KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dirombak setelah Mahkamah Tinggi menyifatkan suruhanjaya itu tidak rasional dan bertindak bertentangan dengan undang-undang, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.
"Lembaga dan struktur SPR hendaklah dirombak apabila mahkamah tinggi menyifatkannya tidak rasional.
"Rakyat dan sistem demokrasi negara ini tidak sepatutnya berhadapan dengan SPR yang disifatkan tidak rasional oleh mahkamah," katanya mengulas keputusan mahkamah mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Siputeh.
Dalam keputusannya 16 November lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato Alizatul Khair Osman membatalkan keputusan SPR sebelum ini yang menetapkan Dato' Abu Hassan Sarif masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi Dun itu tidak kosong.
Hakim tersebut menyifatkan SPR melakukan tindakan-tindakan yang tidak rasional dan bertentangan dengan undang-undang ketika membuat keputusan itu.
SPR membuat keputusan tersebut setelah Speaker Dun Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail menetapkan Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan Dun berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.
Mengulas lanjut, Mahfuz juga menyifatkan keputusan mahkamah itu menghakiskan lagi keyakinan umum terhadap SPR.
"SPR tidak dapat lari dari imej pro-Barisan Nasional (BN) dan berkerja untuk kepentingan BN," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Beliau berharap rakyat dapat mengekalkan sokongan terhadap usaha menamatkan pemerintahan BN.
"Jika pemerintahan BN dapat ditamatkan, kita akan pastikan SPR bebas dari cengkaman kuasa parti yang memerintah dan suruhanjaya tersebut akan diletakkan di bawah jawatankuasa khas Parlimen," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan