KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Najib berdepan kemusnahan: Tok Guru Nik Aziz terus berdoa dalam gelap di malam buta

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan tetap mengangkat tangan ke langit berdoa kehadrat Allah SWT agar wang royalti yang menjadi hak Kerajaan Kelantan disalur Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mengikut perjanjian asal yang termeterai.

"Dalam menangani hal-hal yang berbelit-belit seperti inilah kadang-kadang, hati saya cepat terluka. Dalam keadaan-keadaan beginilah juga, kedua belah tangan saya menjadi cukup ringan untuk diangkat ke langit.

"Jika orang marah saya berdoa dan mengadu kepada Allah secara kuat dan terbuka di tempat ramai dalam kes penganiayaan ini, maka siapakah yang boleh menghalang saya dan rakyat saya dari terus berdoa dalam gelap di malam buta biarpun bersendirian?

"Saya pasti, pada akhirnya Allah tidak akan bersama dengan orang-orang yang menindas, zalim dan menekan. Bahkan Dialah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya, jika Dia kehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).- (Maksud Surah al-An 'am, Ayat 41)" tegas beliau.

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jubli Perak PAS Batu, Sabtu 5 Disember di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar, Tok Guru Nik Aziz menegaskan doa beliau tidak salah selagi Perdana Menteri tidak menunaikan janji yang telah termerai dalam isu royalti minyak kepada Kerajaan Kelantan.

Katanya, doa beliau yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini, sebenarnya mohon agar Allah membetulkan pandangan Najib yang juga Presiden Umno berhubung isu royalti minyak, dan bukanlah sesuatu yang pelik, tetapi ada orang yang terasa.

"Buat perkara yang jahat atas muka dunia, mesti kita minta musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Takkan nak doa kat orang jahat. Ya Allah Ya Tuhan ku, tolong lah orang jahat ini. Mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," Tok Guru Nik Aziz mengulangi ketegasannya.

Bahkan, kata beliau, doa orang kafir yang dizalimi pun mustajab disisi Allah SWT, inikan doa orang Islam yang dinafikan haknya dan dizalimi.

Terdahulu, dalam satu demonstrasi menyokong kepimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kota Bharu, Jumaat 4 Disember, Tok Guru yang juga Adun Chempaka menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi dan selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai 'pecah perut' orang itu," tegas beliau sambil disambut dengan laungan takbir.

Beliau hairan bagaimana Perdana Menteri boleh mendakwa tindakannya masih mengikut lunas undang-undang dalam isu pemberian wang ihsan untuk Kelantan.

"Hari ini pula, Perdana Menteri berkata bahawa beliau hanya akan mengikut undang-undang. Setahu saya, Akta Pembangunan Petroleum 1974, itulah undang-undangnya dan Ku Li lah (Tengku Razaleigh Hamzah) yang terlibat secara langsung dalam merangka serta menentukan kandungannya.

"Undang-undang mana lagi? Sedangkan apa yang Ku Li sebut itulah undang-undangnya!" tegas beliau kepada media.

Bagi Tok Guru Nik Aziz, apa yang dijelaskan Ku Li sudah cukup jelas untuk dituruti.

Katanya, dalam konteks hak royalti 5% Kerajaan-Kerajaan Negeri, Ku Li menyebutnya begini: "The States’ rights to 5% of profit derived from the extraction of any petroleum resources is based on a quid pro quo according to which the States vested entirely and in perpetuity all their rights and claims to petroleum resources to PETRONAS. In return for this Petronas is legally bound to pay the states the 5% directly."

Tegas beliau, keengganan Kerajaan Pusat memberi royalti kepada Kelantan dengan menukarnya dalam bentuk pemberian wang ihsan bukan sahaja akan melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, bahkan lebih besar, Kerajaan Pusat juga akan dilihat menidakkan perjanjian yang sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat di negeri-negeri tersebut.

Mustahil kerajaan-kerajaan negeri lain tidak khuatir dengan sikap dan pendirian Kerajaan Pusat pimpinan Umno-Bn yang tidak konsistan ini, soal Tok Guru Nik Aziz.

