteri terbabit bahawa mereka telah menafikan hak rakyat yang memilih wakil rakyat mereka khususnya di parlimen pembangkang. Sekali gus mereka menunjukkan sikap yang tidak prihatin terhadap rakyat.

Apa yang patut Kerajaan Pusat lakukan dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia ini?

Kerajaan Pusat janganlah melihat siapa pemimpin itu. Apa yang pentingnya adalah rakyat. Sama ada pembangkang atau kerajaan itu tidak timbul. Soal kepentingan dan kebajikan rakyat harus diutamakan.
Nampaknya, Kerajaan Pusat sendiri yang mencipta slogan rakyat di dahulukan tetapi dalam masa yang sama menafikankan slogan itu. Apa maknanya? Saya merayu tengoklah kepentingan rakyat, ke tepikan soal pembangkang atau kerajaan. Kembalilah kepada dasar kerajaan yang sebenar.
Saya minta kita gunakan saluran yang betul supaya peruntukan itu sampai kepada rakyat yang sepatutnya. Saya faham peruntukan itu memang tidak disalurkan kepada wakil rakyat, tetapi ikutlah saluran yang betul sebelum ini bukannya melalui Umno Bahagian.

1 ulasan:

The Unspinners Kembali berkata...

Selangor apa cerita? Dah 5 nak masuk 6 nak digantung?

Tak boleh ditegur nampaknya ...