KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 11, 2012

Mandat memerintah hanya lima tahun, Najib terpaksa akur PRU-13 April 2013



Dua minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Tan Sri Aziz berkata, Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Umno sekarang akan membincangkan dengan Peguam Negara tentang kedudukan mereka selepas tempoh lima tahun tamat pada Mac 2013 nanti. 

Tidak lama sebelum itu Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak membayangkan bahawa Umno – mengikuti apa yang pernah disuarakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim – akan menghabiskan mandat lima tahun yang mereka terima dari rakyat. 

Dari segi politik kedua-dua kenyataan itu memberi bayangan bahawa Umno tidak yakin dan takut untuk menghadapi pilihan raya meskipun Najib dan orang-orangnya bercakap besar akan membubarkan pilihan raya dan menjangka kemenangan besar buat mereka. 

Kita sudah menyaksikan betapa sebelum ini Umno berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan pilihan raya kecil dan ini dibuat melalui peguam-peguam mereka di mahkamah. 
Peguam-peguam itu memujuk mahkamah supaya menerima tafsiran yang akhirnya boleh mengelakkan Umno dari menghadapi pilihan raya.

Walau apa pun, ada beberapa isu penting yang perlu kita faham ekoran dari kenyataan Nazri itu. Yang pertama ialah tempoh pemerintahan oleh kerajaan sebagai mana yang disebut oleh perlembagaan.Yang kedua ialah sifat atau hubungan antara kerajaan dan parlimen dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang tertera dalam Perkara 55(3), jelas memperuntukkan bahawa hayat atau tempoh parlimen – yakni Dewan Rakyat – ialah lima tahun dan apabila ini berlaku ia akan bubar dengan sendirinya. 

Dengan kata lain dewan akan luput sebaik-baik sahaja ia genap berusia lima tahun dan tempoh ini dikira dari tarikh sidang pertama dewan selepas pilihan raya umum yang lalu. Dengan itu tidak timbul soal melanjutkan tempoh dewan berkenaan - bila ketika itu sampai dewan akan terbubar secara automatik.

Kuasa membubarkan dewan – yang diletakkan di tangan Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilakukan jika ada permintaan dari Perdana Menteri – hanya relevan sebelum dewan itu genap lima tahun. Ertinya dalam senario di mana Umno teragak-agak untuk membubarkan dewan parti itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa atau cara untuk mengelakkan pilihan raya: sampai sahaja ketika di mana usia dewan genap lima tahun ia akan bubar sendiri dan dari detik itu bermulalah tempoh 60 hari di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib mengadakan pilihan raya umum. 

Tugas ini telah dinyatakan dengan jelas oleh perlembagaan – Pekara 55(4) - dan SPR tidak boleh berdaleh untuk mengelakkannya. Apa kaitan kedudukan  di atas dengan kerajaan? Di dalam sistem berparlimen seperti yang ada di Malaysia dan United Kingdom – termasuk Australia dan India – kerajaan dibentuk di parlimen melalui majoriti; yakni parti atau kumpulan majoriti akan dilantik oleh ketua negara untuk membentuk kerajaan. 

Ini semua diperuntukkan oleh Perkara 43(2(, (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan. Di bawah sistem Westminster ini asas atau landasan kerajaan ialah kekuatannya di parlimen. Apabila parlimen itu sudah tidak wujud atau sudah terbubar maka kerajaan pun ikut terbubar sama. 

Sebab itu apa yang dibayangkan oleh Nazri tadi karut dan tidak betul. Apa yang ada selepas parlimen bubar hanyalah kerajaan sementara yang berperanan meneruskan rutin pentadbiran sementara menunggu kerajaan baru dilantik selepas pilihan raya umum yang akan datang.

Saya tidak pasti sama ada Nazri jahil atau memang tidak tahu malu. Sepatutnya beliau – sebagai seorang peguam – tahu tentang prinsip pokok yang menghubungkan parlimen dan kerajaan yang disebutkan tadi.  Kalau beliau tidak tahu undang-undang itu pun beliau sepatutnya akur dan sedar bahawa tempoh maksimum kerajaan di dalam sistem kita – dan ini telah pun dilaksanakan sejak 1957 – ialah lima tahun. 

Tidak timbul soal melanjutkan usia kerajaan selepas itu kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip demokrasi. Dalam demokrasi – termasuk demokrasi berpresiden seperti di Amerika Syarikat – kerajaan perlu tutup kedai sebaik-baik sahaja tempoh mandat yang mereka menangi dalam pilihan raya yang lalu tamat. 

Ia bagaikan ajal; bila kematian datang tidak timbul soal melanjutkan tempoh kehidupan walau pun sedetik. Yang ada selepas itu ialah perbicaraan: dalam konteks demokrasi inilah ketikanya rakyat menimbang sama ada kerajaan tadi patut diberi peluang memerintah lagi atau tidak.

>> Artikel ini ditulis Dr Abdul Aziz Bari mantan Profesor Undang-undang di UIAM, Gombak 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hello my fаmily membeг! Ι wiѕh to say that this ρost
is amаzing, nіcе written anԁ come
with аpρrοximatelу all vitаl
infos. I would like to peer еxtra poѕts lіke this .
My page > Blu E Cig Review