Sehingga kini, orang nombor satu Kelantan itu tidak boleh menerima pengisytiharan Perdana Menteri tentang wang royalti ditukar kepada wang ihsan dan beliau tetap akan terus berdoa kehadrat Allah SWT.

Menjawab tuduhan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Awang Adek dalam kenyataannya di Pasir Mas pada 6 Disember 2009 kononnya Tok Guru Nik Aziz seorang yang 'celupar', beliau menyifatkan keceluparan Umno dan Awang Adek tidak terbanding dengan 'celupar' beliau.

"Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan.

"Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur Presiden Umno diatas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah.

"Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami. Ia hak yang termaktub melalui sebuah perjanjian bertulis yang sempurna di tahun 1974.

Tok Guru Nik Aziz bertanya, celuparkah beliau semata-mata kerana jujur membaca dan menafsir maksud perjanjian itu (petroleum) tanpa keliru?

Soalnya lagi, kenapa harus ditukar pemberian dari royalti kepada wang ihsan dan diberi pula melalui sebuah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)?

Semua orang tahu, katanya, JPP itu bukan kerajaan, sebaliknya ia seperti Jabatan Pertanian atau Jabatan perkhidmatan Haiwan, dan ia cuma sebuah jabatan kerajaan.

"Pada saya sikap Umno yang sekular selama inilah yang menghalalkan dia bertindak sebegitu liar. Ini kerana agama Islam telah diletak di luar dari kandang politik dan pemerintahan. Dia (Umno) meletakkan soal dosa pahala diluar dari urusan pemerintahan," tegasnya lagi.

Barangkali bagi Umno, katanya, agama tidak lebih dari pengertian 'religion' seperti apa yang difahami oleh Barat dan inilah punca atau ibu kepada segala keceluparan Umno baik dalam isu royalti di Kelantan atau pelbagai isu keadilan, rasuah, demokrasi dan good governance di sepanjang 52 tahun pemerintahan.

Tok Guru Nik Aziz turut menggariskan lima perkara mengapa Umno mesti ditentang.

Pertama kerana sikap Umno yang menolak Islam syamil yakni Islam komprehensif padahal Allah Taala menyebut, 'ud khulu fis silmikaafah' iaitu hendaklah kamu terima Islam secara keseluruhannya tetapi ini amatlah mendukacitakan. Sepanjang berpuluh tahun menegur pendirian yang salah ini, seingat beliau, belum pernah menerima respons pemimpin Umno baik secara bertulis ataupun lisan.

Kedua, katanya, sesungguhnya amalan Umno bercanggah dengan amalan Nabi SAW sendiri dan pada bila-bila masa sekalipun, tidak ada ruang dalam hidup Nabi SAW, dalam hidup para khalifah dan para sahabat r.a. yang mengasingkan politik dengan agama dan agama dari politik.

Ketiga, di dalam al-Quran, segala keperluan hidup manusia meliputi masalah sosial, masalah akidah, masalah ekonomi, masalah rumah tangga, masalah aman dan damai, masalah protokol dan hubungan diplomatik termasuk mengirim surat kepada semua raja dan pembesar negara; semua sekali ada disentuh dan ia disempurnakan lagi oleh riwayat dan hadith-hadith Nabi SAW.

Keempat, apabila manusia mengasingkan politik dari agama, nak ganti dengan apa di tempat yang lompang itu? Ia sama ada mereka turut penjajah atau turut nafsu amarah. Dengan amalan songsang berkenaan apa jaminan di akhirat kelak, apa yang mereka tiru selain dari Islam itu, akan mendapat keredhaan Allah?

Dan yang kelima, jika hidup dapat diurus sendiri tanpa perlu menurut Islam, apa gunanya manusia dikirimkan oleh Allah SWT seorang Nabi? Manusia boleh fikir sendiri dan berbuat sesuatu mengikut nafsu sendiri? Pegangan dan amalan ini cukup sinonim dengan parti Umno dan inilah parti serta orang yang sebenar-benarnya boleh digelarkan sebagai bermulut celupar.

Tiada ulasan: