KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Bukan saja kursus, PAS mahu BTN dihapuskan gagal tanam kecintaan terhadap negara

KUALA LUMPUR: Program Biro Tata Negara (BTN) terus mendapat pelbagai reaksi pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, pandangan tersebut disangkal Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpendapat pandangan Mahathir yang mempertahankan kursus doktrin Umno-BN itu ketinggalan zaman.

Jelasnya, Kursus BTN bukan sahaja tidak relevan untuk diteruskan tetapi Umno-BN lah sebenarnya yang sudah tidak relevan.

"BTN patut dihapuskan kerana ia bukan sahaja tidak relevan tetapi Umno-BN juga patut dihapuskan kerana tak relevan lagi," katanya kepada media.

Beliau yang turut mempunyai pengalaman menyertai kursus tersebut mendakwa program yang diwajibkan pada sesetengah golongan termasuk pegawai kerajaan itu sememangnya bersifat perkauman serta bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan Umno-BN.

"Saya sendiri pernah menyertai BTN dan sememangnya mereka menanamkan semangat perkauman yang bertujuan untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruh Umno-BN di negara ini.

"Bagi saya, ia bukan setakat perlu dirombak sebaliknya seluruh sistem BTN itu mesti dihapuskan," ujarnya.

Hujahnya, program itu tidak sedikitpun berkesan dalam membina bangsa yang baik dan jiwa rakyat yang mempunyai jatidiri peserta sebaliknya penuh dengan ugutan dan hasutan agar memperkukuhkan kuasa politik Umno-BN.

"BTN tidak boleh mengukuhkan perpaduan apatah lagi menguatkan kefahaman Islam dalam konteks cintakan negara," katanya lagi.

Menyentuh mengenai komentar Mahathir, beliau tidak terkejut dengan pandangan yang diberikan.

"Saya tidak terkejut kerana sejak zaman Mahathir lagi, BTN sudah tidak relevan," ujarnya lagi ketika diminta mengulas mengenai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz yang menyelar Mahathir yang mengatakan BTN tidak perlu dirombak kurikulumnya kerana tidak racist (perkauman).

Nazri dipetik sebagai berkata, Mahathir racist kerana menyokong BTN yang racist.

"Ini bermakna, Nazri mengaku bahawa BTN memang sangat racist!" tegas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 6 Disember lalu turut menyiarkan artikel berhubung BTN dengan tajuk "Kenapa buka mulut sahaja terus menafikannya?"

Artikel tulisan Chua Yaw Wee itu mempertikaikan perbezaan pendapat antara Menteri di JPM, Nazri Abdul Aziz dan Timbalannya, Ahmad Maslan berkaitan isu itu.

Menurutnya, Nazri mahu kandungan Kursus BTN dirombak bagi memenuhi konsep 1Malaysia tetapi Ahmad berkata, kandungan kursus tersebut telah pun memenuhi aspirasi gagasan itu.

"Bagaimana dalam satu kementerian ada perbezaan pendapat? Kami rakyat jelata mahu tahu yang mana satu betul? Perbezaan pendapat akan membuat semua orang rasa muak. Ia menunjukkan keputusan kurang cerdik oleh kerajaan. Menteri sendiri tidak jelas tanggungjawab mereka.

"Perbalahan antara kaum langsung tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi bagaimana orang ramai boleh menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan?" katanya.

Menurut Yaw Wee, sekurang-kurangnya kerajaan mesti menyelidik dan bukannya terus menggeleng kepala menafikan sesuatu isu apabila ia dibangkitkan.

Beliau turut mempertikaikan jumlah peruntukan yang terlalu banyak - RM74 juta - yang disalurkan untuk BTN melaksanakan program-programnya dan menganggap ia sebagai satu pembaziran.

Tiada ulasan: