KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 18, 2009

Dewan Muslimat tidak mahu biarkan Pakatan Rakyat berpecah

MUQADIMMAH: Biarpun wakil dari Kelantan agak terpinggir pada Muktamar Tahunan PAS ke-55, namun suara muslimat berkumandang nyaring dalam Dewan Muslimat PAS Pusat. Jawatan nombor dua dan tiga diboloti wakil Kelantan. YB Siti Zailah Mohd Yusof (Kak Lah) menang jawatan Timbalan Ketua. Manakala Senator Mumtaz Mohd Nawi berada di posisi Naib Ketua. Ini secara jelas memberi gambaran pemimpin dari Kelantan tetap diberi ruang. Oleh itu bagi memperkasakan lagi perjuangan muslimat, Kak Lah sedia berkongsi idea. Ikuti interbiu eksklusif SALMAH MAT HUSAIN bersama beliau.

Pada Muktamar Dewan Muslimat PAS baru-baru ini, Kak Lah diberi kepercayaan perwakilan memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Apa perasaan sekarang?

SITI ZAILAH MOHD YUSOF: Jawatan dalam parti sebenarnya bukan menjadi target, tetapi saya menghormati suara dan cadangan perwakilan di peringkat negeri yang mencadangkan nama Kak Lah sebagai Timbalan Ketua. Kebetulan pada pemilihan itu nama Kak Lah dicalonkan untuk tiga jawatan iaitu anggota jawatankuasa PAS Pusat, timbalan dan naib ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
Tetapi apabila Kak Lah berbincang dengan muslimat negeri, maka mereka mencadangkan Kak Lah hanya bertanding jawatan Timbalan Ketua sahaja. Apa yang Kak Lah lakukan, sekadar mengikut kehendak jemaah. Kak Lah sebenarnya menghormati calon lain iaitu Wan Hasrina Wan Hassan yang juga turut bertanding untuk mempertahankan jawatan berkenaan yang juga seorang sahabat.
Jawatan diberikan perwakilan sebenarnya untuk meningkatkan semangat perjuangan dalam jemaah Islam. Tidak bererti selepas memenangi setiap pertandingan dalam parti, kita harus meninggalkan sahabat. Bahkan semuanya memainkan peranan penting dalam jemaah Islam.

Apa misi dan visi Kak Lah setelah diberi tanggungjawab baru ini?

Visi sebagaimana perjuangan Dewan Muslimat sekarang iaitu menegakkan undang-undang Islam di negara ini. Jadi peranan Kak Lah bersama muslimat untuk memastikan kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Misi Kak Lah bercita-cita untuk melahirkan mujahidah muslimat yang berilmu, beriman, beramal, bertaqwa dan berperanan sebagai dai kepada masyarakat. Ini dalam sebuah negara Islam kita memerlukan masyarakat yang berakhlak dan pendokong Islam yang istiqamah. Jadi usaha perlu dilakukan untuk melahirkan a’milin.

Berdasarkan perkembangan semasa, apakah isu yang akan diperjuangan oleh Kak Lah dan Dewan Muslimat ke tengah masyarakat?

Kita melihat penglibatan muslimat sekarang dari pelbagai golongan. Dalam PAS kita sekarang ada dari kalangan profesional, ulama, rakyat biasa dan sebagainya yang mewakili profesion yang berlainan seperti doktor, profesor, jurutera, guru dan rakyat. Isu yang perlu di ke tengah kepada masyarakat sebagai contoh isu gejala sosial.
Suasana keluarga yang berkait rapat dengan mangsa yang terlibat dengan gejala sosial perlu diberi perhatian semua pihak. Kita akan berusaha untuk merangka program bagi mencari penyelesaian gejala itu.
Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat sejak tahun lalu telah memulakan program dengan melakukan 'rondaan' di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk mendekati golongan sasar supaya mereka berminat dengan Islam. Di parlimen tenaga muslimat turut memainkan peranan. Usul yang berkaitan dengan pendidikan, isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains, di samping isu rasuah juga turut dibawa suara muslimat. Tidak ketinggalan juga isu ISA kerana masih ramai lagi yang ditahan di bawah akta tersebut.

Pada muktamar baru-baru ini ada perwakilan mencadangkan Sister In Islam (SIS) diharamkan, apa pandangan Kak Lah?

SIS ini sebenarnya satu pertubuhan badan bukan kerajaan. Cuma yang menjadi kontroversi sekarang ialah SIS banyak membawa isu-isu yang bercanggah dengan Islam khususnya dari segi hak persamaan antara wanita dan lelaki dalam pembahagian harta. Sedangkan Islam telah ada kaedahnya yang tersendiri.
Begitu juga SIS turut mempertikaikan aurat wanita yang digambarkan kaum wanita tidak perlu menutup aurat. Pandangan ini bertentangan dengan ajaran Islam menyebabkan timbulnya kekeliruan dalam masyarakat.
Sepatutnya kerajaan memantau perkara ini kerana SIS sebuah NGO yang berdaftar. Muslimat PAS tidak bersetuju terhadap program yang dianjurkan SIS sekiranya bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun dari sudut pemikiran ada juga idea baru dicetus SIS memandangkan anggotanya ramai yang professional. Bagaimanapun isu yang dibangkitkan mestilah mengikut acuan Islam.

Persiapan Dewan Muslimat bagi menghadapi pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai? Ini cabaran pertama Kal Lah sebagai Timbalan Ketua Muslimat...

Persiapan pilihan raya sebenarnya telah bermula. Persiapan itu melibatkan jentera di peringkat unit peti undi (UPU), kawasan dan negeri. Setakat ini jentera muslimat sudah memasuki UPU untuk menawan hati pengundi.
Dalam menghadapi pilihan raya kali ini, InsyaAllah muslimat yakin kita dapat mempertahankan kemenangan. Biar pun Umno dan BN berjanji membawa perubahan kepada masyarakat di situ rakyat tidak mudah terpengaruh. Umno tidak perlu menabur janji lagi, sebaliknya selesaikan dahulu janji yang telah lama ditaburkan seperti membina jambatan Sultan Yahya Petra Kedua di Kota Bharu.
Peruntukan untuk membina jambatan berkenaan telah lama diluluskan, namun hingga kini selepas hampir dua tahun setelah dirasmikan pecah tanah, pembinaan tidak kelihatan.
Banyak lagi projek yang dijanjikan tidak berjalan mengikut masa yang ditetapkan. Kak Lah yakin rakyat Kelantan yang sudah masak dengan politik Umno yang bersifat 'gula gula'. Ingat pesanan Tok Guru seperti 'beri gula kacau, beri kain pakai, bila mengundi pangkah bulan'.
Semua jentera parti perlu bekerja keras menangkis segala serangan musuh yang bernama Umno. Jangan terlalu yakin dengan kemenangan yang sentiasa dicapai sejak 1986. Agensi kerajaan seperti Kesedar, Felcra mungkin akan digunakan Umno sebagai agen kempen. Keadaan ini turut membimbangkan kita.
Mereka juga menggunakan anak angkat dari kalangan pelajar universiti untuk mendekati pengundi. Matlamat pengundi bukan hanya untuk memilih pemimpin, sebaliknya pemimpin yang dipilih memimpin kita sampai ke akhirat. Rakyat Manek Urai diharap menolak semua rasuah politik wang.

Apa pandangan Kak Lah memandangkan ramai calon dari Kelantan tidak mendapat tempat pada muktamar baru-baru khususnya dalam haraki Jawatan Kuasa PAS Pusat? Tokoh Guru Nik Aziz juga sedih dan kecewa...

Di Kelantan ini, kita tidak ada memilih semangat kenegerian. Mana-mana calon yang layak itulah akan dipilih. Apa lagi kita lihat sebenarnya daripada Kelantan sudah ada lima orang memenangi jawatan tertinggi di peringkat pusat, termasuk anggota jawatankuasanya. Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa ialah anggota Parlimen Bachok. Begitu juga Dato’ Kamaruddin Jaafar dari Tumpat. Bendahari PAS sekarang, Dr Hatta Ramli ialah anggota Parlimen Kuala Krai.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga anggota Parlimen Kubang Kerian. Jadi sudah ada empat wakil dari Kelantan berada di peringkat pusat. Salahuddin biar pun berasal dari Johor, tetapi rakyat Kelantan menerimanya sebagai wakil rakyat mereka. Itu sudah membuktikan bagaimana rakyat Kelantan menolak 'asobiyyah'.

Barangkali ada usaha yang akan dilakukan Dewan Muslimat bagi memperkukuh Pakatan Rakyat?
Mempereratkan hubungan Pakatan Rakyat dipersetujui pada muktamar tahun lepas. Dan kini ia diteruskan. Semua sayap parti wajib berperanan memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Rakyat menaruh harapan tinggi kepada Pakatan.
Pilihan raya kecil pasca pilihan raya umum ke-12 jelas memperlihatkan rakyat menolak Umno dan BN. Sesiapa jua jangan membawa isu yang boleh meretakkan hubungan Pakatan Rakyat. Sekarang juga masyarakat Cina dan India berminat dengan PAS sehingga menyarankan supaya diwujudkan dewan untuk mereka. Muslimat juga akan merapatkan hubungan dengan wanita KeADILan dan DAP.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Berikut transkrip kenyataan Tok Guru Nik Aziz mengenai isu kerajaan perpaduan yang kini begitu kontroversi hingga menjadikan PAS bercelaru hingga ke akar umbi. Malah tiada pimpinan tertinggi PAS yang mampu menjelaskan apa yang dikatakan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presidennya, Tok Guru Abdul Hadi Awang. Ikuti ulasan Mursyidul Am PAS ini:

“Isu (kerajaan) perpaduan ini bukan datang daripada PAS tetapi lontaran daripada peribadi tertentu. Bukan daripada PAS. Kalau YAB PM sebut PAS setuju, itu tak betul.

Itu lontaran daripada peribadi dan juga tidak masuk dalam kertas agenda (mesyuarat) parti (PAS) sendiri. Parti PAS sendiri tak ada agenda mesyuarat (mengenai kerajaan perpaduan). Dan juga tak masuk dalam agenda mesyuarat Pakatan (Rakyat).

Jadi, dengan sebab itu Pakatan pun tak tahu. PAS sendiri tidak (ada pendirian) rasmi. Maka bagaimana nak sebut PAS (setuju)? Tak boleh. (Ini adalah) lontaran peribadi orang tertentu.

(Pertama), benda ni (perlu) ada mesyuarat parti. Yang kedua, (mesyuarat) Pakatan. Kalau PAS setuju, Pakatan setuju, itu lainlah masalahnya. Tapi, PAS pun tidak dibincang, Pakatan pun tidak dibincang. Mana boleh kita nak kata benda ni (PAS setuju)?

Sebab itu saya kata, ini kerja… ini kerja boneka Umno. Saya ulangi lagi, ini kerja boneka Umno.

Kalau semua setuju, Pakatan setuju, PAS setuju, maka semua akan (dilantik) jadi anggota kerajaan. DAP juga akan jadi menteri, PKR juga akan jadi menteri, PAS juga akan jadi menteri. (Ini) baru benar-benar perpaduan. Ini bukan perpaduan, ini perpecahan.

Umno sekarang berpesta. (Ber)pesta bahawa PAS sudah masuk perangkap mereka. PAS sama PAS dah kalut. PAS dan Pakatan dah bergaduh. Jadi, PAS sama PAS dah pecah, bercelaru. Bukan pecah, bercelaru. PAS dengan Pakatan pun dah jadi celaru. Jadi, ini (idea kerajaan perpaduan), Umno dah berjaya. Berjaya memecahbelahkan orang PAS.

Alhamdulillhah, dapat dibendung melalui kenyataan saya, bahawa (kerajaan perpaduan ini) tak dapat diterima. Ini orang, boneka Umno, sudahlah.

Kalau benar Timbalan (Presiden PAS) Nasharuddin, kalau benar dia nak setuju (kerajaan perpaduan), lebih baik dia masuk Umno terus. Biar, baik dia masuk Umno, terang. Dia letak jawatan di Bachok, dia bertanding (semula atas tiket BN).

Apa dia buat sampah ni? Menyusahkan orang. Dia tak tahu bagaimana susahnya saya. Datang (jumpa), telefon, datang jumpa sendiri (dan) menangis-nangis, sebak-sebak. (Ada) orang Kelantan dan luar Kelantan datang jumpa saya, sebak.

Setengah orang tu datang tak boleh nak bercakap depan saya, sebak. Apa ceritanya (ini semua)? Dia masuk Umno senanglah daripada duduk dalam PAS nak menenggek. Dalam PAS tak boleh (menenggek begini). Tak dak moral kita panggil (kalau buat begitu).”

Tanpa Nama berkata...

sape yang tak taat dan tak patuh pada pimpinan? sape yang teraburkan paku payung kat jalan raya dengan idea kerajaan perpaduan ni?

kalu nik aziz orang no 1 pas sebab dia mursyidul am pas, ngapa harun din yang jadi timbalan tak taat dan tak patuh? Nasa? Hadi?

ulama tak hormat sebabnya dah semua orang tahu. skuka menipu dan berbohong. tak percaya. lihat ini!

1. tok guru nik abduh tuduh pembantu nik aziz sesat di sisi tuhan.

2. tok guru harun taib pada muktamar selamba badak tuduh hassan adli masuk umno.

3. tok guru daud iraqi tuduh husam main politik wang masa kempen pempilihan baru ini.

4. tok guru harun din tuduh husam sebagai musuh dalam selimut sebab berkawan dgn anwar. pas tu guna ayat quran jawab kononnya musuh tu ialah anak isteri kamu.

5. tok guru harun din sedia bubar pas untuk satukan pas dan pkr dengan jadikan anwar ibrahim sebagai presiden.

6. tok guru hadi awang kata sudah bincang dengan pkr dan dap tentang agenda kerajaan perpaduan tapi akhirnya pkr dan dap menafikan.

7. tok guru nasharuddin kata tiada niat bawa pas masuk bn-umno tapi alu-alukan reaksi positif najib tentang kerajaan perpaduan. kalau nama kerajaan mestilah kongsi kuasa. orang kampung kata mausk umnolah tu.

8. tok guru mustafa ali kata hentikan polemik kerajaan perpaduan tapi dia dan kumpulannya terus mempromosi ieda hadi awang itu.

banyak lagilah kalau nak sebut. ini dalam lingkaran kerajaan perpaduan. jangan salahkan orang sebab tak hormat ulama.

mamat bin kulop