KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Islam terus terpinggir di bawah Umno-BN - Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Islam akan terus terpinggir dan dipinggirkan sekiranya Umno-BN terus memerintah di negara ini.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan sejak parti itu memerintah, kedudukan agama yang dilaung-laungkan sebagai agama rasmi negara ini semakin jatuh.

"Sejak diberi mandat memerintah Malaysia sejak 1957 sehingga kini, Islam terpinggir malah dipinggirkan kerajaan tanpa memberi perhatian serius untuk menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup yang sebenar seperti mana yang disebutkan dalam doa iftitah yang bermaksud "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam"," katanya kepada media.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat terpaksa menghadapi kerenah Umno dalam pentadbiran apabila agama bukan lagi menjadi tumpuan dan bukan agama yang menjadi pemangkin kehidupan tetapi nilai-nilai kebendaan yang sempit, kehidupan yang tidak berteras kepada agenda yang penuh dnegan agenda merosakkan Islam, mengagung-agungkan budaya Barat serta memastikan kepentingan individu tertunai.

"Sedangkan agama (Islam) terabai. Inilah kerajaan yang kita lihat sepanjang pemerintahan Umno," ujarnya.

Beliau yang juga bekas Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia memberikan bukti isu tersebut.

"Sejak merdeka memang sudah ada undang-undang pentadbiran, Majlis-majlis Agama Islam Malaysia, iaitu undang-undang pentadbiran undang-undang Islam - terdapat peruntukan kecil kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri yang rata-rata hanya dalam bidang undang-undang keluarga Islam - itu pun tidak menyeluruh.

"Akan tetapi, undang-undang tidak pernah berkembang dan tidak dipertingkatkan. Mereka tidak memberi perhatian untuk mengemaskini undang-undang itu," katanya lagi.

Ustaz Haron menyatakan dalam undang-undang kekeluargaan Islam maskahwin daripada dahulu sehingga kini masih lagi bernilai RM80, RM25 dan sebagainya - malah wang untuk bayaran khuluk hanya bernilai RM1 sampai ke hari ini.

"Adakah undang-undang seperti ini relevan dalam keadaan masyarakat yang sudah jauh ke hadapan?

"Dalam konteks kesalahan jenayah seperti minum arak dan khalwat yang hanya didenda dengan bayaran beberapa ratus ringgit sahaja.

"Adakah ini undang-undang Islam atau undang-undang yang disogok kepada Islam yang tidak boleh diterima oleh Islam?" tegasnya.

Ustaz Haron menegaskan lagi, kesalahan dalam Islam tidak boleh ditebus dengan wang ringgit yakni denda sebagai tebusan.

Hal ini ujarnya, termasuk dalam perkara yang dinamakan sebagai 'assuhtu' iaitu satu istilah al-Quran yang bermaksud harta haram.

Oleh itu, katanya lagi, dalam sejarah mahkamah pada zaman Rasulullah, sahabat dan seterusnya, mereka yang melakukan kesalahan sedemikian akan dikenakan hukuman sama ada hudud yang tidak akan berubah selama-lamanya atau qisas yang juga tidak berubah selama-lamanya atau takzir - iaitu mengenakan hukuman sama ada penjara, membayar wang daerah atau hukuman fizikal dan tiada yang mengenakan denda wang.

Ustaz Haron menempelak pentadbiran kehakiman di negara ini yang didakwa merendah-rendahkan kedudukan Mahkamah Syariah berbanding Mahkamah Sivil.

"Malah sampai kepada peringkat perkara yang diputuskan Mahkamah Syariah boleh dirujuk kepada Mahkamah Sivil seolah-olah merendah-rendahkan Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Mahkamah Sivil.

"Hal ini melambangkan penghinaan kepada Islam," ujarnya lagi.

Islam ujarnya, adalah agama Allah yang menjamin keselesaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat - yang tidak boleh berlaku dengan sendiri.

"Akan tetapi ianya boleh menjadi realiti dengan manusia yang diberikan kuasa dengannya memerintah sesebuah negara.

"Hendaklah pemerintah peka dan tahu tugasnya untuk membela agama serta memastikan agama itu berfungsi," katanya lagi.

Dengan demikian jelas Ustaz Haron, hiduplah agama dan selamatlah manusia daripada azab Allah dengan kehidupan yang dijanjikan Hasanah di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: