KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 22, 2009

Tok Guru Nik Aziz terima bersyarat mengenai kerajaan perpaduan!

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membuat kenyataan lebih ’lembut’ dan memberi persetujuan bersyarat terhadap rundingan mengenai kerajaan perpaduan Pas dan UMNO hasil cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau seorang yang degil kerana ’berkeras’ menentang kerajaan perpaduan, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau seorang yang ’istiqamah’, tegas memperjuangkan perkara yang benar.

Jelas Nik Aziz, sikapnya itu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Muktamar Tahunan Pas di Ipoh setahun lepas iaitu Pas mesti bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Ada yang kata saya degil kerana enggan terima kerajaan perpaduan. Saya nak jawab saya bukan berdegil tapi saya beristiqamah. Degil bermakna kita pertahan benda salah bermati-matian, dah tahu benda salah tapi pertahankan juga, itu degil namanya. Tapi bila barang (perkara) yang benar, yang betul, itu kita istiqamah.

“Jadi kalau ada pihak dalam Pas yang nak perpaduan dengan Pakatan Rakyat, dan nak juga perpaduan dengan Umno, itu sudah kacau. Jangan buat begitu,” katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata beliau boleh menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan namun ia perlu dibuat mengikut salurannya.

“Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepikan keputusan mesyuarat (muktamar) dan pandai-pandai buat keputusan sendiri, tak boleh. Kalau nak juga bawa cerita perpaduan ni, bawa dulu ke PAS Pusat, bahas di peringkat negeri-negeri dan lepas tu bawa ke Pakatan. Sekarang ni Pakatan pun sudah marah pada kita,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dengan Umno juga perlu berkisar kepada isu Islam, bukan isu Melayu.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAS dan Umno membuka lembaran hubungan baru, ketika melawat Kuala Krai Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau mahu Umno memohon maaf kepada PAS terlebih dahulu.

Nik Aziz juga berkata beliau masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, dan Nasharudin juga belum menghubungi beliau untuk menjernihkan suasana tidak enak yang timbul di antara mereka berdua.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Bachok kerana kesungguhannya untuk menjayakan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Aziz berkata satu pertemuan akan diadakan melibatkan beliau, Abdul Hadi, Nasharudin dan beberapa pemimpin lain malam esok untuk meredakan ketegangan dalam parti itu.

Tiada ulasan: