KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, November 24, 2013

Pecah Berita: Sumber tak rasmi - Husam, Salahuddin dan Tuan Ibrahim Naib Presiden PAS yang baharu


Maklumat terkini yang saya terima, dan ramai lagi barangkali terima melalui SMS mengkhabarkan satu keputusan tidak rasmi mengenai status kerusi Naib Presiden PAS yang tertangguh kerana dikira semula awal malam tadi, 23 November. Seperti diduga oleh kebanyakan penganalisis politik PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa memenangi jawatan Naib-naib Presiden PAS setelah selesai kiraan semula, kata satu SMS.

Bagaimanapun, keputusan rasmi mengenainya hanya akan diumumkan esok di Muktamar PAS esok, 24 November. Hari terakhir muktamar. Menurut sumber, wakil bagi pihak-pihak yang bertanding sudah menandatangani borang pengesahan keputusan itu setelah kiraan kali terakhir dibuat.

Jika benar, pertimbangan perwakilan PAS mahu Datuk Mahfuz Omar yang kini dimanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah bekerja lebih keras fokus kepada usaha merampas semula Kerajaan Kedah daripada tangan BN yang dipimpin Mukhriz Mahathir. Sebab itu mereka tidak memilih Mahfuz ke kerusi Naib Presiden sekali lagi.

Sementara Datuk Husam dikekalkan, atas banyak pertimbangan selain beliau tidak lagi Exco Kanan Kerajaan Kelantan. 

Apa yang perwakilan Pemuda mahu sehingga menyebabkan Suhaizan menang Kamarulzaman kecundang?


Ada yang mengagak Suhaizan Kaiat tidak mudah menang. Undi blok yang wujud dalam Pemuda PAS sukar dirungkai. Apatah lagi kempen Suhaizan langsung tidak menonjol. Jika Suhaizan sebuah produk, produk itu pasti hanya dikelih begitu sahaja. Dia muncul pada saat akhir, menyebabkan rakanya Zulhasmi Sharif mengumumkan untuk bertanding Ketua Pemuda PAS Pusat.

Tetapi keajaiaban menyebelahi Suhaizan. Dia dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu bagi sesi 2013-2015 menggantikan penyandang Ustaz Nasrudin Hasan yang melepaskan jawatan tersebut dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-54 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, 21 November lalu.

Keputusan pengundian yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dr Zulqarnain Lukman kira-kira jam 9.40 malam. Suhaizan memperoleh sebanyak 320 undi memintas lawannya  Kamarulzaman Mohamad yang mendapat 307 undi serta Zulhazmi Shariff hanya memperoleh 7 undi.

Bagi Timbalan Ketua pula, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mendapat undian sebanyak 355 menewaskan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang hanya memperoleh 282 undi. Dalam pada itu, bekas Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin mendapat sokongan yang selesa daripada perwakilan dengan memperoleh 411 undi berbanding peguam, Ahmad Zamri As'ad  yang mendapat 226 undi.

Seramai 12 daripada 26 calon AJK telah dipilih perwakilan iaitu Ustaz Syed Abdul Kadir Al Jofree (433); Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (433); Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (417); Syahir Sulaiman (415); Abang Ahmad Kardee (404); Ustaz Zaharudin Muhammad (379); Ustaz Ahmad Yahya (377); Wan Faizul Salleh (371); Dr Fadhli Ghani (359); Ustaz Zawawi Hassan (358); Nurul Islam Mohamed Yusoff (355) dan Mohd Sany Hamzan (340).

Ustaz Kamal Ashaari dan Dr Riduan Mohd Nor masing-masing menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Seramai 638 perwakilan daripada 160 kawasan diseluruh negara yang layak memilih telah membuang undi dan 19 daripadanya ditolak kerana diklasifikasikan sebagai undi rosak. Sesi pengundian berjalan dengan lancar bermula jam 11.20 pagi dan berakhir kira-kira 4.00 petang.

Seramai 665 orang perwakilan Muslimat PAS lakukan tindakan bijak kekal kepimpinan terdahulu


Saya menucapkan sekalung tahniah kepada Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat sesi lalu yang telah dipilih semula untuk menerajui kepimpinan dewan itu bagi sesi 2013-2015. Bukan kerja mudah untuk meyakinkan 681 perwakilan agar mengekalkan kepimpin sedia ada. Namun, terbukti perwakilan Muslimat bijak dan cakna betapa perlunya kepimpinan sedaia ada dipertahan dan tidak ditukar.

Dalam pemilihan Muktamar Dewan Muslimat PAS ke-54, 21 November lalu, Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof mendapat 468 undi; Timbalan, Dr Siti Mariah Mahmod mendapat 429 undi dan Naib Ketua, Mumtaz Md Nawi mendapat 457 undi. Mereka masing-masing mengalahkan Ustazah Nurudah Salleh, Dr Najihah Ahmad dan Dr Rosni Adam.

Seramai 12 orang AJK telah dipilih - Dr Halimah Ali 476 undi; Aiman Athirah Al-Jundi (457); Khairiah Mohamad (454); Normala Sudirman (446); Dr Asiah Ali (449); Aida Yusof Rawa (409); Wan Ubaidah Wan Omar (393); Mastura Mohamad (392); Dato' Asiah Ghazali (372); Ustazah Azizah Khatib Mat (360); Wan Hasrina Wan Hassan (331) dan Kartini Ahmad (306).

Pengerusi Tetap, Norhasimah Deraman mendapat 387 undi manakala Timbalan Pengerusi Tetap Norazlin Samsudin. Pemeriksa kira-kira ialah Basmatul Uyun dan Siti Norfatiya Daud.

Pada muktamar kali ini, seramai 681 orang perwakilan layak mengundi tetapi hanya 665 orang sahaja yang mengundi. Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi telah mengumumkan keputusan itu.

10 arahan langsung Presiden PAS kepada semua entiti parti merealisasikan tema "Rahmat Untuk Semua"


Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menurunkan 10 arahan langsung kepada semua entiti dalam parti islam itu agar cakna dan segera merealisasikan tema "Rahmat Untuk Semua" yang dibentangkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-59, di Stadium Melawati, dekat sini.

Ucapan dasar Presiden PAS yang dibuku setebal 25 muka surat itu, turut menyentuh pelbagai perkara dalaman parti mahupun politik tanahair termasuk menyinggung siasah antarabangsa.

Tegasnya, tema "Rahmat Untuk Semua" adalah berpaksikan kepada keyakinan bahawa perjuangan Islam yang dilangsungkan PAS menerusi wadah tarbiyah-dakwah-siasah yang tidak berpisah, sarat dengan mesej Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul A.S. yang di khatam (tamat) dan disempurnakan dengan Nabi Muhammad SAW bagi membawa "Rahmat" ke seluruh alam.

Ia ujarnya, selaras dengan Firmah Allah SWT bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam". - (al-Anbiya: 107)

Catatan kelainan pada kali mini apabila Ustaz Abdul Hadi pada fasa akhir ucapannya menggariskan 10 arahan yang mesti dilaksanakan aktivis PAS di setiap peringkat organisasi.

Pertama, beliau mahu semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mesti mempunyai kefahaman jelas terhadap tema dan kemudiannya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat.

Kedua, Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan diminta perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus program dalam kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah.

Ketiga, seluruh jentera PAS di Sabah Sarawak diminta berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka rakan penting dalam pembentukan Malaysia supaya tidak dibuli oleh Umno-BN disetiap masa dan ketika. PAS di Sabah dan Sarawak mesti melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS.

Keempat, Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah digesa meneruskan perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalan maqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dialsaksankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat dan mampu menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk zaman.

Kelima, Dewan Pemuda pula diminta sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia. Inovasi baharu dakwah bersifat inklusif perlu diterokai.

Keenam, Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa kerana kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.

Ketujuh, memperluaskan peranan Dewan Himpunan dengan modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perlu dibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu daripada sayap parti yang penting.

Kelapan, Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh pimpinan negeri dengan menjadikan program tarbiyah dan latihan agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.

Kesembilan, Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Adun, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan mesti melaksanakan amanah sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak.

Kesepuluh, ahli-ahli PAS secara keseluruhannya mesti mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat dan terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing.

Diakhir ucapan, Ustaz Abdul Hadi mengajak semua ahli PAS  memteguh jamaah, perkukuh saf perjuangan, murnikan fikrah dan mantapkan keyakinan kepada janji Allah SWT.

Tema Ucapan dasar Presiden PAS "Rahmat Untuk Semua" mantap, konkrit untuk direalisasikan


Dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Tarmizi Ali, diikuti nyanyian lagu kebangsaan Negaraku. Lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati yang memenuhi segenap ruang Stadium Melawati dikejutkan dengan lagu rasmi PAS yang diberi nafas baharu, lebih bertenaga dan gagah oleh kumpulan nasyid Unic di pentas utama.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan ucapan dasar bertemakan "Rahmat Untuk Semua" pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59, di Stadium Melawati, 22 November lalu. Sambil mengalu-alukan kehadiran sidang muktamirin, rakan taulan, para tetamu dan pemerhati, beliau menjelaskan tema "Rahmat Untuk Semua" adalah berpaksikan kepada keyakinan bahawa perjuangan Islam yang dibawa PAS membawa rahmat kepada seluruh alam.

PAS, ujarnya menyampaikan mesej Islam melalui wadah tarbiyah, dakwah dan siyasah (politik). Mesej Islam yang dibawa para rasul dan disempurnakan Nabi Muhammad SAW ini, ujarnya membawa rahmat kepada ke seluruh alam sesuai dengan firmah Allah SWT dalam Surah al-Anbiya', ayat 107.

"Marilah sama-sama kita memahami, bahawa apa yang kita bawa ini bukan bersifat retorik dan bukannya suatu janji-janji indah yang ingin mengaburi pandangan  manusia atau mengelirukan kefahaman. Maudu’ kita  adalah Islam yangberteraskan kepada keyakinan yang dipahat dengan tegasdalam Fasal 3 Perlembagaan PAS. Inilah Islam yang yang nyatakan oleh Rasulullah SAW membawa rahmat adil kepada masyarakat majmuk yang bersaudara di atas kemanusiaan," tegasnya.

Sebaik usai ucapan, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melancarkan kitab tafsir At-Tibyan karya Ustaz Abdul Hadi. Sebelum itu, Presiden PAS melancarkan MyHarakah.

Seramai 1,120 perwakilan termasuk pemimpin PAS Pusat berkampung Stadium Malawati, Shah Alam sehingga 24 November pada muktamar pemilihan kali ini. Proses pemilihan jawatan dalam parti telah berjalan kira-kira jam 4 petang Jumaat lepas, dan keputusan pemilihan dijangka akan diketahui kira-kira jam 8.45 pagi 23 November (Sabtu). Tetapi, oleh kerana berlaku kesilapan teknikal dalam kertas undi, sekali lagi perwakilan mengundi pada pagi 23 November dan kesemua keputusan diumumkan pada sebelah petangnya.

Perbahasan ucapan dasar dan perbahasan usul berlangsung pada hari kedua manakala hari ketiga muktamar, diisi dengan ucapan penggulungan para pemimpin PAS Pusat dan ucapan penangguhan oleh Tuan Guru Abdul Hadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali ketika berucap membuka majlis, menyifatkan pemilihan pucuk pimpinan PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 kali ini berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang laporan salah laku oleh mana-mana calon yang bertanding. Ini katanya, membuktikan calon-calon PAS bukan sahaja beretika bahkan berintegriti sebagai entiti penting dalam jemaah.

Mustafa percaya pemilihan PAS pada kali ini mendapat liputan media yang luar biasa kerana pengaruh media sosial yang memainkan peranan setiap hari.

Jumaat, November 22, 2013

Nasib Mat Sabu ditentukan petang ini. Dia terpaksa berdepan kes di Mahkamah Tinggi. Kelibatnya tiada di Stadium Melawati.


Hari ini Jumaat, 22 November, lebih 1,300 perwakilan PAS seluruh negara akan keluar mengundi memilih saf pemimpin PAS Pusat. Tetapi calon Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada sebelah pagi mungkin sampai ke petang terpaksa berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kerana apa? Takut berhadap perwakilan? Bimbang kalah dalam pemilihan? Tidak. Tetapi kerana dia berdepan satu lagi kes mahkamah - perbicaraan kes saman fitnah Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR, ke atas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, pencetak Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Harakah, Aziz Muda.

Semalam, sehari suntuk dia bersama Lutfi Othman, Aziz Muda dan Dato' Mustafa Ali berada di mahkamah berkenaan. Di situlah, Wan Ahmad mahu Harakah sebagai media perlu memainkan peranan penting melaporkan isu-isu berhubung SPR, termasuk menyiarkan pandangan pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu sebagai defendan pertama, bagi memastikan SPR sentiasa berada atas landasan yang betul.

Saman Wan Ahmad ke atas keenam-enam defendan itu berikutan penyiaran dua artikel dalam bulan Februari tahun ini dalam akhabar Harakah bertajuk "Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai" dan "Ragu Peranan SPR: Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan"  yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadapnya.

Kes tersebut mula disebut pada hari Khamis, 21 November kelmarin dan akan disambung hari ini Jumaat, 22 November ketika Muktamar PAS ke-59 berlangsung, sehingga menyebabkan Mohamad dan peguam Hanipa Maidin tidak dapat menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59 kerana perlu berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hanipa dengan dibantu oleh Azhana Mohd Kahiruddin mewakili Mohamad Sabu, Dato' Mustafa Ali, Ahmad Lutfi Othman dan Aziz Muda, manakala Wan Ahmad diwakili peguam Dato' Mohd Hafarizam Harun.

Perbicaraan hari pertama pada 21 November lalu membabitkan keterangan tiga orang saksi bagi pihak plaintif, manakala Mohamad Sabu akan memberikan keterangan pada perbicaraan hari kedua, Jumaat, 23 November bermula jam 9.00 pagi.   

Untuk membolehkan beliau, Mohamad dan Mustafa hadir mengikuti Muktamar PAS ke-59 yang bermula 23 November di Stadium Malawati Shah Alam, Hanipa telah memohon untuk penangguhan bagi menghadiri muktamar itu kerana ia diadakan setiap dua tahun sekali, tetapi Hafarizam bertegas membantahnya, menyebabkan mereka perlu hadir di mahkamah pada 22 November.

Nasib Mohamad Sabu kini ditangan lebih 1,300 perwakilan hari ini. Samada mahu mengekalkan dia selaku Timbalan Presiden atau mencampaknya jauh daripada kerusi itu. Mahu tidak mahu, banyak lagi saman sedang menagih dirinya Mohamad Sabu selepas ini ekoran perjuangannya membela nasib rakyat.

PAS Batu pilih Mohamad Sabu dan mengekalkan tiga Naib Presiden yang lama


PAS Kawasan Batu mengucapkan selamat datang kepada lebih 1,300 orang para perwakilan dari seluruh negara pada Jumaat, 22 November bagi menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-59. Ia akan dilansungkan di Stadium Melawati sekali lagi, di Shah Alam.

Menurut Yang DiPertua PAS Batu, pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Batu ke-28 awal November lalu telah mencalonkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS dan mengekalkan tiga Naib Presiden, Dato' Mahfuz Omar. Salahuddin Ayob dan Dato' Husam Musa. Mesyuarat juga turut mengekalkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Katanya, PAS Kawasan Batu juga menghulurkan salam tahniah kepada Ketua Pemuda PAS Pusat yang baharu, Suhaizan Kaiat yang telah menang mengungguli jawatan berkenaan menewaskan dua calon lain, Zulhasmi Shariff dan Kamaruzaman Mohamad. Juga tahniah kepada Mohd Khalil Abdul Hadi dan Khairil Nizam Khiruddin, masing-masing menang Timbalan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat.

Khamis, November 21, 2013

Utusan akhbar Umno. Hutang banyak. Saman banyak. Umno suntik RM40 juta lagi!


Isunya daripada mana Umno dapat duit? Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat jajahan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Utusan adalah akhbar mainstream. Orang Melayu menyifatkan ia akhbar bangsa Melayu. Sejak daripada awal lagi, Utusan muncul sebagai akhbar yang memperjuangkan orang Melayu. Kini orang Melayu itu dijelmakan dalam rupabentuk Umno. Wajah Utusan ialah muka depan Umno. Dalam ertikata lain, Utusan adalah lidah rasmi Umno di negara ini.

Tindakan Umno menyuntik RM40 juta harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat. Ini adalah konflik kepentingan apabila Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan.

Berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain. Memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Utusan amat penting bagi survival Umno. Utusan adalah senjata tajam yang bekerja keras melaga-lagakan pemimpin PAS dengan DAP dan PKR. Utusan juga adalah kapak kecil yang sering meniup api perkauman bagi mengekalkan kuasa Umno. Kini Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan "Two Call Rights Issue".

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta. Sebab itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mesti bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia. Menurut sumber daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi Umno bakal meningkat kepada kira-kira 67.2 peratus iaitu lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan. Inilah sebab sebenar, kenapa Umno berulang kali menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli iklan secara agresif dalam Utusan. Kini ia terjawab. 

Dana ini penting selain memberi oksigen kepada Utusan untuk terus hidup, ia juga menjadi kantung untuk membayar pelbagai saman fitnah daripada musuh-musuh Umno yang diperlakukan secara biadap oleh Utusan dalam laporannya. Apatah lagi, Utusan kini memikul beban hutang yang besar sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 dan RM15.8 juta pada 2012. Ditambah dengan kerugian RM8.8j juta dalam tiga bulan tahun ini.

Khamis, November 07, 2013

MENGAPA DEWAN SENAT AMERIKA BOLEH TOLAK VAT?


Pentadbiran Obama mahu mengenakan Cukai Nilai Tambah atau Value-added Tax (VAT) atau nama lainya GST (Goods and Services Tax) ke atas rakyat Amerika bagi menangani beban defisit dan hutang negara  yang semakin membesar. Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dalam satu temubual televisyen dalam bulan Jun 2009 memberitahu bahawa pengenalan VAT merupakan sebahagian daripada pelan untuk merombak sistem cukai negara Amerika. 

Bahagian lain daripada pelan rombakan itu termasuklah pemotongan secara beransur-ansur kadar cukai pendapatan personal dan permansuhan cukai korporat (cukai ke atas keuntungan perniagaan). 

Memang diakui bahawa pengenaan VAT meluaskan asas pencukaian kerana setiap rakyat adalah pengguna dan dengan VAT kesemua pengguna menjadi pembayar cukai, tidak kira kaya atau miskin. Bilangan pembayar cukai di bawah sistem cukai pendapatan (korporat dan individu) adalah terhad kerana hanya rakyat yang melepasi threshold pendapatan yang ditetapkan yang membayar cukai.

Ini bermakna VAT mampu menaikan hasil cukai pada kadar yang cukup besar. Oleh itu, sekiranya VAT adalah tambahan (top-up) ke atas cukai-cukai yang  sedia ada dan tindakan serentak tidak dilaksanakan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan dan lain-lain cukai atau memansuhkan sama sekali cukai-cukai yang ada, sudah pasti  pengenaan VAT menambahkan hasil kerajaan dengan lumayan. 

Kesan Buruk VAT

Walau bagaimana pun, kesan buruknya ialah - sekiranya VAT bersifat top-up - peningkatan ketara beban cukai ke atas rakyat. Sebaliknya, sekiranya pengenaan VAT dibuat secara serentak dengan penurunan cukai pendapatan, maka  ianya  membawa kesan memindahkan beban cukai daripada golongan kaya dalam masyarakat kepada golongan berpendaptan rendah dan miskin. Kedua-duanya tidak baik.

Adalah menjadi impinan orang kaya Amerika (termasuk sesetengah yang tidak berapa kaya) sejak tahun 1913 lagi mahu cukai pendapatan dimansuhkan dan digantikan sepenuhnya dengan cukai penggunaan (seperti VAT). Kajian yang dijalankan mendapati bahawa pengenaan VAT pada kadar 23 peratus mampu menjana hasil cukai yang sama banyaknya dengan hasil cukai yang dijana dari cukai pendapatan, cukai payroll dan lain-lain cukai Persekutuan yang wujud sekarang.  

Dengan VAT yang sudah sedia dikenakan di negeri-negeri, ini bermakna pengenalan VAT di peringkat Persekutuan (Federal level) pada kadar 23 peratus menyebakan setiap rakyat Amerika bakal membayar cukai pada kadar keseluruhan tidak kurang dari 30 peratus. 

Walaupun Obama memahami bahawa VAT menambahkan kesengsaraan ke atas rakyat Amerika yang miskin dan memewahkan lagi orang kaya, tetapi kerana hasilnya besar bagi kerajaan ditambah lagi bahawa kerjaannya dalam keadaan terdesak untuk menjana hasil tambahan bagi menampong perbelanjaan yang semakin meningkat khanya berikutan pengenalan manfaat jagaan kesihatan Obamacare, maka beliau yakin VAT adalah penyelesaiannya. 

Beliau melihat bahawa: "A Federal value-added tax (VAT) is today’s magic bullet for slaying the federal budget deficits. A federal VAT would be a veritable cash cow, obviating the need for painful measures like serious spending reduction and middle-class income tax hikes".

Namun, setelah idea ini diapungkan beberapa ketika, rakyat Amerika menolaknya.    
  
Rakyat Amerika Tolak VAT

Pada 15 April 2010, Dewan Senat menolak cadangan pengenaan VAT ke atas rakyat Amerika dengan majoriti85-13. Kenapakah ianya ditolak? Hujahnya, antara lain, adalah seperti berikut: VAT tidak adil. VAT adalah regresif, iaitu, semakin rendah pendapatan seseorang maka semakin tinggilah beban cukai yang ditanggungnya. Sebagai perbandingan cukai pendapatan adalah progresif, iaitu, semakin tinggi pendapatan seseorang makan semakin tinggilah beban cukai yang ditanggungnya. 

Oleh yang demikian, VAT adalah cukai yang tidak adil. Darjah regresivitinya (ketidakadilanya) akan menjadi semakin teruk bila pengenaan VAT dikuti secara serentak dengan pengurangan atau pemasuhan cukai pendapatan dan cukai-cukai yang bersifat progresif yang lain.

 Sesetengah ahli ekonomi berpandangan "VAT is designed to shift most of the tax burden from income to consumption, or in reality, from wealthier Americans to poorer ones". 

VAT bukan penyelesaian kepada masalah pelebaran defisit penimbunan hutang negara. Majoriti Senator tidak yakin bahawa peningkatan besar hasil cukai berpunca dari pengenaan VAT boleh membawa kepada pengecilan defisit belanjawan dan penguncupan hutang negara kerana bukti empiris (hasil kajian) secara jelas (convincingly) menunjukkan bahawa semakin besar hasil cukai maka semakin besar kerajaan berbelanja menyebabkan semakin melebarnya defisit belanjawan dan semakin meningkatnya hutan negara.  

Ahli-ahli senat melihat bahawa jalan berkesan untuk menangani kegawatan fiskal ialah dengan kerajaan yang ada mematuhi fiscal disciplines secara tegas.

Saiz Kerajaan Semakin Besar

Pelaksaanaan VAT hanya akan membesarkan lagi saiz kerajaan Amerika. Seorang Senator Amerika berhujah: "The contention that implementing a VAT would make our government more fiscally responsible is a dog that just won’t hunt. The purpose of a VAT would not be to shore up deficits and pay down debt, but to expand the government into new areas backed by an all new source of funding".

Kajian menunjukkan bahawa negara-negara yang mengamalkan VAT saiz kerajaannya mengalami pembesaran sebanyak 29 peratus. Data siri masa (time siries data) pelbagai negara juga menunjukkan bahawa cukai yang semakin pelbagai dan kadar cukai yang semakin tinggi membawa kepada hasil yang lebih tinggi menyebabkan saiz kerajaan semakin besar.   

Kos pelaksanaan VAT, di pihak pembayar cukai dan dipihak kerjaan adalah adalah besar. Kajian oleh Jabatan Belanjawan Kongres (Congress Budget Office) menunjukkan bahawa pengurusan VAT di pihak kerajaan (Inland Revenue Service – IRS) memerlukan penambahan seramai 20,000 kakitangan  dan penguatkuasaan VAT pula bakal menelan belanja RM700 juta setahun. 

Pengenaan VAT akan menyukarkan golongan peniaga khasnya peniaga-peniaga kecil dalam urusan penyediaan dan penyimpanan rekod. Ini adalah kerana VAT adalah pengenaan cukai ke atas setiap barang dan perkhidmatan pada setiap fasa pengeluarannya bermula dari bahan mentah di hantar ke kilang, kemudian kepada pemborong, peruncit dan akhirnya ke pungguna terakhir. Sebagai perbandingan, urusan cukai pendapatan jauh lebih mudah, iaitu, atas satu angka sahaja – pendapatan atau keuntungan.

VAT adalah "lesen untuk mencuri". VAT adalah cukai yang "tidak dapat dilihat" (a hidden tax) kerana ia dirangkumkan sekali di dalam harga setiap barangan dan perkhidmatan menyebabkan pengguna tidak tahu bahawa kerajaan telah mengambil sebahagian daripada wang mereka. 

 Lesen Untuk Mencuri

Pada perkiraan mutakhirnya, penggunalah yang membayar keseluruhan cukai itu. Namun, mereka tidak sedar dan tidak tahu akan hal ini sebab cukai dikenakan pada setiap fasa pengeluaran barang berkenaan. Sebab itulah VAT disifatkan oleh sesetengah ahli ekonomi sebagai license to steal (lesen untuk mencuri). 

Sekali VAT sudah dilaksanakan, maka kerajaan boleh menaikkan kadarnya bila ia kehendaki. Kadar VAT di negara- negara Eropah sudah dinaikkan berkali-kali. Misalnya, kadar VAT di Perancis adalah 21peratus dan Sweden 25 peratus sekarang. Dengan cukai pendapatan dan lain-lain cukai terus dikenakan, beban cukai yang ditanggung rakyat adalah tinggi.     
    
Pengenaan VAT di peringkat Persekutuan bertindan dengan VAT atau cukai jualan yang di kenakan oleh negeri-negeri. Setiap negeri di Amerika memungut cukai jualan dan VAT. Ini membebankan lagi rakyat negeri masing-masing. Lagi pun, negeri-negeri mahu biarlah mereka sahaja yang mengenakan VAT atau cukai jualan dan pihak Persekutuan menumpukan perhatian kepada cukai pendapatan.  

Setelah Obama menyatakan bahawa the VAT is on the table dan penasihat ekonomi beliau, Paul Volcker menyatakan imposing a VAT was not as toxic an idea, Jurucakap Rumah Puteh akhirnya terpaksa menyatakan bahawa "White House in not considering a VAT".

Keputusan Dewan Senat melegakan rakyat Amerika. Namun, mereka mahukan jaminan teguh dari Presiden mereka bahawa sesungguhnya "a VAT is not on the table". Bagi rakyat biasa Amerika, peningkatan beban cukai sudah sampai ke kerongkong - Analisis Dr Rosli Yaakop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan AJK PAS Pusat.

BENARKAH GST SEBUTIR PELURU AJAIB UNTUK MEMBUNUH HANTU DEFISIT?

 

Pada hari Jumaat, 25 Oktober 2013 maka Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Pertama, Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pun menghentakkan paku terakhir kepada keranda GST. Kenapakah keranda? Ada mayatkah di dalamnya? 

Tidak, ada biawak hidup yang rakyat Malaysia akan kena pikul. Mahu atau tidak mahu rakyat Malaysia kenalah memikul beban GST ini sampailah ke satu masa bila kerajaan baru yang prihatin-keadilan dan dhomir hati pemimpinnya merasai susah-payah dan sengsara hidup rakyat. Entah bila, tiadalah penganalisis mampu menduganya.

Pengumuman bahawa Kerajaan BN akan mengenakan Good and Services Tax (GST) atau lebih tepat,  Cukai Nilai Tambah (Value Added Tax – VAT) merupakan sebuah berita terburuk yang pernah sampai ke telinga rakyat Malysia sejak peristiwa 13 Mei tahun 1969. 

Sekiranya peritiwa 13 Mei itu adalah sebuah malapetaka besar yang menimpa negara 44 tahun yang lalu, maka pengenaan GST juga layak dikategorikan sebagai malapetaka besar yang kini menimpa rakyat Malaysia. Sesetengah ahli ekonomi Amerika menyifatkan VAT – yang cuba dikenakan oleh pentadbiran Obama dalam tahun 2010 yang lalu tetapi ditolak oleh Dewan Senat dengan undi 85-13 - sebagai "the biggest long-term threat to fiscal responsibility" (ancaman jangka panjang paling besar ke atas kebertanggungjawapan fiskal) bagi mana-mana ekonomi. 

Ada pula ahli ekonomi yang menyoal: Kenapakah masih ada negara mahu meniru satu sistem pencukaian yang telah terbukti bahawa negara yang mengunapakainya bergelut dengan ancaman "kebankrapan fiskal" (teetering on the edge of fiscal collapse)? Buruk sekali tanggapan ahli-ahli ekonmi ini terhadap VAT. Kenapakah demikian?

Wujud keyakinan bahawa VAT adalah penawar ajaib yang boleh menyembuhkan penyakit defisit belanjawan dan hutang negara. Maka negara-negara yang dijangkiti dua penyakit ini dipreskripsikan penawar ajaib berjenama VAT. Namun, setelah bertahun-tahun memakannya, ternyata ianya tidak mujarab. 

Ubat Tak Mujarab

Negara-negara yang memakan ubat ini, penyakit defisit belanjawan dan keberhutangannya bukan mahu kebah tetapi semakin melarat. Seandainya VAT ini mujarab, tentulah negera-negara yang menggunakan ubat ini menikmati lebihan belanjawan dan jumlah hutang negara yang terkawal pada jumlah yang munasabah.   

Sebaliknya, hampir kesemua negara yang mengamalkan VAT terus mengalami penyakit defisit belanjawan dan keberhutangan yang keterlaluan saban tahun. Negara Iceland, misalnya mengenakan kadar VAT yang tertinggi di dunia ke atas rakyatnya, namun ia tidak mampu mempertahankan diri dari dilanda krisis kewangan yang hampir membankrapkan kerajaannya. 

Negara Itali mengenakan kadar VAT yang hampir setinggi kadar di Iceland dan hutang negaranya melebihi KDNK. Negara Greek juga mengamalkan VAT dan gagal membayar gaji kakitangan awam selama setahun memaksa rakyatnya turun ke jalan raya menunjuk perasaan. 

Negara Sepanyol dan Portugis juga mengamalkan VAT dan kedua-duanya juga berdepan dengan krisis kewangan. Negara Great Britain juga mengamalkan VAT dan kedudukan kewangan kerajaannya adalah yang paling teruk sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua. Saiz defisit belanjawannya lebih besar dari yang dialami negara Greek.   

Satu kajian terbaru yang dibuat oleh ahli ekonomi Douglas Holtz dan Cameron Smith menemui bukti bahawa pengenaan VAT adalah penyebab saiz kerajaan menjadi semakin besar. Ahli-ahli ekonomi terus berdebat tentang persoalan: Apakah cukai yang lebih tinggi menyebabkan perbelanjaan kerajaan semakin tinggi atau apakah perbelanjaan kerajaan yang semakin tinggi menyebabkan cukai yang semakin tinggi? 

Namun, penemuan kajian ini selari dengan realiti bahawa negara-negara yang mengamalkan VAT saiz kerajaannya mengalami pembesaran sebanyak 29 peratus sejak VAT mula dikenakan.

Kerajaan Berbelanja Besar

Ahli ekonomi pemenang Hadiah Noble, Milton Fredman pernah mengungkapkan: "In the long run government will spend whatever the tax system will raise, plus as much more as it can get away with". Ini bermakna bahawa pengenaan VAT menyebabkan kerajaan berbelanja lebih besar, bukannya mengurangkan defisit dan hutang negara. Dan inilah yang dilihat terjadi kepada negara-negara Eropah hari ini.

Berlainan dengan Singapura yang baralih dari regim cukai langsung kepada regim cukai tidak langsung dengan menaikkan kadar VAT secara beransur-ansur dan secara serentak menurunkan kadar cukai langsung beransur-ansur bagi meletakkan kadar cukai korporat dan personal di Singapura pada kadar yang internationally competitive, pengenaan GST di Malaysia lebih bersifat top-up, iaitu, menambahkan satu lagi jenis cukai tanpa mengurangkan cukai langsung. 

Tujuannya memang untuk meningkatkan pungutan cukai sebanyak yang mungkin. Ini jelas di lihat apabila rakyat Malaysia terus dihentak dengan GST pada kadar 6 peratus, tiga kali ganda kadar yang dikenakan oleh Singapura kepada rakyatnya ketika VAT diperkenalkan di Singapura (1994). 

Juga ketika VAT diperkenalkan di Singapura, cukai korporat dan cukai personal kadarnya diturunkan juga 3 peratus tetapi hanya satu peratus di Malaysia. Nampaknya Kerajaan Malaysia terlalu desparate untuk menambahkan hasil negara untuk memuaskan nafsu berbelanja besar yang tidak pernah luntur. 

Semua Wajib Membayar Cukai

Pada kadar 6 peratus, pungutan hasil dari GST dianggarkan melebehi RM23 bilion.  Wang ini, melalui GST, akan dipungut dari seluruh rakyat Malaysia, kaya mahu pun miskin. Rakyat Malaysia yang tidak pernah membayar cukai sebelum ini kerana pendapatan mereka tidak pernah sampai ke threshold yang kena bayar cukai, akan buat pertama kalinya kena membayar cukai yang tidak boleh dielak. 

Kalau dalam Islam zakat dikenakan kepada golongan yang mampu sahaja, iaitu, golongan yang harta kena zakatnya melebihi threshold yang Allah tetapkan tetapi dalam hal GST ini, hukum ini tidak terpakai. 

Pengemis, tidak kena bayar zakat tetapi dia adalah golongan asnaf yang menerima wang zakat tetapi di bawah rejim GST, pengemis kerana bayar cukai sebab dia adalah juga pengguna. Bila dia ke kedai membeli sepasang pakaian, dia kena bayar 6 peratus cukai GST. 

Oleh kerana GST lebih bersifat cukai "top-up", maka pengenaannya di Malaysia bakal melonjakkan beban cukai ke atas rakyat Malaysia. Diukur dari segi nisbah hasil cukai kepada KDNK (ratio of tax revenue to GDP), didapati, beban cukai ke atas rakyat adalah tinggi di Malaysia, antara yang tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN. 

Di Malaysia, setiap RM1.00 daripada KDNK, 15.5 sen pergi kepada cukai  berbanding hanya 14.4 sen dan 14.2 sen sahaja masing-masing  di Singapura dan Filipina. 

Jadual Beban cukai di pelbagai negara Asia
--------------------------------------------------------------------------
Rank     I      Negara         I          Nisbah Hasil Cukai KDNK (%)
--------------------------------------------------------------------------
   1                 Thailand                                  17.0
--------------------------------------------------------------------------
   1                China                                      17.0
--------------------------------------------------------------------------
   2                Malaysia                                  15.5
--------------------------------------------------------------------------
   3                Filipina                                     14.4
--------------------------------------------------------------------------
   4                Singapura                                14.2
--------------------------------------------------------------------------
   5                Vietnam                                  13.8
--------------------------------------------------------------------------
   6               Hong Kong                              13.0
--------------------------------------------------------------------------
   7               Taiwan                                    12.4
--------------------------------------------------------------------------
   8               Indonesia                                12.0
--------------------------------------------------------------------------
   9               Laos                                     10.8
--------------------------------------------------------------------------
 10              Cambodia                                08.0
--------------------------------------------------------------------------

Bermakna, pengenaan GST ke atas rakyat Malaysia akan menjadikan beban cukai ke atas rakyat menjadi lebih tinggi. Juga, dengan ketiadaan offset package yang jelas dan komprehnsif, kesan regresif GST kekal tinggi menyebabkan beban cukai jatuh lebih berat ke atas golongan rakyat berpendapatan rendah dan miskin. 

Pengecualian pengenaan GST ke atas barang makanan asas dan sesetengah jenis perkhidmatan tidak boleh menumpulkan kesan regresif ini kerana ianya memberi lebih manfaat kepada golongan kaya kerana golongan ini beberlanja lebih besar di atas barangan makanan. 

Kenaikan Harga Barangan & Perkhidmatan

GST sudah pasti akan membawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kenaikan 6 peratus sudah pasti tetapi akibat kesan berganda "cukai atas cukai" yang terhasil dari rejim value-added tax ini, diyakini harga barangan dan perkhidmatan akan naik lebih tinggi menyebabkan penghakisan besar ke atas kuasa beli wang. 

GST pastinya menghimpit kehidupan golongan rakyat berpendaptan rendah dan miskin, melebarkan lagi jurang pendaptan di anta golongan kaya dan miskin. Pertubuhan OECD mengakui bahawa "(VAT) tax and transfer wedges have discouraged firms from offering employment and individuals from taking it, reduced employment and increased inequality".

Regim cukai yang ada sekarang masih berjalan baik. Oleh itu, "if it ain’t broke, don’t fix it".  Daripada mengenakan GST yang kesannya buruk ke atas masyarakat, lebih baik kerajaan menumpukan kepada usaha merasionalisasikan  kadar cukai dari rejim cukai yang wujud sekarang, menghapuskan pengecualian dan insentif yang tidak munasabah dan meluaskan asas cukai dengan menggiatkan usaha membanteras tax evasion, misalnya dengan memerperkasakan kegiatan audit dan perisikan cukai dan seumpamanya. 

Kerajaan juga perlu merasionalisasikan perbelanjaan awam supaya seritap ringgit wang rakyat dibelanjakan dengan cara yang membawa manfaat yang maksimum kepada rakyat. Laksanakan sistem tender terbuka dalam perolehan dan projek kerajaan dan hentikan projek gajah putih. 

Ini adalah lebih utama dilaksankan berbanding dengan menaikkan cukai ke atas rakyat.  Amat penting, kerajaan kena serius menghapuskan rasuah kalau ia serius untuk mengembalikan hemah pengurusan fiskal. Sesungguhya, seringgit di dalam saku rakyat lebih tinggi nilai sutnya berbanding dengan satu ringgit di tangan kerajaan. Ini adalah kerana keefisyenan ekonomi kerajaan adalah lebih rendah berbanding keefisyen ekonomi swasta. 

Apa gunanya hasil kerajaan yang besar jika ianya hanya akan diboroskan oleh pemimpin dalam projek gajah putih dan projek-projek yang dibelonkan kosnya untuk diberikan kepada kroni-kroni kepada pemimpin? Apa gunanya hasil yang besar kalau ia menyebabkan saiz sektor awam menjadi semakin besar tetapi akhirnya defisit belanjawan dan hutang kerajaan terus membelon? 

Kecuali pemimpin patuh kepada displin fiskal yang wajar, harapan untuk menggunakan peluru GST untuk membunuh defisit sukar untuk berhasil. Penganalisis memimpikan satu masa kelak saiz kerajaan akan menjadi kecil dan cukai yang dikenakan ke atas rakyat hanya 2.5 peratus sama dengan kadar zakat yang ditentukan oleh Maha Pencipta kita semua - Analisis Dr Rosli Yaakop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan AJK PAS Pusat.

PELAKSANAAN GST SINGAPURA LEBIH EFISYEN, TETAPI DI MALAYSIA TENGKUK RAKYAT DISEMBELIH


Harus diingat bahawa Kerajaan Singapura mengenakan GST ke atas rakyatnya hanya setelah negara itu mencapai taraf negara maju dengan pendapatan per kapita melebihi USD15,000. Pada tahun 1989, pendapatan per kapita Singapura (atas asas PPP) ialah USD16,356, pada tahun 1994 (bila GST mula dilaksanakan), ianya USD24,853 dan pada tahun 2012, ianya USD60,799. 

Ini bermakna, rakyat Singapura memiliki disposable income (pendapatan boleh belanja) yang selesa untuk berdepan dengan regim GST yang sifatnya regresif itu. 

Sebelum melaksanakan GST dalam tahun 1994, kadar cukai korporat dan cukai pendapatan individu di Singapura adalah tinggi, iaitu, masing-masing 30 peratus dan 33 peratus (kadar marginal tertinggi).  Kadar  ini tidak kompetitif bagi pelaburan asing. 

Oleh kerana negara miskin-sumber asli seperti Singapura amat memerlukan aliran masuk pelaburan langsung  yang besar dan berterusan untuk menjana pertumbuhan ekonomi padar kadar yang relatif tinggi dan lestari dan untuk menyediakan pekerjaan bergaji tinggi bagi rakyatnya, maka kerajaan Singapura melihat bahawa, sebagai satu langkah penting, ianya mesti menurunkan  kadar cukai korporat dan individu ke satu paras yang kompetitif berbanding dengan cukai yang sama di negara-negara  lain yang juga bersaing untuk menarik pelaburan langsung asing ke negara masing-masing.  

Langkah yang diambil Singapura ialah memperkenalkan GST bermula dengan kadar yang rendah yang akan dinaikkan secara beransur-ansur dan secara serentak menurunkan kadar cukai pendapatan juga secara beransur-ansur dan pada masa yang sama memperkenalkan offset package atau "pakej bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah" bagi menumpulkan ketajaman darjah regresiviti dari GST itu ke atas rakyat berpendapatan rendah dan miskin.

Ini bermakna, kerajaan Singapura pimpinan Lee Kwan Yew cukup perihatin terhadap ketidakadilan GST lalu terus melaksanakan langkah-langkah menumpulkan (to neutralize) darjah regresivitinya.  Penganalisis amat teruja dengan sikap pemimpin yang bukan Islam ini. Timbul soalan di dalam kepala: Apakah LKY dan pakar-pakar fiskal beliau membaca kitab-kitab mengenai pengurusan fiskal di dalam Islam khususnya sistem pengurusan fiskal di zaman Omar Abdul Aziz, Khalifah ke 5 Islam? 

Singapura Lebih Prihatin

Singapura mengenakan GST berkuatkuasa pada 1 April 1994 dengan kadar tunggal sebanyak 3 peratus, yang terendah di dalam dunia ketika itu. Pada ketika yang sama ia mengurangkan kadar cukai korporat dan kadar cukai pendapatan individu, juga sebanyak 3 peratus, masing-masing dari 30 peratus ke 27 peratus dan dari kadar marginal tertinggi 33 peratus ke 30 peratus. 

Dalam fasa ini tujuannya bukan untuk meningkatkan pungutan cukai tetapi lebih kepada utuk mendidik dan bagi membolehkan rakyatnya menyesuaikan diri dengan rejim cukai baru ini. Serentak (dalam tahun 1994), kerajaan juga menubuhkan Committee Against Profiteering (CAP) bagi menyiasat segala rungutan dan feedback mengenai perbuatan profiteering dan menaikkan harga sewenang-wenangnya oleh peniaga dengan mengunakan pengenaan GST oleh kerajaan sebagai alasan.

Fasa pertama ini berlangsung selama hampir  9 tahun.  Mulai 1 Januari 2003, kadar GST dinaikkan ke 4 peratus dan mulai 1Januari 2004, ke 5 peratus. Mulai 1 Julai 2007, ia dinaikkan ke 7 peratus dan kadar ini kekal hingga sekarang. 

Pada setiap kali kadar GST dinaikkan, maka kadar cukai langsung diturunkan dengan poin peratusan yang sama. Kerajaan terus menurunkan kadar cukai langsung selepas tahun 2007 tetapi mengekalkan kadar GST pada 7 peratus. Pada tahun 2010, kadar cukai korporat ialah 17 peratus sementara kadar marginal tertinggi cukai individu ialah 20 peratus.  

Penurunan kadar cukai korporat dan cukai pendapatan individu bertujuan meletakkan kedua-duanya pada kadar yang internationally competitive bagi menarik pelaburan langsung asing dan buruh berpendidikan dan berkemahiran tinggi (pakar pelbagai bidang) masuk ke Singapura. 

Penerusan dan pengekalan dasar ini bermakna Singapura menjadikan GST (cukai tidak langsung) sebagai sumber utama hasil kerajaan sekali gus – kerana GST adalah regresif – menyebabkan beban cukai jatuh lebih berat ke atas rakyat Singapura berpendapatan rendah dan miskin. 

Bagi meringankan (to cushion) beban ini, kerajaan Singapura mewujudkan offset package (pakej bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah). Offset package mengandungi penurunan kadar cukai dan perlepasan cukai  atas rakyat Singapura berpendapatan rendah, menurunkan cukai hartanah, memberi rebat ke atas bayaran sewa dan caj perkhidmatan dan caj konservansi atas perumahan awam dan menambahkan subsidi ke atas perkhidmatan komuniti, pendidikan dan kesihatan. 

Kesan Penurunan dan Perlepasan Cukai 

Kesan dari penurunan dan perlepasan cukai dan pemberian rebat misalnya, menyebabkan dalam tahun 1994, 70 peratus daripada individu yang sebelum perlaksanaan GST kena membayar cukai, tidak lagi membayar cukai selepas itu.

Apabila kesemua jenis cukai diambil kira (cukai korporat, cukai pendapatan individu, cukai hartanah, GST dan lain-lain cukai tidak langsung) maka di dapati:
(a) Golongan10 peratus paling atas dari bilangan isirumah Singapura  menyumbang 38 peratus dari keseluruhan cukai yang dipungut.
(b) Golongan 20 peratus paling atas dari bilangan isirumah Singapura menyumbang 52 peratus dari keseluruhan cukai yang dipungut.
(c) Golongan rakyat Singapura berpendapatan terendah menerima lebih besar bayaran pindahan (transfers) berbanding cukai yang dibayar.
(d) Golongan isirumah berpendapatan rendah hingga sederhana juga secara efektifnya menerima bayaran pindahan lebih besar dari cukai yang dibayar (negative tax).

Kajian menunjukkan bahawa di antara tahun 2006-2010 golongan 10 peratus paling bawah daripada isi rumah Singapura menerima pindahan bersih (pindahan yang diterima daripada kerajaan ditolak cukai yang dibayar kepada kerajaan) sebanyak 23 peratus daripada pendapatan mereka, golongan10 peratus kelima, sebanyak 0 peratus dan kadar cukai efektif bagi golongan 10 peratus paling atas dari isirumah Singapura hanya 11 peratus.

Apabila kadar cukai GST dinaikkan dari 5 peratus ke 7 peratus berkuatkuasa mulai 1 Julai 2007, didapati bahawa golongan 20 peratus paling bawah daripada isurumah Singapura membayar GST tambahan sebanyak SD370 setahun tetapi menerima offset package sebanyak SD910 setahun ditambah lagi dengan bayaran manfaat kekal sebanyak SD1,000 setahun. 

Dalam tahun 2010, Kerajaan Singapura mendedahkan bahawa sebanyak 84.2 peratus dari pungutan GST disumbang oleh warga asing yang bermastautin dan bekerja di Singapura dan golongan 40 peratus paling atas isi rumah Singapura. Golongan 20 peratus paling bawah dari isi rumah Singapura hanya menyumbang 4 peratus dari GST yang dipungut. 

Jelas bahawa mengiktiraf sifat regresif rejim GST, Kerajaan Singapura telah secara sedar dan sistematik melaksanakan offset package serentak dengan pelaksanaan GST sehingga dapat mengekalkan darjah progresiviti rejim cukai keseluruhan di Singapura. Fakta-fakta di atas menunjukkan bahawa lebih besar beban cukai ditanggung bila semakin tinggi pendapatan seseorang - Analisis Dr Rosli Yaakop, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia

DR SOHAIMI LAZIM TERSUNGKUR DITANGAN ANAK DIDIK TAN SRI AZIZAN RAZAK DI SUNGAI LIMAU


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, 4 November llau sebagai "kemenangan" hari pertama tahun hijrah 1435H. Dalam entri terbaru di laman Facebook beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.

"Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau Kedah kelmarin (4 November). Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS. Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas politik negara, Insya Allah," ujarnya.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada para pengundi di Dun Sungai Limau yang memberikan kepercayaan kepada calon PAS dalam PRK itu. PAS akan memastikan amanah yang diberikan kepada wakil rakyat baru Dun Sungai Limau ini dilaksanakan dengan sebaiknya. 

Calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat memenangi kerusi Dun Sungai Limau mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084 undi. Beliau mendapat 12,069 undi sementara calon BN pula 10,985 undi menjadikan majoriti 1,084 undi. Pada PRU13  Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak Abdul Razak (PAS) memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.

Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira jam 9.00 malam. Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, 145 kertas undi diisytiharkan rosak dan dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995.