KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 25, 2009

Zailah desak PM bayar segera royalti petroleum untuk Kelantan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Yusuf mendesak agar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memberi pertimbangan yang adil terhadap rakyat Kelantan dalam pemberian royalti petroleum di negeri tersebut.

Jelasnya, hasil daripada petroleum di perairan Kelantan sejak 2004 itu termasuk dalam perangkaan hasil negara.

"Sudah semestinya sebagaimana negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak yang menerima bayaran royalti daripada hasil petroleum, kenapa Kelantan dinafikan haknya?

"Kerajaan Kelantan adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan rakyat Kelantan juga membayar cukai. Justeru saya amat berharap kerajaan dapat mengembalikan hak yang seharusnya menjadi milik rakyat Kelantan. Ini merupakan satu hak yang menjadi tanggung jawab kerajaan pusat yang termasuk dalam perlembagaan," tegasnya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS menegaskan, setiap kali isu mengenai pemberian royalti petroleum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam sesi soal jawab di Parlimen, menteri berkaitan memberi jawapan Kelantan tidak berhak ke atas royalti tersebut.

Jelasnya, pelbagai cara dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menyembunyikan fakta sebenar mengenai isu tersebut. Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut menyelar pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan yang disifatkan menganiayai pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

"Kerajaan Kelantan adalah kerajaan yang sah, yang dipilih oleh rakyat. Rakyat Kelantan membayar cukai. Jadi, seharusnya khazanah anugerah Allah ini dikongsi bersama oleh seluruh rakyat.

"Kita bimbang sekiranya kerajaan pusat tidak memberikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat, bukan sahaja rakyat akan mengutuk tindakan tersebut, bahkan kita bimbang akan diturunkan bala, sebab keberkatan itu tidak ada. Dengan kezaliman yang dilakukan, mungkin pelbagai ujian lagi akan menimpa kerana tidak memberikan hak kepada yang berhak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan menyegerakan pemberian royalti sebanyak RM1 billion kepada kerajaan Kelantan.

Tiada ulasan: