KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Siasat adik Najib! SPRM lembab, pengakuan P Balasubramaniam jelas

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat segera adik Perdana Menteri, Dato' Mohammad Nazim Razak seperti dalam dakwaan penyiasat bebas, P Balasubramaniam mengenai pembabitan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, satu siasatan terbuka perlu dibuat SPRM dalam isu ini kerana ia juga membabitkan persoalan sogokan atau rasuah.

Bercakap kepada media, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebelum ini SPRM telah bertindak dengan pantas terhadap beberapa kes yang melibatkan pembangkang.
Namun dalam kes-kes membabitkan tokoh penting dalam Umno/BN, SPRM dilihat 'lambat' bertindak termasuk dalam pengakuan penting Balasubramaniam ini, katanya.

"Siasatan ini penting kerana ia membabitkan kes besar yang tidak boleh dipandang ringan oleh SPRM. Ia babitkan imej negara. Apa yang didakwa dalam pengakuan itu ialah orang yang dekat dengan Perdana Menteri," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mendesak agar Najib Tun Razak turut bertindak membersihkan 'imej' beliau dan adiknya itu, agar isu setiap kali timbul isu pembunuhan Altantuya ini, mereka tidak dikaitkan.

Sebelum ini, dalam pengakuan pertama Balasubramaniam juga menyebut keterlibatan Najib, namun hingga kini selepas dilaporkan beberapa akhbar antarabangsa termasuk The Liberations, Najib masih belum bertindak membersihkan namanya.

"Dalam perkembangan terbaru ini, kita mahu melihat jika Najib tidak ada kaitan dengan isu itu, beliau perlu bertindak mengikut saluran yang ada, ini persoalan serius yang membabitkan imej negara," tegas Salahuddin lagi.

Pada 2 Disember lalu, pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat telah menghantar satu aduan kepada SPRM agar menyiasat dakwaan penyiasat bebas, P Balasubramaniam mengenai pembabitan adik Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu.

Dalam laporan itu, Pemuda Pakatan Rakyat mendakwa, siasatan itu berkaitan isu pertukaran akuan sumpah Bala dan hubungan mangsa dengan Perdana Menteri.

Pemuda Pakatan Rakyat juga menyebut, Dato' Mohamed Nazim Razak serta seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai individu yang perlu disiasat.

Bercakap kepada media, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan laporan tersebut dibuat berdasarkan rakaman temuramah dengan Balasubramaniam.

Balasubramaniam adalah merupakan saksi utama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu selain bertugas selaku penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda yang turut dituduh bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Balasubramaniam juga merupakan bekas anggota polis Cawangan Khas, mengumumkan akuan bersumpah pada tahun lepas, 3 Julai dengan mengaitkan Najib dalam kes tersebut.

Tiada ulasan: