KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

GST akan bebankan rakyat bawahan - Dr Dzulkifli

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pasukan petugas pemantau GST (Anti-GST Task Force) itu dianggotai tiga wakil ahli parlimen bagi setiap parti.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad, penubuhan kumpulan petugas tersebut bertujuan untuk mengkaji akta sedia ada yang berkaitan serta cadangan Rang Undang-Undang.

"Tujuan penubuhan pemantau GST ini juga bagi memformulasikan pelan tindakan untuk jangka pendek dan panjang. Ia juga bagi menyedia dan melengkapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu GST serta menjalankan sesi sumbang saran dengan rakyat dan memberi kefahaman secara menyeluruh terhadap kesan GST," katanya sewaktu sidang media di lobi Parlimen pada 2 Disember lalu.

Jelasnya, adalah tidak munasabah kerajaan menggunakan alasan pelaksaan GST untuk tujuan menambah hasil pendapatan cukai kerajaan sebanyak RM 1 bilion.

Dzulkifli menegaskan, GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ini akan memberikan kesan yang parah kepada rakyat khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Pada pandangan kami pengenalan GST ini akan meninggalkan kesan dan impak yang parah khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kami mahu membawa isu ini sebagai isu yang cukup penting kerana persoalan bagaimana ia akan meninggalkan impak kepada rakyat bukan hanya isu politik tetapi sekaligus akan mejejaskan kehidupan rakyat yang sudah terbeban dengan pelbagai cukai dan penarikan semula subsidi," tegasnya.

Tambah Dzulkifli, kumpulan petugas pemantau GST ini akan melaporkan secara terus kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Selain Dzulkifli, dua orang lagi wakil daripada PAS yang akan memantau GST ialah Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaafar dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

DAP pula diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Manakala KeADILan diwakili Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nassution, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Tiada ulasan: