KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 22, 2009

Mampukan PAS-Umno duduk bersekali atas nama kerajaan perpaduan?


KESEDIAAN kepemimpinan Pas berbincang soal pembentukan kerajaan perpaduan akan memperkukuhkan kekuatan Melayu, Islam di negara ini. Pendirian terbaru Nik Aziz bakal percepat proses rundingan bagi perkukuh kekuatan Melayu, Islam.

Barangkali selepas penentangan terbuka terhadap pucuk pimpinan Pas yang menyaksikan kejatuhan Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertua dalam muktamarnya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982, digantikan dengan kepemimpinan ulama diketuai Allahyarham Datuk Yusof Rawa, parti itu tidak pernah menghadapi krisis besar sehinggalah apa yang berlaku sekarang ekoran lontaran idea penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.

Ironinya, jika pemecatan Asri secara tidak terhormat lebih suku abad lalu itu berlaku ketika Pas begitu lemah dengan kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977, tentangan terbuka oleh sekelompok pemimpin Pas terhadap Hadi sekarang terjadi ketika kedudukan parti itu paling kuat dalam sejarahnya.

Walaupun kontroversi berhubung cadangan itu di kalangan pimpinan Pas sendiri bermula sebelum muktamar tahunan Pas di Shah Alam lagi, penentangan terbuka khususnya daripada kelompok yang menyokong pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah idea berkenaan, tercetus selepas respon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Selasa lalu bahawa beliau melihat Pas ikhlas untuk berbincang mengenai idea penubuhan kerajaan perpaduan itu dan Umno tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan kepada negara.

Dalam reaksi spontan kepada kenyataan Perdana Menteri itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata respon Najib itu dilihat serius dan beliau akan memaklumkan kepada Hadi yang berada di luar negara. Kenyataan balas Nasharuddin itulah yang menimbulkan kemarahan Nik Aziz sehingga beliau meminta Timbalan Presiden Pas itu meletak jawatan jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (berbincang dengan Umno), lebih baik dia masuk Umno. Terus terang saya sebut, lebih baik masuk Umno dan letak jawatan timbalan dan di Bachok. Apa buat sampah ni, menyusahkan orang?," kata Nik Aziz Rabu lalu, yang keesokannya menjelaskan, beliau hanya meminta Nasharuddin meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, bukan timbalan presiden.

Tidak cukup dengan kenyataan keras Nik Aziz itu, Khamis lalu, 10 daripada 24 Ahli Parlimen Pas mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan menyokong ketegasan Mursyidul Amnya dalam menangani persoalan kerajaan perpaduan.

Mereka ialah Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Datuk Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Mereka menegaskan pentingnya Pas berpegang teguh pada keputusan muktamar yang sebulat suara mahu parti itu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan BN, termasuk konsep kerajaan perpaduan.

Yang menimbulkan persoalan terutama di kalangan orang Melayu yang melihat secara positif sebarang usaha untuk merapatkan hubungan Umno-Pas walaupun sedar amat sukar bagi kedua-duanya berkongsi kerajaan ialah sikap Nik Aziz sendiri terhadap idea yang masih longgar itu.

Walaupun dalam sejarah politiknya selama lebih 40 tahun, Nik Aziz yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya, tidak sunyi daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi, beliau jarang dilihat begitu marah seperti minggu lalu.

Apakah beliau benar-benar marahkan idea penubuhan kerajaan perpaduan atau mewakili satu kelompok dalam Pas yang kurang selesa dengan beberapa pendekatan kepemimpinan parti itu sekarang terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu?

Bagaimanapun, semalam Nik Aziz menukar nadanya apabila menyuarakan persetujuan kepada cadangan itu dengan syarat dilaksanakan mengikut saluran yang betul dalam parti itu, termasuk membabitkan Pakatan Rakyat, sambil menafikan bahawa beliau bersikap degil dalam menolak cadangan kerajaan perpaduan selama ini, sebaliknya mendakwa langkah itu sebagai istiqamah.

Memang diketahui umum kumpulan yang menyokong Mursyidul Am Pas itu amat rapat dengan pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala kumpulan Hadi, yang masih berpegang kepada landasan perjuangan Islam Pas, dilihat agak berhati-hati bukan saja terhadap Anwar tetapi pemimpin lain dalam pakatan pembangkang.

Begitupun, mereka berpendapat jika Pas boleh bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak salah bagi parti itu untuk meneroka perbincangan dengan Umno atau parti lain dalam BN. Pemilihan kepemimpinan Pas pada muktamarnya baru-baru ini jelas menunjukkan ada usaha, walaupun gagal, daripada kumpulan Nik Aziz untuk mengambil alih tempat kumpulan Hadi.

Kepada kebanyakan orang Melayu, apa yang berlaku dalam Pas sekarang amat membimbangkan. Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kedudukan Umno lemah, ramai melihat Pas sebagai parti alternatif untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Bagi mereka, sebarang perpecahan dalam Pas, seperti yang pernah berlaku kepada Umno, akan merugikan orang Melayu. Mereka mungkin tidak bersetuju Umno bergabung dengan Pas tetapi mahu melihat persefahaman yang lebih positif antara kedua-dua parti terutama berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Mereka tidak melihat PKR boleh memainkan peranan itu kerana ideologinya bukan berlandaskan kepentingan Melayu/Islam. Malah, ada yang mencurigai apa yang berlaku dalam Pas sekarang mungkin didalangi Anwar sendiri. PKR tahu amat sukar untuk memastikan Pas menurut agendanya selagi Hadi dan kumpulannya menguasai kepemimpinan parti itu.

Lontaran idea kerajaan perpaduan oleh Hadi adalah peluang terbaik untuk menimbulkan kesangsian ahli Pas terhadap kepemimpinannya. Hadi, yang baru pulang dari luar negara semalam, dijadualkan menemui pemimpin Pakatan Rakyat petang ini, sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Pas malam ini, bagi menjelaskan kedudukan sebenar cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Hanya selepas itu, akan diketahui sama ada kontroversi berhubung ideanya itu hanya sekadar ribut dalam cawan atau bakal mengubah lanskap politik tanah air tiga tahun lagi, apatah lagi dengan pendirian terbaru Nik Aziz itu.

Oleh Manja Ismail

Tiada ulasan: