KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 22, 2009

Pemimpin pro kerajaan perpaduan tidak pernah dilarang berceramah di Manek Urai

KOTA BHARU: Cadangan tidak membenarkan mana-mana pemimpin PAS yang menyokong idea kerajaan perpaduan daripada menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai tidak perlu dipolemik sebagai satu isu lapor Mohd Zuharman untuk Malaysian Insider.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS Kelantan belum membincangkan mengenai perkara itu dan menyifatkan ia adalah cadangan peribadi tidak mewakili semua penyokong parti.

“Oleh itu cadangan supaya mana-mana pemimpin PAS yang menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan dilarang daripada menyampaikan ceramah dalam kempen PRK Dun Manek Urai tidak berbangkit,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Presiden Kelab Penyokong PAS Kelantan, Yap Kok Seng supaya pemimpin parti itu yang menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan dilarang menyampaikan ceramah politik sempena PRK Dun Manek Urai 14 Julai depan.

Yap sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan idea kerajaan perpaduan berikrar akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga tidak bersetuju dengan cadangan idea tersebut.

Sebuah laman web juga melaporkan, hanya gambar Mursyidul Am PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan dipasang bersama calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan diletakkan dalam banner PAS dalam pilihan raya kecil ini.

“Ini adalah kehendak akar umbi serta aura di Kelantan sekarang. Kita tidak mahu memberikan signal yang salah dalam pilihan raya kecil ini,” kata seorang aktivis PAS Kelantan.

Mohd Amar sewaktu dihubungi The Malaysian Insider berkata, PAS terlebih dahulu akan meneliti secara profesional sesuatu pandangan daripada anggotanya demi kepentingan anggota keseluruhan.

“Memang sudah menjadi prinsip PAS akan mendengar sesuatu saranan dan suara anggota terbanyak melalui perbincangan secara berjemaah. Jadi, persoalan itu setakat ini tidak berbangkit lagi kerana tidak dibincangkan secara rasmi,” katanya.

Ditanya mengenai usaha menyelesaikan kemelut di kalangan pucuk pimpinan parti Mohd Amar berkata pertemuan antara Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa akan diadakan dalam masa terdekat ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,

nik amar dok diam2 lagi baik...