KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Federalisme dinilai semula jika Najib berkeras

KUALA LUMPUR: Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) perlu membuat kajian dan penilaian semula terhadap konsep federalisme jika kerajaan pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN) terus berkeras dengan sikapnya yang enggan menyerahkan bayaran tunai royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Persekutuan Malaya yang terbentuk pada tahun 1957 dan selepas itu Malaysia pada tahun 1963 adalah persekutuan 13 negeri yang bersama-sama mewujudkan sebuah negara berdaulat.

"Tanpa 13 negeri tersebut, tidak ada persekutuan Malaysia. Oleh itu, sempadan Malaysia di darat, laut dan udara wujud kerana gabungan 13 negeri tersebut.

"Wilayah Malaysia di laut, sama ada di pesisir pantai atau Zon Ekonomi Ekslusif, iaitu dalam kawasan 200 kilometer dari pantai, menjadi milik Malaysia kerana wujudnya 13 negeri tersebut," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, apabila dibentuk Malaya dan selepas itu Malaysia, ada hak-hak 13 negeri tersebut yang diserahkan kepada kerajaan persekutuan termasuk pesisir pantai.

Hak-hak tersebut diserahkan dengan persefahaman bahawa apa jua yang menjadi hak kerajaan negeri tidak boleh dikhianati oleh kerajaan persekutuan, katanya.

"Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkeras enggan menyerahkan bayaran tunai wang royalti kepada kerajaan Kelantan, beliau telah mengkhianati konsep federalisme yang terbentuk pada tahun 1957 dan 1963 itu.

"Beliau juga mengkhianati dan menghina Perlembagaan Malaysia kerana konsep federalisme adalah antara bahagian terpenting dalam perlembagaan tersebut," kata Salahuddin.

Sebab itulah, katanya, negeri-negeri yang dikuasai PR perlu mengkaji dan menilai semula terma-terma yang membentuk konsep federalisme itu.

Beliau juga menyeru kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum menuntut agar komposisi ahli lembaga pengarah Petronas diubah untuk memastikan penyertaan wakil dari negeri-negeri pengeluar minyak untuk memastikan kepentingan negeri-negeri tersebut.

"Saya juga akan mencadangkan kepada kaukus tersebut supaya industri hiliran petrokimia dan gas diwujudkan di keempat-empat negeri pengeluar minyak kini iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mestilah diberi peluang untuk membentuk usahasama untuk mewujudkan industri hiliran tersebut, sama ada dengan Petronas atau pihak lain dalam industri berkenaan," katanya.

Usahasama tersebut, katanya, bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan di negeri-negeri berkenaan malah memberi manfaat kepada kerajaan negeri-negeri tersebut dengan penyertaan dalam usahasama itu.

Tiada ulasan: