KUALA LUMPUR: Jika masyarakat bukan Islam di negara ini takut untuk mendekati Islam, maka pihak yang harus dipersalahkan adalah Umno-BN kerana memberikan tanggapan yang buruk dan salah mengenai agama suci itu.
Demikian ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yaacob kepada media, ketika mengulas mengenai pengaruh parti itu dalam mengelirukan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.
"Umno berusaha untuk menanamkan rasa takut terhadap perlaksanaan Islam sebagai suatu cara hidup dan budaya seperti berkhatan, sehinggalah pensyariatan undang-undang yang lebih serius seperti hudud, supaya orang bukan Islam mendapat gambaran bahawa Islam adalah agama yang menakutkan dan menyusahkan," katanya.
Jelasnya, peranan yang lebih aktif untuk menjayakan hasrat mereka ini diteruskan parti komponen BN, MCA agar mereka menakut-nakutkan orang Cina mengenai Islam.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga Yang DiPertua PAS Tumpat menegaskan inisiatif untuk membetulkan kekeliruan tersebut kini dibantu rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
"Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekarang ini dapat menerima penjelasan yang kami (PAS) berikan dengan baik malah mereka menghormati amalan dan pegangan Islam," ujar Ahmad.
Menyentuh mengenai isu undang-undang Islam seperti Hudud yang disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak, beliau berkata gambaran yang diberikan adalah bertujuan agar rakyat memandang serong kepada perlaksanaan hukum tersebut seolah-olah ianya menindas dan menzalimi penganutnya termasuk masyarakat bukan Islam.
"Kita di Kelantan telah mengusulkan undang-undang Hudud dan ianya diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri.
"Namun apabila ia(undang-undang hudud) sampai ke peringkat perbahasan di Dewan Rakyat - ianya disekat dan tidak diberikan laluan dengan alasan peruntukan perlembagaan negara," katanya lagi.
Berdasarkan reaksi para pemimpin Umno, maka Ahmad menegaskan parti yang memperjuangkan dasar kebangsaan itulah sebenarnya yang takut kepada Islam dan undang-undang Allah.
"Sebenarnya Umnolah yang takut kepada perlaksanaan Islam dan undang-undang Allah.
"Sebab itu mereka berusaha untuk menakut-nakutkan rakyat khususnya bukan Islam agar tidak menyokong Islam," ujar Ahmad lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan