KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau seorang pemimpin bersih, berintegriti, beramanah dan berwawasan.
Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menegaskan, Mursyidul Am Pas itu
tidak perlu tunduk ke atas tohmahan penyokong Umno yang membuat protes terhadap beliau berhubung isu doa.
Beliau yang juga Timbalan Bendahari Agong DAP berkata, kenyataan Tok Guru adalah benar dan mewakili rakyat jelata Kelantan yang menunggu sekian lama menuntut hak asasi mereka memandangkan Kelantan telah dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan selama ini.
"Hasrat Tok Guru adalah baik. Kenyataan beliau berasaskan kepada perjanjian Petronas dengan Kerajaan Kelantan pada 1970-an. Mengikut perjanjian itu, Kerajaan Persekutuan harus membayar royalti minyak kepada Kelantan sejumlan RM1.7 billion.
"Dana tersebut boleh digunakan untuk membangun Kelantan dan rakyat Kelantan akan menerima manfaat dari pendirian Tok Guru yang tegas itu," katanya.
Jelas Adun Pantai Remis ini lagi, ketika PAS menguasai Terengganu pada 1999, Kerajaan Persekutuan dengan serta-merta memberhentikan bayaran royalti minyak kepada Terengganu, malahan mencari dalih menggelar royalti minyak dengan jolokan 'Wang Ihsan'
Tambahnya, amalan diskriminasi tersebut merupakan penghinaan kepada sistem demokrasi negara seolah-olah wang royalti minyak kurniaan Tuhan adalah tabung Umno.
Bagaimanapun katanya, apabila BN memenangi Terengganu pada 2008, Kerajaan Persekutuan terus membayar royalti minyak sebanyak RM461 juta.
"Fakta ini terbukti bahawa BN mengamalkan amalan diskriminasi dan tidak dapat bezakan tabung parti dengan wang rakyat. Jika kerajaan pimpinan Najib gagal melayan Kelantan dengan adil dan saksama, maka berdoa supaya beliau berundur memang selaras dengan prinsip amalan demokrasi dan cogan kata beliau 'rakyat didahulukan'.
"Pemimpin Umno yang membenarkan ahli-ahli mereka memijak gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon malahan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak layak untuk menegur Tok Guru Nik Aziz," katanya.
Nga yakin Tok Guru Nik Aziz adalah seorang tokoh agama dan pemimpin yang berwibawa, bersih, berintegriti serta berwawasan.
"Beliau tidak makan duit rakyat, tidak rasuah mahupun salah guna kuasa. Saya minta pemimpin BN tepuk dada, tanya selera, selesaikan skandal rasuah berbillion ringgit dulu yang merugikan rakyat sebelum buat tuntutan yang bukan-bukan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan