KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 18, 2009

Konsep At-Ta'awun dalam Kerajaan Perpaduan dan PAS tidak akan khianati Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan mengkhianati Pakatan Rakyat, bahkan PAS akan perkukuhkan gabungan kerjasama ini menjadi alternatif bagi rakyat seluruhnya. Sebagai ahli parti, idea dan gagasan yang dikemukakan oleh Presiden PAS mesti dilihat dengan bersangka baik disamping mendapatkan penjelasannya.

"Saya suka jelaskan bahawa Dato’ Seri Presiden akan membuat dan memperhalusi gagasan ini dalam masa terdekat dan satu wacana kepimpinan akan diadakan."

Menurut Naib Presiden PAS yang baru, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu artikel yang diapungkan pada blognya, beliau berkata, apabila Presiden mengutarakan gagasan kerajaan perpaduan, ramai di kalangan ahli dan penyokong PAS membuat pelbagai tafsiran dan andaian.

Tegasnya, idea yang dilontar oleh pimpinan tentulah berpijak dari dasar syarak dan jauh daripada tindakan merugikan parti atau gabungan Pakatan Rakyat. Satu lontaran idea dan gagasan besar yang tidak seharusnya berlalu tanpa diadakan wacana ilmiah bagi membincangkannya.

Bagi mengurangkan sedikit polemik yang sengaja dibesar-besarkan oleh media arus perdana, Ustaz Tuan Ibrahim menjelaskan beberapa prinsip yang wujud dalam gagasan ini. Antara asas utama dalam kerajaan perpaduan ini ialah bertolak kepada firman Allah; "...dan bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong Bantu dalam perkara dosa dan permusuhan".

Katanya, konsep At-Ta'awun yang melahirkan muafakat disaran oleh Allah menjadi asas dalam pembinaan negara perpaduan. Membina negara mestilah berasaskan kepada al-bir (kebaikan) yang meliputi semua elemen kebaikan bagi rakyat.

Asas yang lain, hurainya, negara mestilah menjurus ke arah melahirkan pimpinan yang bertaqwa, agar rakyat yang diurus bukan hanya selamat melalui al-bir (kebaikan sistem negara) tetapi mestilah ujud elemen taqwa.

Tuan Ibrahim menegaskan lagi, PAS tidak akan berkompromi dalam pembentukan kerajaan ini yang ke arah derhaka kepada Allah. Katanya, Konsep al-ism yang sangat luas menjadi sempadan pembinaan kerajaan perpaduan dan sebagai pimpinan, ia mesti berusaha agar rakyat tidak terdedah kepada dosa dan maksiat.

Asas yang keempat jelas Pesuruhjaya PAS Pahang itu, ialah menolak al U'dwan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah. PAS tidak akan berkerjasama ke arah permusuhan dan akan menghentikan sebarang elemen perkauman sempit yang mendorong wujudnya jurang antara kaum di negara ini.

Kerajaan perpaduan tidak akan mengizinkan sebarang elemen ke arah permusuhan, samada di kalangan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pertembungan antara dalaman setiap kaum akan merugikan negara.

"Taawun sebagai satu gagasan, bukan hanya terikat dengan taawun fardiyyah; tetapi satu gagasan besar yang hebat dari Allah. Di samping asas tersebut, terdapat beberapa asas lain yang akan dijelaskan kemudian," tegas bekas Adun Jengka itu.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sedih, jika pimpinan PAS terus tidur dan berdengkur dalam pertelingkahan kerajaan perpaduan
PERTAMA

Umum mengetahui bahawa wirid Nasaruddin tentang Kerajaan Perpaduan ini ditentang oleh ahli dengan diketuai oleh Mursyid al-'Am sendiri. Secara tidak langsung, kelihatan seperti Mursyid al-'Am mempunyai masalah dengan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agong yang baru.

KEDUA

Presiden atau Timbalan Presiden atau Setiausaha Agong yang baru itu sewajibnya menemui Mursyid al-'Am dengan kadar yang segera supaya salah faham atau salah tafsir itu dapat diperbetulkan sebelum munculnya bibit bibit perpecahan.

Sedih. Ini tidak berlaku.

KETIGA

Apabila Mursyid al-'Am telah bersuara, sepatutnya pimpinan yang muda umurnya memohon mengadakan perjumpaan bagi menjernihkan suasana. Bukan soal siapa salah siapa betul. Soalnya yang muda lebih manis jika mengalah.

Sedih. Ini tidak berlaku.

KEEMPAT

Dewan Ulama PAS Pusat sepatutnya awal awal lagi menjadi pendamai dalam hal ini. Malangnya, sunyi sepi tidak berbunyi. Walaupun ahli bawahan sudah kelihatan seperti dilanggar garuda sifatnya akibat daripada penangan wirid Nasaruddin ini, namun Dewan Ulama PAS Pusat tetap nyenyak tidur.

Sedih. Ini yang berlaku.

KELIMA

Pandangan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ust Nasaruddin Hassan Tantawi. Mungkin tergerak hatinya untuk menjadi pendamai apabila keadaan semakin panas. Kita hargai keprihatinan ulama muda ini dam sepatutnya ulama tua malu dengan beliau.
Mungkin kerana berada di dalan keadaan dilemma, diluah mati Nasaruddin, ditelan mati Mustapha, maka Ust Nasaruddin Hassan Tantawi pun meminta kita semua menghormati pandangan Presiden.
Ini yang agak kurang tepat. Sepatutnya, Ust Nasaruddin Hassan Tantawi menganjurkan muzakarah tidak kira secara terbuka ataupun tertutup di antara individu individu yang terbabit dengan Mursyid al-'Am.

Sedih. Ini tidak berlaku.

KEENAM

Ke mana hilangnya Naib Naib Presiden PAS? Yang bersuara hanya Ust Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja. Ke mana Hj Mahfuz Omar? Ke mana Hj Salahuddin Ayub? Tidak terfikirkah anda untuk menjadi pendamai? Atau anda lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat?
Jemaah dan porak peranda dah nie. Apa lagi yang hangpa tunggu? Apa lagi yang hangpa nak lihat? Janganlah tidur !! Tugasan pertama pun dah gagal.

Sedih. Ini yang berlaku.

KETUJUH

Tahniah kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustzh Nuridah Salleh. Hanya beliau yang mencadangkan supaya semua yang terlibat bertemu dengan Mursyid al-'Am dengan segera supaya kekeruhan yang semakin menghitam ini dapat dijernihkan.

Namun, siapakah Ustzh Nuridah Salleh untuk menjadi pendamai kerana beliau seorang muslimat dan muslimat ada batasannya. Apa apa pun, tahniah dan tabik hormat layak diberikan kepada Ustzh Nuridah Salleh kerana beliau faham erti berjemaah.

KELAPAN

Kecenderungan pimpinan PAS meluahkan perasaan dan ketidakpuasan hati kepada mana mana media sahaja haruslah dijauhi. Kita amat memahami kekangan yang dihadapi oleh wartawan Harakah untuk menyiarkan artikel atau rencana berkaitan bantahan kepada wirid Nasaruddin ini.
Namun, ini tidaklah bererti pimpinan PAS boleh beralih kepada media musuh yang sememangnya menunggu untuk menyanyikan lagu yang rata ratanya bersifat haramjadah itu.

Sedih. Ini berlaku.

KESEMBILAN

Yakinilah bahawa ahli ahli bawahan akan berhenti bercakaran jika pimpinan yang dilantik dan dipilih menerusi muktamar lalu bangun dari tidur.

Sedih. Jika pimpinan terus tidur dan berdengkur.