KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 25, 2009

Pesuruhjaya PAS yang baru mahu meningkatkan sokongan pengundi Melayu di Perak


MUQADIMAH: Dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS, baginya adalah amanah berat yang mesti dipikul. Namun, amanah itu mesti bergerak seiring dengan tindakan. Ada kewajaran ahli-ahli PAS diajarkan dengan ilmu-ilmu politik yang menjadi sebahagiah daripada usrah. Malah konsep satu usrah, satu cawangan akan dijalankan selain dari memperkasa Lajnah Penerangan PAS Negeri. Kempen meramaikan ahli PAS, penambahan cawangan serta pendaftaran pemilih baru akan diligatkan selain membanyakan Kelab Penyokong PAS. Ikuti wawancara JOHARI JAAFAR berkenaan visi dan misi Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husein di Pejabat Harkah Perak baru-baru ini.

Terlebih dahulu Harakah mengucapkan tahniah kepada ustaz yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang baru.

USTAZ ABU BAKAR: Terima kasih. Pemilihan saya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang baru bagi menggantikan Ustaz Ahmad Awang, saya melihatnya satu tanggungjawab bukan penghormatan. Tanggungjawab yang bukan sedikit tetapi satu tanggungjawab yang besar kerana jawatan itu adalah amanah.
Saya dengan rasa rendah diri menerima jawatan itu. Saya percaya dengan sokongan dan bantuan dari rakan-rakan terutama ketiga tiga sanyap parti, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan kekurangan yang ada pada saya dan sedikit pengalaman.

Sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru, apa yang bakal ustaz lakukan?

Saya akan sedaya mungkin untuk merealisasikan apa yang telah putuskan dalam Konvensyen PAS Perak baru baru ini di Teluk Intan. Iaitu memperkasakan dakwah dalam konteks memperkasakan dakwah dan tarbiyah. Dan ini akan menjadi keutamaan saya. Ada banyak perkara yang lompang yang perlu diperbetulkan.
Saya merasakan ada beberapa mekanisma yang perlu diberi nafas baru dalam kerja dakwah. Setiap ahli PAS perlu mengammalkan mesra dakwah. Walau apapun bidang kerja yang mereka lakukan, ahlli PAS mesti bersikap mesra dakwah. Ini yang saya mahu lakukan.
Sebagai ahli PAS mereka mesti prihatin dengan kerja kerja dakwah. Sebagai contoh mereka yang terlibat dalam bidang politik, dia tidak hanya bincang dari sudut politik semata -mata dengan masyarakat di luar PAS, tetapi mereka juga mesti mengambil kira pendekatan dakwah kepada masyarakat di luar PAS dan bukan Islam. Ini kadang kadang tidak diambil kesempatan oleh ahli PAS.
Kita perlu mendekatan diri dengan orang-orang Umno tetapi tidak bermakna kita bersama sama dengan mereka. Kita mendekati mereka adalah untuk menarik mereka bagi memahami politik Islam dan menyokong perjuangan PAS.
Rata rata orang Melayu yang memiliki pendapatan yang rendah tidak celik politik. Oleh kerana itu menjadi tugas ahli ahli PAS mempunyai ilmu politik yang mantap bagi menyedarkan orang-orang Melayu agar celik politik. Mereka masih menyokong Umno kerana mereka tidak celik politik, mereka menyokong Umno secara membuta tuli. Dalam hal ini dakwah itu perlu 'upgrade' khususnya kepada ahli ahli PAS sendiri.
Kita melihat dalam pilihanraya umum yang lalu, orang orang Cina dan India boleh menyokong PAS tetapi masih ramai orang Melayu tidak memilih PAS. Ini kerana sikap ta'sub orang-orang Umno menyokong BN. Mereka tidak faham politik, ini yang dikatakan mereka tidak celik politik. PAS kena ubah ini. Orang-orang Melayu di kampung perlu diberikan kesedaran untuk mereka celik politik.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang 6 kerusi Dun di Perak berbanding dengan Umno. Isu ini digunakan oleh Umno bahawa Umno masih mendapat sokongan besar dari orang Melayu. Jadi, macam mana PAS mampu menggantikan Umno?

Menang benar kita cuma dapat enam kerusi sahaja. Saya pun tewas di Dun Pengkalan Baru dengan majoriti hanya 14 undi. Saya melihat kewajaran ahli-ahli kita diajarkan dengan ilmu-ilmu politik. Ilmu politik kena diajar dan ianya mestilah dijadikan sebahagiah daripada usrah.
Saya berpeluang berkunjung ke Turki. Dalam usrah-usrah mereka diselitkan atau diajar mengenai ilmu politik kerana mereka adalah parti politik. Ketika negeri ini dilanda krisis, ilmu politik seperti Perlembagaan Perak, undang undang perlu dipelajari oleh ahli ahli PAS.

Antara faktor masyarakat Melayu di kampung-kampung menolak PAS kerana maklumat tidak sampai. Di sini lajnah penerangan memainkan peranan. Bagaimana ustaz melihat kepentingan Lajnah Penerangan PAS Negeri?

Kita mengakui antara sebab penolakan orang Melayu di kampung-kampung kerana mereka tidak mendapat maklumat. Dalam masa yang sama lajnah penerangan tidak berkemampuan menyalurkan maklumat ke sasaran yang sepatutnya. Saya merasakan lajnah ini perlu tingkatkan peranannya lagi. Saya akan memastikan lajnah itu mampu berperanan dengan baik.
Sumber-sumber maklumat perlu disebarluaskan ke kampung-kampung menerusi apa sahaja cara. Di kawasan yang semakin penting, penyebaran risalah atau pamplet yang mengandungi maklumat kepada orang ramai mesti dilakukan.

Bagaimana dengan misi PAS Perak?

Saya akan meneruskan momentum yang ada dengan dibuat beberapa pemerkasaan. Usaha bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri akan diteruskan dengan menjelajah ke kawasan-kawasan untuk memberi penerangan. Di samping itu kawasan-kawasan diminta melakukan usaha berterusan solat hajat dan munajat akan diteruskan, sehingga Dun dibubarkan.
Perjalanan pentadbiran negeri Perak dilihat tidak begitu lancar dan Dato' Seri Zambry tidak mendapat sokongan padu dari kakitangan kerajaan dan rakyat. Mengembalikan hak kepada rakyat adalah jalan terbaik dengan mengadakan pilihan raya semula di negeri ini.
Tarbiyah perlu dikukuhkan lagi kepada ahli-ahli. Walau apa pun yang berlaku, mereka yang ditarbiah akan mampu melihat perkembangan semasa yang berlaku dalam parti dari sudut yang positif.
Percanggahan pendapat dalam parti perkara biasa. Oleh itu kita mahu ahli ahli ditarbiyahkan dapat melihat ini dan berpegang kepada kebenaran. Perbezaan pendapat bukan pergeseran, ianya hanya perbezaan pendapat. Ahli yang ditarbiyah dapat memahami ini.

Tema konvensyen PAS Perak baru-baru ini "Memperkasakan Dakwah". Apakah sebelum ini dakwah dan tarbiah kepada ahli-ahli PAS di negeri ini masih ditahap yang rendah?

Tidak begitu. Apa yang kita mahu lakukan memperkasakan dakwah dan tarbiah. Kita mahu konsep satu usrah, satu cawangan itu berlaku dan dijalankan dengan lebih baik.

Hubungan antara Pakatan Rakyat penting terutama di Perak. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Kerjasama antara parti-parti Pakatan Rakyat berjalan baik di negeri ini. Kita masih lagi di peringkat permulaan. Mungkin ada yang terlepas pandang. Saya melihat hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat boleh berjalan terus.
Kerjasama ini telah membuahkan hasil bukan sekadar kita diberikan kepercayaan menjadi Menteri Besar, tetapi pemimpin-pemimpin DAP mulai mengenali keadilan Islam dan mahu mendekati Al Quran. Kita sedang fikir untuk mengadakan program bersama dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Hubungan PAS dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagaimana?

Kita menyedari pentingnya peranan NGO dalam menyokong keadilan dan perjuangan yang ingin ditegakkan oleh PAS. Oleh itu kita mahu hubungan PAS dan NGO terus dikekalkan, bukan sekadar dengan NGO Islam tetapi dengan NGO bukan Islam.
Kita mahu mereka dapat melihat keadilan Islam dan menentang kezaliman. Sekiranya NGO mampu berperanan dengan baik menyokong perjuangan PAS, masyarakat akan mudah mendekati PAS.

Bagaimana dengan Kelab Penyokong PAS yang kian mendapat sambutan?

Disamping itu kelab-kelab penyokong PAS di negeri ini akan diperbanyakan. Tiap tiap kawasan mesti ada Kelab Penyokong PAS. Dalam masa yang sama ahli PAS mesti menunjukkan syaksiah yang baik dan ukhuwah yang yang mantap. Kita mahu ahli-ahli kita mampu menunjukkan akhlak yang baik yang dikagumi oleh mereka.
Pemimpin-pemimpin Umno tidak mampu menunjukkan contoh yang baik. Mereka lebih percaya kepada orang PAS. Kerana itu ahli-ahli kelab penyokong PAS perlu diyakinkan dengan keadilan Islam dan kezaliman bukan ajaran Islam. Apabila memahaminya, sokongan dari bukan Islam lebih terasa.

Apakah ustaz akan meneruskan apa yang telah di ketengahkan oleh Ustaz Ahmad Awang sebelum ini?

Saya akan meneruskan apa yang telah dijalankan oleh Ustaz Ahmad Awang, antaranya kempen meramaikan ahli PAS, kempen penambahan cawangan. Kita akan perhebatkan kempen tersebut termasuk kempen pendaftaran pemilih baru.

Pilihan raya umum ke 13, mampukah PAS menarik lebih ramai sokongan dari pengundi Melayu?

Sejauh mana kita mampu menarik sokongan dari kalangan orang-orang Melayu bergantung kepada pendekatan dan strategi kita. Kita perlu mencari pendekatan terbaik agar lebih ramai orang Melayu menyokong PAS. Mereka yang tidak menyokong PAS mungkin tidak mendapat cukup maklumat atau terpedaya dengan fitnah Umno.
Ini bermakna kerja kita bukan mudah tetapi ianya mampu dilakukan. Di mana silapnya orang Melayu tidak menyokong PAS? Ini perlu kita fikirkan dan mencari jalan mengatasinya. Tidak mustahil PAS mampu menggantikan Umno dalam pesada politik negara.
Islam itu cantik tetapi tidak dilihat cantik, tentunya ada penghalangnya. Kita kena musnah yang menghalangnya.

Tiada ulasan: