KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

SPRM cuba lindungi pemimpin tertentu dalam PKFZ?

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah badan yang mendapat kelulusan dan mandat dari semua ahli parlimen, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu lagi melengah-lengah siasatan ke atas projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), desak Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Mujahid Yusuf Rawa.

Dalam kes PKFZ itu tegasnya, SPRM sewajarnya turut memanggil Pengerusi Kuala Dimensi Sendirian Berhad (KDSB), Dato' Seri Tiong Kim Sing.

Ini dakwanya, Tiong sendiri mengaku memberi RM10 juta kepada Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Ong Tee Keat untuk disalurkan kepada parti MCA tahun lepas. Apa yang pelik, sampai sekarang SPRM diam diri sedangkan perkara tersebut diakui Tiong.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasatnya.

"Bukan saja Ong Tee Keat yang kena siasat tetapi Tiong juga perlu dipanggil," katanya semasa dihubungi Harakah.

Beliau menegaskan, sikap diam diri SPRM ke atas Tiong yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) seolah-olah mereka cuba menyembunyi beberapa individu lain yang terlibat dalam isu PKFZ.

Ini katanya, beliau difahamkan terdapat beberapa orang Umno terlibat dalam kancah PKFZ itu yang telah menelan belanja hampir RM500 juta.

"Pergilah buat siasatan kerana beliau juga terbabit dengan isu PKFZ kerana pemberian RM10 juta itu mencurigakan. Atau adakah kerana isu PKFZ ini melibat pengaruh politik terutamanya Umno menjadikan SPRM terpaksa diam," soalnya.

Sehubungan itu dakwa Mujahid, beliau melihat kes tersebut dilengah-lengahkan kerana bimbang rahsia-rahsia dalam PKFZ terbongkar.

Sebaliknya beliau berkata, mana-mana kes yang melibatkan Pakatan Rakyat begitu pantas SPRM membuka siasatan, contoh isu tajaan menunaikan haji kepada Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat dan kes Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Ab Rahman, yang juga menantu Tok Guru Nik Abdul Aziz.

"Itu yang peliknya, apabila kena kepada Pakatan Rakyat semua disegerakan kononnya melawan rasuah tetapi apabila melibat Barisan Nasional dilambat-lambatkan sedangkan kes tersebut sudah jelas dan semua rakyat tahu," katanya.

PKFZ juga katanya sebuah projek mega negara melibatkan duit rakyat dan ia sepatutnya disegera bukan membiarkan ia menjadi projek terbengkalai atau seperti gajah putih.

Beliau menggesa Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak menunjukkan komitmennya agar siasatan tersebut dijalankan tanpa ada perbezaan atau kepentingan pihak tertentu kerana katanya lagi rasuah tetap rasuah.

Tiada ulasan: