KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 04, 2009

Muslimat PAS mahu Pakatan Rakyat sedia kayu ukur untuk jadi calon pilihan raya


SHAH ALAM: Perwakilan Dewan Muslimat Pulau Pinang mahu kepimpinan PAS Pusat membincangkan secara serius keperluan merangka garis panduan Pakatan Rakyat meletakkan calon semasa pilihan raya. Suraya Mohd. Saad ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Muslimat menekankan bahawa berdasarkan pengalaman beberapa pilihan raya kecil yang telah dilalui, kepimpinan PAS Pusat membincangkan secara serius berkenaan garis panduan yang harus diakur oleh Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan, kepentingan garis panduan itu adalah untuk memastikan kemenangan dapat dikekalkan dan kerjasama diperkukuh supaya Pakatan Rakyat tidak menjadi seperti Barisan Nasional (BN).

"Sekiranya berlaku penyelewengan dalam satu pihak, maka pihak yang lain tidak hanya mendiamkan diri kerana kononnya mahu menjaga hati pihak tersebut," ujarnya lagi. Dalam pada itu, perwakilan dari Kelantan, Azizah Awang Hamat memberi penekanan terhadap hubungan dengan Allah dan manusia (hablun minnallah wa hablun minannas).

Menurut beliau, sebaik sahaja memperoleh kemenangan di Kelantan, Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berpesan tentang tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian.

“Pertamanya ialah perlunya meningkatkan ilmu dan iman. Oleh itu, Unit Halaqah telah diwujudkan sebagai satu platform untuk muslimat turun kepada rakyat bawahan. Perkara kedua ialah perlu meningkatkan ibadah dan keikhlasan manakala perkara ketiga ialah perlu sentiasa bersikap tawaduk dan menjaga ukhuwah. Menyentuh soal hubungan dengan Allah pula, ahli-ahli perlu memperbanyakkan hubungan dengan Allah,” katanya.

Beliau berjaya menarik perhatian ramai apabila mendedahkan rahsia amalan muslimat Kelantan terutamanya semasa 'berperang' iaitu sewaktu menghadapi pilihan raya.

"Satu unit munajat telah diwujudkan dan satu kaedah berdoa disusun. Antara amalan yang dibuat ialah solat hajat 1, bacaan surah al-ikhlas sebanyak bilangan pengundi, amalan selawat tafrijiyah sebanyak 4,444 kali, membaca tasbih Nabi Yunus, bacaan ayat qursi dan bismiliiah, semuanya sebanyak 1,000 kali. Selain itu, zikir munajat turut tidak lupa dilakukan," jelasnya.

Perwakilan dari Pahang Hamidah Daud pula memberitahu, "berjuang memburu kemenangan jauh lebih mudah daripada berjuang mengisi kemenangan." "Oleh itu, semua pihak perlu bekerja keras bagi menunaikan tanggungjawab supaya amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Beliau menambah, kemenangan mesti dipimpin dengan dua konsep iaitu tasbih dan istighfar (memohon ampun kepada Allah dan meninggalkan maksiat).

"PAS berjuang untuk mendaulatkan agama, kuasa dan politik hanyalah alat untuk mencapai perjuangan. Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah akhlak dalam berjemaah, berusaha mengurangkan masalah dalaman, dan menjaga perbezaaan pendapat," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: