KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz dicabar meletakkan jawatan kerana tidak serius dalam melaksanakan reformasi terhadap undang-undang dan sistem kehakiman negara.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin berkata Nazri yang diamanahkan memegang jawatan menteri yang menjaga hal ehwal perundangan menunjukkan sikap yang tidak serius dalam usaha memulihkan imej undang-undang negara.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim juga cukup kecewa dengan usaha pemulihan undang-undang yang cuba dilakukannya mendapat tentangan daripada pihak kerajaan sendiri, kata Hanipa kepada Harakah.
Cabaran Hanipa itu merujuk kepada pendirian Nazri berhubung isu siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI ke atas peguam kanan, V.K. Lingam yang didakwa melakukan percaturan perlantikan hakim-hakim kanan.
Menurut Nazri, Lingam telah dibebaskan daripada sebarang dakwaan kerana perbuatannya tidak melanggar undang-undang.
Perbuatan Lingam itu, tegas Nazri lagi, mungkin hanya berlakon dalam menetapkan perlantikan hakim-hakim seolah-olah beliau menjadi broker dalam melantik hakim-hakim kanan bagi menarik hati orang.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan tersebut, Hanipa menempelak Nazri sambil menyifatkan kenyataan yang dikeluarkannya itu tidak meyakinkan malah ianya seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
"Takkan selepas Suruhanjaya Siasatan DiRaja menyatakan terdapat kes, Nazri boleh pandai-pandai menyatakan tiada apa-apa? Apa alasan kerajaan yang tidak mahu menyiasat kes itu, malah ianya menunjukkan seolah-olah mereka ingin menyembunyikan sesuatu?" tegas Hanipa yang juga seorang peguam.
Selain itu, beliau sependapat dengan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan yang menyifatkan kenyataan Nazri itu sebagai satu keputusan yang terlalu mudah, tidak bertanggungjawab serta menghina siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Siasatan DiRaja sebelum ini.
"Ia juga suatu pendirian yang tidak bertanggungjawab serta menghina Suruhanjaya Siasatan DiRaja," katanya lagi.
Untuk itu, kerajaan ujarnya perlu membuat penilaian semula terhadap kes ini bagi membuktikan terdapat masalah seperti mana yang didakwa pihak RCI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan