KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 25, 2009

Manek Urai: Menguji keutuhan kepimpinan 19 Tahun Tok Guru Nik Aziz tadbir Kelantan!

KUALA LUMPUR: Kawasan pilihan raya Dewan undangan negeri Manek Urai bakal menghadapi pilihan raya kecil berikutan berlaku kekosongan kerana kembalinya ke rahmatullah ahli dewan undangan negeri (Adun) di situ, Hj Ismail Yaacob pada 22 Mei 2009.

Sementara pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan 6 Julai adalah hari penamaan calon dan 14 Julai hari mengundi. Maka, tempoh kempen bersih selama 8 hari adalah antara yang terpendek bagi parti-parti bertanding mengatur rancangan kempen rasmi.

Walau apapun, hakikatnya kempen sudah bermula berikutan pemimpin-pemimpin dan media sudah menjalankan pelbagai aktiviti mendekati rakyat dan pengundi Manek Urai. Labih-lebih lagi pihak BN yang didukungi oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam kerajaan BN telah turun menemui rakyat melalui rancangan kempen yang diatur oleh agensi-agensi kerajaan.

Ia disusuli dengan pemimpin daripada Pakatan Rakyat turut mengemaskan tapak pergerakan memahami persoalan rakyat. Justeru itu, kepanasan kempen pilihan raya kecil Manek Urai sudah meruap-ruap.

Memahami realiti tersebut, maka didapati kepanasan kempen pilihan raya kecil Manek Urai adalah suatu sudut kelainan dengan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Ini kerana asas kepanasan kempen itu adalah berkisar kepada tiga permasalahan utama: Kepayahan hidup rakyat tempatan, pertikaian isu kerajaan perpaduan yang menyentuh kesantunan dalaman PAS, dan cetusan kesungguhan pemulihan maruah BN yang acapkali kalah dalam pilihan raya kecil.

Kepayahan hidup rakyat

Permasalahan kepayahan hidup rakyat tempatan adalah sesuatu yang bersifat lokal. Ia suatu realiti dan standard rakyat negara ini, apabila social-life begitu bergantung kepada corak kehidupan tradisional.

Meskipun, negara telah bebas dari cengkaman penjajah sekian lama, namun kawasan Manek Urai sama juga dengan pedalaman Pahang negeri Perdana Menteri dan pedalaman Johor negeri Timbalan Perdana Menteri. Maka isu-isu kepayahan hidup rakyat itu agak tidak pelik masih kekal di Manek Urai yang letaknya di Kelantan, negeri Menteri Besar yang merupakan Mursyidul Am PAS.

Maksud kepayahan hidup di sini adalah suatu corak kehidupan yang masih terikat kepada alam persekitaran yang tidak lekang daripada pengaruh iklim, tanah, hutan dan bukit serta hubungan manusia dengannya.

Nyata sekali, rakyat Manek Urai masih erat punca rezekinya bergantung kepada ketentuan Tuhan yang menyuburkan tanah, melimpahkan hujan dan menghijaukan pokok-pokok serta menstrukturkan permukaan lurah dan bukit. Maka, di celah-celah antara ketentuan Tuhan itu, rakyat di situ berjaya mengusahakan tanah-tanah di antara lurah dan bukit dengan penanaman getah dan dusun.
Sementara, sebahagian pula mengusahakan penanaman kelapa sawit, menjadi pekerja ladang kelapa sawit yang ditaja oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), mengusahakan kebun getah dan dusun dengan bantuan pihak Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Sehubungan itu, musim kempen pilihan raya kecil nanti sudah pasti realiti kepayahan hidup itu akan dijadikan ruang dan peluang bagi parti-parti mahupun calon yang mewakilinya untuk mencipta pengaruh ke arah mencapai kemenangan.

Paling tepat boleh dikatakan, KESEDAR akan mengambil langkah aktif mengatur rancangan kempen bagi pihak BN, kerana pengerusinya Dato’ Ramzi Ab. Rahman merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai.

Sementelah pula, didapati sebahagian Manek Urai memang terlibat dengan kawasan pentadbiran KESEDAR. Mungkin janji-janjinya dalam pilihan raya umum lalu akan diperbaharui semula sebagai menarik keyakinan pengundi menyokong BN.

Antara janjinya ialah membayar kepada peserta yang terbabit dengan penanaman semula sebanyak RM500 sebulan yang akan dibayar melalui Bank Pertanian Malaysia, di samping meluluskan beberapa projek kecil yang bersifat ‘mee segera’ untuk ditawarkan kepada pengundi.

Menyokong kepada rancangan kempen KESEDAR, mungkin pihak RISDA boleh mensendatkan lagi ruang memautkan sokongan pengundi melalui beberapa projek yang popular boleh menambat hati rakyat.

Berdasarkan rekod baik RISDA membantu pengundi kalangan pekebun kecil getah dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 lalu, ternyata ramai penerima bantuan sara hidup boleh komited menyokong BN. Sehingga di beberapa kawasan kuat PAS berjaya dimenangi BN, termasuk di Manek Urai.

Misalnya, melalui pembinaan Pusat Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, anjuran RISDA seperti di Sungai Sok dan beberapa tempat lagi dalam Manek Urai, dianggap berjaya meraih komitmen pengundi wanita untuk lebihy rapat dengan BN, kerana Wanita Umno adalah penggerak penting di belakang pusat tersebut.


Begitu juga, pengaruh RISDA sebagai agensi kerajaan BN lebih melekatkan hati pengundi menyokong BN ialah melalui pembayaran geran untuk penanaman semula getah kepada pekebun dalam bentuk wang sara hidup sebanyak RM500-700 sebulan selama tiga tahun.

Mungkin juga RISDA boleh terus mendekatkan pengundi melalui gatekeeper Umno Manek Urai dengan cara menyalurkan pelbagai bantuan input untuk pekebun seperti baja, racun, anak benih dan peralatan berkebun.

Sementara bagi pihak PAS pula, kepayahan hidup rakyat Manek Urai sebenarnya tidak membuka banyak ruang untuk dimanfaatkan bagi mengatur rancangan kempen. Melainkan PAS boleh menjanjikan seorang calon yang boleh meneruskan legasi Pak Su Weil yang sedia bergelumang dan merapati kepayahan hidup rakyat di situ sepanjang waktu siang dan malam.

Meskipun, PAS memiliki agensi pembangunan sosial dan ekonomi atas nama kerajaan negeri, sebenarnya ia masih menghadapi kekangan kepayahan dana untuk menyaingi rancangan kempen agensi kerajaan BN. Tambahan pula, penggunaan agresif agensi kerajaan untuk mengatur rancangan kempen pilihan raya bukanlah prinsip bagi kerajaan negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru itu, kepayahan hidup rakyat Manek Urai pastinya memberi kelebihan kepada BN untuk meraih sokongan pengundi, terutama kalangan pekebun kecil dan peserta rancangan kemajuan tanah. Bagi PAS, kelebihan yang mungkin agak berpihak adalah membuktikan kesetiaan khidmat kepada rakyat Manek Urai dengan menjanjikan seorang calon yang rapat menyelami kepayahan hidup rakyat.

Kerajaan perpaduan

Kebetulan berlaku pilihan raya kecil Manek Urai adalah agak semput bagi PAS, berikutan parti itu baru selesainya Muktamar ke-55 yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti. Kepanasan hawa muktamar belum kembali normal, pihak media telah mencuri keluar isu-isu panas perbincangan di muktamar.

Antaranya ialah isu kerajaan perpaduan yang telah ditarik balik oleh Presiden PAS sebelum muktamar. Namun, pemasangan agenda media arus perdana berjaya mencuri isu kerajaan perpaduan itu dengan mengaitkannya dengan cerita-cerita yang berlaku di dalam ‘gelap’ mengenai usaha untuk menyertai Umno.

Ia menyebabkan pihak awam begitu mudah memahaminya sebagai kerajaan perpaduan adalah jambatan untuk bersama atau menyertai Umno. Meskipun hubungan asal kerajaan perpaduan yang dicetuskan secara smart oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah formula ke arah penyelesaian kemelut semasa yang dihadapi rakyat dalam negara ini.

Namun, bacaan politiknya tidak ke situ, ia telah mejangkaui persoalan pembentukan kerajaan tanpa pembangkang melibatkan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Malah, ia dilihat sebagai usaha merintis ke arah membawa PAS sekali lagi untuk terjun ke lubang yang sama sebagaimana langkah PAS pada era kepimpinan Dato’ Mohd Asri.

Hakikat itu telah meletakkan isu kerajaan perpaduan sebagai suatu kepanasan dalam kempen pilihan raya kecil Manek Urai setelah pihak pemimpin BN, bermula daripada Datuk Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri telah memuji PAS di atas landasan kerajaan perpaduan.

Meskipun pujian itu difahami bernada sinis, namun ia telah cukup memerangkap rakyat yang setia dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus bertembung idea sehingga melahirkan reaksi-reaksi yang panas dan pastinya memanaskan hawa kempen di Manek Urai.

Bagi PAS, isu kerajaan perpaduan sebenarnya tidak berbangkit dan bukannya modal sebenar untuk meraih sokongan rakyat di Manek Urai. Namun, perkiraan strategi kempen BN amatlah berlainan. Atas isu kerajaan perpaduan inilah dilihat ruang untuk mengadu-domba beberapa tokoh dalaman PAS dan Pakatan Rakyat.

Walaupun, realiti rakyat Manek Urai dilihat tidak memberi perhatian kepada isu-isu nasional, namun sekiranya media, khususnya televisyen dan radio setiap hari menghidangkan manipulasi adu-domba tersebut, maka sampai satu peringkat rakyat akan bersikap jemu untuk keluar mengundi.

Natijahnya, siapakah rakyat yang tidak akan keluar mengundi. Antaranya ialah mereka daripada kalangan penyokong PAS yang bosan dengan gelagat adu-domba dan kalangan mereka yang bersikap atas pagar. Dalam hal ini, rakyat yang menyokong BN tidak akan terjejas untuk terus menyokong BN. Maka, PAS dilihat akan terkesan jumlah sokongannya.

Oleh itu, kepanasan hawa isu kerajaan perpaduan pastinya akan dijadikan modal perang saraf utama pihak jentera kempen BN. Maka, pelbagai saluran televisyen dan radio akan terus menghamburkan berita-berita yang boleh mengugatkan kejituan strategi kempen PAS dengan matlamat untuk mengalih tumpuan rakyat dari PAS kepada BN.

Inilah cabaran besar yang mungkin dihadapi PAS, dan ia memerlukan langkah-langkah serang-balas untuk mengunci strategi perang saraf BN itu.
Antaranya, mungkin pihak PAS dapat memanfaatkan kekeliruan rakyat tentang isu ‘Satu Malaysia’ dan mengulas tema-tema retorik kerajaan BN seperti ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ atau mengkritik tema kempen BN ‘Rakyat Didahulukaan, Manek Urai Diutamakan’.

Apa yang penting, jentera kempen sebelah-menyebelah dijangka ligat bertindak, masing-masingnya balas-membalas serangan di atas setiap isu. Bagi BN adalah penting untuk membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat sudah berpecah atas isu kerajaan perpaduan. Sebaliknya bagi PAS pula, akan terus membuktikan hakikatnya BN terus-menerus ditolak oleh rakyat di setiap kali pilihan raya kecil.

Pemulihan maruah

Sebagaimana dinyatakan oleh Pengarah Pilihan Raya BN Manek Urai, Dato' Mustapa Mohamed, BN turun selaku 'underdog' (bukan pilihan) pada pilihan raya kecil kali ini. Namun, ia tetap mencetus suatu gerakan besar yang bersifat pemulihan maruah BN.

Oleh itu, BN dikatanya mampu memberi saingan sengit pada pilihan raya kecil kali ini. Meskipun, dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini BN sering tewas berdepan dengan kempen PAS dan Pakatan Rakyat, ruang kempen di Manek Urai adalah peluang BN untuk bangkit bersatu menjayakan kempen. Langkah sedemikian adalah sesuatu yang perlu ke arah pemulihan maruah BN.

Mungkin kesungguhan BN di Manek Urai itu didorong oleh dua faktor utama. Pertama, bagi membuktikan Umno terus relevan di kawasan pengundi teras Melayu dan keduanya, ke arah mengabsahkan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib selaku Persiden Umno yang baru dan layak membawa Umno kepada masa depan yang gemilang.

Dalam konteks kedua-dua faktor itu, kesan daripada semua pilihan raya kecil yang terdahulu adalah menggambarkan sentimen rakyat tidak menyebelahi BN dan Umno, kecuali di Batang Ai, Sarawak.

Kekalahan calon Umno berdepan dengan PAS di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu, berdepan dengan KeADILan di Permatang Pauh, dan tindakan memulau pilihan raya kecil Penanti, semuanya telah manjatuhkan imej Umno di mata rakyat.

Ditambah pula, semua itu berlaku pada saat peralihan kuasa dalam Umno sudah tentu mencalarkan maruah saf kepimpinan baru Umno, terutamanya Datuk Seri Mohd Najib sebagai orang nombor satu. Diikuti pula dengan peningkatan undi yang dicapai oleh calan-calon parti lawan, ia mengambarkan suatu rentetan ketidakyakinan rakyat kepada BN sebagai parti yang berkuasa.

Sehubungan itu, ruang pilihan raya kecil Manek Urai adalah mengandungi harapan besar di pihak Umno untuk membaiki segala-gala maruah di kalangan pengundi Melayu dan di mata seluruh rakyat. Maka, Umno sudah tentu akan memastikan jentera kempennya mengutamakan strategi pengukuhan keyakinan orang Melayu.

Oleh itu, isu-isu kepentingan semasa dan masa depan orang Melayu akan didahulukan, diikuti dengan nada dan olahan pemimpin mengenai isu-isu Melayu akan disampaikan secara ‘ala-BTN’, dan mungkin pengagihan ‘sogokan benda’ kepada pengundi juga akan berlapikkan nilai-nilai keagamaan, adat resam dan tradisi Melayu. Usaha memenangi hati dan perasaan orang Melayu di Manek Urai akan diutamakan.

Maka, dijangkakan para pemimpin Umno, khususnya Dato' Mustapa Mohamed selaku pengarah pilihan raya akan lebih banyak berkupiah dan berbaju Melayu. Apa yang pasti, cara dan gaya penampilan pemimpin Umno di khalayak akan bersifat harmoni dengan budaya hidup rakyat Manek Urai.

Sebaliknya pula, PAS dan pemimpinnya mungkin akan mengambil langkah-langkah yang lebih responsif terhadap strategi kempen BN. Komitmen dan kesungguhan kempen PAS pastinya akan bersifat pendekatan serang-balas yang dapat mempertegaskan lagi misi perjuangan PAS untuk membela orang Melayu dan kesucian agama Islam.

Namun, jika dibandingkan dengan Umno, ternyata PAS mempunyai upaya yang tinggi terutama dari segi penguasaan pentas keagamaan, seperti masjid dan surau kerana PAS mempunyai dukungan kuat alim-ulamak dan ustaz-ustaz yang terlatih dengan penyampaian kuliah, kelas pengajian, majlis tahlil, majlis bacaan Yasin dan talkin kematian.

Dalam konteks rakyat Manek Urai, budaya beragama dan keserasian sedemikian adalah antara penghubung penting rakyat dengan pemimpin lokal mahupun wakil rakyat mereka. Ini bermakna, calon pilihan raya kecil Manek Urai nanti hendaklah dipilih kalangan individu yang bersifat mesra dengan aktiviti lokal sedemikian.

Sekiranya kedua-dua belah pihak dapat menghayatinya, demi meraih keyakinan sentimen Melayu, maka pelaksanaan aktiviti kempen berasaskan keagamaan akan memanaskan lagi kempen di Manek Urai. Sementelah pula, kenyataan awal Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu istiqamah untuk memanfaat khutbah sebagai salah satu saluran dakwah dan kempen.

Walau bagaimanapun, bukan semua isu yang berlaku itu adalah sesuai untuk dijadikan tarikan kalangan rakyat Manek Urai. Ini kerana persoalan orang Melayu Manek Urai masih berkisar kepada tuntutan untuk mendapatkan jaminan-jaminan demi survival mereka.

Antaranya isu tanah, kos makan-minum, masa depan anak-anak dan layanan selesa kehidupan seharian. Maka, seni pemikiran dan sikap pengundi terhadap isu-isu panas di luar lingkup kehidupan mereka hanyalah bersifat selayang-pandang yang mungkin mengukuhkan lagi sentimen Melayu untuk berpihak sama ada kepada PAS mahupun BN.

Justeru itu, ada beberapa isu yang cukup kukuh untuk rakyat Manek Urai terus menyokong PAS, antaranya isu penyelesaian tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri pimpinan PAS, program kebajikan seperti kifalah, bantuan armalah, bantuan rumah, program pendidikan Islam dan program ekonomi skim ladang rakyat.

Di samping itu, PAS sendiri dapat menolak isu-isu yang berada di sekitaran kempen BN untuk memaut keyakinan orang Melayu. Misalnya, konsep ‘satu Malaysia’ merupakan satu konsep yang boleh difahami sebagai bersifat terbuka tanpa ada keistimewaan kepada mana-mana bangsa, hubungan renggang antara parti-parti komponen BN (parti PPP bertelagah, penyokong MCA sudah tidak percayakan BN dan perpecahan dalaman Gerakan), mencetus balik kesan-kesan kenaikan harga barang, amalan politik wang kalangan Umno dan perpecahan Umno Kuala Krai serta kecelaruan di dalam pemilihan calon untuk pilihan raya kecil Manek Urai.

Mungkin juga, besar kesannya kepada rakyat Manek Urai, sekiranya PAS membangkitkan semula janji-janji BN dalam pilihan raya lalu yang sampai ke hari ini masih banyak belum dikotakan lagi. Pokoknya janji-janji pemimpin BN untuk pembangunan negeri Kelantan adalah sesuatu yang sensitif, kerana di sebaliknya terpamer sikap munafik dan pembohongan pemimpin kepada rakyat.

Dalam konteks Manek Urai sahaja, rakyat sampai kini masih tertunggu-tunggu pelaksanaan janji bekas wakil rakyat BN dulu, Zukifli Omar yang sepanjang menjadi wakil rakyat (2004-2008) begitu liat memenuhi apa yang dijanjikan – jambatan, jalan kampung, baiki rumah, bantuan kebajikan, input pertanian, baiki masjid/surau, bantuan pelajaran, wang sara hidup – kesemuanya tak ketahuan sehinggalah BN kalah pada pilihan raya umum 2008.

Apa yang rakyat lihat sesetengah projek itu hanya berligar di kalangan rakan rapat Umno bukannya rakyat yang benar-benar memerlukan.

Secara keseluruhannya, pilihan raya kecil Manek Urai tetap penting sebagai petunjuk aras sokongan rakyat. Bagi BN, ia penting untuk membuktikan perubahan jawatan-jawatan tertinggi parti kalangan pemimpin yang ada adalah diterima rakyat.

Sementara bagi PAS pula, amat penting sebagai ukuran penerimaan rakyat yang masih utuh kepada PAS dan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menerajui pentadbiran kerajaan sejak 19 tahun yang lalu.

Oleh itu, kempen pilihan raya kecil di Manek Urai bakal melalui hawa panas yang tersendiri bakal mengiringi kempen PAS mahupun BN sebagai parti yang akan bertanding. Semoga hawa panas kempen di Manek Urai bakal menguntungkan semua pihak, khususnya rakyat kawasan Manek Urai.

Oleh WAN NIK W YUSSOF NGAH
Pengarah PKS Negeri Kelantan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dalam cerita UG, kita pandang adalah fitnah umno/bn....tetapi selain itu juga bagaimana berpunca dari dalam...kita tak kaji...TGHA menjadi mangsa.....sebenarnya idea ini bukan dari TGHA.....2 orang yg berperanan bersungguh2 iaitu Ustaz Nasha dan Mustapha Ali....kejap cakap A, kejap cakap B....kejap cakap C....akhirnya yang menjadi mangsa TGHA dan TGNAA

Kalau kita cakap itu strategi pemimpin...lain kali kita bincang....tapi sekarang kita tak sedar 2 orang nie.....adakah di "plan"kan utk menggodam PAS dari dalam? mungkin tak benar...tapi kita check.....Dan saya menyokong kedua TGHA dan TGNAA ...kerana mereka berdua dapat menyelamatkan keadaan...

Kenapa Ustaz Nasha di plan utk melawan keluar Ustaz Hassan Shukri....bukankah Ustaz Hassan Shukri juga Ulama? kenapa perlu berlawan sesama ulama..kalau masa tu Ustaz Hassan masih mampu dan waras...jadi digunakan hal Kohilal utk menjatuhkan dia...kenapa pula Ustaz Harun Taib berlawan utk ganti Timbalan Presiden sessi 2007, kenapa ulama perlu berlawan dengan ulama lagi....dan kenapa kali ini pula Husam dan Mohamad Sabu bertanding untuk berlawan dengan Ustaz Nasha?

Sejak bila TV3, Utusan Malaysia berminat dan membela serta memberi ruang kepada Ustaz Nasha nie.....kita kata kita tak percaya dan boikot kedua media tu?

Tapi duri dalam daging sebenar...kita kena siasat...bukan untuk memecah belahkan parti atau ahli2 kita....sebab kita bercakap kerana kita sayangkan parti kita....adakah betul ada atau tidak?....kenapa Ustaz Nasha sekarang hilang....dah berapa hari tak datang parlimen? Dia ke mana? hanya muncul dalam sessi jumpa TGNAA masa tarik balik dakwaan hari tu.....lepas tu hilang, mesyuarat AJK Pas Pusat pun tak hadir.....kenapa takut? kalau berani kerana benar...muncullah....segala apa yg berlaku tak perlu takut sebab dia benar....berhujah lah dengan kenyataan kebenaran....kalau TGNAA salah (sebab ada orang kata TGNAA dah nyanyok macam penghujung hayat Imam Bukhari).....

Dan kenapa pula setiausaha akhbar TGHA dipecat? mana pergi Roslan SMS....apa kaitan mereka berdua.....? Kenapa Roslan SMS dikeluarkan dari YDP Kelana Jaya oleh ahli2 di kawasan itu?

Dalam kemenangan PR2008 dan PRK akhir2 ini kita dimenangkan oleh ALLAH dengan cara ALLAH mengubahkan hati2 Cina dan India kepada menyatakan sokongan kepada kita...(tak kiralah kalau ini strategik politik mereka) tetapi boleh ke jadi kalau bukan kuasa ALLAH untuk mengubah hati2 mereka? dan sekarang nie hati mereka mula kendur kepada kita, kita tak dapat nafikan....pergilah buat study dan tanya kepada Cina dan India satu Malaysia....mereka udah mula "cuak" dengan PAS...."hati mereka terluka dan kepercayaan mula kurang" atas cerita UG ini....

Adakah ini kita katakan kesilapan strategik kepimpinan (Ustaz Nasha atau Mustapha Ali) yang ahli tak faham apa maksud sebenar UG ini.....atau ianya di "plan" kan oleh orang luar yang lebih pandai ber "strategik" untuk memporak-perandakan PAS?

Strategik apa yg digunakan? kerja amal jamaei apa yg dia ikut.....?Tarbiyah marhalah takrif dan takwin mana yg dia guna....kerana dia .....PAS telah porak peranda sekejap.....?

Kalau betul kesilapan Ustaz Nasha....dia kena dan wajib untuk letak jawatan.....demi memulihkan imej PAS dan meredakan kekalutan serta pandangan serong kepada PAS....dia boleh jadi ahli biasa....pulihkan imej dirinya dulu baru nanti dia naik semula....

Wallahu A'lam

Semuga kita menjadi orang yg berfikrah dan beramal......

Kemaafan dipohonkan pada semua..yang tersentuh dan terguris....

Salam Perjuangan Demi Memartabatkan Islam

Allahu Akbar, Allhu Akbar, Allahu Akbar