KOTA BHARU: Sudah terantuk bagi tergadah. Itu perumpamaan bagi menggambarkan peranan sebenar Biro Tata Negara (BTN) yang diumumkan kerajaan untuk dirombak selepas dikritik hebat pemimpin Pakatan Rakyat.
Sehingga kini Selangor dan Pulau Pinang tidak membenarkan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri terbabit mengikut latihan di BTN.
Biar pun cuba dinafikan berkali-kali kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bekas pegawai kanan BTN, namun hari ini mereka mulai mengakui agensi itu diwujudkan bagi memperkukuhkan kedudukan Umno dan BN.
Jauh sekali untuk memupuk semangat cintakan negara.
Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah berkata, modul kursus yang diajar di BTN selepas 1998 lebih menekankan pengukuhan peserta terhadap Umno.
"Peserta kursus juga diajar memusuhi pemimpin parti-parti Pakatan Rakyat khususnya ulama dalam PAS. Doktrin yang diajar lebih bersifat perkauman," ujarnya ketika ditemui di sini.
Oleh itu katanya, tindakan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang menghalang kakitangannya menghadiri kursus di BTN dianggap tepat sekali.
Rosli yang juga pernah dilantik Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN pusat, berkata, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut diasak kepada peserta kursus di BTN.
"Modul kursus BTN di awal era 1990-an berbeza khususnya sewaktu di bawah seliaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana turut ditekan soal pendidikan Islam," katanya.
Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberitahu keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan menyebabkan rakyat turun ke bawah ketika berlaku reformasi yang diketuai Anwar.
"Sekarang kursus di BTN tidak lagi ditekankan isu pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus kepada propaganda Umno, isu perkauman dan memburukkan ulama dalam PAS.
"Kini mereka melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya lagi.
Beliau juga berkata, setiap peserta mengikuti kursus selama lima hari bagi melengkapkan modul yang disediakan.
Rosli juga mencadangkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat menganjurkan sendiri kursus khas untuk kakitangannya bagi melayakkan mereka mendapat kenaikan pangkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan