KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 11, 2009

Karpal gesa Pas nilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh semalam meminta PAS menilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang berikutan hasrat parti itu untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno, lapor Bernama.

Menyatakan kesabaran parti itu ada hadnya, Karpal berkata PAS tidak sepatutnya meneruskan agendanya itu yang akan menjejaskan lagi pakatan pembangkang.

Hasrat PAS untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno merupakan penentangan serius terhadap keikhlasan yang diharapkan daripada PAS sebagai komponen pakatan pembangkang, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Karpal berkata PAS sepatutnya sedar bahawa ia bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang kerana ia hanya mempunyai 24 kerusi di Parlimen berbanding dengan 28 kerusi yang dipegang DAP dan 31 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya PAS sepatutnya tidak bersikap keterlaluan dengan membuat kenyataan , terutamanya melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno.

Karpal turut menafikan kenyataan Abdul Hadi bahawa DAP bersetuju dengan cadangan mengadakan perbincangan perpaduan dengan Umno seperti yang dinyatakan secara terbuka oleh Abdul Hadi.

"Hadi memilih untuk mengelirukan bukan sahaja anggota dan pemimpin PAS tetapi juga rakyat. Secara terbuka mengaku telah menipu rakyat tidak akan memberikan kelebihan kepada Hadi," katanya.

Mengenai kritikan PAS terhadap Sisters in Islam (SIS), Karpal berkata tindakan itu tidak akan menjadikan PAS lebih disayangi oleh mereka yang menyokongnya dalam pilihan raya umum Mac lepas dan begitu juga dengan desakan PAS supaya wartawan wanita yang membuat liputan Muktamar ke-55 parti itu barubaru ini berpakaian "sopan".

Bagaimanapun, pendirian pemimpin PAS bahawa Malaysia akan dijadikan sebagai negara Islam sekiranya parti itu berkuasa, merupakan sesuatu yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang secara spesifik menetapkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dengan agama Islam sebagai agama rasmi, kata Karpal.

1 ulasan:

Mohamad Shafri Shamsudin berkata...

Karpal Singh ni sebenarnya orang yang paling membawa masalah dalam PAKATAN RAKYAT. Dia masih lagi terpengaruh dan mengikut cara politik lama. Kepada saudara Karpal, sekarang politik sudah berubahlah. Sekarang kita berpolitik cara baharu. Awak sudah ketinggalan banyak lama. Baik letak jawatan dan bagi orang lain kerja.