Media baru yang dipelopori oleh portal berita versi internet dijangka masih berpengaruh dan terus menjadi rujukan rakyat di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, tegas Ketua Pengarang Berita Malaysiakini, Fathi Aris Omar.
"Pengaruh media baru pasca PRU ke-12 secara relatifnya semakin hari semakin kuat selari dengan kejatuhan pengaruh media arus perdana," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai peranan media baru dalam pilihan raya umum akan datang. Katanya, dengan perkembangan era teknologi maklumat serta globalisasi yang berlaku dengan begitu pantas mutakhir ini, rakyat sentiasa mencari kelainan dan mahukan maklumat secara cepat.
"Ini semua dilakukan kerana mereka inginkan maklumat yang baru dengan kadar yang cepat terutamanya bahan yang berkaitan isu-isu terkini, panas dan politik. Dengan kewujudan media baru ini juga menjadi alternatif kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri mengenai isu-isu yang berlaku dalam negara dengan kreatif dan kritis," katanya lagi.
Namun ujar Fathi Aris, kelemahan media baru ialah ianya hanya mampu diakses dengan kewujudan internet yang rata-rata terdapat di kawasan bandar sahaja. Tetapi dengan perkembangan teknologi terkini, penduduk di sesetengah Tanah Rancangan Felda sudah boleh mengakses internet di kawasan mereka walaupun dalam kapasiti yang rendah, dakwanya.
"Inilah kekurangan atau kelemahan media baru yang harus diakui oleh semua pihak," katanya mengakui hakikat sebenar media baru. Menurut maklumat terkini, Malaysiakini terus muncul sebagai antara portal berita alternatif yang teratas selain Harakahdaily, Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider.
Mengulas mengenai perbandingan media baru dengan media arus perdana atau tradisional, Fathi Aris merasakan ianya sukar dilakukan. "Tiada perbandingan yang jelas kerana akses terhadap media baru sukar menembusi ke semua peringkat rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar. Tetapi ada yang menyatakan media baru mendapat sambutan ekoran kemerosotan jualan akhbar bercetak terutamanya media arus perdana," ujarnya lagi.
1 ulasan:
Αw, try not to mind. It's the old adage...when it cannot be done, best to do it yourself.
Here is my web page :: http://www.diotime.fr/
Catat Ulasan