KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Jun 19, 2009

Kemelut dalaman PAS: Minta semua ahli PAS bertenang, tunggu arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan

KUALA LUMPUR: Semua ahli PAS diminta bertenang dalam menghadapi ujian yang begitu mencabar dalam kepimpinan Pas. Semua ini hendak menguji kematangan pemimpin untuk menguruskan krisis.

InsyaAllah PAS yang mempunyai bahtera yang kuat dan kukuh mampu untuk menghadapi ke semuanya ini. Kalau Umno/BN yang mempunyai bala tentera dan kewangan daripada qarun-qarun yang ada di atas muka bumi ini pun kita mampu hadapi. Maka sudah barang pastilah masalah yang berlaku pada hari ini InsyaAllah dapat diatasi dengan baik dan elok.
Saya yakin bahawa ahli pas yang matang dalam sepak terajang politik akan merasa tenang apabila kita tahu kekuatan yang ada pada PAS dan organisasinya. Kerana Pas adalah milik kita semua. Ia tidak boleh dimonopoli oleh sesiapa pun. Pas ada peraturan dan perlembagaan yang kemas dan teratur.

Iltizam kita ialah bersama dengan Pakatan Rakyat dan berhadapan dengan Umno/BN dalam apa suasana sekalipun.

Media cuba memainkan isu bahawa Pas hendak mewujudkan perpaduan Melayu. Secara tidak langsung mereka cuba melontarkan fitnah bahawa Pas hendak meninggalkan Pakatan Rakyat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Setiausaha Agung pada 17 Jun 2009 telah menjelaskan kekeliruan ini.

Kerajaan Perpaduan hanyalah lontaran idea sahaja daripada Presiden. Sebarang keputusan dan polisi parti yang hendak dibuat dalam parti ia akan dibincang terlebih dahulu dalam parti. InsyaAllah segala keputusan yang diputuskan, akan kita sampai kepada semua pihak di peringkat akar umbi melalui majlis taklimat khas. Yakinlah firman Allah SWT ”Hendaklah kamu bermesyuarat dalam urusan kamu”. Dan Sabda Rasulullah SAW “Berjamaah itu rahmat”

Oleh itu kita boleh berbincang untuk mendapat maklumat melalui mesyuarat, muzakarah, usrah, liqa. Inilah mekanisme parti yang paling baik untuk kita menyuarakan masalah dan kritikan kepada parti. Sekarang zaman canggih maka boleh kita hubungi pimpinan untuk mendapat penjelasan.

Segala keputusan politik yang Pas buat selama ini semuanya bersandarkan kepada nas syara’ dan fiqh siasi. Kita bertahlalluf dengan parti bukan Islam dan ideologi yang berbeza, semuanya merujuk kepada nas syarak. Bukan senang hendak meyakinkan ahli bagaimana kita dibenarkan mengundi calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti yang bertahalluf dengan kita.

Semua ahli Pas perlu berhati-hati dalam menghadapi isu ini, kerana musuh sentiasa memasang perangkap untuk menjayakan misi mereka bagi memecah belahkan di kalangan ahli dan pimpinan.

Dapatkan maklumat rasmi daripada akbar rasmi Harakah, Harakahdaily dan Siasah. Supaya tidak menimbulkan kekeliruan. Tunggu dan sabar penjelasan rasmi daripada pimpinan dalam isu ini. Rapatkan saf jamaah supaya syaitan tidak menyusup masuk ke dalam parti kita.

USTAZ IDRIS AHMAD
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tiada ulasan: