KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Jun 06, 2009

Ulama mesti jadi golongan berkualiti agar tidak diperlekehkan!

SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohd Daud Iraqi menyarankan agar para ulama terus berusaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan sehingga mereka menjadi golongan kedua iaitu mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.

"Usaha inilah dinamakan memprofesionalkan ulama," katanya ketika membentangkan ucaptama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di Auditorium Muzium Negeri Selangor.

Beliau turut meminta kepada golongan profesional dan ulama yang kurang ilmunya agar dapat bersama-sama kepimpinan ulamak bagi meneruskan agenda menerapkan Islam dalam kepimpinan parti.

"Jika ulama, dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulama yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulama," katanya

Ustaz Mohd Daud turut menegaskan PAS tiada masa untuk melayan pihak media yang berperanan untuk melemahkan parti.

"Kita tidak ada masa bagi melayan media yang memainkan peranan bagi melemahkan saf kita terutamanya dalam suasana genting para perwakilan ingin membuat keputusan bagi meneruskan agenda perubahan dan persediaan menambah bilangan kerusi di peringkat Dun dan parlimen dalam pilihan raya umum akan datang," ujarnya.

Beliau juga menjawab dakwaan bahawa ulama mahu membolot kepimpinan PAS.

"Kita mendengar cakap yang kurang enak mengatakan ulama ingin membolot kepimpinan PAS, tidak mahu berkompromi dengan profesional dan macam-macam lagi. Di luar sana, ada di kalangan ahli dan penyokong yang mempertikaikan keupayaan ulamak dalam memimpin dan mentadbir," ujarnya lagi.

Oleh yang demikian, beliau menyeru agar para ulama meningkatkan ilmu agama dan pengurusan untuk menjadi golongan yang berkualiti.

Perwakilan Johor mahu PAS kaji semula 'tahaluf siyasi'

SHAH ALAM: Wakil Johor, Ustaz Salam Osman berpendapat isu ulama' dan profesional patut diselesaikan dengan melihat ulama sebagai rujukan dalam parti dan semestinya semua pihak menerima dengan hati yang terbuka.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan konsep 'Tahaluf Siyasi' berdasarkan pengalaman bertahaluf dengan beberapa parti politik lain. Katanya, terdapat parti lain di Johor tidak ada satu cawangan, tetapi mereka bertanding dengan kerja kuat ahli-ahli PAS namun sumbangan yang dicurahkan itu tidak dihargai sama sekali.

Tidak cukup dengan itu tegas beliau, penggabungan PAS dengan parti-parti lain perlu difikirkan oleh pimpinan supaya tidak menimbulkan banyak masalah kepada perjuangan PAS pada masa akan datang, ini kerana senario politik tanah air memperlihatkan bagaimana terdapat mereka daripada anggota parti lain melompat parti setelah memenangi dalam sesuatu pilihan raya umum atau kecil.

Pendapat beliau itu disokong padu oleh wakil Wilayah Persekutuan, Ustaz Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang mencadangkan agar pimpinan tertinggi PAS melihat semula kepada 'Tahaluf Siyasi' atau penggabungan parti-parti pembangkang bagi menjatuhkan parti pemerintah yang bertindak zalim terhadap rakyat jelata.

Apa yang dikesalkan tegas beliau, ketakasuban ahli-ahli PAS hingga menjulang Pakatan Rakyat hingga ke peringkat mendewa-dewakannya walaupun terdapat beberapa perkara keagamaan yang tidak mampu dilaksanakan ketika tahaluf ini berlansung.

Beliau menyebut tahaluf siyasi hanyalah alat bukannya matlamat, ini menunjukkan bahawa kalau tidak menggunakan alat itu juga tidak mendatangkan apa-apa mudarat, justeru ia perlu dilihat bahawa matlamat mendaulatkan hukum-hukum Allah itu perlu diberi perhatian serius.

Perwakilan Perlis ingatkan PAS jangan jadi 'tunggul' dalam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PAS jangan sekali-kali hanya menjadi 'tunggul' dalam Pakatan Rakyat, tegas wakil Dewan Pemuda PAS Perlis, Muhamad Yassin Desa dalam sesi perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda PAS dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-50 di Taman Melewar, dekat sini.
Katanya sejak Mac 2008, Pemuda PAS melihat semakin ramai di kalangan ahli PAS bagitu gopoh dan gelojoh dalam membuat penilaian.

"Mungkin kita melihat kemenangan itu sudah begitu hampir dengan kita sehingga menjadi kita lupa sejenak untuk menoleh sekejap ke belakang, di mana kita berada. Apakah matlamat asal perjuangan parti kita? Jangan diulit mimpi kemenangan semata-mata sehingga menjadi kita alpa, sekali gus membuka ruang-ruang untuk musuh kita membuat serangan balas yang bakal merugikan kita kelak," tegasnya.

Katanya, dalam ucaptama Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub menyebut setiap parti dalam Pakatan Rakyat menjadi komplimenter antara satu sama lain.

Bagaimanapun katanya, PAS harus berasa di hadapan, menjadi dominan dalam Pakatan Rakyat.

"Sekali lagi, dipertegaskan PAS tak mahu dilihat menjadi 'tunggul' di dalam Pakatan Rakyat dan PAS juga harus jadi faktor penentu di dalam Pakatan Rakyat."

Katanya, bagi menyahut cabaran untuk memimpin pemuda Malaysia, Pemuda PAS Perlis berharap Pemuda PAS Pusat dapat merangka formula atau satu plan bertindak yang terbaik bagi merealisasi matlamat tersebut.

Terdahulu, beliau turut mengucap terima kasih kepada Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang meninggalkan kerusi tersebut. Beliau berkata Pemuda PAS sewajarnya mencontohi Salahuddin.

"Pengrobanan beliau selaku amimilin pemuda sejak sekian lama, secara sepenuh masa perlu dijadikan teladan kepada kita. Walaupun beliau bergelar Yang Berhormat, beliau masih lagi tidak segan menaiki bas ekspres untuk ke negeri-negeri yang mengundang beliau untuk berceramah," katanya.

Nasharuddin pertegas, tidak sekali-kali bawa PAS sertai BN


GOMBAK: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menafikan kenyataan beliau akan menyeret PAS menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa. PAS katanya, tiada hasrat untuk menyertai BN.

"Bukan respons (kepada isu dibangkitkan) tapi menegaskan balik pendirian parti," kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini. Nasharudin bagimanapun berkata, PAS akan terus berdialog dengan mana-mana parti politik mahupun badan bukan kerajaan.

"Bagaimanapun kita perlukan dialog ataupun perbincangan," kata beliau. Mengenai keahlian kepada bukan Islam, Nasharudin menjelaskan, "kita sedang menunggu PAS putuskan mengenai keahlian baru dalam mesyuarat PAS Pusat dan kita sedang menunggu sama ada ia akan dinaik taraf untuk menjadi Dewan."

Kalau usul diterima adakah keahlian bukan Islam akan diterima dalam PAS, kata beliau, perkara itu sedang "kita bincangkan."

"Jadi disebabkan ada banyak aspek teknikal lain yang perlu diperhatikan, contohnya mengenai keahlian mereka, ia sedang dikaji pada ketika ini sehingga kajian menyeluruh kita buat dan kita akan buat pengumuman selepas itu insya-Allah," katanya.

Adakah ia akan bercanggah dengan konteks Pakatan Rakyat kerana Parti Keadilan Rakyat sebuah parti pelbagai kaum, Nasharudin menambah, "tidak ada percanggahan dalam konteks itu kerana masing-masing ada daya penarik yang boleh membawa rakyat untuk memilih sama ada dia mahukan (parti) A, B ataupun C."

"Yang pentingnya mereka mahukan Pakatan dan dalam konteks ini kita akan perkukuhkan lagi Pakatan," katanya.

Tujuan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf, beliau berkata, disebabkan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS semakin hari semakin meningkat.

"Bukti yang cukup jelas adalah keahlian Kelab Penyokong PAS mencecah kepada 20,000 orang. Jadi sudah tentulah kita mahu meraikan mereka ini lebih daripada sekadar ahli daripada kelab itu dan aspek-aspek teknikal ini sedang dikaji dari pelbagai sudut," katanya.

"Beri peluang untuk sama-sama pimpin Pemuda" - Nasrudin Tantawi

MENANG tanpa bertanding yang diperolehi beliau tidak disangka-sangka. Biarpun tanggungjawab yang diamanahkan berat untuk dipikul tetapi beliau tetap berusaha untuk menjalankan tugas sesempurna mungkin dan berharap akan ada teguran dari rakan-rakan serta pimpinan yang lain jika ada kesilapan yang dilakukan.
"Jangan biarkan saya terus hanyut dalam kesilapan," ujar beliau tenang. Ikuti temubual IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang baru, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi yang diadakan pada 4 Jun lalu di Markas Tarbiyyah PAS, Taman Melewar.

Pertamanya tahniah kerana telah dipilih mengetuai Dewan Pemuda untuk sesi 2009-2011. Apa perasaan bila peralihan kuasa dari Salahuddin Ayob kepada ustaz berjalan lancar tanpa sebarang pertandingan?

NASRUDIN: Secara jujurnya saya katakan perasaan saya berbaur kerana pertamanya berat bebanan yang terpaksa saya pikul. Sebenarnya kalau ada pertandingan, hati kecil saya berharap saya akan kalah kerana kalau kalah saya boleh membebaskan diri saya dari tugas yang berat ini.
Tapi bila tiada pertandingan dan saya diberi amanah untuk mengetuai Dewan Pemuda, jadi perasaan itu jadi berbaur. Setelah mendapat ikrar dari timbalan, saudara Azman Shapawi dan naib ketua, Saudara Sabky yang menyokong saya dan rakan-rakan yang lain bagi memikul amanah ini.
Setelah diberikan amanah ini, menjadi tanggungjawab saya untuk merealisasikan tugas ini dengan berkesan. Saya juga berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada saya untuk memikul amanah ini dan menjalankan tugas dengan sempurna. Saya juga berharap, rakan-rakan exco yang baru dipilih akan dapat sama-sama kita menjalankan tugas dengan lebih berkesan untuk memacu dewan pemuda ke satu tahap yang lbih tinggi lagi.
Yang kedua, bila tidak wujud pertandingan, saya gembira kerana ia menunjukkan satu tanda positif dan satu aras yang tinggi dalam pemuda. Tapi ini bukan bermakna saya menolak pertandingan kerana sesuatu pertandingan itu merupakan amalan dalam sistem demokrasi. Cuma bila tiada pertandingan, ia lebih menampakkan kebersamaan dalam dewan pemuda.

Apakah ustaz sudah mengetahui dari awal akan menang tanpa bertanding jawatan ini?

Saya mengetahui bahawa saya menang tanpa bertanding bila Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Dato' Mustafa Ali umumkan dalam sidang media. Dari situ, saya sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengan suasana ini. Saya juga telah bertemu dengan bekas-bekas ketua dewan pemuda yang lalu untuk mendapat input bagi saya menjalankan tugas.
Insya-Allah saya tidak berseorangan dan kita akan sama-sama memacu dewan pemuda menjadi satu sayap parti yang mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada parti dan usaha dakwah yang membezakan PAS dan Umno.
Saya ibaratkan dewan pemuda ini umpama bahtera penyelamat yang pergi ke tengah laut untuk menjalankan misi menyelamat. Jadi ia perlukan kerjasama semua pihak, kalau hanya saya seorang yang berusaha atau membuat kerja, ia tidak akan mampu mendatangkan hasil. Bahtera kalau hanya seorang saja, jangan kata nak menyelamat tapi nak belayar, nak naikkan sauh pun tak mampu.
Jadi saya kira, dengan barisan yang ada di peringkat pusat dan juga negeri, saya yakin kita akan mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan mengukuhkan perjuangan yang ditinggalkan oleh saudara Salahuddin Ayob.

Ada pihak yang kurang yakin dengan kemampuan ustaz untuk mengetuai Dewan Pemuda. Jadi apa respon ustaz terhadap tanggapan sebegitu?

Saya tidak nafikan tentang perkara itu dan saya tidak boleh menghalang sesiapa saja untuk meragui saya. Dan mereka juga berhak untuk meragui atau tidak meyakini saya kerana sebelum ini, fokus lebih diberikan YB Salahuddin jadi mereka tidak mempunyai kesempatan untuk menilai saya.
Cuma saya minta supaya saya diberi peluang untuk sama-sama kita memimpin Dewan Pemuda kerana tugas ini bukan mudah untuk dijalankan. Saya mohon kekuatan untuk memikul tugas ini.
Saya amat berharap kalau ada kesalahan yang saya lakukan, sesiapa saja termasuk exco atau rakan-rakan dalam pemuda dapat menegur saya. Jangan biarkan saya hanyut dalam kesalahan yang saya lakukan. Jika saya leka, alpa saya minta segera saya dibimbing dan dipandu. Konsep ini akan saya kekalkan pada diri saya untuk memimpin. Saya juga percaya dengan kekuatan jemaah dan bila kita yakin dengan kekuatan jemaah, insya-Allah usaha kita akan dibantu oleh Allah.

Dewan Pemuda PAS dibawah Salahuddin Ayob dilihat begitu berjaya malah diterima baik oleh masyarakat dan juga parti lawan seperti Umno. Apa pula usaha yang akan ustaz lakukan untuk terus memperkasakan Dewan Pemuda?

Saya ambil pendekatan yang diajar oleh seorang pemikir Islam, Abu Hassan Ali Al-Nadwi iaitu kita akan mengabungkan warisan-warisan yang kita terima dari generasi terdahulu yang sangat baik untuk diperjuangkan dengan penemuan-penemuan baru yang akan kita teroka untuk kekuatan parti. Yang mana kalau kita gabungkan, ia sangat baik untuk parti.
Sebagai contoh usaha political engagement yang diasaskan oleh YB Salahuddin akan kita teruskan kerana ia satu usaha murni yang telah memberikan pulangan yang baik kepada parti. Tidak ada sebab kenapa harus kita hentikan usaha ini. Saya hanya pemegang amanah yang akan membawa dewan pemuda untuk berdiri gagah di tengah-tengah persada politik tanahair.
Saya juga akan berusaha untuk menerokai ruang-ruang baru untuk memperkasakan dewan pemuda dan juga parti. Insya-Allah, kita akan lancarkan satu projek yang kita namakan 'Semenanjung Dua'.
Projek ini akan kita tumpukan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Melalui projek ini, insya-Allah saya berharap kita dapat mempersadakan bukan hanya Dewan Pemuda tapi juga PAS supaya dapat diterima oleh rakyat di sana. Kita akan berusaha supaya dewan pemuda dapat berdiri gagah di Sabah dan Sarawak sama seperti di Semenanjung. Dewan Pemuda bukan hanya akan dilihat hebat di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Projek Semenanjung Dua ini idea ustaz sendiri?

Ya. Saya dapat ilham untuk melakukan projek ini ketika saya ke Sabah baru-baru ini untuk menyertai program Hari Guru Pasti di Sabah.

Sejak Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu, sokongan dari golongan muda dan juga sokongan dari bukan Islam terhadap PAS begitu tinggi. Malah Dewan Pemuda juga mempunyai Kelab Penyokong Muda. Adakah ustaz mempunyai sebarang perancangan baru untuk menarik sokongan golongan ini?

Saya akan meneruskan usaha-usaha untuk menarik sokongan golongan muda dan juga sokongan bukan Islam terhadap PAS. Malah kita bukan hanya mahu mendapatkan sokongan mereka setakat untuk mendapat undi tetapi kita akan berusaha untuk mendekati mereka supaya mereka lebih memahami Islam. Ini merupakan satu usaha dakwah dewan pemuda yang akan saya teruskan dan akan ditingkatkan lagi.
Saya juga akan mendekati bukan hanya golongan muda dan bukan Islam tetapi juga kelompok seni yang terdiri daripada artis dan seniman supaya mereka tidak lagi takut untuk berada bersama-sama PAS.
Usaha pertama kita adalah melancarkan album bekas vokalis kumpulan pop Arrow, Renggo dan saya bercadang untuk membuat tour bersama beliau. Jadi saya harap selepas ini lebih ramai artis dan seniman yang akan bersama-sama kita, memberikan sokongan kepada kita dan tidak segan untuk bersama kita seperti mana Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Ustaz, bila sebut Dato' A. Samad Said, tidak dapat tidak ia akan dikaitkan dengan perjuangan beliau mendesak kerajaan menghapuskan dasar PPSMI. Selepas ini adakah Dewan Pemuda akan lebih proaktif bersama GMP menentang PPSMI?

Ya. Kita tetap dengan pendirian dan komitmen untuk mendesak kerajaan segera menghapuskan dasar PPSMI. Dewan Pemuda akan terus memberikan sokongan kepada Dato' A. Samad Said dan GMP dalam usaha mereka melestarikan bahasa Melayu dan menentang PPSMI.

Julai nanti, PAS akan menghadapi Pilihan Raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai. Apakah Dewan Pemuda sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu dan juga pilihan raya umum ke 13 akan datang?

Dewan Pemuda Pusat sudah pun berbincang dengan Dewan Pemuda Kelantan dalam merangka persiapan dan strategi bagi menghadapi pilihanraya kecil Manek Urai. Biarpun menang atau kalah tidak akan menjejaskan status quo kerajaan Kelantan tetapi kita akan berusaha untuk mengekalkan momentum penolakan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional.
Kita akan turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon PAS dalam pilihanraya kecil itu nanti. Malah kalau ada pilihanraya kecil ditempat lain lagi selepas ini dan mana-mana calon yang mewakili Pakatan Rakyat tak kira KeADILan atau DAP, Dewan Pemuda PAS sentiasa bersedia untuk bersama membantu bagi memastikan BN terus tumbang.
Untuk Pilihanraya Umum ke 13 pula, kita menjangkakan ia akan diadakan lebih awal, jadi dewan pemuda juga sudah bersiap sedia dengan jentera pilihanraya kita untuk menjalankan tugas dari segi gerak kerja kempen dan usaha-usaha lain bagi membantu calon-calon Pakatan Rakyat mencapai kemenangan seterusnya memastikan sebuah kerajaan baru akan dibentuk selepas pilihanraya umum ke 13 nanti insya-Allah.

Soalan terakhir ustaz, apa nasihat kepada ahli-ahli Dewan Pemuda sebagai ketua yang baru?

Saya berharap kepada semua ahli pemuda dan juga ahli-ahli PAS yang lain, sebaik saja tamatnya muktamar kali ini, marilah kita bersama-sama mengukuhkan parti dan melupakan segala yang berlaku sebelum pemilihan dan juga muktamar ini.
Kekuatan yang telah kita bina selama ini tidak harus kita roboh hanya kerana tidak puashati dengan keputusan pemilihan sebaliknya kita perlu lebih berusaha keras bagi memastikan PAS diterima dan dapat mencapai kemenangan yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Khamis, Jun 04, 2009

Keputusan penuh Jawatan Kuasa Dewan Ulamak PAS Pusat bagi sesi 2009-2011

BERIKUT ialah senarai calon yang memenangi pemilihan jawatan Dewan Ulama PAS Pusat Sesi 2009-2011.

PENGERUSI TETAP

Hamdan Mohamad (Menang tanpa bertanding)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Abd Manaf Othman (Menang tanpa bertanding)

KETUA

Datuk Harun Taib (Menang tanpa bertanding)

TIMBALAN KETUA

Datuk Ahmad Yaakob (Menang tanpa bertanding)

NAIB KETUA

Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Menang tanpa bertanding)

AHLI JAWATANKUASA KERJA

1. Datuk Husin Awang
2. Abdul Ghani Shamsudin
3. Nik Mohd Zawawi Salleh
4. Salleh Sani Harun
5. Abu Bakar Abdullah
6. Datuk Muhammad Daud Iraqi
7. Abdullah Abd Razak
8. Datuk Hasan Mohamad
9. Ismail Noh
10.Mohd Zain Abdul Rahman
11.Muhammad Mustafa
12.Abdullah Husin

PEMERIKSA KIRA-KIRA

1. Ibrahim Omar
2. Mohamad Noor Zain

Lebih 70 peratus Pemuda PAS Pusat dikuasai golongan ulama

GOMBAK: Separuh daripada Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat pada pemilihan hari ini dimenangi oleh golongan ulama, lapor mSTAR.Online.

Mereka menduduki enam tempat teratas. Baki kerusi pula dikuasai oleh kumpulan profesional ketika isu mengenai peranan golongan ulama dan profesional mendapat perhatian dalam PAS.

Salah seorang pemimpin Pemuda PAS Pusat yang mengekalkan jawatan ialah Nik Mohd. Abduh iaitu anak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lima yang lain ialah Riduan Mad Nor, Mohd Firdaus Jaafar, Mohd Nazri Chik Zain, Suhaizan Kaiat dan Nasir Zakaria.

Dalam pada itu, Kamal Ashaari, Kamaruzaman Mohamad, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Mohd Adram Musa, Abdullah Abdul Karim dan Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob dilihat sebagai golongan profesional. Jawatan-jawatan lain dimenangi tanpa bertanding. Mereka terdiri daripada Nasrudin Hassan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS yang menggantikan Salahuddin Ayub.

Muslimat PAS mahu Pakatan Rakyat sedia kayu ukur untuk jadi calon pilihan raya


SHAH ALAM: Perwakilan Dewan Muslimat Pulau Pinang mahu kepimpinan PAS Pusat membincangkan secara serius keperluan merangka garis panduan Pakatan Rakyat meletakkan calon semasa pilihan raya. Suraya Mohd. Saad ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Muslimat menekankan bahawa berdasarkan pengalaman beberapa pilihan raya kecil yang telah dilalui, kepimpinan PAS Pusat membincangkan secara serius berkenaan garis panduan yang harus diakur oleh Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan, kepentingan garis panduan itu adalah untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan dan kerjasama diperkukuh supaya Pakatan Rakyat tidak menjadi seperti Barisan Nasional (BN).

"Sekiranya berlaku penyelewengan dalam satu pihak, maka pihak yang lain tidak hanya mendiamkan diri kerana kononnya mahu menjaga hati pihak tersebut," ujarnya lagi. Dalam pada itu, perwakilan dari Kelantan, Azizah Awang Hamat memberi penekanan terhadap hubungan dengan Allah dan manusia (hablun minnallah wa hablun minannas).

Menurut beliau, sebaik sahaja memperoleh kemenangan di Kelantan, Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berpesan tentang tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian.

“Pertamanya ialah perlunya meningkatkan ilmu dan iman. Oleh itu, Unit Halaqah telah diwujudkan sebagai satu platform untuk muslimat turun kepada rakyat bawahan. Perkara kedua ialah perlu meningkatkan ibadah dan keikhlasan manakala perkara ketiga ialah perlu sentiasa bersikap tawaduk dan menjaga ukhuwah. Menyentuh soal hubungan dengan Allah pula, ahli-ahli perlu memperbanyakkan hubungan dengan Allah,” katanya.

Beliau berjaya menarik perhatian ramai apabila mendedahkan rahsia amalan muslimat Kelantan terutamanya semasa 'berperang' iaitu sewaktu menghadapi pilihan raya.

"Satu unit munajat telah diwujudkan dan satu kaedah berdoa disusun. Antara amalan yang dibuat ialah solat hajat 1, bacaan surah al-ikhlas sebanyak bilangan pengundi, amalan selawat tafrijiyah sebanyak 4,444 kali, membaca tasbih Nabi Yunus, bacaan ayat qursi dan bismiliiah, semuanya sebanyak 1,000 kali. Selain itu, zikir munajat turut tidak lupa dilakukan," jelasnya.

Perwakilan dari Pahang Hamidah Daud pula memberitahu, "berjuang memburu kemenangan jauh lebih mudah daripada berjuang mengisi kemenangan." "Oleh itu, semua pihak perlu bekerja keras bagi menunaikan tanggungjawab supaya amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau menambah, kemenangan mesti dipimpin dengan dua konsep iaitu tasbih dan istighfar (memohon ampun kepada Allah dan meninggalkan maksiat).

"PAS berjuang untuk mendaulatkan agama, kuasa dan politik hanyalah alat untuk mencapai perjuangan. Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah akhlak dalam berjemaah, berusaha mengurangkan masalah dalaman, dan menjaga perbezaaan pendapat," ujarnya lagi.

Perwakilan Muslimat persoal ada calon berkempen, Dr Mariah muncul pertahankan!

SHAH ALAM: Isu kempen dalam muktamar PAS kali ini membuatkan sidang Muktamar Dewan Muslimat PAS "panas" apabila seorang perwakilan menunjukkan satu kertas kempen yang menerang profil seorang calon.

"Ini satu budaya yang tidak baik dan saya minta Jawatankuasa Pemilihan mengambil perhatian," kata Noraini Husin perwakilan dari Selangor.

Ketua Tempat Mengundi untuk muktamar Dewan Muslimat, Mohamad Diah Baharun bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan dengan kenyataan itu kerana beliau tidak mempunyai mandat untuk berbuat demikian.

Ekoran itu, AJK Dewan Muslimat, Dr Mariah Mahmud bangun dan memberikan penerangan bahawa beliau telah mendapat penerangan dari Pengerusi Jawatankuasa Pemilih, Datuk Mustafa Ali bahawa kempen tidak dihalang dalam PAS.

"Datuk Mustafa kata, hanya akhbar Harakah tidak dibenarkan berkempen, itupun akhbar Siasah berkempen dalam keluarannya yang lepas," kata Mariah yang menyebabkan suasana muktamar panas. Ekoran itu, Ketua Muslimat, Nuridah Salleh meminta semua ahli muktamar bertenang dan meminta Pengerusi Tetap mengarahkan proses pengundian dimulakan.

242 perwakilan Dewan Muslimat PAS mula membuang undi masing-masing jam 2.50 petang. Mereka akan memilih ketua, timbalan ketua dan AJK yang baru. Naib Ketua Muslimat PAS telah dimenangi oleh Mumtaz Mat Nawi tanpa bertanding.

PAS nafi kempen pemilihan kali ini kotor seperti dakwaan Khir Toyo

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali menafikan pemilihan PAS esok dicemari dengan kempen kotor melalui fitnah yang dilemparkan terhadap sesetengah pemimpin menerusi laman blog, lapor mSTAR.Online.

Hassan berkata, PAS tidak mengamalkan kempen secara berlebihan sehingga menyerang peribadi mana-mana calon.

"Kekuatan dalaman itu penting. Saya tidak rasa Umno mempunyai kekuatan dalaman ini, mereka hanya nampak luaran termasuk duit-duit. Dalam PAS, duit itu hampir penting. Macam belanja-belanja kita, duitnya adalah yang sahih, yang datang daripada ahli parti, perjuangan dan mereka yang bersimpati.

"Kita tidak guna wang yang datang daripada jabatan kerajaan kecuali yang mengiklankan produk mereka dengan kita," katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi Muktamar PAS Ke-55 di Stadium Malawati di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mengatakan kempen pemilihan PAS tahun ini dilihat tercemar apabila ada pihak yang melemparkan fitnah melalui laman blog ke atas pemimpin-pemimpin dalaman parti untuk kepentingan sendiri disebabkan keghairahan merebut jawatan.

Hassan berkata, kenyataan Dr Khir itu mungkin didorong sifat cemburu terhadap cara PAS mengendalikan parti itu.

"Saya percaya, kalau dia datang tengok kita mengendalikan parti kita, dia pun akan masuk PAS," katanya.

Muktamar PAS akan diadakan selama tiga hari bermula esok. Muktamar tahun ini melibatkan pemilihan di peringkat pusat dan sayap-sayap parti termasuk Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat. Hassan berkata, muktamar kali ini adalah yang terbesar dalam sejaran 50 tahun parti itu melibatkan 917 perwakilan dan kira-kira 10,000 penyokong dan pemerhati.

Wan Hasrina tewas ditangan YB Siti Zailah untuk kerusi Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat

SHAH ALAM: Ahli Majlis Bandaran Ampang Jaya, Wan Hasrina Wan Hassan tewas ditangan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf pada pemilihan Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Pusat petang tadi dekat sini.

Dewan Muslimat PAS Pusat menukar timbalan ketuanya, kepada orang baru apabila S
iti Zailah Yusof bekas naib ketua menang dengan mendapat 142 undi iaitu majoriti 52 undi berbanding penyandangnya yang mendapat 90 undi.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh kekal dengan mendapat 136 undi berbanding pencabarnya Dr Asiah Ali yang hanya mendapat 100 undi sahaja. Sementara itu, bekas Ketua dewan itu juga, Ustaz Azizah Khatib Mat menang sebagai AJK.

Keputusan penuh untuk senarai AJK Dewan Muslimat PAS Pusat diumumkan oleh Ketua Jawatankuasa Pemilih untuk Dewan Muslimat, Mohamed Diah Baharun.

Keputusan penuh pemilihan Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Pusat sesi 2009-2011

BERIKUT adalah keputusan pemilihan Jawatan Kuasa Dewan Muslimat PAS Pusat bagi sesi 2009-2011:

PENGERUSI TETAP (154)

Nor Hashimah Deraman

TIMBALAN PENGERUSI TETAP (162)

Wan Hamidani Wan Ahmad

KETUA (136)

Nuridah Mohd Salleh, Ustazah

TIMBALAN KETUA (142)

Siti Zailah Mohd Yusoff, YB.

NAIB KETUA (Menang tanpa bertanding)

Mumtaz Md Nawi, YB.

AHLI JAWATAN KUASA KERJA (23)

1. Wan Ubaidah Omar, YB.(196)
2. Halimah Ali, YB. Dr. (173)
3. Mastura Hj Mohamad (173)
4. Aiman Athirah Al Jundi (162)
5. Najihatussalehah Ahmad, Dr.(158)
6. Siti Mariah Mahmud, YB. Dr. (156)
7. Rosni Adam, Dr. (155)
8. Azizah Khatib Mat, Ustazah (147)
9. Salbiah Abd Wahab (147)
10. Nurul Huda Yusof Rawa (135)
11. Wardatul Jannah As Sofea (125)
12. Fatimah @ Zainab Ibrahim, To' Puan (122)

PEMERIKSA KIRA-KIRA (2)

1. Basmatul 'Uyun Yusof
2. Wan Hasna Wan Ismail

Keputusan penuh pemilihan Jawatan Kuasa Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2009-2011

BERIKUT ialah senarai calon yang memenangi pemilihan jawatan Dewan Pemuda PAS Pusat Sesi 2009-2011.

PENGERUSI TETAP

Misbahul Munir Masduki (Menang Tanpa Bertanding)

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Aris Awang (Menang Tanpa Bertanding)

KETUA

Nasrudin Hassan (Menang Tanpa Bertanding)

TIMBALAN KETUA

Azman Shapawi Abd Rani (Menang Tanpa Bertanding)

NAIB KETUA

Ahmad Sabki Yusof (Menang Tanpa Bertanding)

AHLI JAWATANKUASA KERJA DEWAN (23 bertanding - 12 kerusi)

1. Riduan Mad Nor (197 undi)
2. Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (194)
3. Mohd Firdaus Jaafar (176)
4. Mohd Nazri Chik Zain (176)
5. Suhaizan Kaiat (165)
6. Nasir Zakaria (152)
7. Kamal Ashaari (145)
8. Kamaruzaman Mohamad (139)
9. Khairul Faizi Ahmad Kamil (139)
10. Mohd Adram Musa (135)
11. Abdullah Abdul Karim (127)
12. Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob (126)

PEMERIKSA KIRA-KIRA

1. Jamel Saring
2. Muzammil Hafiz

Ustaz Nik Abduh yang sarat kontroversi antara yang menang Exco Pemuda PAS Pusat

GOMBAK: Anak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menimbulkan kontroversi sebulan yang lalu, berjaya mengekalkan kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini.

Ustaz Nik Mohd Abduh merupakan antara 12 yang dipilih kali ini. Seramai 23 orang bertanding kerusi Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2009-2011. Keputusan pemilihan diumumkan pada pukul 3.50 petang tadi oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Ustaz Hassan Shukri.

Nik Mohd Abduh yang tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan dua minggu lalu memperoleh 194 undi. Turut kekalkan kerusi ialah Ustaz Riduan Mohamad Nor, Abdullah Abdul Karim, Ustaz Mohd. Firdaus Jaafar, Ustaz Mohd. Nazri Chik Zain, Suhaizan Kaiat, Ustaz Kamal Ashaari, Kamaruzaman Mohamad dan Mohd. Adram Musa.

Lain-lain jawatan telah dimenangi tanpa bertanding termasuk Nasrudin Hassan yang dipilih menggantikan Salahuddin Ayub sebagai Ketua Pemuda PAS.

Lebih 80 peratus Ahli Jawatan Kuasa Dewan Pemuda PAS kali ini diisi oleh kumpulan ulama dan perkembnagan ini begitu menarik untuk disorot oleh banyak pihak khususnya dalam kemaraan PAS mengikut arus perubahan yang diledakkan oleh rakyat.

Daud Iraqi kecam pihak pertikai kepimpinan ulama PAS

SHAH ALAM: PAS harus diterajui oleh golongan ulama bagi memastikan pergerakan, dasar pelaksanaan dan keputusan-keputusan segera selari dengan kehendak Islam, lapor mSTAR.Online.

Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Muhammad Daud Iraqi berkata, walaupun PAS bukanlah sebuah parti yang memerintah negara namun realiti politik semasa memerlukan PAS terus dipimpin oleh golongan itu.

"Kepimpinan ulama bukanlah idea daripada ulama, pemuda atau golongan tertentu dalam parti tetapi asal mata air kepimpinan ulama ini adalah gagasan daripada Islam itu sendiri.

"Ianya adalah mata rantai kepimpinan Anbiyak," katanya semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama ke-48 di sini, hari ini.

Muhammad Daud berkata, beliau berasa kesal dengan segelintir pihak yang mempertikaikan kepimpinan ulama dalam mentadbir dan dakwaan yang mengatakan golongan itu ingin membolot kepimpinan parti dan enggan berkompromi dengan golongan profesional.

Justeru katanya, usaha memprofesionalkan golongan ulama perlu dilakukan dengan usaha meningkatkan ilmu agama dan pengurusan supaya mereka menjadi golongan yang mempunyai ilmu yang tinggi dan tahu mentadbir.

"Jika ulama dalam keadaan tertentu masih belum dapat mentadbir dengan baik, adalah menjadi tugas rakan-rakan professional dalam PAS atau ulamak yang kurang ilmunya tetapi boleh mentadbir bersama-sama mendokong kepimpinan ulama," katanya.

Selain itu, Muhammad Daud berkata, PAS sedang dalam agenda untuk mengadakan garis panduan pelaksanaan Islam di negeri Pakatan Rakyat supaya ajaran agama itu dapat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan setempat.

"Walau apapun alasan dan niat kita, kita masih belum terlambat untuk menyusun semula pentadbiran negeri di bawah kekuasaan kita dengan landasan yang lebih jelas, penyusunan secara lebih tertib dan mengikut awlawiyat sehingga para penyokong.

"Pelaksanaan itu juga akan membolehkan ahli kita tahu ke mana hendak dibawa kerajaan kita, bila akan tercapai cita-cita Islam yang kita bawa, mengapa perkara tertentu tidak dapat dilaksanakan dan seterusnya," katanya.

Nasharuddin pertegas, tidak akan bawa PAS sertai BN

Calon-calon Dewan Pemuda PAS Pusat yang bertanding diperkenalkan kepada para perwakilan pagi tadi.

GOMBAK: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menafikan kenyataan beliau malam tadi bahawa parti itu tidak akan menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN) sebagai usaha terakhirnya mendapatkan sokongan mempertahan jawatan beliau esok, lapor mSTAR.Online. Jelas Nasharudin, beliau hanya menjelaskan pendirian kepimpinan parti dalam isu berkenaan yang timbul sejak pilihan raya umum Mac 2008.

"Bukan respons (kepada isu dibangkitkan) tapi menegaskan balik pendirian parti," kata beliau selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini tengah malam tadi.

Malah beliau juga enggan mengulas apabila ditanya tentang peluang mempertahankan kedudukannya buat penggal ketiga esok.

"Tiada komen, yang tanding tak boleh bercakap," katanya dengan berseloroh.

Nasaruddin juga enggan mengulas apabila ditanya dakwaan bahawa beliau lebih liberal ke arah Umno sejak awal tahun lalu. Pada pemilihan PAS pusat esok, beliau dicabar oleh Datuk Husam Musa dan Muhamad Sabu.

Dalam pada itu, Nasharudin berkata, parti tersebut akan terus berdialog dengan mana-mana parti politik mahupun badan bukan kerajaan walaupun platform muzakarah atau muqabalah antara Umno-PAS tidak menjadi kenyataan.

"Bagaimanapun kita perlukan dialog ataupun perbincangan," kata beliau. Mengenai keahlian kepada bukan Islam, Nasharudin menjelaskan, "kita sedang menunggu PAS putuskan mengenai keahlian baru dalam mesyuarat PAS pusat dan kita sedang menunggu sama ada ia akan dinaik taraf untuk menjadi Dewan Harian." Kalau usul diterima adakah keahlian bukan Islam akan diterima dalam PAS, kata beliau, perkara itu sedang "kita bincangkan."

"Jadi disebabkan ada banyak aspek teknikal lain yang perlu diperhatikan, contohnya mengenai keahlian mereka, ia sedang dikaji pada ketika ini sehingga kajian menyeluruh kita buat dan kita akan buat pengumuman selepas itu insya-Allah," katanya.

Adakah ia akan bercanggah dengan konteks Pakatan Rakyat kerana Parti Keadilan Rakyat sebuah parti pelbagai kaum, Nasharudin menambah, "kita tidak ada percanggahan dalam konteks itu kerana masing-masing ada daya penarik yang boleh membawa rakyat untuk memilih sama ada dia mahukan (parti) A, B ataupun C."

"Yang pentingnya mereka mahukan Pakatan dan dalam konteks ini kita akan perkukuhkan lagi Pakatan," katanya.

Tujuan Kelab Penyokong PAS dinaik taraf, beliau berkata, sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS semakin hari semakin meningkat.

"Bukti yang cukup jelas adalah keahlian Kelab Penyokong PAS mencecah kepada 20,000 orang. Jadi sudah tentulah kita mahu meraikan mereka ini lebih daripada sekadar ahli daripada kelab itu dan aspek-aspek teknikal ini sedang dikaji dari pelbagai sudut," katanya.

Dato' Nik Amar akui memang ada pertembungan idea dalam PAS tetapi bukannya bergaduh!

MUQADIMMAH: Nama beliau mungkin tidak begitu dikenali umum berbanding pemimpin-pemimpin PAS yang lain, namun Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, 49, adalah antara pemimpin ulama muda yang begitu disegani di Kelantan.
Nik Mohd Amar yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan ahli Exco negeri akan bertanding jawatan Naib Presiden menentang empat lagi calon iaitu Datuk Mahfuz Omar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayubpada pemilihan Pusat pada Muktamar PAS Jumaat ini.
"Saya mahu memperkasakan kepimpinan ulama supaya PAS melahirkan lebih ramai pemimpin ulama yang berketrampilan," itulah misi yang akan dibawa beliau jika memenangi jawatan itu. Beliau berkata, kepimpinan baru PAS mestilah tepat dan sesuai mengikut keperluan politik semasa kerana PAS kini bukan lagi sebuah parti kecil. Katanya, kemenangan yang diperolehi dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu menjadikan PAS semakin teguh berdiri di tengah-tengah arus politik semasa. Ikuti wawancara ZANARIAH ABD. MUTALIB untuk MSTAR.Online.

mStar Online: Menjelang pemilihan Muktamar Jumaat ini, bagaimana persediaan Datuk setakat ini bagi persaingan jawatan Naib Presiden?

NIK MOHD AMAR: Saya tidak melakukan persediaan apa-apa. Dalam pertandingan ini pun, kita tidak berkempen. Saya serahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

Apa yang mendorong Datuk untuk bertanding jawatan ini?

Pertama sekali, saye mengambil keputusan untuk bertanding bagi memenuhi hasrat pihak-pihak yang mencalonkan saya. Mereka benar-benar berharap saya akan bertanding pada pemilihan kali ini sehinggakan ada yang menelefon dan menghantar SMS meminta saya supaya tidak menarik diri. Jadi saya mengambil keputusan untuk bertanding bagi menghormati hasrat mereka.
Kedua, ketiga-tiga jawatan itu kosong kerana kesemua penyandang jawatan tidak mempertahankannya.
Ketiga, dalam perkembangan politik serta senario masa depan yang lebih kukuh, saya berharap dapat memberikan sumbangan kepada parti. Saya ingin membantu parti untuk bergerak ke hadapan.

Bagaimana Datuk melihat saingan-saingan yang lain dalam pertandingan jawatan Naib Presiden ini?

Semua calon yang bertanding pada saya hebat-hebat belaka. Ada bekas Ketua Pemuda, Pesuruhjaya PAS negeri yang tentunya begitu berpengalaman.

Datuk dilihat sebagai antara calon yang 'low profile' berbanding calon-calon yang dilihat lebih lantang dalam menyuarakan pandangan mereka. Bagaimana keyakinan Datuk untuk memenangi jawatan ini?

Saya sebenarnya tidaklah begitu menjangka untuk menang. Pada saya peluang untuk menang bagi semua calon adalah sama. Saya tidak suka berkempen. Mungkin hanya setakat menyatakan mengapa kita mahu bertanding sesuatu jawatan itu.

Datuk adalah anak kepada tokoh PAS, Ustaz Nik Abdullah Arshad . Mungkinkah itu akan memberi kelebihan kepada Datuk?

Mungkin itu satu kelebihan kepada saya. Jika ada yang mengenali bapa saya, mungkin itu merupakan satu bonus kepada saya. Tapi saya tidak bertanding atas nama bapa saya, saya bertanding atas tiket diri saya sendiri. Bagaimanapun, terpulanglah kepada perwakilan untuk membuat penilaian.

Muktamar PAS pada kali ini dilihat lebih serius dengan begitu banyak isu yang akan menyentuh perihal dalaman parti, kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat dan parti lawan, Barisan Nasional. Apa komen Datuk?

Muktamar pada kali ini menjadi tumpuan kerana adanya pemilihan. Sebab itu ia nampak luar biasa. Muktamar ini berlangsung dalam keadaan PAS sedang menghadapi tempoh peralihan.
Dulu parti ini dilihat kecil, mungkin hanya besar di Kelantan tetapi selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, PAS sudah menjadi 'mainstream'. Maka dengan sebab itulah, tumpuan itu lebih daripada biasa.
Di sini timbul persoalan, siapa yang perlu membawa PAS ke hadapan sebab PAS ini terbuka kepada semua ahli. Memang berlaku pertembungan idea tetapi kita bukan bergaduh, kita hanya mahu menentukan hala tuju parti.

Menjelang Muktamar, isu kepimpinan ulama atau profesional tiba-tiba menjadi perdebatan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Banyak media yang memainkan isu ini, bukannya kita (PAS). Saya tidak lihat ada percanggahan dalam hal ini. Hanya media yang memainkan isu ini menyebabkan kita terpaksa bercakap tetapi sebenarnya ia tidak berbangkit. Kita dah lama memutuskannya. Perbezaan yang wujud hanyalah perbezaan perspektif iaitu bagaimana pendekatan dan kaedah yang sesuai dalam perjuangan parti.

Apa misi dan visi Datuk jika berjaya menjawat jawatan ini?

Apa yang paling penting adalah saya mahu membantu memperkasakan parti. Saya mahu memperkasakan kepimpinan ulama supaya PAS melahirkan lebih ramai ulama yang berketrampilan seperti Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang boleh diterima oleh semua golongan. Saya mahu membantu PAS melahirkan seberapa ramai ulama yang mempunyai tarikan seperti Tuan Guru.

Apa harapan Datuk kepada perwakilan yang akan mengundi nanti?

Saya menaruh kepercayaan bahawa perwakilan telah matang untuk membuat keputusan. Saya harap mereka memilih pemimpin yang sesuai dan tepat mengikut keperluan. Buatlah keputusan yang bijaksana mengikut keperluan politik semasa.

Rabu, Jun 03, 2009

Benarkah Ustaz Akhil Hayy mungkir janji?

Ustaz Akhil meninggalkan perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Ipoh dengan senyuman semalam - foto The Star oleh Zabidi Tusin
IPOH: Sebelum ini penyanyi rock Akhil Hayy atau Akhil Abdul Hai pernah berjanji untuk memberi komen berhubung kontroversi rumahtangganya dengan Maizawati Zainal semalam. Ini kerana semalam merupakan tarikh sebutan kes cerai Akhil dan isterinya itu, lapor Siti Azira Abd. Aziz.

Sebelum ini juga Akhil lebih banyak mendiamkan diri dan memberitahu media ‘apa-apa pun tunggu tarikh 2 Jun ini’.

Namun, selepas Mahkamah Rendah Syariah Ipoh memutuskan kes ‘kebenaran cerai’ yang difailkan oleh Maizawati dibawa ke 15 Julai depan, Akhil yang sepatutnya memberikan kenyataan kepada media bagi menjelaskan tentang isu tersebut telah memungkiri janjinya.

Ustaz rock yang dikaitkan dengan penyanyi Waheeda itu seakan-akan mengerti yang media telah berkumpul di luar untuk menyerbunya pada bila-bila masa itu keluar dari mahkamah sambil dikawal oleh dua orang lelaki.

Akhil terus keluar dari dewan mahkamah sambil dikawal oleh dua orang lelaki seolah-olah seperti pengawal peribadinya. Sambil tersenyum, dia hanya berkata ‘tiada apa-apa untuk dikomen’.

Selepas itu, apabila diasak dengan pelbagai soalan lagi, dia berkata, “Saya akan lakukan perbincangan secara makruf kerana saya rasa hal ini telah menjejaskan kredibiliti saya sebagai pendakwah. Saya hanya follow the flow. Saya harap keputusannya positif.

“Saya minta media tidak membesarkan isu ini. Mungkin lepas ini akan timbul masalah lain.”

Namun di sebalik riak tenang di wajahnya, hos program 'Cafe Akhil Hayy' itu sempat juga memberi komen sinis..."Kalau sesiapa ada masalah boleh adu pada stesen TV." Temubual yang dibuat dalam keadaan ‘kejar-mengejar’ itu bagaikan merungsingkan Akhil apabila dia terus diasak dengan beberapa soalan lagi.

Lantas, dia terus mengeluarkan kata-kata sinis yang tidak pasti ditujukan kepada siapa, “Mungkin hari ini hari aku, hari korang esok lusa siapa yang tahu.” Maizawati bersama lima orang anaknya.

Akhil hadir bersama rakan-rakannya bersama kereta proton Wira berwarna hitam hadir di mahkamah agak lambat daripada sepatutnya sehingga Hakim Syarie Mohd. Ridhuan Yusof membuat keputusan untuk menangguhkan kes itu buat sementara waktu pada pagi tadi.

Sejam selepas itu, barulah dia muncul dengan berbaju hitam sepadan dengan warna jubah moden yang dipakai oleh Maizawati.

Bagaimanapun, mereka dilihat tidak sempat bertegur sapa sehingga kes tersebut selesai pada hari ini. Akhil juga menolak kehendak media untuk merakamkan gambarnya bersama anak-anaknya yang turut hadir bersama Maizawati.

Katanya pendek, “Lain kalilah..”

Sementara itu, Maizawati yang hadir bersama lima orang anaknya dan seorang wanita meninggalkan kawasan mahkamah dengan menaiki kereta Gen 2 berwarna oren selepas memberi peluang kepada media merakamkan gambarnya bersama anak-anak.

Lawan Ustaz Nasharuddin, Husam sedia hadapi sebarang risiko!

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bakal berdepan risiko paling besar berbanding calon lain jika tidak dipilih sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jumaat ini, lapor Jimadie Shah Othman.

Pada hari itu, lebih 1,000 perwakilan PAS kawasan juga akan menentukan nasib Nasharudin Mat Isa - yang sudah dua penggal menyandang jawatan tersebut.

Seorang lagi naib presiden PAS, Mohamad Sabu turut menawarkan diri, tetapi beliau dilihat sebagai calon 'underdog' kerana tidak mempunyai jaringan dalaman parti sehebat Nasharudin dan Husam.

Kedudukan Nasharudin sehingga kini dilihat selesa apabila dikatakan mendapat sokongan padu kumpulan pro-muqabalah yang cenderung kepada presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala Husam pula dilihat sebagai tokoh utama "kumpulan Erdogan" yang cenderung kepada idea mengukuhkan Pakatan Rakyat. Analisis sumber-sumber dalaman parti menjangkakan, Husam bakal "paling teruk tercedera" jika kalah di tangan Nasharudin dalam muktamar PAS ke-55 kali ini.

Menurut mereka, tindakan Husam yang mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap Nasharudin akan memburukkan lagi hubungan kedua-dua tokoh PAS itu.

"Tambahan lagi, beliau dilihat tidak mendapat sokongan padu di Kelantan sendiri," kata sumber-sumber itu. Bagi Mohamad Sabu pula, keadaannya berbeza. (Pemilihan) ini bukan ujian paling besar untuk beliau (jika kalah). Dulu, masa menghadapi tuduhan khalwat pun beliau boleh buat 'comeback'. Inikan pula pemilihan parti," kata mereka.

'Suara merdu' Mat Sabu

Husam sebelum ini dilaporkan "berbuka puasa" daripada mengeluarkan kenyataan kepada media, dengan mengkritik Nasharudin secara terbuka dengan menyifatkannya sebagai "liberal dan terbuka kepada Umno".

Sumber-sumber berpendapat, berbekalkan "suara merdu", Mohamad Sabu sebagai penceramah popular, hampir pasti diundang menganggotai organisasi penting parti sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat.

Sebaliknya, sumber-sumber meramalkan, ekoran "kenyataan berunsur serangan" sebelum ini, Husam telah mengeruhkan hubungannya dengan Nasharuddin yang dikatakan mendapat restu presiden.

Mengulas penyertaan Mohamad, sumber berkata naib presiden PAS itu sendiri tidak sepenuhnya yakin apabila memutuskan mengambil bahagian dalam perebutan tiga penjuru kerusi nombor dua parti itu.

"Beliau (bertanding) cuma ingin menyampaikan tanda protes dan tidak puas hati kepada Nasharudin. Beliau ingin isyarat ini sampai kepada perwakilan dalam muktamar parti," kata sumber-sumber itu lagi. Mohamad Sabu kini menunggu pengalihan undi di saat akhir daripada perwakilan, tambah mereka.

Sementara penulis politik Zin Mahmud - yang pernah berkhidmat dengan akhbar rasmi PAS, Harakah - berpendapat, jika Husam tewas, ia bukanlah jalan mati dalam karier politik ahli parlimen Kubang Kerian itu.

"Kalau kalah pun, beliau tidak akan bermula dari bawah, tetapi dari tengah," kata Zin yang kini bertugas dengan sebuah akhbar arus perdana. Beliau berkata, Husam dipercayai mendapat sokongan dari pelbagai tempat dan tidak berpusat di sesebuah negeri seperti Kelantan.

Sokongan akar umbi

Katanya, populariti Husam sebagai alternatif terbaik kepada Nasharudin di kalangan akar umbi PAS setakat ini telah mencecah 45 peratus.

"Nasharudin pula kira-kira 35 peratus dan Mohamad 20 peratus (sokongan)," katanya sambil mengingatkan, ADUN Salor itu perlu
menghadapi risiko "pecah undi" dengan Mohamad Sabu.

Sementara penolong pengarah Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa), Wan Hamidi Hamid pula menyifatkan "yang kalah tidak kalah semua" .

"Apa pun, presiden (PAS) tetap Abdul Hadi. Sejak dulu lagi beliau dilihat boleh mendengar pandangan dua-dua pihak. Keterbukaannya untuk mendengar itu ada. Ini agak seimbang (kepada semua pihak). Jadi, calon yang kalah, tidak akan terhapus nyawa," kata beliau yang juga seorang kolumnis politik.

"Akar umbi Pakatan di bawah jelas memilih Husam. Cuma konservatif masih mengawal. Kalau menurut disiplin dalam hirarki parti, susah untuk Husam menang. Dalam PAS ini, mereka akan setia kepada pemimpin di atas. Kita masih tidak tahu sejauhmana pengaruh konservatif dalam PAS," kata Wan Hamidi.

Ditanya sama ada gelombang Husam tidak cukup kuat untuk mengalah Nasharuddin, Wan Hamidi berkata: "Bukan, tradisinya kuat. Tradisi kepimpinan harus ditaati itu kuat (dalam PAS).

Malaysiakini dakwa Mohd Sabu mampu buat 'kejutan' rebut kerusi Timbalan Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Para penyokong pemimpin popular PAS, Mohamad Sabu percaya Naib Presiden itu mampu membuat "kejutan" dengan memenangi perebutan sengit jawatan timbalan presiden dalam muktamar parti itu Jumaat ini, lapor Jimadie Shah Othman untuk Malaysiakini.

Kepercayaan mereka itu berdasarkan kepada tinjauan yang dbuat di seluruh negara yang menurut mereka, menunjukkan 43 peratus perwakilan menyokong Mohamad untuk jawatan tersebut.

Tinjauan itu juga, menurut mereka, menunjukkan dua lagi calon jawatan tersebut, termasuk penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, mendapat 38 peratus sokongan manakala seorang naib presiden, Datuk Husam Musa mendapat 19 peratus.

"Sokongan kepada Mohamad telah melonjak - daripada 22 peratus sebelum ini - kepada 43 peratus sehingga hari ini," kata seorang penyokong kuatnya yang enggan namanya disebut. Menurutnya, Mohamad mendapat sokongan padu dari tiga negeri yang mempunyai perwakilan teramai - Johor, Perak dan Kedah.

Perwakilan Kelantan pula, katanya, memberi sokongan padu kepada Husam manakala Nasharuddin mendapat sokongan kuat dari Terengganu. Manakala di Selangor pula, sokongan perwakilannya berpecah kepada tiga-tiga calon tersebut.

YB Khalid Samad terus membangkitkan isu-isu kontroversi menjelang Muktamar Agung PAS Ke-55 di Stadium Malawati

SHAH ALAM: Lanjutan dari asas pemilihan pimpinan yang saya nyatakan tempohari, bersama ini dikemukakan pula beberapa persoalan agar dapat difikirkan bersama oleh para perwakilan Muktamar Tahunan PAS yang ke 55.

1. ISU MAKLUMAT JUMLAH PENCALONAN

Jumlah pencalonan bagi calon-calon dimaklumkan kepada calon tetapi tidak kepada media. Namun media mendapat tahu jumlah pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden. Secara terbuka ianya dimaklumkan bahawa Ust. Nasharuddin telah mendapat 60% dari keseluruhan jumlah pencalonan. Maklumat ini sepatutnya hanya diketahui oleh calon sendiri dan jawatankuasa pemilihan. Cikgu Pa telah menafikan bahawa maklumat ini didedahkan oleh pihak beliau. Oleh itu, adakah ini bermakna ianya dibocorkan oleh Ust Nasharuddin atau orang-orang yang hampir dengannya? Lebih penting lagi, adakah maklumat ini benar atau sekadar propaganda?

Apakah tujuan disebalik dakwaan ini? Adakah ianya bertujuan sebagai kempen untuk mempengaruhi cara pemilihan perwakilan kelak?

Dato’ Dr. Harun Din menegaskan bahawa Ust Nasharuddin terbukti pilihan pihak grass-root. Ini di tegaskan melalui Sinar Harian pada 30/5 dan dengan itu memberikan gambaran bahawa Ust Nasharuddin adalah semestinya pilihan perwakilan. Adakah ini juga boleh dianggap sejenis kempen? Adakah Dato' Dr. Harun Din betul dengan menganggap maklumat ini tepat?

Hakikatnya pencalonan dan pemilihan adalah dua perkara yang berbeza. Ramai yang telah meletakkan ‘incumbent’ atau yang sedia ada dan tidak memikirkan soal calon alternatif sehinggalah calon alternatif itu diadakan untuk difikirkan oleh mereka. Sekarang, apabila dikemukakan nama-nama Mat Sabu dan Husam, perwakilan akan memikirkannya secara lebih serius berhubung pilihan mereka.

Kedua, kesediaan calon-calon alternatif untuk bertanding tidak disahkan sehingga saat-saat terakhir. Pada masa itu, banyak dari kawasan-kawasan telah selesai bermesyuarat. Kawasan-kawasan ini telah menyerahkan pencalonan mereka dan mereka tidak tahu akan kesediaan seseorang calon ‘baru’ untuk bertanding dan sebab-sebab mengapa mereka sanggup bertanding. Apabila ianya diketahui, ianya terlewat kerana mereka telahpun menyerahkan pencalonan mereka.
Atas dua sebab di atas, maka jumlah pencalonan tidak sepatutnya mempunyai kesan secara muktamad seperti yang telah digembar-gemburkan. Pemilihan haruslah terus dilakukan berdasarkan kriteria calon yang bertanding untuk menentukan siapa pemenang sebenar.

2. ISU PERLUNYA ULAMA’ UNTUK JAWATAN TP

Persoalan ini juga telah mendapat perhatian media. Untuk julung-julung kalinya artikel-artikel yang disiarkan Utusan Malaysia menyokong pandangan-pandangan TG Daud Iraqi dan Dato’ Dr. Harun Din yang berpendapat bahawa jawatan TP mesti dipegang oleh seorang ulama'. Namun perlembagaan jelas dan konsep kepimpinan ulama’ pun jelas dan tidak mungkin dapat diselewengkan.

Persoalannya sekarang, mengapa semasa Cikgu Pa bertanding melawan Ust. Hassan Syukri untuk jawatan TP hujjah ini tidak pula dikemukakan? Pada masa itu hujjah yang melemahkan kedudukan Cikgu Pa adalah bahawa beliau, seperti TG Hj. Abdul Hadi Awang adalah dari Terengganu. Tidak wajar kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden dari negeri yang sama. Itu sahaja! Tidak timbul persoalan “Kepimpinan Ulama’ yang mewajibkan jawatan TP disandang oleh seorang yang digelar ulama’ sahaja".

Adakah hujjah ini dikemukakan oleh kerana peribadi yang bertanding tidak disukai oleh beberapa pihak tertentu? Sekiranya begitu, tidak seharusnya konsep kepimpinan ulama diputar-belitkan sedemikian rupa. Sekiranya Cikgu Pa dibenarkan bertanding dulu dan pencalonannya dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian dan kemampuannya untuk berkhidmat kepada parti, maka begitu juga dalam kes pencalonan Mat Sabu dan Husam.

3. ISU ‘ERDOGAN’ DAN ‘WALA’ KEPADA ANWAR’

Mengapa isu ini muncul pada ketika PAS sibuk dengan persoalan muzakarah dengan Umno? Mereka-mereka yang menolak amalan ini segera dilabel ‘Erdogan’ serta ‘pengikut Anwar’ dan Majlis Syura Ulama’ diheret ketengah perbalahan ini untuk melindungi tindakan muzakarah, sepertimana Raja Perak diheret ketengah untuk melindungi tindakan Umno di Perak!

Hakikat bahawa ‘muzakarah’ telah berlangsung lama sebelum Majlis Syura bersidang diketahui umum dan saya sendiri yang hadir pada pertemuan 10 Mac 2008, iaitu 2 hari selepas berlangsungnya PRU ke 12, boleh secara peribadi mengesahkan bahawa ianya bertujuan untuk merundingkan kerajaan campuran PAS-Umno/BN di Negeri Selangor.

Adalah dikhuatiri adanya golongan tertentu yang bersetuju dengan konsep kerjasama PAS-Umno dan menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melindungi tindakan yang tidak diterima, malahan ditolak, oleh kebanyakan perwakilan di muktamar PAS di Ipoh. Kuatnya kehendak mereka dizahirkan melalui cara bagaimana mereka berserbu ke Kelate bertemu TGNA dan akhirnya mengasak TGNA sehingga beliau seolah-olah menyatakan “kalau teringin sangat sekalipun, biarlah Muqabalah, bukan muzakarah!”. ‘Muqabalah’ bererti bersemuka untuk menyatakan pendirian kita sahaja, iaitu Islam, bukan untuk berunding.

Sama-sama kita fikirkan persoalan-persoalan ini dan semoga Allah SWT membimbing kita untuk membuat pilihan yang tepat demi masa depan perjuangan Islam di Malaysia.

WaLlahu ‘Alam
Oleh YB KHALID SAMAD

Muktamar ke 55: Mampukah PAS bersiap siaga untuk menggantikan Umno? - Dr Dzulkifli


KUALA LUMPUR: Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya.

Katanya, natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.

Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.

Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan "Risalah Perjuangan Parti Politik Islam" ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.

Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, beliau berkata, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55".

Dr Dzulkifli yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan. Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.

Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.

Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.

Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu

Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.

Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.

Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.

Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam. Dr. Dzulkifli, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.

Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.

Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat). Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.

Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.

PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.

PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih "mixed" dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.

Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?

Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN

Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.

Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.

Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif, tegas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat itu.

Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN.

Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.

Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).

Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS

Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.

Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'.

PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.

Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.

PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.

Kesimpulan

Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi' dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.

PAS katanya, sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.

Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.

Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.

Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.

PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.

Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan. Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan!

Islam jalan penyelesaian krisis ekonomi untuk orde dunia yang baru dan adil - Presiden PAS



MUQADIMMAH: Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi (Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – ESAM) di Istanbul pada 28 – 30 Mei 2009. Tuan Guru telah diberi peluang sebagai penyampai ucapan dalam Sesi Protokol Pertama, selepas dari ucapan Prof Dr Numan Kurtulmus (Presiden Saadat Party, Turki) dan Prof Dr Burhanuddin Rabbani (Mantan Presiden Afghanistan). Dalam ucapan beliau, Tuan Guru telah menjelaskan mengenai krisis ekonomi yang melanda dunia dan penyelesaiannya menurut Islam. Ucapan adalah disampaikan dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan seperti di bawah. Teks asal dalam Bahasa Arab boleh diperolehi dari Blog Presiden PAS di alamat http://presiden.pas.org.my/

KRISIS ekonomi dunia telah dianggap sebagai tajuk yang paling utama di mana-mana perhimpunan, seminar-seminar tempatan, antarabangsa mahupun di seluruh dunia, keutamaan ini diberi kerana ianya berkaitan dengan ekonomi yang merupakan matlamat yang paling utama bagi seluruh idealogi-idealogi ciptaan manusia melainkan Islam.

Blok Komunis di timur yang telah pupus pada kurun yang lepas selepas beberapa dekad mendominasi, dan dikatakan bahawa punca kehancuran mereka adalah bermula dengan kehancuran dari sudut ekonomi.

Maka demikianlah juga kebimbangan sedang melanda blok barat yang di bina di atas fahaman Liberalis-kapitalisme terhadap krisis ekonomi yang sedang berlaku sekarang, walaupun kedua-dua blok ini (timur dan barat) bergantung kepada kekuatan kebendaan dengan menjajah negara-negara yang lemah bagi membina ketamadunan mereka, penjajahan yang di lakukan oleh mereka dengan berbagai cara samada dengan cara lama iaitu dengan cara kekuatan (ketenteraan) atau penjajahan dengan bentuk serta cara yang baru iaitu memanipulasi dan penipuan.

Dunia Islam yang telah di kurniakan dengan hasil yang banyak di dalam perut bumi mereka serta terdapat banyaknya tenaga-tenaga buruh dan pasaran yang luas, kesemua ini telah di rampas oleh penjajah timur dan barat, dan tanahair umat Islam pula telah di bahagikan berdasarkan kepada perjanjian-perjanjian yang dilakukan sesama mereka. Manakala umat Islam pula di pecahkan mengikut suku kaum dan juga etnik, sementara itu akal pemikiran mereka pula di tawan oleh fahaman-fahaman serta idealogi-idealogi asing.

Dengan tidak melupakan krisis-krisis yang telah menimpa mereka, serta apa yang telah dialami oleh negara-negara yang berpegang dengan ideologi tersebut samada dari Blok Timur pada awalnya atau kemudiannya Blok Barat di semua sudut dan peringkat, samada individu ataupun masyarakat, politik mahupun pendidikan, hubungan sesama manusia di peringkat tempatan atau antarabangsa, inilah krisis-krisis yang datang sebelum datangnya krisis ekonomi ini, Dan harus di ingat bahawa di sana tiada ruang untuk kita memisahkan di antara krisis ini (yang melanda timur dan barat) dengan krisis ekonomi yang sedang berlaku sekarang.

Punca terhadap perkara ini jelas dan nyata ianya berpunca daripada Ideologi Sekularisme yang telah memisahkan agama dan juga hal ehwal kehidupan, slogan mereka cukup jelas iaitu Agama itu bagi Allah dan Negara itu bagi kita dan kita adalah manusia yang akan mengurus mengikut kehendak kita, biarkan bagi Allah itu untuk Allah dan apa yang bagi pemerintah itu untuk pemerintah.

Barat yang merupakan kiblat bagi golongan Sekularis ini telah mengalami krisis kemanusiaan secara total sebelum ditimpa dengan krisis ekonomi ini lagi, kerana Sekularisme yang di lahirkan daripada Ketamadunan Barat itu adalah percikan daripada Ketamadunan Islam yang di selewengkan dengan memisahkannya daripada agama serta mengubahnya dengan mengikut acuan masyarakat barat Kristian.

Keadaan negara barat di mana lahirnya fahaman Sekularisme ini pada ketika itu adalah di perintah oleh ahli-ahli Agama dan Ilmuwan yang sentiasa bertelagah di antara satu sama lain Keadaan ini berlaku adalah kerana lemahnya Agama Kristian yang telah sedia menyeleweng daripada Risalah Kenabian yang sebenarnya. Dan di belakang gerakan ini adalah golongan Fremasson dan Zionis, maka ideologi-ideologi yang memerintah negara-negara samada dari sudut politik, dasar negara ataupun pentadbiran serta ekonominya telah diuruskan mengikut acuan-acuan tersebut, yang jelas menampakkan ianya sebagai suatu kelemahan dan kegagalan bagi menyelesaikan masalah umat dalam semua aspek termasuklah juga aspek ekonomi.

Agama pada pandangan mereka tidak dapat memandu serta tidak dapat menguruskan hal ehwal kehidupan, bagi mereka politik dan ekonomi tidak di imbangi oleh akhlak, pahala, dan dosa, mereka juga mengingkari pembalasan pada hari akhirat yang semestinya lahir dari keimanan yang teguh dari dalam hati, dan perlu di ingati bahawa hati itu adalah segumpal darah yang mengawal seluruh jasad, apabila baik (segumpal darah) itu maka baiklah seluruh tubuh, dan apabila rosak ia, maka rosaklah seluruh jasad.

Islam menyandarkan seluruh hal ehwal kehidupan kepada agama, dengan petunjuk daripada wahyu serta eksperimen aqliah yang bijaksana, kerana wahyu itu daripada Allah dan diturunkan kepada Rasul yang di pilih oleh Allah dari kalangan hamba-hambanya yang terpilih dan bukannya dipilih oleh orang ramai di dalam pilihanraya demokrasi atau pilihanraya diktator.

Kerana kebijaksanaan itu ialah barang kejijiran orang beriman di mana sahaja ianya di jumpai maka ianya adalah miliknya. Sesungguhnya Islam telah memainkan peranan yang bersejarah dalam memimpin dunia semasa zaman keemasannya. Umat Islam telah membina ketamadunan yang baru dengan menggunakan pengajaran-pengajaran serta ilmu-ilmu Islam itu sendiri serta membetulkan tamadun-tamadun yang wujud sebelum daripada itu dengan membaiki serta memperbaharuinya, dan Islam telah mengubah peta dunia selepas kejatuhan Rom dan Parsi.

Islam juga telah mengutuskan kumpulan-kumpulan yang berdakwah serta membuka negara-negara di seluruh dunia, kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada gerakan politik, ekonomi dan juga ketenteraan Islam telah bertebaran diseluruh dunia, tujuannya adalah untuk melakukan reformasi serta tajdid, tujuannya adalah untuk menyebar luaskan Islam. Seluruh dunia pada waktu itu hidup dalam keamanan, keadilan dan sejahtera.

Pembukaan-pembukaan yang dilakukan terhadap negara-negara oleh Islam pada waktu itu bukanlah bertujuan untuk menjajah kerana pembukaan tersebut tidak memaksa rakyat untuk memeluk Islam serta tidak menceroboh kebebasan serta harta benda mereka, pemerintahan Islam didirikan di kalangan majoriti rakyat yang bukan Islam, mereka memeluk Islam beramai-ramai kerana melihat kesempurnaan agama ini, manakala baki yang engkar tetap terus dengan penyembahan mereka dan hidup di kalangan majoriti umat Islam sehingga ke hari ini.

Adapun kejatuhan Khilafah Islam adalah kerana pada ketika itu umat Islam dan kerajaannya kurang beramal dengan ajaran Islam walaupun sebenarnya ajaran Islam ini tetap memberikan petunjuk serta kebaikan pada setiap masa dan tempat, begitu juga kejatuhan ini adalah kesan daripada serangan pemikiran dan seterusnya mengakibatkan penjajahan negara-negara Islam serta penerusan pelaksanaan ideologi-ideologi penjajah ini walaupun negara umat Islam itu telah mencapai kemerdekaan.

Pemerintah-pemerintah yang terdiri daripada anak bangsa itu sendiri terikat dengan jalan penyelesaian yang di import dari ideologi-ideologi ini, dan akibat daripada itu kesan kegagalannya yang total telah di rasai oleh keseluruhan ummat.

Para penganalisa telah bersepakat bahawa dunia sekarang ini sedang berdepan dengan krisis ekonomi, bermula daripada kejatuhan dan kegagalan Komunis, namun kerajaan-kerajaan yang dahulunya menganut ajaran Komunis telah bangkit kembali dan mengubah dasar mereka kepada pragmatik dan terbuka, maka dengan sendirinya mereka telah merobohkan dinding besi yang telah memisahkan antara dua blok iaitu timur dan juga barat, dan tinggal selepas itu fahaman dan golongan kapitalis liberal sehingga ada yang menyatakan bahawa golongan dan fahaman ini akan terus kekal selama-lamanya.

Walaubagaimanapun tanda-tanda keruntuhan golongan ini juga sudah mula kelihatan lantaran buruknya amalan yang di lakukan oleh mereka seperti riba, penipuan dan monopoli. Hubungan politik mereka juga rosak dan musnah, walaupun dalam keadaan saingan politik mereka telah runtuh serta pengisytiharan oder baru dunia yang tidak mungkin akan dicabar oleh sesiapa pun.

Dalam menerangkan kejahatan serta kemusnahan yang di sebabkan oleh amalan riba ini perlu di ingati bahawa ianya adalah satu amalan dosa besar yang telah di beri amaran oleh Allah swt dan RasulNya saw, dan di antara mukjizat al Quran, kesalahan riba ini tidak di masukan ke dalam kesalahan Qisas ataupun hudud, akan tetapi mereka yang mengamalkan amalan ini hanya telah di istiharkan perang oleh Allah swt., firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa Riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak Menganiaya dan tidak (pula) dianiaya."

Dan para ulama serta ahli fikir juga telah sama-sama bersetuju bahawa krisis ekonomi ini juga sebagai petunjuk gagalnya ideologi-ideologi ciptaan ini kerana ianya telah menyalahi fitrah kejadian manusia serta menyalahi tabiat manusia yang berhubungan antara satu sama lain.

Tambahan pula ideologi-ideologi ini gagal untuk memenuhi keperluan keseluruhan kehidupan manusia yang terdiri daripada roh dan jasad serta kehidupan mereka secara individu mahupun bermasyarakat. Seperti mana Komunis yang telah mengengkari agama secara total dengan mengengkari kewujudan tuhan samada sebagai sembahan atau sebagai penjaga kepada alam ini, mereka juga mengengkari akan hari pembalasan dan juga dosa, mereka hanya menumpukan kepada pembinaan masyarakat dan menyangkal tabiat semulajadi yang ada pada setiap manusia.

Adapun golongan Sosialis dan Kapitalis, kedua-duanya lahir daripada asas yang satu iaitu Sekularisme yang menolak agama dalam mentadbir urusan kehidupan, walaupun mereka tidak mengengkari agama secara total sebagaimana yang di lakukan oleh golongan Komunis akan tetapi mereka tetap tidak menggunakan agama dalam menyelesaikan permasalahan manusia, walaupun menyedari kesempurnaannya.

Di sana masih terdapat amalan-amalan yang di haramkan seperti riba, rasuah, penipuan serta monopoli, kesemua amalan-amalan ini menjuruskan kepada amalan memakan harta orang lain dengan cara yang tidak betul dan juga berlakunya kezaliman terhadap manusia samada di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.

Sungguhpun sistem ekonomi sosialis di bawah perlaksaan Pasaran Terancang dari sudut pelaksanaan dan juga penetapan harga dan di sana tidak ada hak individu untuk menentukan pengeluaran dan juga menetapkan harga atau sebagainya, maka dengan tindakan ini pasti akan membunuh peluang manunia untuk lebih kreatif dan berinovasi, begitu juga sistem ekonomi kapitalis yang bergerak di atas idea pasaran terbuka ataupun kadang-kadang ianya dinamakan sebagai ekonomi yang berasaskan kepada permintaan, dimana ianya lahir daripada pasaran yang tidak berdisiplin dan berperaturan yang gagal untuk mencegah daripada berlakunya manopoli ataupun penguasaan serta keserakahan kepada setiap apa yang berkaitan dengan jati diri manusia serta menjaga aqidah, aqal, maruah, diri dan hartanya.

Di sana pastinya terdapat persefahaman yang teguh dan kuat di antara golongan zionisme dan ideologi-ideologi yang merosakkan ini yang menjuruskan kepada pengepungan antarabangsa ke atas umat Islam, sehinggakan untuk mengendalikan setiap transaksi di dalam dunia Islam pun ahirnya akan menguntungkan pihak Negara Haram Israel.

Selepas tamatnya pertelingkahan di antara Komunisme dan Kapitalisme pada abad yang lalu, kita melihat peperangan di pasaran mula tercetus di antara negara-negara Kapitalis yang dianggap sebagai kuasa besar di dalam sistem ini, Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Negara-negara Eropah serta negara-negara yang berada di dalam pengaruh dan paksi mereka.

Peperangan ini tercetus lantaran peraturan yang mereka tetapkan dan yakini itu telah menggalakkan pertembungan, dan kesan dari pertembungan (di pasaran) tersebut telah merebak ke peringkat politik bahkan sehingga ke peringkat ketenteraan, ini kerana aspek ekonomi sudah menjadi faktor yang paling utama dan terpenting dalam hubungan antarabangsa dalam sistem kapitalisme.

Dan apa yang sangat dikesalkan ialah Dunia Islam juga turut terkesan dengan peristiwa yang membahayakan ini, walaupun bumi umat Islam kaya dengan sumber-sumber asli serta kedudukannya yang amat strategik di dalam peta dunia ditambah lagi dengan bilangannya yang ramai di seluruh dunia, akan tetapi mereka ini seperti buih di lautan yang tidak mendapat petunjuk daripada agama mereka serta tidak mengambil manafaat dari sumbernya samada dari sudut ruhiyyah ataupun kebendaan.

Dunia pada hari ini memerlukan kepada penyelesaian alternatif, sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahwa Islam telah berjaya mengemudi dan memimpin serta menyelamatkan alam ini dari kezaliman agama-agama yang sesat dan ketamadunan yang lalu kepada keadilan yang sempurna di dalam semua aspek kehidupan pada zaman keemasannya yang realistic. Umat Islam ini telah berjaya mencapai kegemilangannya serta kemuliaanya dengan agama ini.

Maka dari sini wajiblah ke atas kita sebagai Umat Islam untuk bangun membebaskan tanahair kita daripada kongkongan penjajahan pemikiran yang sedang memerintah negeri dan rakyat, dan semestinya setiap perancangan di peringkat antarabangsa yang menyeluruh mestilah dibina di atas dasar Islam dan juga kesemua tindakan itu mestilah memberi kesan secara global agar ianya lebih adil kepada semua.

Maka di sana mestilah di asaskan satu perancangan ekonomi yang baru di peringkat antarabangsa yang boleh mengatasi kezaliman yang di sebabkan oleh perikatan para penjajah dan zionisme yang menggunakan ideologi-ideologi yang merosakkan itu. Bertititk tolak dari perancangan yang baru ini, yang merupakan satu perancangan yang adil dengan menggabungkan kesemua negara-negara Islam telebih dahulu bertujuan untuk membebaskan Dunia Islam dari memandang ke barat dan terikat dengan kepentingan penjajah dan juga zionisme, walaubagaimanapun ianya bukan bermaksud untuk kita memutuskan hubungan kita dengan negara-negara yang bukan negara umat Islam, akan tetapi hubungan itu tetap diteruskan dengan penuh kebijaksanaan dengan mengambil kira kepentingan berhubung sesama manusia keseluruhan, dan seterusnya dapat membebaskan mereka daripada Sistem Antarabangsa yang zalim tersebut dan mengeluarkan mereka dari keadaan dunia yang zalim.

Dalam keadaan kedudukan Dunia Islam yang strategi di dalam dunia ini yang meliputi beberapa benua, sebagai contoh Turki sendiri yang menjadi penyambung kepada di antara Asia dan Eropah atau sebagaimana kebanyakan negara-negara Arab yang menjadi penghubung di antara benua Asia dan Afrika, maka keutamaan mestilah di berikan kepada hubungan sesama Negara Islam kerana sumber kekuatan kita adalah daripada dalam diri kita sendiri, untuk itu adalah di cadangkan beberapa langkah iaitu:

1. Mengasaskan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Bersepadu di kalangan negara-negara Islam
2. Menyusun Sistem Pasaran Bersama Islam
3. Bersepakat dalam menggunakan matawang tunggal (Dinar Islam) di kalangan negara-negara Islam sebagai ganti terhadap penggunaan US Dollar.
4. Mengasaskan Penubuhan Badan Kerjasama Antara Budaya bagi negara-negara Islam
5. Menubuhkan Sistem Kerjasama Politik dan Pertahanan Ketenteraan

Krisis Ekonomi Antarabangsa yang sedang berlaku telah memberi pengajaran dan pengiktibaran kepada dunia agar mereka kembali merujuk kepada peranan Islam dalam memimpin dunia serta mengambil kira peranannya untuk menyelamatkan kemanusiaan dengan celupan dan cara Allah swt.

Firman Allah Taala: "Celupan Allah. dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? dan hanya kepada-Nya-lah Kami menyembah".