KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Ulama PAS Kelantan sokong tuntutan 5% royalti

DEWAN Ulama PAS Kelantan menyokong penuh tuntutan royalti minyak sebanyak lima peratus kerana:

1. Sudah terdapat perjanjian yang melibatkan Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Petronas. Di mana dalam perjanjian petroleum 1974 secara jelas menyatakan kerajaan negeri berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus dari hasil petroleum. Hal ini juga diakui sendiri oleh YM Tengku Razalegh Hamzah selaku pengerusi Petronas yang terlibat secara langsung dalam penggubalan perjanjian petroleium di waktu itu seperti yang dipetik oleh Sinar Harian (30 November 2009).

2. Berasaskan semangat federalisme dan demokrasi, maka kerajaan negeri Kelantan selaku pihak yang diberi amanah oleh rakyat dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran adalah bertanggungjawab juga dalam memelihara dan menyelia kebajikan, kemaslahatan, kepentingan rakyat termasuk sumber ekonomi negeri secara adil dan beramanah.

Oleh itu, kerajaan negeri yang mendapat mandat dari rakyat dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya yang lalu adalah pihak yang sah menurut amalan demokrasi dan hukum perjanjian tersebut sebagai pihak yang berautoriti dalam mengurus dan mentadbir royalti tersebut.
Berasaskan fakta seperti yang termaktub dalam perjanjian, prinsip keadilan dan semangat federalisme dan demokrasi, kerajaan Kelantan berhak menuntut royalti tersebut agar rakyat Kelantan boleh menikmati faedah dari royalti tersebut sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu sebelum ini.
Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ehsan dan penyerahan faedah petroleum ini kepada pihak lain adalah merupakan perbuatan khianat dan tidak bertamadun.


Dengan ini saya Dato' Muhammad Daud Iraqi selaku Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan bagi pihak Dewan Ulama PAS Kelantan menyambut saranan Tuan Guru Dato' Menteri Besar agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama bersatu mempertahan dan menuntut hak mereka ini.

Sementara itu buat masa kini, kita mampu bermunajat dan berdoa kehadrat Allah agar dibukakan hati pihak yang terlibat sehingga hak rakyat ditunaikan.

Kita juga menyeru dan berdoa agar pihak yang terlibat menginsafi bahawa perbuatan menafikan hak rakyat adalah sangat tidak beretika dan zalim. Kita juga bersama-sama menyokong Tuan Guru Menteri Besar dalam mengutuk perbuatan tersebut kerana perbuatan mengambil atau menafikan hak rakyat, menghianati amanah dan perjuangan sememangnya sangat dikutuk oleh agama serta menyalahi hukum dunia.

Di samping itu, ia turut menodai perinsip demokrasi dan semangat federalisme yang menjadi ideology negara.

Sebagai renungan, Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud "hendaklah kamu menaunaikan janji, sesungguhnya perjanjian itu akan diperosalkan oleh Allah di akhirat nanti".

Surah An-Nisa’ ayat ke 28 pula Allah berfirman yang bermaksud "Allah memerintah supaya amanah itu diserahkan kepada ahlinya (yang berhak)."

Manakala Rasulullah dalam sebuah Hadis mengutuk pihak yang menghianati perjanjian dengan menyifatkannya sebagai salah satu dari tanda atau sifat orang munafiq.

Nabi SAW juga mengingatkan mereka yang menghianati atau menzalimi orang lain, dimana Baginda bersabda yang bermaksud; "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi." - (H.R.Muslim).

Dalam satu lagi Hadis beliau bersabda yang bermaksud; "Takutlah kamu kepada doa yang yang dizalimi, biarpun dia itu seorang kafir, sesungguhnya di antara Allah dan si kafir (yang dizalimi) yang berdoa itu tiada hijab (halangan) antaranya". - (Sahih Al-Jaami’ 119).

Berhubung dengan kepimpinan Tuan Guru, Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan juga mengambil pendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti.

Buat masa ini, Tuan Guru dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Ketokohan dan budaya pemerintahan seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan.

Pemimpin boleh datang dan pergi silih berganti, memang benar kita sudah mempunyai berisan pelapis yang layak untuk menyambung kepimpinan beliau, namun tokoh pemimpin seperti beliau sangat susah untuk ditemui dalam dunia sekarang ini.

Oleh DATO' MOHAMAD DAUD IRAQI

Tiada ulasan: