KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Umno sudah tidak boleh diubati lagi - Ustaz Nasa

KUALA LUMPUR: Pendedahan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah dalaman yang membarah dalam parti itu sekarang, membuktikan realiti sebenar, Umno sudah tidak boleh diubati lagi.

Demikian ditegaskan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kepada media di lobi parlimen baru-baru ini.

"Saya percaya masalah yang didedahkan itu bukanlah satu perkara yang baru berlaku sebaliknya ia telah berakar umbi dalam parti Umno sehingga ianya sudah tidak boleh diubat lagi," tegasnya.

Jelas Ustaz Nasharuddin, walaupun pelbagai usaha dibuat untuk memperbaiki imej parti itu ianya tetap tidak dapat mengubah apa-apa dengan dasar yang diamal berteraskan kebangsaan itu.

"Meskipun pelbagai usaha diambil Umno untuk membaiki imej mereka, ia tetap tidak berjaya.

"Oleh yang demikian, PAS mahu rakyat berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang sebagai suatu harapan baru kepada masa depan Islam, Melayu dan negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok turut menempelak kenyataan yang dibuat Mahathir yang tidak berani mendedahkan masalah ini semasa beliau masih lagi memegang jawatan nombor satu parti itu.

"Kenapa beliau tidak berani untuk mengeluarkan kenyataan ini semasa beliau masih lagi menjadi Presiden Umno? Mengapa sekarang baru hendak bising kerana masalah ini bukannya baru berlaku?" tegasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Mahathir yang mendakwa ramai veteran Umno yang berminat untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata PAS sentiasa mengalu-alukan penyertaan mereka.

"PAS sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama kita untuk melakukan perubahan. Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk menyertai PAS," katanya.

Tiada ulasan: