Umno-BN tidak lagi mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi kerana pendapatan mereka tidak meningkat akibat dikekang oleh pemerintah. Sementara itu, daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat, tegas tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Menurut mereka, setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal. Kenyataan bersama ketiga-tiga pemimpin PAS, KeADILan dan DAP itu turut menegaskan Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui "Dasar Bersama" yang dimeterai.
Dasar itu merangkumi soal membina demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat; Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.
Selain itu, menekankan soal keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara. Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Sementara itu, tiga perkara utama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Juga, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi, Anwar dan Lim Kit Siang percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. "Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi penting negara.
"Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh "Dasar Bersama". Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat," tegas mereka pada Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 baru-baru ini di Pulau Pinang.
Mereka mengajak rakyat, bersama-sama berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia dengan membawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan