KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Gerakkan gelombang kebangkitan rakyat setelah Umno dihinggapi sakit usus

MUQADIMAH: Rentetan kenyataan Tun Mahathir yang menyifatkan Umno kini terlalu busuk hingga ke usus perlu mendapat perhatian pimpinan Pakatan Rakyat untuk menggerakkan gelombang kesedaran rakyat mengenai keadaan Umno sekarang.
Ini suatu pendapat orang dalam yang patut diteliti dan dianjakan suatu lagi gelombang menyedarkan rakyat untuk menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang. Wartawan ROY RASUL ada butirannya bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Amiruddin Hamzah yang juga Exco Kerajaan Kedah.

Tun Mahathir tuduh Umno penuh dengan kebusukan sebab itu ramai pemimpin Umno yang bersara akan sokong PAS. Apakah kenyataan ini muslihat atau memang benar Umno terlalu teruk.

DATO' AMIRUDDIN HAMZAH: Bagi saya sama ada kita hendak melihat perkara tersebut sebagai satu muslihat atau apa pun hakikatnya itu satu luahan pemimpin Umno biarpun ada orang kata penyakit yang ada dalam Umno itu bermula di era beliau.
Realitinya itu luahan seorang pemimpin Umno apa yang berlaku dalam Umno. Maknanya perasuah masih lagi diberi jawatan kemudian oleh kerana budaya tersebut bermula di atas ertinya yang busuk di kepala akan busuk hingga ke bawah.
Kalau yang atas rasuah maka yang bawah pun berkata, kami pun hendak rasa sama. Itu yang menyebabkan budaya itu berlaku. Bagaimanapun disebabkan masyarakat sekarang lebih cerdik, taraf pendidikan semakin tinggi jadi umum dapat melihat perkara tersebut.
Melainkan mereka yang berkepentingan sahaja akan memilih untuk bersama dengan Umno demi kemewahan yang mereka kejar.
Tetapi mereka yang berpendidikan sama ada memerhati dan memberi sokongan kepada parti yang nampak jelas perjuangannya itu ataupun mengambil sikap untuk terus bersama dengan parti-parti yang mereka merasakan inilah parti yang ada matlamat perjuangannya dan tidak lari daripada perjuangan dan itu yang disebut oleh Tun Mahathir dalam blognya.

Benarlah, ramai dari mereka yang kini mula dan telah menyokong PAS?

Dalam Umno sendiri tidak ramai para profesional menyertainya bahkan mengambil keputusan untuk bersama parti-parti lain. Apapun bagi saya sama ada ia muslihatnya tetapi itu hakikat yang ada sekarang.
Hakikatnya sejak daripada dahulu PAS menjelaskan kepada rakyat bahawa Umno parti rasuah, bermasalah, zalim dan sebagainya.

Adakah kenyataan Tun Mahathir itu sudah sampai ke tahapnya untuk rakyat menolak Umno sekarang?

Hakikatnya pada 2008 lalu, rakyat terutamanya di Semenanjung memang telah menolak Umno. Cuma talian hayatnya bergantung di Sabah dan Sarawak juga di Johor.
Namun, kebanyakan di negeri lain hakikatnya ditolak bukan setakat Umno tetapi Barisan Nasional (BN) keseluruhannya.
Sekarang ini kita lihat kemelut yang ada dalam MCA dan MIC pun dalam keadaan cukup huru-hara dengan Samy Vellu yang berpegang dengan kuasanya sebagai presiden manakala kroni-kroninya terus memegang jawatan-jawatan penting dan sebagainya.
Jadi hakikatnya kalau tidak pun dengan majoriti mudah tetapi peratusan yang cukup besar telah menolak BN dalam pilihan raya yang lalu.

Maknanya ini disahkan dengan kenyataan yang dibuat Tun Mahathir itu?

Dari sudut rasuah, daripada dahulu lagi semua orang tahu Umno tidak habis-habis dengan rasuah sehingga kepada Ketua Bahagian pun disahkan ambil rasuah.
Tetapi kita lihat setakat ini tidak ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa menyiasat Umno secara serius. Kenapa jadi begini?
Saya ingat selagi definasi membeli undi itu dikirakan sebagai politik wang dan tidak disebut rasuah selagi itu SPRM tidak boleh bertindak dengan bersungguh-sungguh.
Itu hakikatnya. Satu lagi kita amat-amat meragui tentang SPRM sendiri kalau di pihak bukan BN membuat 'report' demi 'report' pun belum dilakukan siasatan.

Rakyat tak peduli pun rasuah yang dilakukan oleh pimpinan Umno sebagai satu masalah serius dalam negara. Mengapa?

Kita lihat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang beberapa bulan yang lalu, calon Umno yang disabutkan dengan rasuah masih menjadi pilihan pengundi. Mengapa rakyat masih terpedaya dengan Umno?
Mungkin kes di Bagan Pinang itu satu kes yang sedikit terpencil. Tambahan pula calon Umno, Tan Sri Isa Samad bekas Adun di kawasan Port Dickson dan bekas Menteri Besar dalam satu tempoh yang lama.
Jadi faktor orang lama, anak tempatan biarpun pernah dikaitkan dengan rasuah politik dan sebagainya tetapi sokongan masih diberikan kepada beliau.
Saya rasa, Isa ini diletakkan di tempat lain yang bukan sebagai anak tempatan dan sebagainya, saya amat yakin, paling tidak undi yang diperolehi BN itu akan merosot teruk.

Apakah Dato' berpuas hati dengan kesedaran rakyat terhadap gejala rasuah ini?

Keduanya saya ingat pendidikan untuk memberi kesedaran kepada rakyat masih belum cukup meluas. Kesedaran kepada rakyat terhadap pemimpin-pemimpin dan calon-calon yang pernah terlibat dengan rasuah harus ditolak, masih belum dijalankan dengan berkesan.
Dalam kata lain, ia masih cukup ketara. Sebab itu saya kata kes di Bagan Pinang satu kes terpencil.
Namun, di Malaysia ini saya rasa perjalanan kita masih agak jauh untuk menyedar rakyat supaya berasa prihatin dengan calon-calon yang seumpama ini di mana mereka ini harus ditolak dalam pilihan raya.
Jika di negara lain saya rasa orang seperti Isa Samad ini bukan ditolak rakyat tetapi partinya sendiri tidak terlintas untuk mencalonkannya kerana rekodnya yang sedemikian rupa.

Adakah Pakatan Rakyat akan gerakan satu referandum mengenai kebusukan Umno seperti mana dinyatakan Tun Mahathir bagi mobilisasikan minda rakyat menolak Umno pada pilihan raya umum ke 13 nanti?

Saya ingat, bertitik tolak daripada apa yang ditulis Tun Mahathir itu saya rasa Pakatan Rakyat harus mengambil iktibar dari apa yang disebut beliau untuk lebih meyakinkan rakyat.
Jika kita di luar ini memanglah orang akan kata 'you all' seteru kepada BN. Tetapi kalau penjelasan itu datang dari dalaman Umno sendiri saya kira Pakatan Rakyat harus menggerakkan gelombang ini untuk diperkuatkan lagi gelombang tersebut.

Tiada ulasan: