KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Salahuddin harap Nazri Aziz sedia berdebat isu royalti minyak Kelantan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohammed Nazri Aziz menunaikan janjinya untuk berdebat mengenai hak kerajaan negeri Kelantan untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak.

"Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat mengenai perkara itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

"Saya dengan hormatnya mencadangkan kepada Nazri agar perdebatan itu diadakan di Kota Bharu agar rakyat Kelantan dapat mendengar sendiri hujah dan menteri dari kerajaan Barisan Nasional (BN) yang enggan menunaikan hak kerajaan Kelantan untuk mendapat royalti tersebut," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga mencadangkan agar pengakuan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengenai perkara itu menjadi asas perdebatan.

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu, Lim Kit Siang di Dewan Rakyat pada 12 November 1975, Abdul Razak memberitahu: "Semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor, telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum, 1974.

"Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor pun telah bersetuju menandatangani perjanjian ini.

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing samada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya".

Ketika membantah jawapan Nazri mengenai isu royalti yang ditukar menjadi wang ihsan oleh kerajaan BN di Dewan Rakyat Selasa lalu, Salahuddin mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berdebat mengenai perkara tersebut.

Salahuddin menyifatkan jawapan Nazri banyak menyelewengkan fakta berhubung royalti minyak termasuk perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975.

"Saya berdiri di sini mewakili rakyat Kelantan mencabar Yang Berhormat mewakili Perdana Menteri berani atau tidak kita berdebat di luar dewan, di Kota Bharu, atau di Kuala Lumpur untuk kita beritahu rakyat rakyat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pembohongan ini," katanya.

Nazri membalas cabaran itu dan berkata beliau bersedia untuk berdebat mengenai perkara itu pada bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di markas PAS Taman Melewar.

"Saya tidak ada halangan sebenarnya malah kalau nak buat perbahasan di Markas PAS di Greenwood pun saya akan pergi. Tidak ada masalah,"katanya.

Sidang dewan menjadi kecoh apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) tidak berpuas hati dengan penyelewengan fakta dalam jawapan Nazri.

Antara yang bangkit membantah jawapan Nazri itu ialah Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) dan Yusmadi Yusoff (PKR-Balik Pulau).

Dr Dzulkefly malah menyifatkan Nazri menyelewengkan beberapa interpretasi perlembagaan mengikut pendapatnya sahaja sehingga ke peringkat menafikan apa yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin negara dan Petronas sebelum ini.

Nazri sebaliknya cuba mengalihkan perhatian wakil rakyat yang lain dengan menyentuh isu-isu dalaman PAS dan enggan menjawab isu sebenar yang ditekankan oleh Khalid mengenai hak kerajaan Kelantan untuk mendapat royalti minyak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap berbohong di Dewan Rakyat apabila mendakwa "dari segi perundangan, kerajaan Negeri Kelantan tiada ada hak untuk menuntut pembayaran royalti petroleum seperti juga negeri Terengganu".

Kenyataan itu bukan sahaja bercanggah dengan kenyataan bapanya di dewan yang sama ketika menjawab soalan Kit Siang mengenai perkara itu pada 1975 lalu, malah bertentangan dengan apa yang dilakukannya ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini di mana beliau menyerahkan cek wang royalti bernilai RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu.

Tiada ulasan: