MUQADIMAH: Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir secara terus terang menegaskan Umno kini sudah terlalu 'busuk' dalam tulisan pada blognya bertajuk "Umno Busuk Hingga Ke Usus". Secara tidak langsung, ia menyentuh kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak sekarang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Nawawi ketika diwawancara Wartawan ROY RASUL Khamis lalu, yakin dengan keikhlasan Mahathir mengungkapkan kenyataan keras itu. Ikuti butiran lanjut berkenaan isu ini.
Baru-baru ini Tun Mahathir Mohamad melalui blognya menyifatkan Umno sudah busuk daripada peringkat terendah hingga tertinggi. Keegoan ini dapat dilihat dalam kes royalti minyak kepada Kelantan. Adakah ini ciri-ciri kebusukan Umno seperti disebut oleh Tun Mahathir itu?
DR. SYED AZMAN SYED NAWAWI: Ya betul! Memang tepat sebagaimana disebut Tun Mahathir sendiri dan memang itu sifat yang ada pada Umno khususnya yang menerajui Barisan Nasional (BN).
Apa yang mereka lakukan di Kelantan itu membuktikan lagi bahawa apa yang dikatakan Tun Mahathir itu adalah tepat dan begitu benar dalam usaha mereka mendiskriminasi, menghalang dan mereka tidak memberi kemudahan-kemudahan di Kelantan.
Kita boleh tengok apa yang berlaku di Terengganu apabila mereka menarik balik royalti minyak di Terengganu dengan mewujudkan wang ihsan dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Sebenarnya, berbilion-bilion terbazir begitu saja dengan projek-projek mewah dan mega yang tidak memberikan kepentingan kepada seluruh rakyat Terengganu sehingga sekarang rakyat Terengganu berada di tahap kemiskinan yang begitu memalukan.
Sekarang ini kita tengok Kerajaan Pusat sengaja hendak beri wang insan itu untuk diberikan melalui Ketua Bahagian Umno atau Jawatankuasa Kecil Keselamatan Kampung (JKKK) seperti mana Tun Mahathir dakwa Ketua Bahagian Umno pun memang penuh dengan rasuah.
Adakah wang ihsan ini boleh menggalakkan lagi wujudnya rasuah?
Kita tengok Terengganu negeri yang kaya dengan royalti minyak. Ertinya ia boleh menyelesaikan masalah kemiskinan dan infrastruktur yang ada di negeri Terengganu.
Tetapi, apabila mereka menyalurkan wang tersebut melalui Ketua Umno dan kroni-kroni, saya rasa memang banyak berlaku penyelewengan, rasuah dan salah guna peruntukkan kewangan yang sepatutnya memberikan kebaikan kepada rakyat negeri Terengganu.
Tun Mahathir juga menggambarkan kebusukan Umno itu dengan mengaitkan golongan profesional di negara ini seperti peguam, doktor, jurutera dan sebagainya beralih angih kepada PAS. Apoa reaksi Dr.?
Memanglah genarasi yang terdidik mempunyai pandangan yang kritis, luas dan tidak terkongkong pandangan mereka dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan memang tidak akan memberikan sokongan kepada Umno dan pemimpinnya.
Adakah disebabkan itu kebusukan Umno ini menyebabkan komponen dalam BN sendiri berpecah misalnya yang sedang berlaku terhadap MCA, MIC dan PPP?
Ini benar. Sebabnya dalam komponen BN iaitu MCA, PPP, Gerakan dan MIC semuanya menyalah Umno sehingga mereka kalah teruk dalam pilihan raya 2008.
Semua mereka membuat keputusan untuk menilai kedudukan mereka dalam BN sendiri oleh kerana keangkuhan, kesombongan pemimpin Umno yang dilihat sebagai pimpinan yang mementingkan diri mereka sendiri tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat dan rakyat secara keseluruhan.
Bagaimana pula untuk Pakatan Rakyat mengalih pandangan rakyat supaya tidak menyokong Umno disebabkan kebusukan mereka yang semakin jelas?
Itulah dari segi maklumat dan informasi perlu kita perluaskan kepada rakyat. Contohnya yang terbaru, isu dakwaan penyaluran wang lebih daripada RM10 juta ringgit oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ke London.
Tidak ramai rakyat yang tahu berita ini ditutup kepada umum. Kecuali mereka yang melayari internet baru dapat tahu isu tersebut. Isu ini isu yang begitu besar dan penting yang perlu diketahui rakyat.
Begitu juga kalau kita tengok dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang menelan hampir RM10 bilion penyelewengan dan sebagainya yang perlu Pakatan Rakyat melakukan cabaran yang besar untuk kita sebar luaskan apa yang berlaku dalam penyelewengan-penyelewengan tersebut.
Mengapa pada hari ini Tun Mahathir lantang menuduh Umno penuh dengan kebusukan?
Tun Mahathir sebagai seorang yang berstatus negarawan tentunya beliau melihat apa yang berlaku sekarang ini di mana beliau tidak lagi menjadi perdana menteri maka beliau melihat kebusukan dan penyelewengan salahguna kuasa dan juga apa yang berlaku dalam Umno ini lebih kritikal berbanding di zamannya.
Beliau juga melihat mungkin tidak ada harapan lagi untuk selamatkan kedudukan ataupun menyelamatkan status Umno dari segi mendapat sokongan dan dokongan dari kalangan Melayu dan penduduk Malaysia yang berbilang kaum khususnya,
Jadi inilah antara kenyataan yang dibuat Tun Mahathir yang melihat perkembangan-pekembangan yang terakhir Umno dalam masyarakat bermaklumat. Berbeza dengan dahulu. Dahulu mungkin melalui media arus perdana seperti surat khabar dan TV boleh pengaruhinya.
Sekarang ini tidak semestinya media arus perdana dapat pengaruhi minda rakyat kerana adanya medai alternatif dan adanya internet yang boleh pengaruhi rakyat khasnya generasi baru.
Adakah ini satu tindakan Tun Mahathir untuk menjatuhkan pemerintahan Najib sebagaimana dilakukan beliau terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi?
Kita tidak tahu apa motif beliau dalam konteks untuk menjatuh Najib tetapi secara tidak langsung apabila beliau menyebut tentang kebusukan Umno ini termasuk juga kepimpinan Najib. Memang terkena kepada Najib sendiri dalam konteks beliau memimpin Umno sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan